Pengaruh Penting Untuk Kejayaan Kepimpinan

Mar 14, 2018 5 Minit
lampu, pengaruh

Seorang mahaguru kepimpinan, John Maxwell pernah berkata,

“Kepimpinan adalah mengenai pengaruh. Tiada selain daripada itu.”

Betul kata Maxwell, pembinaan pengaruh memainkan peranan yang besar dalam kepimpinan namun hal ini amat payah dilakukan.

Ikut-mengikuti 

Beberapa minggu lepas, saya cuba menyuruh anak saya untuk makan sayur-sayuran namun saya tidak berjaya membuatkannya mengunyah daun-daun hijau itu. Saya berkira-kira mahu mendesaknya mengikut perintah dengan menjerkah, dan tidak membenarkannya bermain bola bersama dengan saya. Namun saya tersedar pada saat itu satu pengajaran penting dalam membina pengaruh – tiada sesiapa mampu mempengaruhi seseorang melalui ancaman dan perintah.

Hakikatnya saya ketahui bahawa peraturan No. 1 dalam mempengaruhi seseorang (terutamanya anak-anak) adalah dengan menjadikan sayur-sayuran itu lebih menarik dengan membuktikan bahawa semua orang memakannya. Maka saya pun memberitahu anak saya bahawa semua rakannya makan sayur dan dia mungkin terkecuali daripada mereka. Entah bagaimana dia terus mengunyah sayur-sayuran hijau itu dengan berselera!

Kebanyakan manusia suka mengikut orang ramai. Walaupun anda cuba menafikan anda mudah terpengaruh, hakikatnya kita senang terpengaruh dengan percakapan dan perbuatan orang. Kita cenderung mendengar lagu yang menjadi kegemaran orang, contoh yang terbaik ialah Gangnam Style. Kita lebih suka berpakaian seperti orang lain. Kita terpengaruh dengan bermacam-macam orang dan perkara yang menjadi ikutan setiap masa. Hal ini sering terjadi, kita lebih mudah melanggar peraturan apabila kita melihat orang lain berbuat demikian.

Pengaruh penting untuk kejayaan kita dalam hidup dan perniagaan. Jadi, bagaimana anda membina pengaruh?

Tempoh enam saat

Terdapat banyak cara untuk membina pengaruh dengan berkesan. Berdasarkan kajian yang dijalankan di Universiti Harvard oleh Nalini Ambady, orang lain hanya memerlukan enam saat untuk membuat telahan tentang diri kita.

Dia menunjukkan kepada pelajar-pelajar universiti rakaman sesi kuliah selama enam saat (tanpa audio) yang menunjukkan profesor-profesor tengah mengajar untuk dinilai mereka. Dia menyimpan penilaian tersebut dan pada penghujung semester, penilaian rakaman enam saat itu dibandingkan dengan penilaian oleh pelajar yang betul-betul menghadiri kelas yang diajar oleh professor tersebut selama satu penggal. Yang menariknya, dia mendapati bahawa walaupun rakaman itu hanya selama enam saat, penilaian pelajar akan professor mereka serupa (dan tepat) dengan penilaian pelajar yang mengikuti kelas selama satu penggal.

Tempoh enam saat itu merupakan jendela pengaruh bagi kita. Gerak-geri, kata-kata dan penampilan teknik penceritaan serta penggunaan pelbagai jenis konsesi, semua ini merupakan senjata dalam menyebarkan pengaruh. Namun sebelum meneliti cara untuk membina pengaruh, kita perlu faham makna pengaruh itu sendiri.

Apa itu pengaruh?

Menurut Eric Lau, tokoh terkemuka berkenaan seni membina pengaruh di Malaysia,

“pengaruh merupakan seni untuk meyakinkan orang lain supaya bertindak.

Apabila kita mampu mengubah proses pemikiran seseorang dan meyakinkannya untuk terus mengambil tindakan, kita sebenarnya sudah mengenakan pengaruh terhadap individu itu. Tindakan ini menunjukkan sifat kepimpinan. 

Teras pembinaan pengaruh strategik adalah untuk mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada sifat suka menurut. Hal ini melibatkan orang lain mengikut jejak langkah kita kerana mereka mahu berbuat demikian, bukan kerana terpaksa. Membina pengaruh mengerakkan kerja yang bersifat transaksional kepada jalinan hubungan. Cara yang paling berkesan untuk mempengaruhi orang lain adalah dengan membina hubungan atas dasar kepercayaan terlebih dahulu.

Berkaitan: Adakah Anda Berupaya Membuat Keputusan Yang Baik?

Membina hubungan

Pada 18 September 1978 di Jonestown Guyana, 909 pengikut People’s Temple, yang diketuai oleh pemimpin ajaran sesat Jim Jones, mati disebabkan oleh keracunan sianida. Peristiwa ini dikenali sebagai bunuh diri rambang yang terbesar masa kini. Bagaimana Jones boleh mempunyai kuasa yang begitu besar sehingga mempengaruhi pemikiran dan tindakan pengikutnya? Bagaimana golongan dewasa, melebihi 700 orang, bersama anak-anak mereka seramai 200 orang, dengan rela hati meneguk racun untuk menuruti pemimpin mereka?

Ahli psikologi sosial mendapati kebolehan membina kepercayaan atas dasar hubungan sebagai faktor utama bagi pemimpin ajaran sesat mendapatkan pengaruh. Dari kaca mata pengikutnya, Jones digambarkan sebagai seorang yang penyayang dan sangat mengambil berat akan kebajikan mereka, walaupun dia suka mendominasi dan mengawal orang lain. Mereka benar-benar menyayangi dan mempercayainya. Di sini terserlah akan hakikat berkenaan pengaruh: Tahap pengaruh yang anda miliki terhadap orang lain betul-betul bergantung pada tahap kepercayaan mereka kepada anda. Dan kepercayaan tidak terbina secara automatik. Ini merupakan sesuatu yang anda perlu usahakan.

Berkaitan: 5 Petua Membina Rangkaian Sosial

Rahsia membina pengaruh

Terdapat beberapa ‘rahsia’ yang membolehkan anda membina pengaruh dengan lebih mantap. Alex Pentland, profesor di MIT menjalankan eksperimen dengan memasang alat perakam digital pada sekumpulan pemimpin perniagaan, untuk merakam ucapan dan gerak-geri dalam satu sesi makan malam sosial. Seminggu kemudian, dia mampu menjangka tahap pencapaian mereka dalam pembentangan perniagaan yang dinilai oleh beberapa hakim. Hasil yang diperoleh Alex menepati keputusan hakim sebanyak 87 peratus. Dia melakukannya tanpa perlu melihat pembentangan tersebut. Bagaimana Alex membuat jangkaan tersebut?

Perkara yang paling penting dalam mempengaruhi orang lain, terutamanya hakim dan penemu duga, bukanlah kata-kata yang keluar dari mulut anda, tetapi cara anda membawa diri. Adakah anda seorang yang yakin, bersungguh-sungguh, berpendirian tetap dan komited dengan sesuatu yang anda usahakan? Cara penyampaian sesuatu mesej lebih penting daripada perkataan yang diucapkan. Ingat, kajian Ambani yang dijalankan lebih awal menunjukkan orang ramai hanya memerlukan enam saat untuk membuat telahan yang tepat tentang diri anda. Jadi, bagaimana anda boleh pelajari cara untuk memastikan gerak-geri dan isyarat badan membantu anda mempengaruhi seseorang dengan lebih baik?

Lebih kerap senyum?

Yang menghairankan, ramai percaya bahawa senyuman membantu anda membina pengaruh dengan lebih baik kerana kita kelihatan mesra dan berbudi pekerti. Bagaimanapun, kajian menunjukkan senyuman tidak memberi apa-apa kesan pada kebolehan anda untuk mempengaruhi seseorang dengan lebih baik (sekalipun kekuatan senyuman seseorang memberi kesan pada kepuasan pelanggan dalam industri perkhidmatan secara langsung!) Bukan juga postur badan mahupun pergerakan tangan. Maka, apakah unsur yang membantu pembinaan pengaruh?

Hubungan mata

Bahagian badan yang paling penting untuk mempengaruhi seseorang ialah mata. Hasil kajian daripada Universiti Toronto mendapati bahawa ‘hubungan mata sangat berkuasa’. Hubungan mata menzahirkan kuasa tarikan dan mewujudkan keterikatan antara satu sama lain.

Jadi, walaupun kepercayaan mengambil masa untuk dibina, hubungan mata dengan orang yang berinteraksi dengan anda di tempat kerja dan lingkungan sosial adalah sesuatu yang mudah dilakukan. Namun, ramai daripada kita mengelak daripada bersembang empat mata dan mengekalkan lirikan mata. Jadi, anda boleh mulakan dengan mata untuk mempengaruhi seseorang dengan lebih baik.

Akhir kata

Kita semua mempengaruhi atau dipengaruhi orang lain dalam pelbagai cara atau bentuk setiap hari dalam kehidupan. Pembinaan kepercayaan merupakan benih untuk kita menyemai pengaruh.

Namun gerak-geri badan lebih banyak memainkan peranan bagi membentuk pandangan dan perasaan orang terhadap kita. Belajar cara untuk menggunakan hubungan mata dan cara menyertakan teknik penceritaan dalam pembentangan dan perancangan. Setiap orang perlu mempengaruhi orang lain saban hari. Apabila kita belajar cara membina pengaruh, hal ini bakal membantu kita menjadi seorang pemimpin yang lebih baik.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Leadership Is Influence

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Media sosial, kerjaya

Media Sosial Membantu atau Merumitkan Kerjaya Anda?

Oleh Michelle Gibbings. Media sosial boleh mempercepat dan meningkatkan kerjaya anda apabila anda menggunakannya dengan bijak. Baca di sini bagaimana anda boleh membuatnya untuk anda.

Nov 11, 2022 5 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Pembelajaran Efektif Melalui Pengalaman

Cuma 10% daripada pembelajaran efektif diperolehi daripada latihan dalam kelas, 70% adalah berasaskan pengalaman, dan 20% adalah melalui pemerhatian.

Apr 13, 2018 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest