Jika Mahu Pergi Jauh, Buatlah Kerja Berpasukan

Apr 17, 2018 4 Minit
berpasukan
Baiklah Kerja Dengan Pasukan

Baiklah Kerja Dengan Pasukan

Tidak berapa lama yang lepas, saya menyaksikan sesuatu yang agak menakjubkan – pasukan bola sepak Barcelona yang ketinggalan empat gol bangkit semula, dan berjaya mendahului Paris SG 6-5 dalam Liga Juara Eropah.

Pasukan yang hebat sentiasa berupaya menjangkau lebih jauh dan menghasilkan pencapaian yang lebih besar daripada jumlah bahagiannya.

Namun demikian, dalam perniagaan, kita jarang melihat fokus berkelanjutan pada usaha membina pasukan berprestasi tinggi. Seringkali, individual yang mendapat perhatian manakala prestasi berpasukan kurang dipentingkan.

Fokus perniagaan

Apabila melihat pada aspek perniagaan, kita sering dimomokkan dengan ungkapan seperti ‘tuntutan berdaya saing’, ‘penjenamaan peribadi’ serta ‘perkembangan dan pembangunan’, sebagai peringatan untuk ‘merancakkan strategi permainan kita’ dan ‘menonjolkan diri’ sekiranya kita berhasrat untuk berjaya.

Budaya jatuh-menjatuhkan sudah sedia ada sejak berdekad-dekad yang lepas sebagai  strategi hakiki untuk bergerak lebih maju dalam organisasi. Dalam dunia yang serba kekurangan, kita diberitahu, lelaki perempuan mesti sama pandai cari makan demi keselesaan diri; tiada sesiapa yang pedulikan mereka yang ketinggalan. 

Masih tersemat dalam ingatan, sewaktu saya mula-mula kerja di General Electric. Ketika tengah mengikuti sesi orientasi, seorang pemimpin kanan menasihatkan saya supaya lebih pandai menonjol diri daripada orang lain.

Menurutnya, satu-satunya cara adalah dengan bekerja keras, berkomunikasi dan melaksanakan tugas tanpa lelah. Dia mengasak saya untuk mendesak diri, menonjolkan diri dan mencapai kejayaan. Hal ini cukup berkesan selama beberapa tahun.

Namun, buat masa ini, saya kurang pasti sama ada pendekatan sebegini masih lagi berhasil. Tatkala dunia menjadi semakin kecil dan lebih terhubung, kita semakin saling bergantung dan berhubung antara satu sama lain. Kerja berpasukan kian diutamakan.

Kita bukannya lagi perlu berhempas-pulas untuk berjaya sebelum orang lain mengatasi kita terlebih dahulu. Kejayaan pada hari ini menitikberatkan kerjasama dan rangkaian, jalinan perhubungan dan pembinaan legasi. Sekurang-kurangnya inilah yang saya pelajari sedikit demi sedikit dalam dunia yang serba mencabar ini!

Adakah budaya tempat kerja anda sesuai untuk kerja berpasukan?

Apabila meneliti budaya sesebuah syarikat, anda tidak memerlukan kepakaran ahli psikologi organisasi untuk mengenal pasti budaya yang toksik. Budaya seperti ini diselubungi unsur ketakutan, ketidakpastian dan kepentingan diri.

Dalam budaya sebegini, kejayaan dikaitkan dengan kemampuan untuk menjadi paling rapat dengan bos, mencapai sesuatu melebihi rakan sekerja, beraksi mendapatkan apa jua yang diinginkan untuk diri sendiri. 

“Sesuatu budaya menjadi kuat apabila ahlinya bekerjasama antara satu sama lain dan lesu apabila ahlinya berlawan sesama sendiri demi kepentingan diri.”

Demikian yang dikatakan Simon Sinek. Sesuatu budaya menjadi lemah kerana ahli dalam organisasi tersebut berhenti bekerja demi kepentingan satu sama lain, sebaliknya untuk kepentingan diri sendiri. Ini bukanlah bermaksud kita tidak boleh mendahulukan diri demi kepentingan, pembangunan dan perkembangan diri. Namun, hal ini menjadi bermasalah apabila kita mula berfokus pada kemajuan, matlamat dan pencapaian diri semata-mata.

Berkaitan: Masalah Biasa Yang Dihadapi Organisasi Dan Cara Mengatasinya

 

Sama juga di Leaderonomics. Saya selalu kagum dengan beberapa pekerja yang pada zahirnya nampak hebat bekerja dalam sesebuah pasukan dan ikhlas demi mencapai visi melahirkan transformasi bangsa.

Namun, apabila musibah datang menduga (siapa kata mudah hendak mencapai misi!), golongan ini mendahulukan kepentingan diri, sekalipun hal ini mengundang bahaya kepada rakan sepasukan dan rakan kerja mereka sendiri.

Apabila mereka ini terus-menerus mendahulukan kepentingan diri, lama-kelamaan orang lain dapat melihat perangai sebenar mereka. Dan manusia sebegini melemahkan budaya syarikat kerana mereka memudaratkan orang lain, memecahbelahkan warga kerja, dan menyakitkan hati seberapa ramai orang dalam usaha mereka menonjolkan diri. Mereka juga sanggup meyakinkan orang lain untuk mengikut rentak mereka, yang hanya menyebar luas dan menambahkan keadaaan bertoksik dalam syarikat.

Manusia yang mementingkan diri sukar untuk berjaya pada akhirnya. Sekalipun mereka berjaya, kejayaan itu akan menelan sebegitu banyak tenaga dan sumber ataupun tidak akan bertahan lama.

Dalam bukunya bertajuk Give and Take (Beri dan Ambil), Adam Grant membincangkan hal ini dengan lebih lanjut. Ujarnya,

“Jika kita membina rangkaian dengan niat untuk mendapatkan sesuatu semata-mata, kita tidak akan berjaya. Kita tidak beroleh manfaat daripada rangkaian ini. Manfaat ini hanya dapat dikecapi daripada sumber dan tenaga yang kita laburkan bagi mewujudkan kegiatan dan perhubungan yang bermakna.”

Martin Luther King Jr. pernah mengungkapkan hal yang sama:

“Setiap orang perlu membuat keputusan, sama ada untuk meneruskan perjalanan dalam cahaya altruisme kreatif atau sesat dalam kegelapan dengan sikap pentingkan diri yang memudaratkan.” 

Jika lawan bagi menjaga kepentingan diri adalah menjaga kepentingan orang lain, adakah ini bermaksud rezeki kita akan tersekat? Tidak semestinya. Malah, yang sebaliknya akan berlaku.

Adakah anda seronok memberi?

Fikirkan sesiapa sahaja yang pernah berinteraksi dengan anda dalam perniagaan, mahupun dalam apa-apa aspek kehidupan. Golongan yang sentiasa meminta-minta tanpa memberi, golongan yang cuba mempengaruhi atau menanamkan idea negatif pada anda, serta rakan sekerja yang tidak tulus dan berpura-pura mahu menolong. Apakah tanggapan anda terhadap mereka?

Sebaliknya, kita semua arif akan golongan yang tidak cukup tangan membantu orang lain. Mereka sentiasa berbesar hati meluangkan masa, pengetahuan dan sumber bagi memberi sokongan, serta tidak mengharapkan balasan. Mereka merupakan insan yang ikhlas, dipercayai, dan boleh diharapkan. Inilah manusia yang kita rasa senang untuk membantu dalam apa-apa cara sekalipun. Malah, mereka dikelilingi oleh manusia yang sedia menghulurkan bantuan.

Berkaitan: Pemimpin Adalah Pemberi

 

Seperti yang dinyatakan oleh Adam Grant, “Inilah yang begitu ajaib mengenai dermawan. Mereka berjaya sampai ke puncak tanpa menjatuhkan orang lain, mereka mencari jalan untuk mengembangkan rezeki supaya manfaat itu dapat dinikmati dengan orang di sekeliling. Hakikatnya, kejayaan berjumlah sifar dalam golongan penerima, namun bagi golongan pemberi, hakikatnya jumlah hasil keseluruhan lebih besar daripada hasil semua orang.”

Dengan bekerjasama, kita mencapai lebih lagi. Jika menjadi seseorang yang mementingkan diri atau sebagai penerima boleh mendatangkan hasil dalam sekelip mata, namun ini bukanlah strategi yang berkesan dalam jangka masa yang panjang.

Lambat laun, kita semua memerlukan bantuan dan sokongan bagi mencapai matlamat yang diidamkan. Seperti yang disarankan dalam kajian, orang yang suka memberi tanpa mengharapkan balasan merupakan insan yang lebih mudah menikmati kejayaan, memperoleh perhubungan yang erat serta hidup dalam kebahagiaan dan kecukupan.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggers, klik If You Want To Go Far, Go Together. Here’s Why Teamwork Matters!

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Keseimbangan kerja dan kehidupan

Mengutamakan Kesejahteraan Pekerja untuk Pengalaman Pekerja yang Positif

Oleh Lee Nallalingham. Kesejahteraan pekerja adalah penting untuk mengoptimumkan output mereka, baca lebih lanjut untuk mengetahui cara menyediakan persekitaran yang menyokong untuk keseimbangan kerja-kehidupan mereka.

Jul 16, 2023 3 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Pembelajaran Efektif Melalui Pengalaman

Cuma 10% daripada pembelajaran efektif diperolehi daripada latihan dalam kelas, 70% adalah berasaskan pengalaman, dan 20% adalah melalui pemerhatian.

Apr 13, 2018 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest