Penghargaan: Rendah Kos, Tinggi Impak

Oct 25, 2017 3 Minit
bunga, taman bunga
Faedah-Faedah Penghargaan

Faedah-Faedah Penghargaan

Terdapat beberapa definisi penghargaan. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, penghargaan bermaksud ‘memberi pengiktirafan kepada seseorang terhadap sumbangan atau perkhidmatannya’.  

Dalam persekitaran kerja, semua orang berada dalam situasi yang sama dalam erti kata kita semua dibayar gaji untuk melakukan tugas dan tanggungjawab masing-masing. 

Perbezaannya adalah dalam BAGAIMANA kita membuat kerja kita dan menguruskan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Dalam hal ini, penghargaan memainkan peranan yang besar; ia mungkin juga bertindak sebagai pemangkin!

Menurut Gallup, memberi pengiktirafan kepada pekerja adalah usaha yang murah tetapi berimpak tinggi yang berupaya membantu meningkatkan prestasi organisasi. Tetapi ia kurang berlaku kerana kita terlalu sibuk dan sering gagal untuk melihat di luar batas kerja dalam tangan.

Penghargaan menyemarakkan semangat

Pernahkah pekerja atau rakan sekerja anda menerima penghargaan daripada anda? Ramai yang bekerja berjam-jam tanpa wang pampasan atau faedah lebihan, dan sering tanpa menerima sebarang ucapan terima kasih. Walaupun begitu, mereka tetap berusaha gigih kerana merasakan ia kewajiban mereka untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah serta membuat perbezaan positif dalam pekerjaan mereka.

Bayangkan betapa kuatnya dorongan kepada semangat mereka jika rakan-rakan dan bos mereka memberi tepukan di bahu dan berkata “Kami menghargai usaha anda”. Dalam situasi yang sesuai, bos juga boleh memberi ganjaran masa rehat tambahan kepada pekerja tersebut.

Oleh itu, marilah kita jangan kedekut dalam usaha menggalakkan seseorang yang lain, atau menjadi pemangkin dalam membawa rasa gembira dan puas hati kepada seseorang.

Artikel berkaitan: Berterima Kasih

 

Penghargaan meningkatkan motivasi 

Apabila kita menghargai rakan sekerja, ia akan mewujudkan persekitaran di mana semua orang mahu bekerja. Ini bakal membuat perbezaan positif dalam suasana syarikat dan dalam kalangan rakan kerja yang lain.

Penghargaan yang diberikan pada dasarnya memberitahu seseorang itu bahawa “Saya tahu anda bekerja dengan kuat. Saya menghargai sumbangan anda. Anda amat penting kepada organisasi ini.” Biarpun yang lain tidak menerima penghargaan pada saat tersebut, budaya memberi penghargaan akan menjadi pendorong motivasi kepada tenaga kerja yang lain. Ia akan menyemarakkan semangat mereka untuk berusaha dengan lebih tekun demi kecemerlangan diri dan organisasi.

Kalangan yang berada dalam kedudukan pengurusan atau kepimpinan perlu menyedari betapa besar kesan positifnya perkataan atau perbuatan berunsurkan penghargaan yang diucapkan oleh mereka kepada tenaga kerja.

“Anda tidak membina perniagaan; yang anda bina adalah orang, dan oranglah yang membina perniagaan.” – Zig ZIglar

Tenaga kerja pada umumnya akan merasa tersangat gembira dan bersyukur apabila pengurus atau pemimpin menghargai mereka, biarpun sekadar berbelanja makan. Bukan kos belanja yang dijadi ukuran tetapi keikhlasan perlakuan yang menyentuh hati. Tindakan sepert ini mempunyai manfaat jangka panjang – ketika makan bersama dan berbicara tentang perkara yang tiada kaitan dengan kerja, mereka akan saling mengenali satu sama lain dengan lebih baik. Kemesraan yang terjalin bakal membolehkan mereka bekerja dengan lebih erat lagi.

Menurut kajian Gallup, sekitar 50% pekerja meninggalkan organisasi mereka kerana tidak secocok dengan bos. Baik sekali jika kalangan yang dalam kedudukan kepimpinan mengambil berat hal ini – jangan jadi punca kadar perletakan jawatan yang tinggi dalam organisasi anda!

Penghargaan boleh diberi oleh sesiapa jua 

Dalam persekitaran kerja, penghargaan tidak semestinya hanya daripada pihak atasan kepada tenaga pekerja; ia boleh juga diberikan oleh tenaga pekerja kepada bos, dan antara tenaga pekerja sesama sendiri.

Apabila bos melakukan sesuatu yang baik untuk kebajikan tenaga pekerja, mereka patutlah mengucapkan terima kasih kepadanya kerana prihatin terhadap hal ehwal mereka. Ya, bos sememangnya bertanggungjawab menjaga kesejahteraan pekerja tetapi itu adalah pilihannya. Dia memilih untuk melaksanakan penghakiman yang baik untuk kakitangan. Ucapkanlah terima kasih kepadanya.

Tenaga pekerja mungkin berfikir bahawa mereka tidak sepatutnya menyatakan penghargaan kepada bos, tetapi cuba kita berfikir sejenak, bos juga manusia seperti kita dan perlu digalakkan dengan penghargaan yang wajar. Begitu juga rakan-rakan sekerja kita. Dan ya, keluarga kita juga.

Akhir kata

Penghargaan boleh memeriahkan hari, bahkan mengubah baik hidup, seseorang. Kita patut sedia melakukannya. Fikirkan sejenak. Pasti ada seseorang, baik di tempat kerja, keluarga  atau komuniti, yang telah melakukan sesuatu yang baik. Beritahunya. Hargainya. 

Semuanya dalam tangan kita untuk membuat orang lain merasa dihargai dan gembira. Langkah pertama memang yang paling sukar kerana kita tidak dapat membayangkan respons orang berkenaan. Jangan terlebih fikir. Respons adalah sekunder. Lakukan sahaja! (seperti slogan Nike).

Akar segala kebaikan terletak pada tanah penghargaan. – Dalai Lama

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Pekerja gembira

Life@Leaderonomics: Selamat Hari Pekerja daripada Kami Semua!

Pejabat Leaderonomics pernah dipaparkan sebagai salah satu daripada 10 pejabat paling berinspirasi di Malaysia. Pengasas membina pejabat yang terasa seperti di rumah selepas menyedari bahawa perubahan persekitaran boleh mengubah tingkah laku orang ramai.

Apr 30, 2023 1 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Membina Pembangunan Diri

Membimbing orang lain dalam kehidupan dan kerjaya mereka dapat memberi peluang kepada kita untuk mengembangkan potensi dan meningkatkan pembangunan diri kita. Mari ketahui lebih lanjut tentang membina pembangunan diri bersama Roshan Thiran.

Apr 03, 2024 44 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest