Sertai MyFuture Untuk Menangani Jurang, PSMB Gesa PKS

Jul 04, 2017 1 Minit
PBSM, kaji selidik, perniagaan

PERUSAHAAN Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia; ia membentuk 97% daripada perniagaan tempatan.

Kajian menunjukkan bahawa lebih 640,000 perniagaan di negara ini merupakan syarikat kecil dan sederhana, dan pertumbuhan PKS bakal membantu Malaysia merealisasikan visi untuk menjadi sebuah negara berindustri penuh dan berpendapatan tinggi.

Kerana setiap perniagaan yang lain adalah PKS, pemilik perniagaan sudah pasti berhadapan dengan saingan sengit. Satu-satunya cara untuk menonjol berbanding dengan pesaing lain adalah dengan terus meningkat maju, berinovasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan apabila perniagaan semakin membesar.

Untuk berbuat demikian, perniagaan perlu dilengkapi dengan kecekapan untuk mendiagnosis keperluan dan jurang dalam organisasi yang mungkin berimpak kepada kebolehan untuk berkembang, dan yang lebih penting, produktiviti perniagaan, dan menangani ini semua dengan sewajarnya melalui program intervensi yang sesuai.

Walau bagaimanapun, diagnosis yang tepat tidak boleh dilakukan oleh calang-calang orang. Diagnosis ini ada keistimewaan tersendiri  dan memerlukan kepakaran pengurusan yang melibatkan kos tambahan.

Inilah peranan yang dimainkan oleh program MyFuture, yang dikelolakan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

MyFuture ialah alat diagnostik kecekapan yang membantu mengenal pasti jurang kemahiran dan latihan yang wujud dalam sesebuah organisasi. Ia turut menyarankan program pembangunan dan latihan yang sesuai untuk menangani jurang tersebut.

Apakah yang paling menarik? Semua diagnosis dan latihan disediakan secara percuma untuk PKS, termasuk yang tidak berdaftar dengan PSBM. Kini, PKS boleh menyelam sambil minum air dan sebabnya adalah seperti yang diulas selanjutnya.

Meningkatkan status PKS

Pelan Induk PKS merupakan pengubah yang mempergiatkan pertumbuhan PKS, memacu Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Pelan Induk PKS menggariskan 32 inisiatif merentasi segenap bidang tumpuan bagi mencapai matlamat yang diingini, yang merangkumi enam Program Berimpak Tinggi (PIT). Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan sumbangan keluaran dalam negara kasar semasa oleh PKS sebanyak 36.3% kepada 42%, dan meningkatkan kadar guna tenaga kepada 65% dalam masa tiga tahun.

“Kami terlihat gambaran Pelan Induk PKS yang lebih besar dan mahu mengemukakan program berinovatif yang dapat membantu kerajaan mencapai matlamat dan mewujudkan juara-juara PKS dalam proses tersebut. Oleh sebab itu, MyFuture diperkenalkan,” kata Ketua Pegawai Tujuan Khas PSMB, Muhammad Ghazali Abdul Aziz (lebih dikenali sebagai Ghaz).

Ghaz berkata bahawa untuk membantu PKS berkembang, tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada tenaga pekerja.  Maka, latihan kemahiran semula, pembangunan kemahiran dan  kemahiran pelbagai untuk tenaga kerja PKS merupakan suatu kemestian dalam perniagaan.

Bagaimana cara mengukur hasil yang diperoleh?

“Kami menyemak kecekapan inovatif dan produktiviti. Terdapat beberapa langkah yang boleh kita lihat dari segi perkembangan perniagaan, peningkatan eksport, model perniagaan berinovatif dan peningkatan produktiviti,” kata Ghaz.

Bagi menangani dua aspek utama iaitu produktiviti dan inovasi, perhatian perlu diberikan kepada pertumbuhan modal insan tempatan, termasuk program intervensi seperti latihan dan pembangunan.

Memandangkan pembangunan dan latihan inovatif boleh merapatkan jurang kecekapan kritikal dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, program MyFuture bergerak selari dengan visi Pelan Induk PKS.

Model kematangan sumber manusia (SM) 

Sebagai alat pemprofilan kecekapan, MyFuture menumpukan fokus utama pada penganalisisan proses dan sistem sumber manusia dalam PKS yang merangkumi beberapa fungsi seperti perancangan, strategi, pengambilan pekerja, penglibatan dan pengekalan pekerja, dan prestasi perniagaan.

MyFuture menggunakan Model Kematangan SM untuk menganalisis proses SM dan mengenal pasti keadaan perniagaan semasa. Terdapat empat tahap kematangan yang dilalui oleh kebanyakan perniagaan.

  • Tahap 1 – Langsung tidak ada polisi dan proses.
  • Tahap 2 – Terdapat polisi dan fungsi asas SM yang menjadi amalan syarikat.
  • Tahap 3 – Semua fungsi SM adalah rasmi.
  • Tahap 4 – SM memacu perniagaan.

“Kami percaya SM boleh memacu perniagaan. Apabila kita bertumpu pada peningkatan potensi pasaran, kita perlu berkemampuan untuk menghubungkan SM dan latihan dengan perniagaan,” kata Ghaz. Beliau menjelaskan bahawa ini bakal menetapkan sebuah struktur dan kerangka pertumbuhan strategik untuk perniagaan menjadi lebih cemerlang.

Keseluruhannya, tumpuan dan diagnosis MyFuture melihat pada tiga aspek utama iaitu kematangan semasa SM, jurang kematangan, serta kekuatan dan peluang untuk penambahbaikan.

Apabila perniagaan mengenali tahap kematangan diri, analisis dan kaji selidik lebih lanjut dilakukan untuk mengenal pasti jurang dengan melakarkan peringkat ideal dan membandingkannya dengan keadaan semasa.

Apabila jurang tersebut dapat dikenal pasti, lebih mudah untuk PKS membuat keputusan untuk tindakan seterusnya (program intervensi) dan menumpukan sumber dengan melaksanakan dan menjalankan program yang sesuai bagi mencapai keputusan yang diingini.

Bidang tumpuan 

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, MyFuture bertumpu pada beberapa fungsi dan proses SM dalam sesebuah organisasi. Terdapat 11 fungsi modal insan tertentu yang boleh dinilai dengan MyFuture, iaitu:

  • Pengambilan pekerja
  • Perancangan tenaga manusia
  • Pengurusan prestasi
  • Pampasan dan faedah
  • Cadangan penilaian pekerja
  • Pengantarabangsaan
  • Pengurusan bakat dan perancangan penggantian
  • Pengurusan SM
  • Latihan dan pembangunan
  • Budaya organisasi dan nilai teras
  • Penglibatan dan komunikasi antara pekerja

Kesemua fungsi ini dipilih secara khusus kerana mudah untuk ditanda aras dengan amalan terbaik yang setara di negara lain.

“Kami mencadangkan program latihan yang sesuai, bergantung pada tahap kematangan organisasi,  Sebagai contoh, jika organisasi berada pada Tahap 1 atau Tahap 2 skala kematangan, kami mengusulkan program latihan fungsian. Jika berada pada Tahap 3 atau Tahap 4, maka kami mempunyai latihan strategik untuk pengurusan tertinggi,” kata Ghaz.

Beliau menambah bahawa kebanyakan PKS yang berdaftar dengan profil MyFuture berada antara Tahap 2 dan 3, serta menjalani program latihan bertindih, yang merangkumi bahagian fungsian dan strategik, yang disarankan kepada mereka.

“Kami tidak menetapkan had masa atau memaksa syarikat untuk menyertai program latihan. Hal ini bergantung pada syarikat dan keinginan mereka untuk berkembang maju.

“Kami mula menawarkan program latihan strategik kerana kami melihat banyak syarikat yang mampu berkembang,” kata Ghaz.

Program latihan inovatif 

PSMB mempunyai pelbagai kursus dan program yang ditawarkanke pada syarikat yang turut serta, dan semua ini dijalankan oleh penyedia latihan terpilih. Beberapa program latihan yang ada termasuk program fungsian seperti pengurusan kepimpinan dan prestasi, sistem perakaunan kewangan, pengurusan perhubungan pelanggan, pengurusan perakaunan untuk ketua pegawai eksekutif  dan pemasaran antarabangsa.

Pemimpin perniagaan bagi beberapa syarikat dihantar untuk menjalani kursus latihan di luar negara dan semua perbelanjaan ditanggung oleh PSMB.

“Hal ini kerana kami mempunyai perikatan dengan institusi di luar negara yang mempunyai kepakaran yang bersesuaian. Program latihan di luar negara juga memberi banyak pendedahan kepada peserta kerana mereka memperoleh pengalaman melalui lawatan lapangan dan manfaat rangkaian perniagaan,” tambah Ghaz.

Pengurus kanan Tahap 3 dan Tahap 4 yang terpilih turut diberi akses kepada Program Penerbitan Perniagaan Harvard (Harvard Business Publishing Programme) supaya mereka dapat menduduki modul dalam talian mengikut rentak sendiri untuk mengembangkan pengetahuan dan kepakaran  perniagaan, terutamanya untuk kakitangan pengurusan peringkat pertengahan atau atasan.

“Program ini bukannya murah dan menelan belanja mencecah AS$5000 bagi setiap lesen tetapi oleh sebab PSMB membeli lesen pukal, PKS terpilih mampu mendapat akses secara percuma,” kata Ghaz. Beliau menambah bahawa terdapat 40 modul dalam program tersebut, yang mengandungi pelbagai topik perniagaan.

Setakat ini, lebih 200 syarikat memperoleh manfaat daripada Program ini.

Kurang kesedaran 

Walaupun mempunyai sokongan yang kuat, bukan semua PKS sedar akan kewujudan MyFuture.

“Mungkin mereka berfikir terdapat kos tersembunyi atau mereka perlu membayar untuk program ini tetapi saya memberi jaminan bahawa PSMB menanggung kesemua kos, dan jika syarikat perlu membayar untuk sesuatu, mereka akan mendapat bayaran balik yang setimpal.”

Ghaz menambah beberapa syarikat mungkin bimbang untuk mendedahkan data peribadi namun

semua maklumat dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi dan PSMB mempunyai polisi keselamatan ketat yang melindungi kerahsiaan maklumat supaya syarikat tidak perlu gusar akan kebocoran maklumat.

Setakat ini, 800 PKS yang menyertai program ini, kebanyakannya dari sektor perkhidmatan, namun MyFuture boleh menampung keperluan bagi lebih 1,000 perniagaan.

“Masih ada lagi ruang dan kami mengalu-alukan penyertaan semua PKS. Perkara yang perlu dilakukan adalah menghubungi kami, nyatakan minat dan kami akan memberi pautan kaji selidik untuk diisi,” kata Ghaz.

Menurutnya, majikan PKS yang turut serta mendapati program ini bermanfaat kerana mereka dapat melihat dengan jelas ruang untuk ditambahbaikkan. Program ini juga membantu mereka kekal fokus untuk merapatkan jurang kecekapan tenaga kerja yang ketara.

“Anda tidak akan melihat hasilnya dengan serta merta tetapi anda boleh mengukur hasilnya dengan memeriksa tahap produktiviti pekerja, pertambahan keuntungan, pertumbuhan eksport, dan banyak lagi apabila anda mengambil langkah yang perlu untuk menambah baik perniagaan,” katanya.

MyFuture 2.0

Seterusnya, PSMB kini dalam proses membangunkan MyFuture Diagnostic Tool, versi 2.0. Peningkatan sistem ini lebih berfokus pada inovasi dan produktiviti.

Dengan MyFuture 2.0, PKS yang telah menyertai program MyFuture sedia ada boleh memilih untuk menjawab borang kaji selidik yang boleh mengukur produktiviti dan daya inovasi perniagaan.

“MyFuture 1.0 membincangkan 11 spektrum SM yang merangkumi aspek produktiviti dan inovasi dari perspektif yang lebih luas manakala MyFuture 2.0 menghasilkan laporan yang khusus dengan kekuatan dan kelemahan (jurang) pekerja dari segi produktiviti dan inovasi,” tambah Ghaz.

MyFuture 2.0 dijangka dilancarkan oleh PSMB pada bulan Ogos 2017.

PSMB yakin bahawa alat diagnostik MyFuture dapat membantu merealisasikan visi yang termaktub dalam Pelan Induk PKS selain menarafkan perniagaan tempatan untuk menepati standard antarabangsa.

“Program sebegini mudah untuk diguna oleh organisasi lain. Niat kami adalah untuk melengkapkan modal insan negara dengan bakat dan kemahiran yang bertepatan untuk mempercepat pertumbuhan negara ini.”

“Geran dan insentif adalah terhad, maka apabila sesebuah organisasi memperoleh kemudahan ini, manfaat tersebut perlu digunakan dengan sebaiknya. Dengan ini, kita akan dapat membantu melengkapkan tenaga kerja anda dengan kemahiran yang bersesuaian,” kata Ghaz.

Selain menjadi pemangkin untuk perniagaan berkembang maju, MyFuture membantu PKS untuk memilih intervensi yang sesuai untuk perniagaan bagi memperoleh pulangan perniagaan berimpak tinggi.

Artikel berkaitan: 10 Skim Kewangan Dan 4 Inisiatif PSMB

Untuk menyertai MyFuture, PKS perlu menghantar maklumat seperti berikut:

  • MyCOID (nombor pendaftaran perniagaan)
  • Nama syarikat
  • Alamat e-mel pemilik perniagaan
  • Nombor telefor pemilik perniagaan
  • Bilangan pekerja

Bagi menyatakan minat atau turut serta dalam program MyFuture, pemohon dinasihatkan untuk menghantar maklumat syarikat seperti yang dinyatakan kepada PSMB melalui e-mel kepada

Nur Afiyas Daud
nurafiyas@hrdf.com.my
03-2096 4836

Muhammad Zulfadli Soid
mzulfadlisoid@hrdf.com.my
03-2096 4957

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik HRDF: Plugging The Holes In Your Business.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Sudut Pakar, Kewangan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Pekerja

Membuka Topeng Fleksibiliti: Betulkah Ia Nampak

Oleh Roxanne Calder. Fleksibiliti tempat kerja: Adakah semuanya kelihatan? Terokai kebenaran dan cabaran aliran pasca-pandemi ini. Temui perkara yang diperlukan untuk menjadikannya berfungsi.

Aug 13, 2023 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest