“Jika saya ada sejam untuk menyelesaikan masalah, saya akan menggunakan 55 minit memikirkannya dahulu dan selebihnya tentang cara menyelesaikannya.” — Albert Einstein
Bayangkan anda di bilik mesyuarat. Ketika itu masalah yang mencabar sedang dibentangkan. Setiap seorang yang hadir sudah pun minum kopi, minda cukup peka, dan bersedia untuk berfikir dalam-dalam.
Dalam senario seperti ini, selalunya terdapat dua respons daripada mereka yang hadir.
Sekumpulan yang berat mulut akan duduk diam membisu. Mungkin mereka perlu minum secawan lagi kopi hitam yang pekat! Dalam kalangan mereka, mungkin ada yang mempunyai idea tetapi kerana risau air muka akan jatuh jika idea mereka tidak tepat pada sasaran.
Kumpulan kedua adalah mereka yang beria-ia mengutarakan idea. Jika pelan A tidak kena pada tempat, ada 25 huruf lagi dalam senarai abjad. Jika huruf-huruf itu juga habis digunakan, ada sahaja abjad lain yang boleh digunakan!
Kepimpinan dalam zaman moden boleh menjadi mangsa kepada kejayaan sendiri. Saya (dan pemimpin yang lain) selalu memikirkan soalan ‘Apa itu kepimpinan?’ kerana kadang-kadang kami lalai berfikir bahawa kepimpinan bermakna memastikan sesuatu tugasan itu dilaksanakan.
Ini lebih kurang mirip pemikiran pasangan yang baru berkahwin, bahawa segala-galanya sudah selesai. Sebaliknya, pada saat itu barulah bermula segala-galanya. Jika tidak percaya, tanggunglah risikonya sendiri!
Apabila masalah timbul, para pemimpin inginkan penyelesaian dengan pantas. Sikap kesegeraan amat difahami dan diperlukan pada tahap tertentu. Tidak seperti pada zaman Greek kuno, ahli falsafah boleh mengambil masa memikirkan soalan-soalan sambil berjalan di agora, Dunia kini yang lebih kompetitif menuntut penyelesaian sepantas kilat.
Punca penderitaan penyelesaian pantas
“Kita sentiasa mengharapkan penyelesaian yang mudah: satu perubahan ringkas yang akan memadamkan masalah sepantas kilat. Tetapi tidak semua dalam kehidupan berlaku sedemikian.” — Atul Gawande
Mencari penyelesaian kepada permasalahan dengan cepat adalah pendekatan yang baik untuk menangani isu kecil yang timbul. Tetapi apabila kita menangani semua jenis cabaran dengan pendekatan yang sama, ia akan merumitkan suasana.
Sementara kita tidak boleh berfikir secara santai penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul, kita mungkin beralih ke ekstrem yang bertentangan dan tidak memberi pertimbangan wajar kepada isu-isu yang sukar.
Selalunya, pemimpin ingin menyuarakan kemahiran dan pengetahuan mereka; kakitangan yang beria-ia untuk menunjuk-nunjuk pula pantas memberi cadangan-cadangan; manakala mereka yang mengambil pendekatan diam seribu bahasa pula rela menyerahkan segalanya kepada kumpulan-kumpulan yang terdahulu. Tetapi ada sesuatu yang kekurangan di sini, yang dianggap sebagai bahagian teka-teki yang paling penting.
Apabila ada masalah yang timbul, kita selalu mendekatinya seolah-olah kita telah pun memikirkan penyelesaian yang terbaik. Jarang sekali kita mendekati masalah itu dengan minda orang yang mula belajar – yang mempunyai sifat ingin tahu yang membara-bara seperti anak kecil.
Sekali lagi saya nyatakan, tidak semua masalah memerlukan pendekatan sedemikian. Kadang-kadang penyelesaiannya sangat ketara, tetapi ada banyak teka-teki dalam kepimpinan dan juga perniagaan yang terus membuat kita tertanya-tanya. Jika tidak, tidak perlulah ada kuliah-kuliah, buku-buku dan blog-blog yang terus menerokai cabaran-cabaran yang kompleks.
Kata-kata ajaib
“Suatu masalah matematik hanya boleh diperbetulkan dengan mengenal pasti di mana kesalahan itu dan bermula semula di poin itu, bukan dengan menonong ke hadapan.” — C.S. Lewis
Bagi menangani masalah yang sukar, saya percaya terdapat tiga perkataan ajaib yang boleh meletakkan kita di posisi terbaik untuk mencari penyelesaian terbaik. Ahli matematik, ahli fizik, ahli biologi dan jurutera menggunakan perkataan-perkataan ini sebelum menyelesaikan sesuatu masalah. Tetapi kebanyakan daripada kita menganggapnya sebagai perkara yang sukar diungkapkan. Apakah tiga perkataan itu?
“Saya tidak tahu.”
Set minda serba tahu
Sekiranya kita bermula dari kedudukan “Saya tahu!”, ia akan menutup segala laluan pemeriksaan dan penerokaan dengan serta-merta. Berapa ramai daripada kita pernah mendengar masalah yang sukar ditangani dengan cara sedemikian? (Berapa ramai daripada kita pernah menangani masalah dengan cara sebegini?)
Selalunya, kita dapat melihat terjadinya pemikiran secara berkumpulan bermula dari kedudukan ini; ia selalunya dimulakan oleh ahli pasukan yang berpengaruh, atau seorang pengurus kanan.
Terma psikologi ini menerangkan keinginan untuk akur dengan kumpulan. Ini bermakna ahli kumpulan akan menerima dengan tangan terbuka cadangan yang diterima oleh majoriti atau yang dibentangkan oleh individu berpangkat kanan tanpa banyak soal.
Dalam banyak kes, ini boleh membawa kepada kemusnahan, seperti yang dialami oleh John F. Kennedy ketika berhadapan krisis negara. (Kennedy kemudian belajar daripada kesilapan yang dilakukan ketika membuat keputusan, suatu kemajuan yang tidak dikecapi semua pemimpin).
“Saya Tidak Tahu” – Minda orang yang baru mula belajar
Sebaliknya, jika anda bermula dengan “Saya tidak tahu”, ia membuka pelbagai kemungkinan kerana ada usaha yang dilakukan untuk mencakupi semua sudut dan perspektif.
Menangani cabaran yang sukar dengan minda orang yang baru mula belajar boleh membawa perbezaan yang ketara. Apabila dihambat dengan sesatu masalah, ambil kira implikasi, penyelesaian yang sebaik mungkin, serta kesan-kesannya. Ini akan lebih memungkinkan anda untuk mendapatkan penyelesaian efektif daripada menjadi seperti piñata yang memuntahkan penyelesaian pantas.
“Saya rasa ia agak menarik jika alat yang anda ada hanyalah tukul, dan menganggap semua yang lain seolah-olah sebatang paku.” – Abraham H. Maslow
Dengan mengambil langkah berbeza untuk menangani masalah, kita memberi diri kita kelebihan dengan mencipta asas yang kukuh bagi membina penyelesaian berpanjangan. Apabila kita terburu-buru untuk menyelesaikan isu-isu besar, kita memberi cadangan yang tidak konkrit, dan pada masa itulah kita mencipta situasi yang sama bagi masalah yang serupa untuk timbul pada masa hadapan.
Akhir kata
Tidak mudah bagi seseorang untuk mengatakan, “Saya tidak tahu”. Ini kerana gerak hati kita selalu menyatakan, menerangkan dan menghuraikan perkara pertama yang muncul di dalam minda kita. Tetapi mengikut ahli falsafah Greek kuno, perkara pertama yang menerjah masuk ke dalam pemikiran kita datang dalam bentuk yang paling mentah.
Untuk mendapat nilai daripada pemikiran kita, kita haruslah memupuk, memelihara dan memperhalusinya melalui pertimbangan dan tekaan. Ia bukanlah strategi yang baik jika kita mengeluarkan idea-idea dan berharap agar ada yang kena.
Lain kali jika anda dilanda dilema atau mempunyai cabaran yang sukar ditangani, cubalah pendekatan ini. Perhatikan jika minda anda tergesa-gesa mengeluarkan idea sebelum anda ada masa untuk meneliti masalah yang muncul di hadapan anda.
Lihatlah masalah itu dengan minda orang yang baru mula belajar, tanya soalan, ambil kira kemungkinan yang timbul setelah dipertimbangkan, dan perhatikan jika ada penyelesaian yang lebih baik berbanding jika kita terburu-buru untuk mencuba perkara pertama yang datang ke minda.
Roshan Thiran bertekad untuk membentuk setiap individu menjadi pemimpin yang pandai menyelesaikan masalah, dari poin “Saya tidak tahu”. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel, Facebook, LinkedIn atau Twitter. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik How ‘I Don’t Know’ Helps You Solve Your Toughest Problems