Kita semua takut kalah, takut gagal. Malah banyak syarikat begitu ghairah memastikan pekerja mereka sebegitu takutkan kegagalan dan kekalahan hinggakan terjelma semangat ‘kiasu-isme’ (takut kalah).
Dunia perniagaan amat ghairah mencapai kesempurnaan. Hal ini jelas kelihatan dalam cara syarikat berusaha begitu gigih untuk membangunkan diri tanpa cacat cela dan menerapkan inisiatif pengurusan seperti Six Sigma dengan harapan pembelajaran ini akan menambahbaikan prestasi syarikat.
Kisah-kisah kegagalan
Sejarah menunjukkan bahawa semua kejayaan besar bermula dengan kegagalan. Malahan mereka yang berjaya adalah mereka yang pernah mengalami kegagalan. Michael Jordan, The Beatles, Walt Disney, Abraham Lincoln dan Thomas Edison memiliki satu persamaan – mereka semua pernah gagal sebelum mereka berjaya.
Michael Jordan adalah pemain bola keranjang terhebat dalam sejarah. Tetapi beliau sendiri hampir meninggalkan permainan itu di peringkat sekolah menengah apabila tersingkir dari pasukan senior. Hari tersebut merupakan hari yang paling buruk dan yang paling penting dalam hidup Jordan. Penting kerana pada hari itu, beliau memutuskan untuk belajar daripada kegagalan. Pada tahun berikutnya, beliau berjaya menyertai semula pasukan sekolah.
The Beatles pula dikecewakan oleh Decca Records apabila mereka diberitahu “Kami tidak suka suara kamu” dan “permainan gitar kamu tidak menarik”. Capital Records juga menolak mereka beberapa tahun kemudian. Walau bagaimanapun mereka tidak menyerah dan berasa kecewa, malahan mereka terus berusaha dan akhirnya berjaya menjual jutaan rekod.
Walt Disneypernah dipecat oleh sebuah agensi surat khabar pada awal kerjayanya kerana dikatakan “kurang daya imaginasi dan kreativiti”. Tetapi beliau mengambil iktibar daripada kegagalan itu dan beberapa tahun kemudian, berjaya mendirikan sebuah perusahaan yang paling kreatif di dunia — Disney.
Abraham Lincoln, yang berasal daripada keluarga yang miskin, mengalami banyak kekecewaan dalam hidupnya. Perniagaannya gagal dua kali; beliau tewas dalam lapan pilihan raya umum. Tetapi beliau tetap berjuang sehingga akhirnya berjaya memenangi pilihan raya umum dan menjadi salah seorang presiden yang paling bijak dan berjaya di Amerika Syarikat.
Thomas Edison pernah diberitahu oleh gurunya bahawa beliau terlalu bodoh dan tiada upaya untuk mempelajari apa-apa pun. Namun beliau berjaya menjadi seorang pencipta terhebat sepanjang zaman dan merupakan pengasas General Electric (GE). Kali pertama Edison mengalami kegagalan dalam eksperimen mencipta mentol lampu, beliau memberi perhatian sepenuh terhadap kegagalan itu. Kemudian beliau membuat beberapa penyesuaian dan mencuba lagi dan lagi dan lagi. Setiap kali beliau gagal, beliau akan membuat catatan, penyesuaian dan mencuba lagi. Beliau terus belajar daripada setiap eksperimen. Hampir 10,000 eksperimen dilakukannya untuk mencipta mentol lampu yang sempurna. Katanya: “Saya tidak gagal. Saya menemui 10,000 cara yang tidak berhasil.”
Kegagalan batu asas kejayaan
Kisah-kisah kegagalan tersebut dapat disimpulkan sebegini – kegagalan adalah batu asas kejayaan masa hadapan anda .Tanpa kegagalan, penemuan-penemuan yang hebat dan inovasi-inovasi baharu tidak mungkin dicapai. Setiap pemimpin yang hebat belajar daripada kegagalan. Thomas Watson, pengasas IBM, pernah berkata: “Perjalanan ke arah mencapai kejayaan adalah dengan menggandakan kadar kegagalan.”
Jadi, jika kegagalan merupakan salah satu faktor penting untuk mencapai kejayaan, mengapakah kita begitu takutkannya? Mengapakah kita tidak menyediakan ruang untuk kegagalan dalam organisasi, dalam program pembangunan kepimpinan dan dalam proses pengembangan produk? Kita terlalu memberi penekanan terhadap “memastikan semuanya berjaya pada percubaan pertama” sehingga akhirnya kita tidak mengambil risiko untuk gagal dan berinovasi.
Pengalaman di GE
Di GE, kegagalan bukan sahaja bernilai dalam proses perkembangan produk baharu yang dikenali sebagai “pembulusan/penembusan inovasi” tetapi juga dalam proses pengurusan bakat.
Semasa saya bekerja di GE, saya berpeluang menyertai putaran kerja. Ini bermakna saya sering bertukar peranan. Dalam proses itu, saya mengharungi pelbagai dugaan dan kegagalan. Meskipun itu, saya tidak patah hati. Saya digalakkan untuk belajar daripada kegagalan tersebut.
Dalam tugasan pertama, saya “dipecat” oleh ketua saya kerana kesilapan yang dilakukan. Selepas itu, saya diberi tanggungjawab yang lebih mencabar. Pada mulanya, saya mengalami kegagalan tetapi saya tidak menyerah kalah. Akhirnya, saya tetap berjaya.
Dalam tugasan ketiga, saya dihantar ke Dallas, Amerika Syarikat untuk bekerja dalam projek mengintegrasikan perolehan syarikat-syarikat dalam kumpulan GE. Saya betul-betul gagal dalam tugasan itu — mengalami kerugian sebanyak AS$20 juta dan projek itu tidak dapat diteruskan.
Kegagalan menjadi lumrah dalam tugasan saya. Tetapi dalam setiap kegagalan, saya menimba pengajaran yang sangat berharga. Akhirnya, apabila GE menghantar saya kembali ke Asia untuk membantu memulihkan kembali sebuah syarikat yang bermasalah, semua kegagalan yang pernah saya alami telah membantu saya untuk memastikan syarikat kami bangkit semula dengan cepat dan cekap.
Mengimbas kembali masa saya mula-mula bekerja di GE, kegagalan merupakan sebahagian daripada proses pengurusan bakat untuk saya. Saya menyedari bahawa kegagalan-kegagalan itu sengaja dirancangkan untuk mereka yang berpotensi tinggi supaya pembelajaran mereka dapat dipercepatkan.
Tenaga kerja yang berbakat di GE selalu diberi tugasan yang mencabar dan peranan yang besar di mana mereka akan pasti gagal. Sebenarnya tugasan-tugasan itu telah dirangka sebagai pengalaman-pengalaman pembelajaran supaya apabila mereka mengambil peranan yang lebih besar dan strategik, mereka akan dapat memulakan sesuatu yang baharu.
Sudah tentu jika peranan yang dipegang itu lebih besar, kesilapan-kesilapan yang dilakukan akan mempunyai impak yang besar terhadap syarikat. Oleh itu, membuat kesalahan dan kesilapan pada peringkat awal kerjaya sebenarnya menguntungkan syarikat dalam jangka panjang. Perusahaan-perusahaan yang mempunyai sistem kerjaya yang membenarkan kegagalan sebagai sebahagian daripada proses pembelajarannya akan menjadi jentera kepimpinan yang besar, yang akan melahirkan ramai pemimpin bertaraf dunia.
Sebab di sebalik kepayahan
Biar saya berkongsi kisah tentang abang saya dan rama-rama yang memberikan gambaran kenapa syarikat harus menjadikan kegagalan sebagai faktor dalam meningkatkan kemahiran pekerja.
Semasa abang saya masih muda, dia terjumpa kepompong rama-rama. Dia membawanya pulang dan dalam beberapa hari, kelihatan satu bukaan kecil. Dia berasa teruja dan duduk selama beberapa jam memerhatikan rama-rama tersebut bergelut untuk keluar melalui lubang kecil itu. Seketika kemudian, dia menyedari bahawa rama-rama itu seolah-olah menyerah kalah. Abang saya mengambil keputusan untuk membantu rama-rama itu dengan mengunting kepompong yang masih tersisa. Dengan bantuan ini, rama-rama itu akhirnya dapat keluar.
Akan tetapi, kisah ini tidak berakhir begitu. Rama-rama yang keluar itu memiliki tubuh yang bengkak dan sayap yang kecut. Abang saya terus memerhatikan rama-rama itu dengan harapan ia akan mengembangkan sayapnya dan terbang. Malangnya ia tidak berlaku. Sebaliknya rama-rama itu terpaksa bergerak secara merangkak dengan tubuh yang bengkak dan sayap yang cacat. Rama-rama itu tidak dapat terbang.
Hakikatnya, abang saya telah merosakkan hidup rama-rama itu dengan kebaikan hati dan bantuannya yang tergesa-gesa. Dia tidak tahu bahawa apabila rama-rama itu bergelut untuk keluar melalui bukaan kecil kepompongnya, secara semula jadi, cecair dari tubuh rama-rama akan keluar dan menyalur ke sayapnya untuk membolehkannya terbang.
Hal yang sama boleh diperkatakan dengan cara pemimpin membimbing pekerja. Dalam kebaikan hati untuk membantu pekerja, kita sering cuba menjauhkan mereka daripada kesakitan dan kegagalan walhal pengalaman-pengalaman tersebut adalah baik untuk membentuk mereka menjadi pemimpin yang baik dan utuh.
Akhir kata
Saya percaya jika seseorang mahu berjaya dengan cepat, dia harus mengalami kegagalan sebanyak mungkin dalam waktu sesingkat mungkin. Pergelutan adalah sesuatu yang sering dialami seseorang pemimpin. Seseorang yang perlu menghadapi pergelutan akan belajar dan berkembang menjadi lebih baik.
Jika anda seorang pemimpin yang sedang membaca artikel ini, biarkan tenaga kerja anda mengalami kegagalan. Malah saya menyarankan supaya anda mengorak ruang untuk mereka belajar daripada kegagalan mereka.
Tetapi “mengorak” ruang untuk gagal bukan bermaksud menggalakkan kucar-kacir dalam syarikat anda. Ia bermaksud bahawa sebagai seorang pemimpin, anda harus menyediakan persekitaran yang selamat bagi membolehkan para pekerja mengambil risiko untuk gagal. Tetapi jangan berhenti di situ sahaja. Kongsikan kisah-kisah kesilapan dan kegagalan anda dengan mereka. Dan kemudian perhatikan, mereka akan tumbuh dan berkembang menjadi rama-rama yang indah. Tidak apa, biarkan mereka gagal!
Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/
Oleh Kiran Tuljaram dan Irfan Razali. Temui wawasan tentang kepimpinan, pengurusan perubahan dan banyak lagi daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia 2023. Serlahkan potensi sebenar anda dalam dunia yang semakin berkembang hari ini.
Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.