Pembentukan Pemimpin Tanggungjawab Komuniti

Oleh Roshan Thiran|20-06-2017 | 1 Minit

Apabila Maradona dengan bangga menjulang Piala Dunia untuk Argentina pada tahun 1986, saya memerhatinya dengan penuh semangat dan mendapat inspirasi untuk bermain bola sepak. Malangnya, pada ketika itu, saya seorang pemain bola sepak yang teruk – saya tidak dapat menyepak bola dengan baik, apatah lagi untuk menyertai pasukan kelas saya. Tetapi saya tetap bercita-cita untuk mewakili sekolah saya pada suatu hari nanti.

Kawan-kawan saya mentertawakan matlamat saya kerana saya memakai cermin mata yang tebal dan merupakan seorang ‘geek’ yang gila komputer. Tetapi saya menghabiskan waktu cuti saya berlatih siang dan malam. Dalam tempoh setahun, saya akhirnya dipilih untuk menyertai pasukan kelas saya dan kemudiannya memasuki latihan khas yang dikendalikan oleh pemain legenda Mokhtar Dahari.

Berlatih lebih keras demi kebaikan diri

Mokhtar telah dijemput oleh alma mater saya, Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist (MBSKL) untuk menjalankan program latihan selama tujuh minggu. Pada setiap sesi, saya selalu berasa bahawa Mokhtar sengaja memilih saya. Sebagai seorang yang ‘paling tidak berbakat’ di sana, beliau mengarahkan saya untuk berlari lebih banyak pusingan, melakukan lebih banyak tekan tubi dan menerima lebih banyak hukuman berbanding orang lain. Lebih malang lagi, saya sentiasa menjadi pemain ganti yang tidak diberi peluang untuk bermain sewaktu perlawanan.

Dalam suatu perlawanan, saya langsung tidak peduli untuk menukar baju kerana merasakan saya pasti tidak akan terpilih. Tetapi Mokhtar mengambil pembesar suara dan melaungkan nama saya. Rakan sekelas saya serta-merta menuding ke arah saya dan dengan perasaan malu saya meminta maaf dan menukar baju. Perlawanan berakhir dengan kemenangan bagi MBS tetapi saya langsung tidak bermain dalam perlawanan tersebut, Kejadian itu menambahkan lagi rasa malu saya.

Tetapi yang menghairankan, Mokhtar menggunakan saya sebagai pemain ganti dalam perlawanan seterusnya. Selepas perlawanan itu, Mokhtar menarik saya ke sisi dan memandang tepat ke mata saya sambil berkata, “Roshan, saya tahu saya terlalu keras terhadap kamu dan telah memaksa kamu untuk berlatih lebih keras berbanding dengan pemain-pemain lain. Saya lakukannya demi kebaikan diri kamu kerana saya rasa kamu akan menjadi seorang yang istimewa. Berlatih dan bermain bersungguh-sungguh dan terus mencuba sehingga mencapai had kamu. Kamu akan menjadi kapten MBS suatu hari nanti!”

Selepas itu, Mokhtar jatuh sakit dan saya tidak lagi bertemu dengannya. Beliau kemudiannya meninggal dunia. Namun, kata-kata beliau memberikan ilham kepada saya untuk terus mengejar impian tanpa mengira betapa mustahil pun keadaan yang saya hadapi. Sejak perbualan itu, ‘geek’ ini telah mewakili sekolah dan negeri dan sentiasa tahu bahawa tidak ada perkara yang mustahil.

Berkaitan: Atasi Halangan, Tiada Yang Mustahil!

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Seperti saya, kebanyakan pemimpin yang kami kaji memulakan perjalanan kepimpinan pada awal kehidupan mereka. Ibu Richard Branson mencetuskan perjalanan kepimpinan beliau pada usia lima tahun dengan meninggalkannya beberapa batu dari rumah dan mengarahkannya supaya mencari jalan sendiri untuk pulang ke rumah.

Satu kajian DDI, sebuah firma perunding sumber manusia, pada tahun 2005 mendapati bahawa 90% daripada ketua eksekutif dan pengarah lembaga mempunyai sekurang-kurangnya dua peranan kepimpinan iaitu sebagai ketua pelajar, pengawas atau kapten sukan di sekolah mereka.

Kajian Institut Pengurusan Kepimpinan (ILM) menyimpulkan bahawa banyak pemimpin masa hadapan memulakan perjalanan kepimpinan mereka sejak pada usia yang muda lagi. Ketua Pegawai Eksekutif ILM, Kim Parish, berkata: “Kajian ini menunjukkan bahawa orang ramai belajar kepimpinan pada usia yang muda. Aktiviti-aktiviti seperti yang dijalankan gerakan pengakap dan pandu puteri, atau bermain dalam pasukan sekolah sebenarnya memberikan kemahiran dalam bentuk seperti etos pasukan, cita-cita, penetapan matlamat dan kualiti lain kepada golongan muda yang selalu kita kaitkan dengan kepimpinan yang baik.”

Kajian menyimpulkan bahawa memegang tanggungjawab dan jawatan di sekolah merupakan indikator penting untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang baik – berbanding kelayakan akademik yang telah dinilai terlalu tinggi.

Satu kajian oleh Jurnal Penyelidikan Remaja mendapati bahawa belia yang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti perkhidmatan dan kemasyarakatan memperlihatkan diri mereka sebagai pemimpin yang lebih baik.

Pengajaran kepimpinan yang dipelajari semasa kanak-kanak membantu menyemai benih-benih pertama bagi cita-cita kepimpinan. Ibu bapa dan guru memberi pengaruh awal kepada kanak-kanak. Dengan memaparkan contoh kepimpinan dalam hidup mereka, ibu bapa dan guru mengenakan kesan mendalam terhadap jenis pemimpin yang anak-anak mereka bakal jadi.

Melatih kanak-kanak menjadi pemimpin bukan sahaja mengambil masa tetapi turut memerlukan komitmen daripada semua bahagian komuniti tersebut. Dan kadang-kadang disebabkan banyak hal kehidupan yang mendesak, pembangunan kepimpinan pula lesap daripada agenda ‘kesibukan’ hidup.

Tiger Woods

Ketika ditemu bual oleh Fortune tentang perjalanan menuju kejayaannya, Tiger Woods memberitahu cerita ini. “Ketika saya masih muda, saya bermain golf dengan ayah saya. Ayah saya akan berkata, ‘Baiklah, di manakah kamu mahu memukul bola?’ Saya memilih tempat dan berkata saya mahu memukul ke sana. Beliau mengangkat bahu dan berkata, ‘Baiklah, fikirkan cara untuk melakukannya.’

“Beliau tidak membetulkan kedudukan lengan saya, melaraskan kaki saya, atau mengubah pemikiran saya. Beliau hanya berkata teruskan dan pukul bola celaka itu. Bagi saya nasihat ayah saya bertujuan untuk memudahkan saya.

“Beliau tahu bahawa pada usia saya, saya tidak dapat memahami semua selok-belok golf. Beliau memudahkannya dengan: Jika kamu ingin memukul bola ke tempat tertentu, fikirkan cara untuk melakukannya. Malah pada hari ini, apabila saya bergelut dengan permainan saya, saya masih boleh mendengar kata-kata beliau, ‘Pilih tempat dan pukul sahaja.’ Tanpa bimbingan ayah, saya tidak akan menjadi seperti sekarang.”

Selepas menemu ramah lebih daripada 500 orang pemimpin yang terkenal, Pat Williams menyimpulkan bahawa pemimpin yang berkesan bukan dilahirkan tetapi dibentuk, dan latihan kepimpinan sebenarnya bermula di rumah dan di sekolah-sekolah. Dua orang profesor dari Harvard, Marshall Goldsmith dan Howard Morgan menjalankan kajian terhadap 86,000 orang peserta dan mendapat kesimpulan muktamad bahawa kepimpinan adalah dipelajari.

Everton

Saya selalu mengagumi akademi kelab bola sepak belia Everton. Mereka mempunyai kecenderungan menghasilkan remaja berusia 16 tahun yang bertaraf dunia pada setiap tahun – contohnya Wayne Rooney dan Jack Rodwell.

Saya berpeluang menghabiskan masa sehari suntuk bersama bekas jurulatih Rooney dan ketua Akademi Everton, Tosh Farrell, dan bertanya kepada mereka bagaimana mereka berjaya menghasilkan begitu ramai bintang. Dan jawapannya adalah mudah: “Beri peluang kepada mereka untuk menyertai dan berlatih, bermain, berlatih, be4main.”

Akademi Everton percaya ia boleh membentuk mana-mana kanak-kanak agar memiliki kualiti perdana asalkan dia sanggup belajar, bekerja keras dan berkembang.

Beliau terus menunjukkan kepada saya bahawa pada setiap kumpulan umur, dari yang berusia empat tahun sehingga 16 tahun, kemahiran, sikap dan ciri-ciri perlu ditambahbaikkan sebelum kanak-kanak naik ke tahap yang seterusnya. Dengan memaksa Rooney, Rodwell dan lain-lain melalui proses ini, mereka menyediakan pemain bola sepak liga perdana pada usia 16 tahun. Ia sama seperti pembuatan. Hanya dalam kes ini, ia merupakan pembuatan pemain Liga Perdana.

BF Skinner, seorang pakar kelakuan berkata,

“Berikan saya seorang anak yang baru dilahirkan dan saya boleh menjadikannya kepada apa yang kamu mahukan.”

Di Leaderonomics, misi utama kami adalah untuk membina pemimpin. Untuk berbuat demikian kami bermula seawal mungkin melalui kem-kem dan melalui interaksi dengan para belia. Kami percaya bahawa semua orang patut memainkan peranan dalam proses ini, sama seperti yang Mokhtar lakukan untuk saya.

Akhir kata

Sama seperti bak pepatah sebuah kampung diperlukan untuk membesarkan seorang kanak-kanak, sebuah komuniti diperlukan untuk membina seorang pemimpin.

Ibu bapa perlu memupuk sifat kepimpinan di dalam diri anak-anak mereka. Sekolah-sekolah dan guru-guru perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja gedung ilmu untuk pencapaian akademik, tetapi juga sebagai pembina pemimpin-pemimpin. Syarikat-syarikat pula perlu memainkan peranan mereka dengan menyokong dan memperjuangkan pembangunan kepimpinan yang formatif bagi kanak-kanak.

Jadi, sama ada anda adalah seorang ibu, bapa, guru atau pemimpin korporat, anda perlu melibatkan diri. Tiger Woods, Jack Welch dan Richard Branson telah disemai dengan benih-benih kehebatan oleh ibu bapa mereka. Helen Keller dan ramai di antara kita telah mendapat manfaat daripada guru-guru yang membantu membangunkan kepimpinan kita. Legenda-legenda seperti Mokhtar Dahari turut memainkan peranan.

Setiap orang perlu menjadi sebagai Mokhtar Dahari dan membantu Malaysia melahirkan pemimpin-pemimpinnya. Ia sangat mudah – kita hanya perlu merelakan diri dan turut melibatkan diri dalam proses ini.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik It Takes A Community To Build A Leader.

Sila Kongsi

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.