Pengajaran Daripada Memoir ‘Educated’ Oleh Tara Westover

Oleh Editor Leaderonomics|24-04-2019 | 1 Minit
“Saya ingat saya dah cukup bijak belajar sendiri, sehinggalah saya terbaca memoir hasil karya Tara Westover yang bertajuk ‘Educated’. Keupayaannya untuk belajar sendiri membuatkan saya terjaga daripada lena, bahawa telahan saya selama ini bukan seberapa.”

Kata-kata ini diluahkan oleh Bill Gates, iaitu pengasas Microsoft, yang autobiografi terbitannya tersangat laris sehingga terpampang di rak-rak buku sekian lama.

Dalam laman webnya (www.gatesnotes.com), insan yang belajar sepanjang hayat ini begitu kagum dengan hasil karya Tara Westover, sehinggakan beliau menjemput Tara untuk berkongsi cara luar biasa yang dia dibesarkan serta cabaran yang dihadapinya sepanjang hidup, dari zaman belajar sendiri sehingga berjaya meraih Ph.D. di Universiti Cambridge.

Kisah luar biasa Tara ini bukan sekadar ‘hilang kabus teduh hujan’. Dia dilahirkan sebagai anak sulung daripada tujuh beradik dalam keluarga Mormon dengan pandangan agama dan politik yang melampau. Ayah Tara taksub menghabiskan masanya bersyarah dengan ahli keluarga untuk menyediakan diri menghadapi Hari Kiamat.

Sebagai lelaki yang percaya bahawa pendidikan konvensional hanyalah cubaan kerajaan untuk membasuh otak masyarakat, maka anak-anaknya diarah untuk belajar di rumah, walaupun ilmu yang disediakan di rumah lebih berkisarkan ajaran dan syarahan agama.

Malah, mana-mana yang cedera teruk dirawat dengan ubat-ubatan tradisional mengikut petua nenek moyang (yang dipanggil oleh ayah Tara sebagai ‘ubat-ubatan Tuhan’). Sebagai ketua keluarga, yang mungkin ada menghidap gangguan bipolar, ayah Tara mempertahankan kelakuan melampau ini dengan meyakinkan dirinya bahawa dia melindungi ahli keluarganya daripada pengaruh durjana yang dikenali sebagai penyedaran khas.

‘Educated’ memuatkan kisah seorang gadis muda yang menyayat hati, sekaligus memberi inspirasi, unsur tak dapat dipercayai, dan kuasa mendayaupayakan pembaca. Tara akhirnya berjaya melepaskan diri daripada belenggu di rumah yang menyesakkan dada, terselindung di sebalik gunung-ganang. Pengembaraan Tara dalam menimba ilmu membuatkannya rasa terasing, tertekan, dan lemah.

Tara dibesarkan dalam dunia yang menganggap serba macam tingkah laku seharian berdosa seperti yang dimomokkan oleh ayahnya. Pengetahuannya yang cetek ketika itu jelas kelihatan apabila Tara bertanya maksud Holocaust di dalam kelas sejarah, sehinggakan semua di situ terkedu.

Walau bagaimanapun, sikapnya yang dahagakan ilmu dan bakat semula jadinya membuatkan profesor yang terkemuka di situ memberinya galakan untuk melanjutkan pelajaran, sehinggalah dia menjejakkan kaki ke Cambridge, diikuti dengan Harvard, dan kemudian kembali ke Cambridge untuk meraih segulung ijazah kedoktoran dalam bidang sejarah.

Kisah Tara diselitkan dengan bermacam-macam sorotan liku-liku kehidupannya, tentang kehidupannya yang diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga. Namun, sekiranya anda tercari-cari kisah akan sejauh mana manusia mampu mengharung badai yang melanda, ‘Educated’ merupakan jawapannya.

Berkaitan: Mencapai Impian Perlukan Tindakan Yang Berani

Berikut merupakan empat pengajaran yang saya peroleh setelah meneliti karya agung ini:

1. Suara anda besar pengaruhnya, hanya jika anda berani memanfaatkannya

Seperti yang ditulis Tara,

“Kisah kehidupan saya disampaikan melalui insan lain. Suara mereka ini kuat, menyentuh perasaan, dan tak terbanding. Tak pernah terlintas di fikiran, saya mampu menyuarakannya seperti mereka.”

Selalunya, kita akur dengan pandangan dan jangkaan manusia sehingga merencatkan potensi diri.

Berapa kerapkah kita cuba mendapatkan pengesahan dan penerimaan orang lain, tanpa memikirkan hakikat bahawa kita mampu dan berkebolehan untuk mencorakkan jalan hidup kita sendiri?

Apabila kita larut dalam pandangan manusia, kita memperosokkan lagi keunggulan yang terkambus dalam diri masing-masing.

2. Untuk sedar akan kemampuan diri, anda perlu mendesak diri melangkaui had yang ada

Menceritakan keperitannya untuk memahami bahan-bahan bacaan yang rumit, Tara sedar kesusahan ini mendorongnya berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai matlamat.

“Kemahiran yang saya pelajari amat penting, melibatkan kesabaran semasa membaca bahan yang masih belum saya fahami.”

Kebiasaannya, kita berpegang pada ilmu yang kita sudah kuasai —  hal ini bagus membina ego diri, tetapi boleh mencacatkan perkembangan diri. Apabila kita mencuba sesuatu ataupun meneroka cabaran baharu, kita sebenarnya mendidik diri untuk belajar secara proaktif.

Walaupun agak payah untuk kita faham pada awalnya, minda bawah sedar membolehkan kita bersedia dengan asas pemikiran yang kritis dan kemampuan dalam meneliti masalah dari perspektif yang berbeza. Maka ini memberi kita kelebihan yang jelas ketara berbanding  golongan yang ralit dalam zon selesa.

3. Ketakpastian boleh jadi pedoman yang terbaik, maka janganlah takut dengan ketakpastian

Seperti yang dikongsikan oleh Westover:

“Untuk mengakui hal yang kita tak pasti, ini bermakna kita masih percaya pada diri sekalipun kita sedar diri ini lemah dan tak berkuasa dalam apa-apa pun. Hati kita rapuh, namun dalam kerapuhan ini tersembunyi sesuatu kekuatan, keyakinan untuk menentukan nasib kehidupan, tanpa berserah pada orang lain.”

Ahli fizik yang terkemuka iaitu Richard Feynman percaya bahawa “tiada sesiapapun yang mampu menerka kehidupan masing-masing, dan ini tidak penting. Pokok pangkalnya, terokailah dunia”. Salah satu gagasan terunggul dalam sains mengatakan hidup dalam ketakpastian bukan sahaja besar pengaruhnya, malah inilah cara yang paling realistik untuk hidup.

Dengan berpegang pada pandangan ideal Socrates iaitu ‘kita tak tahu apa-apa’, kata-kata pujangga ini memberi kita inspirasi untuk memiliki sifat ingin tahu akan segala-galanya, dan golongan yang ada kelainan sebeginilah yang lebih cenderung merealisasikan idea bagi mengubah dunia.

4. Semua manusia takkan pernah berpuas hati, maka pilihlah corak kehidupan sendiri

“Perasaan bersalah melibatkan rasa takut akan diri terbinasa. Hal ini tak ada kena-mengena dengan orang lain.”

Karya memoir ini disulami dengan luahan rasa bersalah Tara. Kekurangannya berpunca daripada caranya dibesarkan, iaitu tempat wanita adalah di dapur dan menjadi ibu merupakan cita-cita yang utama.

Walaupun kehidupan sebegitu bukannya salah Tara, dia masih dirundung perasaan bersalah kerana memiliki cita-cita sendiri dan kemudiannya mengejar peluang tidak seperti yang diharapkan keluarganya.

Kadang-kadang, kita perlu berkorban untuk membebaskan diri daripada belenggu yang merantai diri. Nak tak nak, kita akan terus dikritik, dan tiada apa pun yang mampu mengubah hakikat ini.

Pokok pangkalnya, kita boleh memilih untuk meleraikan diri daripada perasaan takut, bersalah, dan ragu-ragu sehingga mengekang kita daripada mencapai potensi terbaik diri, dengan hanya memberi peluang kepada diri.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Lessons from Tara Westover’s Memoir, ‘Educated’.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Kebolehan Diri

Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.