Masa Hadapan Subsektor Penjagaan Kesihatan

Oleh Editor Leaderonomics|05-12-2018 | 6 Minit

Hari ini, keperluan memiliki industri penjagaan kesihatan yang mantap dan progresif semakin mendesak di mana-mana negara.

Di kebanyakan negara di seluruh dunia, kesejahteraan penduduk dianggap sebagai aspek teras. Jumlah pelaburan yang besar turut diperuntukkan bagi memastikan mereka menerima penjagaan kesihatan yang terbaik.

Malaysia kini turut bersaing dengan negara-negara di seluruh dunia bagi memastikan kita menjadi salah satu penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik.

Walaupun berhadapan dengan cabaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam negara, Malaysia sentiasa positif untuk bergerak maju dan memenuhi keperluan pesakit di sini serta pelancong perubatan dari luar negara.

Terdapat subsektor yang semakin meningkat naik dalam industri penjagaan kesihatan di Malaysia, iaitu pelancongan perubatan. Ini berlaku apabila pelancong berkunjung ke negara ini bagi tujuan perubatan kerana terdapat rawatan yang berkualiti di sini, setanding dengan kualiti di negara mereka, tetapi pada kadar yang jauh lebih berpatutan.

Data terkini daripada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menunjukkan bilangan pelancong perubatan ke negara ini meningkat sejak tahun 2011, dan mencecah angka tertinggi iaitu seramai 1.05 juta pelancong pada tahun 2017.

Malah, MHTC telah merangkul ‘Anugerah Pelancongan Perubatan Tahunan’ pada majlis Anugerah Pelancongan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan Asia Pasifik 2018 selama dua tahun berturut-turut. Ini adalah bukti bahawa hospital swasta kita mampu menyediakan penjagaan kesihatan yang menepati piawaian.

Berkaitan: Malaysia Menerajui Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan

Sistem penjagaan kesihatan di negara ini mempunyai dua peringkat: pertama ialah sektor awam yang dibiayai oleh kerajaan dan cukai, untuk semua warganegara pada kos bersubsidi; dan kedua ialah sektor swasta yang mengenakan caj mengikut perkhidmatan, apabila pesakit perlu membayar mengikut jenis perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disediakan kepada mereka.

Memandangkan penjagaan kesihatan awam ini bersubsidi, pesakit yang kebanyakannya tidak mampu membiayai penjagaan kesihatan swasta berduyun-duyun menggunakan kemudahan dan hospital awam bagi menerima rawatan perubatan yang diperlukan.  

Menangani ketidakseimbangan

Sungutan yang sering diterima dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap sistem penjagaan kesihatan awam ialah pembahagian tenaga kerja kakitangan perubatan yang tidak seimbang mengikut tempat. Janji temu dengan doktor boleh mengambil masa berbulan-bulan serta rawatan atau tindakan susulan mungkin menjadi lewat sehingga merunsingkan.

Hal ini kerana sekurang-kurangnya 70% daripada penjagaan kesihatan di negara ini dikendalikan oleh sektor awam, dengan tenaga kerja yang meliputi hanya 45% daripada doktor berdaftar. Sektor swasta sebaliknya hanya memenuhi keperluan kira-kira 30% daripada penduduk, dengan tenaga kerja 55% doktor berdaftar.

Akibatnya, sektor awam sesak dengan pesakit, sehingga menyebabkan masa menunggu yang panjang dan pesakit lewat menerima rawatan, namun sektor swasta kurang dimanfaatkan, dengan 20% katil di hospital swasta kebanyakannya kosong.

Kos penyediaan penjagaan kesihatan swasta kian meningkat, berikutan kenaikan kos bekalan perubatan dan teknologi. Akibatnya, semakin ramai yang memilih penjagaan kesihatan awam. Hal ini menambah beban terhadap keupayaan sektor awam dalam memberi rawatan perubatan tepat pada masanya.

Datuk Dr Jacob Thomas

Peneraju Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) bagi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Dr Jacob Thomas berkata ketidakseimbangan antara sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta ini mengganggu produktiviti kerana kita tidak memaksimumkan sumber-sumber sedia ada.

Ujarnya, “Kita memiliki infrastruktur bertaraf dunia, bahkan hospital awam kini dilengkapi dengan peralatan terkini dengan doktor yang sangat berpengalaman dan bertauliah. Akses kepada rawatan juga mudah, berbanding kebanyakan negara lain. Masalahnya, pembahagian kemudahan dan perkhidmatan ini tidak seimbang.

“Anda boleh memilih sektor awam di mana hospital-hospital beroperasi pada tahap maksimum dengan permintaan untuk katil dan kemudahan tidak tertampung (seperti di bilik bedah) namun ada satu lagi pilihan, iaitu sektor swasta yang ada banyak katil kosong dan bilik bedah yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Sudah tentu ini tidak produktif.”

Cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua sektor ini berhubung rapat antara satu sama, dan Dr Thomas percaya kita perlu mempertimbangkan suatu model penjagaan kesihatan baharu yang membolehkan kedua-dua sektor berkongsi sumber yang ada sekarang, sekaligus menyelesaikan masalah berkenaan dengan kapasiti dan produktiviti.

Dua jenis perkongsian yang digariskan ini adalah sama penting untuk membantu industri menangani cabaran secara keseluruhan.

1. Perkongsian awam dengan swasta

Menurut Dr Thomas, kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti idea skim insurans kebangsaan.

Beliau menjangkakan rakyat Malaysia akan membuat caruman bulanan bagi skim ini, dan apabila mereka memerlukan rawatan, mereka boleh mendapatkannya dari mana-mana hospital, awam atau swasta. Kos rawatan kemudiannya boleh ditebus balik melalui skim ini.

Mungkin ada yang berpendapat ini tidak adil bagi mereka yang membayar kos rawatan di hospital swasta dari poket sendiri, namun Dr Thomas merujuk pada model yang telah berjaya dilaksanakan dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau menjelaskan di Australia, terdapat hospital awam besar yang dikendalikan oleh sektor swasta dilengkapi dengan dua sayap. Satu sayap adalah untuk pesakit bawah skim perlindungan insurans nasional. Sayap yang satu lagi adalah untuk pesakit yang mampu menanggung perbelanjaan sendiri, jadi mereka diberi bilik dan kemudahan yang lebih bagus. Walau bagaimanapun, kakitangan perubatan yang berkhidmat di kedua-dua sayap ini merupakan individu yang sama.

“Kerjasama awam dengan swasta ini masih wujud, dan berjalan dengan sangat lancar. Jadi, mengapa kita tidak cuba memperkenalkan konsep ini di sini?” ujar Dr Thomas.

Kita sedia maklum kita tidak boleh mengikut bulat-bulat amalan terbaik penjagaan kesihatan dari negara lain disebabkan perbezaan dari segi keperluan perubatan, penyakit dan juga budaya. Walau bagaimanapun, kita semestinya mampu menyesuaikan amalan terbaik supaya dapat memenuhi keperluan masing-masing.

“Oleh itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memandang tinggi piawaian penjagaan kesihatan di Malaysia,” kongsinya. “Jadi, kita tidak mahu ubah perkara yang kita sudah buat dengan baik, tetapi kita mahu susun semula dan alih fokus pada bahagian yang kita boleh perbaiki.

2. Perkongsian swasta dengan swasta

Cabaran terbesar dalam sektor penjagaan kesihatan swasta adalah mengekalkan kos operasi yang rendah, supaya pesakit mampu membiayai kos penjagaan perubatan.

“Jika anda tidak membayar gaji kakitangan secukupnya dan mengekalkan bakat dalam organisasi, mereka akan beralih ke tempat lain. Jika anda tidak melabur secukupnya untuk menyediakan teknologi canggih, pesakit akan lari ke tempat lain. Sekiranya anda tidak membeli ubat yang memberi kesan terbaik, pesakit mungkin susah nak baik,” jelas Dr Thomas. “Semua ini bergantung pada kecekapan pengurusan sumber dan bakat. Pokok pangkalnya kita mahu jadi produktif.”

Apabila diajukan soalan tentang pelaburan pada kemudahan hospital, katanya, “Jika anda bangunkan sebuah hospital baharu tetapi dewan bedah masih kosong, ini suatu pembaziran. Atau, jika hospital membeli peralatan seperti mesin MRI tetapi hanya menggunakan 25% daripada kapasiti mesin, ini tidak produktif. Ini kerana hospital tidak memaksimumkan penggunaan sumber yang sangat mahal ini.”

Menggalakkan produktiviti dalam industri

Dr Thomas menyarankan hospital swasta tidak perlu membeli segala macam peralatan perubatan terkini, harganya mahal, namun sebagai permulaan, menggunakan sepenuhnya sumber yang sedia ada.

Beliau menambah sekiranya terdapat dua hospital swasta terletak berdekatan antara satu sama lain, sepatutnya tidak menjadi masalah untuk kedua-dua hospital ini berkongsi peralatan mahal tersebut.

“Anda boleh menghantar beberapa pesakit ke hospital sana untuk menjalankan MRI, dan hospital sana boleh menghantar beberapa pesakit untuk buat imbasan CT. Ini tidak menjejaskan keberkesanan dan pandangan pengguna terhadap mana-mana hospital.”

Hari ini, kita perlu mengubah mentaliti dalam menyediakan perkhidmatan.

Di ambang perubahan

Dr Thomas berpendapat buat masa sekarang, terdapat garis panduan yang jelas memisahkan sektor awam dan swasta. Tetapi ini berubah sedikit demi sedikit kerana KKM semakin terbuka dalam membincangkan isu-isu yang menjejaskan sektor swasta dan mencari kaedah untuk melibatkan sektor swasta sebagai rakan kongsi.

“Saya percaya lambat-laun ini bakal dijadikan sebagai agenda produktiviti penjagaan kesihatan kebangsaan, dan sudah tentu kita ada semua ramuan yang diperlukan,” kata Dr Thomas dengan optimis.

Buat masa ini, PHPN berusaha memanfaatkan sepenuhnya aset semasa dalam industri dan mengenal pasti bidang baharu yang perlu diberi perhatian. Hal ini termasuk teknologi dan inovasi, tenaga kerja perubatan dan keupayaan mereka, serta peraturan lapuk yang mengekang kemajuan.

Dr Thomas positif untuk melaksanakan perubahan sebenar dalam masa terdekat kerana PHPN mempunyai struktur yang teratur. PHPN berfungsi sebagai platform yang memacu inisiatif bagi pelbagai pihak berkepentingan demi meningkatkan produktiviti dalam subsektor penjagaan kesihatan swasta.

PHPN ditugaskan untuk mengenal pasti inisiatif segera dan jangka panjang yang akan memperkasa penggiat penjagaan kesihatan swasta dalam memantapkan produktiviti. Selain itu, PHPN juga memudah cara serta melengkapkan inisiatif sedia ada dan inisiatif masa depan selaras dengan hala tuju KKM.

“Kami diminta untuk menyenaraikan hasrat kami,” kongsinya.

“Kami diberitahu untuk tidak memikirkan sama ada sesuatu dapat dijayakan atau tidak. ‘Jika anda berhadapan dengan kesulitan, bawanya kepada kami.’ Kita bernasib baik kerana menteri kesihatan yang baharu ini begitu berminat dengan usaha perkongsian sektor awam dengan swasta. Kita tahu kita tidak boleh terus bekerja seperti dahulu, jadi kita perlu bekerjasama untuk menjayakan perubahan ini, dan kita perlu melaksanakannya dengan pantas.”

“Pokok pangkalnya, kita mahu penjagaan kesihatan di Malaysia dapat diakses oleh semua rakyat dengan kualiti yang terbaik. Sekiranya pesakit memerlukan rawatan, mereka boleh mendapatkan rawatan yang terbaik kena pada masanya. Semua usaha ini juga dapat membantu memastikan pesakit pulih dengan baik,” akhiri Dr Thomas.

 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah memulakan gerakan produktiviti di seluruh negara, merentasi semua segmen masyarakat untuk mewujudkan tahap kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi mengenai kepentingan dan manfaat produktiviti pada tahap perusahaan, berserta bimbingan mengukur dan menjejak produktiviti. Untuk maklumat mengenai Nexus Produktiviti, layari wayup.my. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MPC, kunjungi mpc.gov.my.Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Future of Malaysian Healthcare.

 

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.