Subsektor Pelancongan Mengorak Langkah Ke Hadapan

Oleh Editor Leaderonomics|19-12-2018 | 1 Minit

Melancong adalah aktiviti yang amat digemari di seluruh dunia, dan ramai pengembara yang berani mula merancang cuti mereka seawal enam bulan mahupun setahun menjelajah negara baharu atau menerokai pengembaraan seumur hidup.

Menurut Majlis Pelancongan dan Pengembaraan, sungguhpun dihimpit bencana alam, pandemik kesihatan, ketidakstabilan politik dan kejutan yang tidak diduga daripada serangan pengganas, pengembaraan dan pelancongan masih bertahan dan kekal teguh pada tahun 2017. Selagi kerajaan-kerajaan terus melabur dalam infrastruktur penting, subsektor pelancongan akan kekal kukuh.

Pelancongan menjadi wadah untuk mempamerkan ekonomi, budaya, sosial, persekitaran dan nilai warisan Malaysia dan subsektor ini telah berkembang menjadi jentera yang lebih penting bagi pertumbuhan ekonomi.  

Pelancongan global sepintas lalu

Pelancongan adalah antara sektor yang terbesar dan paling cepat berkembang di dalam ekonomi dunia. Ia memainkan peranan penting dalam mencipta peluang pekerjaan, hasil eksport dan nilai tambah domestik.

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menerangkan bahawa pelancongan menyumbang secara langsung purata 4.2% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP), 21.7% daripada eksport perkhidmatan dan 6.9% daripada pekerjaan di negara-negara OECD.

Dalam laporan Trend Pelancongan dan Polisi 2018 OECD, penyertaan 49 negara OECD dan sekutunya memberikan perspektif global. Laporan itu mendedahkan bahawa ketibaan pelancong antarabangsa meningkat lebih daripada 1.2 bilion pada tahun 2016, dengan kedatangan di negara-negara OECD membentuk lebih daripada separuh dan sepadan dengan kadar pertumbuhan global sebanyak 3.9% (berbanding pada tahun 2015).

Ekonomi pelancongan sedang berkembang pesat. Cabaran dan peluang baharu dipersembahkan oleh trend jangka panjang yang penting, antaranya digitalisasi, permintaan yang menaik, demografik yang berubah dan perubahan iklim.

Pengembaraan di Malaysia

Subsektor pelancongan telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang fokus kerajaan, dan pemacu bagi transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Pada tahun 2017, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia melaporkan bahawa negara menerima 25.9 juta pelancong antarabangsa.

Dalam usaha mencapai kemasukan pelancong sebanyak 30 juta menjelang 2020, produktiviti adalah faktor penting yang perlu diperhalusi.

Tambahan pula, MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen, pameran) adalah bahagian yang paling cepat berkembang di dalam industri pelancongan global. Pada tahun 2016, industri MICE Malaysia menarik minat 111,298 delegasi ke 153 acara, dan menjana hasil sebanyak RM1.035bil.

Sebenarnya, bisnes pelancongan diramalkan menyumbang RM3.9 bilion kepada pendapatan kasar negara dan mencipta peluang pekerjaan sebanyak 16,700 menjelang 2020.

“Walaupun begitu, ketika negara-negara jiran kita seperti Vietnam dan Thailand sedang menikmati pertumbuhan dua digit dalam kedatangan pelancong, kita pula mengalami pengecutan pertumbuhan sebanyak -3% pada 2018. Ini disebabkan oleh banyak  faktor yang perlu dikenal pasti,” kata Uzaidi Udanis, Peneraju Nexus Produktiviti Pelancongan bagi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Nexus Produktiviti Pelancongan ditubuhkan pada November 2017 dan berfungsi sebagai platform strategik untuk mengukuhkan perkongsian kerja di antara kerajaan, sektor swasta dan pemain industri pelancongan dengan persefahaman bagi membina industri pelancongan negara.

Tambahan pula, perkongsian ini akan mengkaji cara untuk mendatangkan lebih banyak hasil untuk negara dan meningkatkan peluang pekerjaan dan bisnes, dengan objektif utamanya iaitu mengekalkan pertumbuhan produktiviti industri pelancongan Malaysia secara keseluruhan.

MPC telah berusaha untuk meningkatkan produktiviti di Malaysia selama 25 tahun. Antara aktiviti yang ditawarkan adalah ceramah dan bengkel, program latihan, serta perkhidmatan penasihat dan perundingan bagi peningkatan produktiviti. Ia juga menganugerahkan geran dan pengiktirafan kepada organisasi yang menjalankan projek penyelidikan berkaitan produktiviti.  

MPC juga telah membina penandaan aras dan amalan terbaik, menyelidik cara terbaik untuk meningkatkan daya saing dan inovasi di dalam negara. Bagi memecut pertumbuhan produktiviti, ia melancarkan Pelan Induk Produktiviti Malaysia (MPB) pada 2017. Sembilan subsektor utama telah digariskan, salah satunya Pelancongan.

Perubahan trend

“Trend telah berubah. Berdekad-dekad yang  lalu, sejumlah besar pelancong ke Malaysia datang dari Eropah, tetapi sekarang diganti oleh pelancong dari China,” ujar Uzaidi, yang juga presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) dan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC).

“Keutamaan pelancong telah berubah. ‘Menjual’ KLCC, Genting (Highlands) dan Langkawi sahaja tidak mencukupi. Ia bukan cuma mengenai infrastruktur fizikal yang menarik — fokus itu sudah jatuh ke tangga kedua. Kini pelancong ingin merasai ‘pengalaman’. Jadi, kami sedang menuju ke arah itu sekarang.  Ia telah jatuh ke tangga kedua,” tambahnya.

Membina produk baharu bukanlah mudah kerana ia memerlukan perspektif yang segar dan modal baharu. Orang tempatan mungkin sudah biasa melihat rumah  kampung tradisional dan sawah padi, tetapi bagi pelancong asing inilah pengalaman baharu yang dicari-cari dan menyumbang kepada keunikan Malaysia di peringkat global.

“Lebih 10 tahun dahulu, kami mengenal pasti Sekinchan, yang mempunyai pemandangan yang indah, tetapi tiada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk mempromosikannya untuk kami. Tetapi terdapat satu koperasi kampung dan kami bermula dari situ. Kini, anda boleh melihat foto-foto Sekinchan yang dikongsi di Instagram, dan ada yang digunakan sebagai foto perkahwinan. Sekinchan telah menjadi tempat sesi foto,” terang Uzaidi.

“Kami mempunyai inap desa di Kuala Kurau, di mana orang tempatan tidak pernah berfikir untuk membina inap desa. Tetapi itu adalah perkampungan yang tulen, lengkap dengan sawah padi tradisional. Tetapi kita mesti pastikan kemudahan yang baik disediakan dulu.”

“Tiada sesiapa pernah terfikir yang Seremban mampu menjadi destinasi pelancongan. Kami sedang dalam proses menempatkan Seremban sebagai destinasi budaya. Dan dengan kedudukannya yang berhampiran dengan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), kita boleh menggalakkan penumpang transit untuk mengikuti lawatan pendek. Mereka boleh ke Seremban untuk menikmati makanan dan pertunjukan budaya. Dan, mungkin mereka akan kembali.”

Momentum dan minat haruslah dikekalkan. Oleh sebab itu, kita perlukan satu program yang dapat menarik minat pelawat-pelawat untuk kembali berulang kali.

Jerayawara dari negeri ke negeri

Nexus Pelancongan kini dalam proses mengendalikan siri jerayawara di setiap negeri. Jerayawara ini dibahagikan kepada dua bahagian – sebagai wadah untuk menperkenalkan produk pelancongan baharu dan menganjurkan forum, yang berfungsi sebagai platform bagi industri untuk berbincang mengenai isu serta cabaran yang dilalui, dan menyerlahkan amalan terbaik.

“Untuk mempamerkan produk baharu, kami membawa pemain industri ke lokasi di mana kami mengumpulkan mereka untuk sesi perangkaian atau pemadanan bisnes. Sebagai contoh, jika mereka ke Seremban atau (mana-mana) tempat di Negeri Sembilan, mereka akan tahu adanya kapal layar baharu, ladang burung unta, dan lain-lain,” kata Uzaidi.

“Menerusi forum ini, kami ingin tahu visi pemain tempatan, pihak berkuasa, dan negeri-negeri. Setelah itu kami boleh membantu mereka dari sudut pandangan industri. Apakah persepsi dalam kalangan pemain industri? Apakah cabaran-cabaran untuk kita dalam mempromosikan tempat baharu ini?”

Menurut Uzaidi, jerayawara yang bakal dilaksanakan tahun ini adalah untuk Sabah dan Sarawak.

Kekal berdaya saing

Bagi Tahun Melawat Malaysia 2020, kerajaan telah meletakkan sasaran 30 juta kedatangan pelancong dan menganggarkan pendapatan sebanyak RM100 bilion.

Setelah berdekad lamanya, pelancongan dan keutamaan pelancong telah berubah untuk mengambil kira pelbagai rasa dan gaya. Industri ini juga telah menjadi sangat kompetitif.

“Airbnb dan platform digital lain yang serupa adalah sebahagian daripada teknologi pengganggu – adakah ia pesaing atau sistem sokongan? Kita tidak boleh menyekat mereka, jadi kita harus berubah. Walaupun ia mungkin satu kebaikan kepada industri, ia haruslah berada di tahap yang sama bagi semua yang terlibat. Serata dunia, termasuk kerajaan-kerajaan, sedang mencuba untuk menghadapi situasi  dan bersaing,” kata Uzaidi.

“Seorang wakil dari Airbnb berkata yang mereka sanggup untuk melakukan apa yang diminta kerajaan, tetapi permintaannya haruslah spesifik. Saya sanggup membayar cukai, tetapi kepada siapa? Saya sanggup mendaftarkan diri, tetapi dengan siapa? Mereka adalah besar dan ingin menjadi sah di Malaysia. Jadi, mereka sanggup untuk mematuhi peraturan, terma dan syarat.”

Bukan hanya agensi pelancongan dan kerajaan yang patut mempromosikan Malaysia, orang kebanyakan juga boleh berbuat demikian menerusi media sosial, dan tunjukkan kepada rakan-rakan mereka di luar negara akan apa yang boleh mereka lihat dan alami di Malaysia.  

 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah memulakan gerakan produktiviti di seluruh negara, merentasi semua segmen masyarakat untuk mewujudkan tahap kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi mengenai kepentingan dan manfaat produktiviti pada tahap perusahaan, berserta bimbingan mengukur dan menjejak produktiviti. Untuk maklumat mengenai Nexus Produktiviti, layari wayup.my. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MPC, kunjungi mpc.gov.my.
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Tourism in Malaysia: The Way Forward.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.