#RakyatMalaysiaBoleh Demi Kemakmuran Negara Tercinta

May 23, 2018 4 Minit
Rakyat Malaysia, Malaysia Boleh

Pada Rabu, 9 Mei 2018, kita sebagai rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi. Kita telah memilih untuk menjadikan negara kita negara yang lebih adil dan saksama, dengan lebih banyak peluang bagi semua.

Sementara saya menyaksikan keputusan bersejarah diumumkan satu persatu, saya terfikir tentang harapan baharu, rasa kemungkinan, dan keinginan untuk masa depan yang kita impikan bersama  sebagai satu bangsa.

Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah kemenangan sebenar bagi rakyat jelata yang telah memilih untuk mencetuskan perubahan yang positif dalam hidup kita dan anak-anak kita. Kita telah sama-sama berusaha membangkitkan demokrasi dan menyemai benih-benih bagi masa depan negara yang lebih cerah.

Bangga sebagai rakyat Malaysia

Seperti yang dijangka, pelbagai emosi terluah ketika kita melangkah ke era baharu dan meninggalkan yang lama. Ada yang marah, ada yang lega, ada yang amat gembira dan ramai juga yang kurang pasti apakah erti perubahan ini kepada masa depan negara.

Akan tetapi, dari pemerhatian saya, yang paling ketara selepas keputusan pilihan raya diumumkan adalah bahawa kini, lebih dari dahulu, semua orang cukup bangga untuk dikenali sebagai rakyat Malaysia.

Lebih penting lagi, kini kita menganggap sesama sendiri sebagai rakyat Malaysia yang memiliki nilai-nilai yang sama dan berusaha bersama ke arah masa depan yang cerah lagi hebat yang sememangnya milik kita.

Di ambang baharu

Ketika ini, kita berdiri di ambang baharu. Walaupun kita ada kerajaan baharu, yang pastinya ialah kehidupan rakyat tidak akan berubah dan bertambah baik dalam sekelip mata.

Memetik kata-kata mendiang John F. Kennedy, kita sebagai rakyat sememangnya mempunyai kewajipan yang melangkaui kotak undi; satu tugas yang menyeru setiap kita untuk melakukan apa yang kita mampu untuk menjadikan negara kita lebih gemilang berbanding sekarang.

Negara kita kaya dengan bakat dan potensi. Saya percaya dengan sepenuh hati bahawa tiada apa pun yang kita tidak mampu lakuka untuk memperkasakan sesama sendiri, memperkukuhkan komuniti kita, serta bersama mengubah Malaysia dengan  menyerlahkan ciri-ciri terbaik kita dan segala yang dapat kita capai bersama.

Sememangya tidak wujud negara mahupun pemimpin yang sempurna, walau dalam kerajaan atau perniagaan. Kita patut faham jika ada kalangan mereka yang ingin memberi perhatian terhadap kesilapan masa dahulu, dan siapa yang patut dipersalahkan. Kita berhak merasa apa sekalipun terhadap orang lain dan situasi tertentu.

Berkaitan: Renungan Tentang PRU Ke-14 Malaysia

Sumbangan rakyat

Akan tetapi, bagi saya, adalah lebih baik jika saya menumpukan tenaga terhadap sumbangan yang boleh saya berikan.

Berikutan PRU-14 yang bersejarah ini, saya terinspirasi (saya yakin ramai rakyat Malaysia yang juga merasa begitu) untuk menumpukan usaha membantu sesiapa yang memerlukan dengan apa-apa cara yang saya mampu.

Sesungguhnya negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh untuk memastikan ia terus berkembang, tetapi ini hanya dapat dicapai jika kita semua menyumbang kekuatan dan bakat kita untuk membina komuniti dan masyarakat di sekeliling kita.

#RakyatMalaysiaBoleh

Dengan ini, saya ingin menghulurkan cabaran kepada pembaca-pembaca sekalian. Cabaran ini bolehlah kita namakan cabaran #RakyatMalaysiaBoleh. Ia sangat mudah.

Untuk menghormati semua orang yang telah menjadikan negara ini hebat dan memberikan kita begitu banyak (misalnya, ibu bapa, guru, pekerja kesihatan, pemimpin), saya mengajak anda semua untuk bertanya dan bertindak atas soalan berikut yang saya bertanya pada diri pada hari selepas PRU-14:
 

Apa yang boleh saya lakukan pada hari-hari akan datang untuk menyumbang balik kepada komuniti saya?

Contohnya, anda boleh memberi senyuman apabila bertemu dengan orang yang tidak dikenali, menjadi sukarelawan dengan badan amal tempatan, menderma darah, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, atau membantu rakan sekerja dengan beban kerja menjelang tarikh penamat yang mencabar. Tidak ada batasan terhadap apa yang boleh anda lakukan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Apa sahaja yang anda pilih, tidak ada hadiah untuk dimenangi. Anda juga tidak bertanggungjawab kepada sesiapa pun sekiranya anda ingin menyertai cabaran ini.

Mungkin ada juga dalam kalangan anda yang merasa nikmat untuk memberi lebih banyak lagi dan bercadang untuk melanjutkan cabaran ini buat berminggu-minggu dan berbulan-bulan akan datang. Ini terpulang kepada anda selagi matlamat cabaran ini dicapai — meneruskan semangat kebersamaan dan komuniti yang telah diperkuatkan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Sama-sama berganding bahu

Tidak kira mana-mana kerajaan yang memerintah, kita semua mempunyai kuasa untuk membantu mengubah Malaysia. Walaupun ada yang mungkin merasa tidak peduli terhadap politik dan ahli politik, kita tidak sepatutnya tidak peduli terhadap satu sama lain.

Apabila kita berusaha untuk membantu, menjalin hubungan dan memperkasakan satu sama lain, kita secara langsung memberi kesan positif dalam hidup seseorang. Pada saya, itulah erti sebenar bangsa Malaysia — masyarakat yang bergabung secara bersatu padu, di mana kita sentiasa bersedia untuk menghulurkan tangan bantuan apabila ia diperlukan. 

Jom, kita usahakan bersama

Dengan itu, sambil kita sebagai rakyat Malaysia melangkah bersama ke babak baharu dalam sejarah negara kita, saya berharap anda akan bersama saya menyertai cabaran #RakyatMalaysiaBoleh ini.

Kita harus bersama memikul beban untuk membentuk negara yang kita impikan. Janganlah kita hanya mengharapkan kerajaan untuk membuat perubahan.

Setiap rakyat Malaysia mempunyai kepentingan dalam masa depan yang kita bina bersama. Masa depan yang cerah bermula dengan berkhidmat kepada satu sama lain dengan sedaya upaya.

Marilah kita berusaha untuk memperkasakan rakyat Malaysia untuk melihat dan mempercayai potensi masing-masing demi merealisasikan impian kita bersama.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik #MalaysiansBoleh: Ask not what your country can do for you…Sumber foto utama: thestar.com.my

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan Digital

Kepimpinan Digital ialah Kepimpinan Manusia

Oleh Ian Chew. Apakah tiga perkara hebat yang penting untuk kepimpinan jarak jauh? Baca pandangan oleh penulis di sini.

Feb 12, 2023 5 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Biar Mereka Gagal

Setiap pemimpin yang hebat pasti pernah gagal berulang kali dalam kembara kehidupannya. Belajar daripada setiap kegagalan. Jangan ulanginya. Jadikan kegagalan-kegagalan itu sebagai batu asas kejayaan masa hadapan. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Tidak Mengapa, Biar Mereka Gagal.

Jul 06, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest