Suri Teladan Penting Untuk Memenuhi Potensi Kepimpinan

Oleh Roshan Thiran|09-05-2017 | 1 Minit

Setiap malam anak lelaki saya akan mendesak saya untuk membaca sebuah cerita untuknya sebelum dia tidur. Baru-baru ini, saya membacakannya cerita Ugly Duckling oleh Hans Christian Anderson.

Ia sebuah cerita yang simpel yang bermula apabila sebiji telur angsa secara tidak sengaja ditinggalkan di dalam sarang seekor itik. Anak angsa itu menghabiskan zaman pembentukannya dikelilingi oleh itik-itik sehingga ia pun berkelakuan dan bertindak seperti seekor itik.

Suri teladan itik hodoh ini ialah itik-itik lain. Ia cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan diri dan berkelakuan seperti mereka. Tetapi itik-itik lain melihatnya sebagai si besar berleher panjang yang gagal.

Dan cerita itu berterusan tentang bagaimana sedihnya kehidupan itik hodoh itu, dan bagaimana ia tidak dapat memenuhi potensinya untuk menjadi angsa putih yang cantik.

Tetapi nasibnya berubah apabila pada suatu hari ia ternampak sekumpulan angsa terbang tinggi di atasnya dan wawasan hidupnya berubah secara dramatik.

Ia memerhati suri teladannya yang baharu (angsa-angsa putih) dan bercakap dengan mereka. Tidak lama kemudian, ia menyedari bahawa ia mempunyai kebolehan untuk terbang. Dan cerita itu berakhir dengan itik hodoh berubah menjadi angsa yang cantik di persekitaran baharunya dengan angsa-angsa yang lain.

Keselarian cerita dengan dunia bisnis

Semasa saya membaca cerita ini, saya melihat keselariannya dalam banyak bisnis dan organisasi yang mengambil gaji bakat-bakat yang berpotensi tinggi. Tetapi masalahnya adalah ramai di kalangan bakat-bakat berpotensi tinggi ini akhirnya tidak dapat memenuhi potensi mereka sebagai ‘angsa-angsa yang cantik’.

Dan organisasi terus mengambil lebih ramai pekerja berpotensi yang lebih tinggi dengan harapan ia akan mengubah organisasi mereka. Tetapi transfomasi yang diingini tidak pernah menjadi kenyataan. Mengapa?

Biasanya, ia bukan disebabkan oleh kekurangan peluang pengembangan. Sebab sebenar adalah kebanyakan daripada mereka tidak pernah benar-benar menyaksikan kepimpinan yang hebat. Sama seperti itik hodoh itu, mereka hanya mempunyai ‘itik-itik’ sebagai suri teladan mereka. Mereka meniru cara kepimpinan ala itik sehingga mereka tidak menyedari bahawa mereka boleh terbang.

Bill Gates

Bill Gates pernah bercakap tentang ‘Bob Gruen, Dick Russell dan seorang lelaki yang bernama Weir’ yang menjadi suri teladannya dan membuatkannya berasa teruja tentang komputer semasa beliau berada di bangku sekolah.

Beliau tidak mungkin mendapat inspirasi untuk menghabiskan masa menulis program komputer yang ‘membosankan’ kalau bukan suri-suri teladan ini.

Suri-suri teladan yang sebenar adalah mereka yang mempunyai kualiti-kualiti yang ingin kita miliki. Mereka juga adalah individu-individu yang mengimpakkan kehidupan kita hinggakan menjadikan kita mahu menjadi lebih baik. 

Setiap pemimpin yang hebat mempunyai seorang suri teladan yang membantunya membayangkan diri pada masa hadapan dan menyedari bahawa impian serta matlamatnya boleh dipenuhi.

Helen Keller

Ketika berumur 19 bulan, Helen Keller mengalami ‘kesesakan perut dan otak’ yang menyebabkannya menjadi pekak dan buta. Walau bagaimanapun, beliau mendapat inspirasi daripada suri teladannya, Anne Sullivan, yang mencabarnya untuk mencapai kehebatan. Keller seterusnya pula menjadi inspirasi kepada berjuta-juta orang, termasuk diri saya.  

Tiada sesiapa pun yang menyangsi bahawa suri teladan yang baik sangat penting bagi kanak-kanak — meningkatkan keyakinan diri, membantu membina akhlak dan nilai-nilai positif, mengajar untuk menetapkan dan mencapai matlamat.

Para pekerja anda juga memerlukan suri-suri teladan untuk membantu mereka mengembangkan kerjaya dan memenuhi potensi mereka. Sama seperti adik-beradik yang lebih muda meniru kakak dan abang mereka, para pekerja juga meniru bos dan pengurus mereka.

Nelson Mandela

Nelson Mandela memberikan penghargaan kepada bapa angkatnya, Ketua Jongintaba, sebagai sumber pengajaran kepimpinannya. Mandela berpeluang memerhati bagaimana bapa angkatnya berinteraksi dengan puaknya.

Jongintaba, seorang ketua puak, sering mengadakan pertemuan-pertemuan di mana semua orang akan berkumpul dalam satu bulatan untuk menyatakan pendapat mereka. Beliau akan menunggu sehingga semua orang selesai bercakap sebelum menyertai perbualan itu

Mandela kemudiannya menggunakan teknik bapa angkatnya apabila mengadakan perbincangan-perbincangan. Mandela sentiasa mendengar terlebih dahulu sebelum beliau bercakap.

Berkaitan: Pengaruh Suri Teladan: Menilai Personaliti Yang Berbeza

Bertindak lebih daripada bercakap

Pepatah yang berbunyi ‘epal tidak jatuh jauh dari pohonnya’ juga dapat digunakan bagi syarikat anda. Robert Galvin, salah seorang pemimpin terawal di Motorola, menjadi seseorang yang ‘ditiru’ pekerja-pekerja di Motorola.

Sebagai seorang suri teladan yang dicontohi, kepimpinannya yang ‘ditiru’ membawa banyak kejayaan kepada Motorola pada tahun 80-an.

Lebih daripada 75 peratus pekerja muda yang ditinjau selidik berkata bahawa suri teladan mereka adalah orang yang mereka kenali – pengurus dan atasan langsung, ahli keluarga, rakan-rakan dan pemimpin masyarakat.

Tidak kira betapa hebatnya Richard Branson atau Jack Welch, selalunya andalah yang memberi pengaruh yang lebih besar terhadap pertumbuhan dan pembangunan pekerja anda melebihi apa yang dapat dilakukan oleh Branson atau Welch.

Orang belajar lebih banyak daripada tindakan kita berbanding apa yang kita katakan.

Memimpin melalui contoh

Beberapa tahun yang lalu, sebuah organisasi besar meminta bantuan untuk memastikan para pekerja mereka memberikan tumpuan terhadap program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Ketua pegawai eksekutif organisasi ini menggunakan setiap peluang yang ada untuk berulang kali menekankan betapa pentingnya mereka melibatkan diri dalam CSR. Namun, sukar sekali untuk mendapatkan para pekerja menyertai acara CSR.

Saya bertanya kepada pemimpin CSR: “Adakah ketua pegawai eksekutif kamu sendiri menghadiri acara CSR?”

Dia cuba bercerita panjang tentang betapa sibuknya ketua pegawai eksekutif itu. Saya segera mengenal pasti punca isu yang dihadapi mereka — pekerja mencontohi tingkah laku pemimpin, bukan apa yang dikatakannya.

Mengotakan apa yang dikatakan

Suri teladan bukan sahaja ‘berkata apa yang dikatakan’ tetapi juga ‘melakukan apa yang dikatakan’. Pada tahun 1997, tiga orang pekerja Starbucks terkorban dalam kejadian rompakan. Ketua Pegawai Eksekutif Howard Schultz bergegas ke tempat kejadian dan meluangkan minggu itu untuk bersama-sama dengan pekerja-pekerja serta ahli keluarga mereka yang terbabit.

Belas kasihan Schultz dan kepimpinannya yang luar biasa membantu meredakan masyarakat di sana. Howard telah banyak kali berkata Starbucks adalah sebuah syarikat masyarakat dan tindakannya ini telah membuktikan kesahihan apa yang dikatakannya. Para pemimpin Starbucks di seluruh dunia pun mula mencontohinya dan kepercayaannya bahawa tenaga kerja amat bernilai di Starbucks.

Menjadi contoh

Suri-suri teladan adalah orang yang ditiru, dicontohi dan dicari ketika orang memerlukan bimbingan. Bagaimana Costco berkembang menjadi bisnis runcit yang berjaya?

Ini adalah kerana setiap orang dalam organisasi itu meneladani Ketua Pegawai Eksekutif Jim Sinegal dan sikap rendah dirinya. Semua orang merujuk kepadanya sebagai ‘Jim’. Beliau menjawab telefonnya sendiri, dan mempunyai sebuah pejabat ‘terbuka’ (tiada dinding).  

Beliau menetapkan gaji yang sederhana untuk diri. Kontrak kerjanya hanya satu muka surat termasuklah satu bahagian yang menggariskan bagaimana beliau boleh diberhentikan perkhidmatan sekiranya beliau tidak melakukan kerja yang patut dilakukannya.

Kadar pusingan ganti pekerja Costco adalah lima kali lebih rendah daripada Walmart. Sikap dan sifat Sinegal sangat disayangi dan ditiru oleh para pekerja Costco.

Mengamalkan sikap menggalakkan

Suri teladan membuat perbezaan sama ada anda mirip itik atau angsa. Bintang NBA Yao Ming mungkin sahaja berakhir sebagai ‘itik’ yang gagal jika bukan kerana seorang suri teladan.

Yao Ming menghadapi banyak kesukaran ketika dia mula-mula bergelut di NBA dengan ramai ‘pakar’ yang meramalkan bahawa dia akan gagal, termasuk ejekan-ejekan daripada Shaquille O’Neil dan Sir Charles Barkley. Pihak media juga berfikir bahawa Yao Ming merupakan satu kelucuan besar. Bagaimana Yao memberi respons kepada semua ini?

Yao mempunyai seorang suri teladan yang memiliki sikap tidak pernah putus asa, yang percaya pada kerja keras. Yao Ming memerhatikan ketabahan suri teladannya dan secara senyap-senyap melalui kerja keras dan persembahannya yang hebat, dia berjaya membisukan pengkritik-pengkritiknya. Dia tidak terasa kesan kritikan pengkritiknya.

Yao, yang berumur 22 tahun ketika itu, menunjukkan sikap luar biasa dalam tempoh yang sukar ini. Dia sendiri sememangnya suri teladan yang sebenar.

Apabila suri teladan menunjukkan keyakinan yang kukuh terhadap sesuatu, dia memberi inspirasi kepada orang lain untuk berusaha ke arah wawasan pemimpin tersebut, walaupun dalam situasi yang malap.

Apabila nasib Chrysler merundum ke tahap yang paling rendah pada tahun 1980-an, Lee Iacocca memotong gajinya kepada $1 setahun untuk membuktikan keyakinannya bahawa keadaan akan menjadi lebih baik. Dan ia memang berlaku. Di bawah kepimpinannya, syarikat itu bangkit dan berkembang semula.

Mereka yang kita kenali

Para selebriti dan ahli politik biasanya merupakan suri teladan yang kurang baik kerana kita tidak dapat memerhati kehidupan peribadi mereka dari dekat. Dan mereka biasanya mengecewakan kita pada suatu masa.

Tiger Woods dan Wayne Rooney adalah suri teladan kepada ramai orang, namun kecurangan mereka telah menyebabkan kekecewaan yang  besar kepada ramai pengikut mereka.

Secara umumnya, suri teladan yang terbaik dan yang paling lama bertahan adalah orang yang anda kenali – orang yang anda bertemu dalam cara yang sebenar, seperti pengurus anda.  Anda juga adalah orang yang paling penting dalam kehidupan orang-orang yang anda pimpin.

Jadi, persoalan yang penting sekarang adalah bagaimana kita boleh menjadi suri teladan yang lebih baik kepada para pekerja dan pengikut kita?

Langkah menjadi suri teladan yang berkesan

Berikut adalah lima langkah mudah yang boleh anda ambil untuk memberi inspirasi kepada anak-anak itik yang hodoh untuk menjadi angsa-angsa yang hebat: 

  • Berhati-hati dengan tindakan anda. Sedari bahawa ada orang yang memerhatikan anda sepanjang masa.
  • Kenal pasti tabiat-tabiat dan tingkah laku buruk anda.  Ketahui titik-titik buta anda.
  • Apabila anda sudah mengetahui tabiat buruk dan masalah anda, perbaiki mereka. Minta maaf dan akui kesilapan anda! Tidak ada orang yang sempurna. Apabila anda membuat pilihan yang buruk, biarkan mereka yang melihat mengetahui anda telah membuat kesilapan supaya mereka dapat belajar bagaimana anda merancang untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.
  • Tunjukkan kualiti-kualiti baik anda. Tunjukkan keyakinan yang ada dalam diri anda. Berusahalah untuk memberi bantuan sekiranya anda berupaya berbuat demikian biarpun ia menyulitkan anda.
  • Jadilah inspirasi kepada orang lain. Lakukan apa yang anda dapat lakukan dengan baik. Gunakan hidup anda untuk memberi inspirasi besar kepada orang lain.

Akhir kata

Sebagai seorang pemimpin, ramai orang memandang tinggi dan mengikuti anda. Mokhtar Dahari, yang merupakan jurulatih saya ketika saya bermain bola sepak di Methodist Boys School Kuala Lumpur, adalah  pengaruh besar dalam hidup saya. Beliau mengajar saya tentang merit kerja keras dan latihan.  

Saya meniru dan mengikuti bos pertama saya di General Electric, Mike Petrucelli, dalam banyak cara. Setiap daripada kita mendapat inspirasi daripada suri-suri teladan yang berbeza.

Kini giliran anda pula untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Jadi, pergi dan ubah anak itik yang hodoh menjadi angsa yang hebat.  Anda mungkin akan mengubah sebuah hidup!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Power of Right Modelling: ‘Duck’ or ‘Swan’

Sila Kongsi

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penebirtan mengonsikan Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.