Luangkan Masa Untuk Merenung

Feb 21, 2017 1 Minit
Alt

Beberapa tahun yang lepas, saya terdengar cerita tentang seorang pekerja pembinaan yang sudah lanjut usia. Pekerja itu ingin berhenti kerja dan memberitahu demikian kepada majikannya. Kerana dia seorang pekerja yang cemerlang, majikannya amat sedih. Sebagai permintaan peribadi terakhir, majikannya meminta pekerja itu untuk membina sebuah rumah untuknya.

Pekerja itu bersetuju tetapi hatinya agak berat untuk melakukannya. Dia tiada lagi semangat untuk membuat kerja. Biarpun itu, dia terus membina rumah itu tetapi tanpa mempedulikan mutu kerja yang dihasilkan. Dia menggunakan bahan-bahan yang bermutu rendah, dan mengambil jalan pintas untuk menyiapkan kerjanya.

Apabila rumah itu siap, majikannya menyerahkan kunci rumah tersebut kepadanya dan berkata, “Rumah ini milikmu. Ia adalah hadiah saya kepadamu.” Pekerja tersebut terkejut dan menyesal kerana dia tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membina rumah itu. Kalaulah dia tahu yang dia sedang membina rumah sendiri, dia pasti akan membinanya dengan sebaik mungkin.

Sikap endah tak endah menular

Bukankah itu sama dengan kita? Seringkali kita bekerja keras tetapi selepas beberapa waktu, kita menjadi endah tak endah. Sikap kita mula berubah tetapi kita memujuk diri dengan berkata itu tidak penting. Tetapi dalam kebanyakan kes, ia sebenarnya sangat penting.

Setiap hari kita membina kehidupan kita, sedikit demi sedikit. Tiap-tiap hari adalah penting kerana kita sedang membina bangunan kehidupan kita. Semasa saya bekerja dengan General Electric (GE), orang sering bercakap tentang ‘rumah yang dibina oleh Jack’. Dengan penuh kesungguhan, Jack Welch membina asas GE selama 20 tahun, kemudian bilik-bilik, bumbung dan akhirnya menyiapkan pemulihan organisasi yang sungguh luar biasa. Ini melibatkan banyak kesabaran dan masa serta tempoh bertahun-tahun lamanya.

Apabila kita gagal mendapat kenaikan pangkat yang kita idamkan, ataupun kita gagal mencapai apa yang orang lain ada, kita berasa terkejut. Mungkinkah ini kerana rumah yang kita bina tidak mempunyai asas yang kukuh ataupun bahan yang berkualiti? Kita perlu ingat bahawa yang penting bukan prestasi tahun lepas atau urus janji minggu lepas yang diambil kira, tetapi keberkesanan yang terkumpul pada setiap hari.

Jadi, bagaimanakah kita memastikan kita hidup dengan efektif setiap hari? Berdasarkan kajian kami, ia memerlukan keseimbangan antara tindakan dan renungan. Biarpun kebanyakan pemimpin lebih cenderung bertindak tetapi mereka yang berjaya adalah yang mengimbangi tindakan dan renungan, meluangkan masa setiap hari untuk bersendirian supaya dapat bertindak dengan efektif.

Pemimpin yang tidak efektif

Kebanyakan pemimpin mengeluh mereka selalu kesuntukan masa. Tetapi jika kita memerhatikan aktiviti mereka, kita akan mendapati bahawa sepanjang hari mereka asyik sibuk bermesyuarat, asyik menoleh telefon bimbit, pandai mengelakkan diri daripada bersemuka dengan masalah atas alasan mereka sedang membuat kerja yang lebih penting.

Selama 10 tahun, Bruch dan Ghoshal memerhati tingkah laku pengurus yang sibuk, dan kesimpulan mereka adalah berikut: 90% daripada pengurus membazir masa dalam pelbagai aktiviti dan tindakan yang tidak efektif sementara 10% yang lain menggunakan masa mereka dengan cara yang komited, penuh keazaman dan renungan. Mereka yang tergolong dalam 10% ini selalunya dikelaskan sebagai pemimpin-pemimpin yang hebat.

Lebih parah lagi, ahli psikiatri John Diamond mendapati bahawa 90% orang “membenci pekerjaan mereka”. Mereka masuk kerja tetapi tidak sabar untuk pulang. Perbezaan di antara pemimpin yang meminati pekerjaan mereka dengan yang tidak adalah pemimpin ini mengambil masa setiap hari untuk menyegarkan diri dan memberi tumpuan melalui renungan.

Merenung 

Amalan merenung wujud sejak berabad-abad yang lalu dan kuat diamalkan oleh pelbagai institusi termasuk samurai Jepun. Benjamin Franklin, salah seorang idola kepimpinan saya, mengamalkan renungan sistematik sebagai asas kehidupannya. Setiap hari beliau akan menilai kepimpinannya mengikut 13 sifat baik yang disenaraikannya.

Bukan sesuatu yang mudah membuat penilaian jujur ke atas diri sendiri. Kita mesti sanggup berhadapan dan mengakui semua kesilapan, kegagalan dan kelemahan kita. Albert Schweitzer, pemenang anugerah Nobel, percaya renungan adalah kritikal kepada kepimpinan kerana ia membenarkan anda untuk “mempertimbangkan perkara-perkara yang anda terlepas pandang”.

Salah satu langkah penting dalam program Alcholics Anonymous (kumpulan penagih alkohol tanpa nama) adalah para peserta dikehendaki membuat inventori dan penilaian jujur ke atas diri sendiri. Steve Jobs pergi ke India untuk membuat renungan tentang hidupnya sebelum beliau mengasaskan Apple.

Di dalam bisnes, renungan memberi peluang untuk mempertimbangkan kesan-kesan yang dihasilkan oleh perkhidmatan anda dan cara yang boleh diambil untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan anda. Bisnes anda akan kian berkembang apabila anda membuat renungan ke atas diri sendiri.

Jadi, apakah yang dicapai oleh seseorang melalui renungan dan berfikir secara mendalam? Tindakan produktif bergantung kepada gabungan tiga ciri-ciri berikut:

  1. Fokus: kemampuan untuk memberi fokus kepada sesuatu objektif dan membuat tugas itu sampai siap.
  2. Tenaga: Kekuatan berunsurkan komitmen peribadi yang tertumpu.
  3. Pembelajaran: Kebolehan membetulkan kesilapan lama dan memperbaiki diri.

Fokus tanpa tenaga menyebabkan kepenatan ataupun kelesuan emosi. Tenaga tanpa fokus membawa kepada kesibukan tanpa tentu arah. Tidak belajar daripada kesilapan pula menjamin pengulangan kegagalan yang sama.

Ketiga-tiga perkara tersebut hanya boleh diperolehi melalui renungan. Mereka yang suka berlengah-lengah selalunya adalah mereka yang mempunyai tahap tenaga dan fokus yang rendah. Pemimpin yang berfokus tinggi tetapi bertenaga rendah tidak akan memberi inspirasi, sebaliknya akan mengetepikan pasukannya. Pengurus yang mempunyai tenaga yang kuat tetapi tiada fokus mengelirukan pekerjanya dengan aktiviti-aktiviti yang kucar-kacir.

Pengurus yang suka merenung adalah orang yang didorong oleh tujuan dengan tahap tenaga yang tinggi, dan yang belajar daripada kesilapan mereka. Mereka memulakan hari mereka dengan meluangkan masa untuk berenung untuk memastikan pelaksanaan dan tindakan mereka penuh dengan tujuan.

Pengurus yang suka merenung adalah orang yang didorong oleh tujuan dengan tahap tenaga yang tinggi, dan yang belajar daripada kesilapan mereka.

Fokus

Confucius pernah berkata, “Orang yang mengejar dua ekor arnab akan kehilangan kedua-duanya!” Di dalam filem Star Wars Episod 1, Qui-Gon berkata kepada Jedi Anakin yang masih muda, “Ingatlah, fokus anda akan menentukan realiti anda.” Ada kebenaran dalam kata-kata hikmah Jedi tersebut. Seseorang yang berfokus biasanya akan mencapai matlamatnya.

Setelah mengharungi hari yang memenatkan, sekiranya fokus kita dijuruskan kepada betapa penatnya kita, kemungkinan besar kita akan kekal penat dan akhirnya terlantar di hadapan TV. Jika kita mengarahkan fokus kita daripada keletihan kepada kepentingan menjaga kesihatan, kemungkinan besar kita akan bersenam.

Mudah sekali kita menyimpang dengan adanya pelbagai gangguan seperti TV, internet dan peranti mudah alih yang kita miliki dewasa ini. Semua gangguan ini boleh memesongkan kita dari hala tujuan kita dan melesapkan tenaga kita. Renungan boleh membetulkan itu semua.

Berkaitan: Tabiat Kerja Dan Hidup Yang Sihat

Tenaga dan nyala rasa

Merenung menjana tenaga dan nyala rasa. Tenaga datang daripada nyala rasa. Nyala rasa pula terjana dengan sendiri kerana anda boleh memotivasikan diri untuk menjadi teruja dengan apa yang anda lakukan.

Pengarang Bill Strickland menulis: “Nyala rasa tidak boleh ditepis. Ia adalah idea-idea, harapan dan segala kemungkinan yang secara semula jadi menarik perhatian dan fikiran anda, iaitu perkara-perkara yang membuat anda menumpukan masa dan fokus anda.”

Strickland percaya bahawa hanya dengan mengikuti nyala rasa, barulah anda mampu membuka kunci potensi sebenar anda. “Saya tidak pernah menikmati kehidupan yang penuh makna jika bukan kerana nyala rasa. Dan saya tidak pernah menemui seseorang yang hidup dengan penuh semangat yang hidupnya tidak, dalam aspek-aspek penting, luar biasa.”

Belajar daripada kesilapan

Renungan membolehkan kita untuk belajar daripada kesilapan. Kita semua melakukan kesilapan – saya sendiri pernah melakukan kesalahan yang teruk pada seseketika masa. Kita semua pernah berada dalam situasi di mana apa yang berlaku itu tidak seperti yang dirancangkan. Tetapi berapa kerapkah kita mengambil masa untuk duduk dan merenung kembali di mana kesilapan kita?

Kata-kata Plato yang terkenal ‘kenalilah dirimu’ mencadangkan bahawa pemeriksaan diri sepanjang hidup adalah asas kepada pengetahuan. John Dewey berkata:

“Kita tidak belajar daripada pengalaman; kita belajar daripada merenungi pengalaman.”

Malah Kolb Learning Cycle adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa pembelajaran demi mencapai pemahaman sebenar datang daripada rangkaian pengalaman, renungan, keabstrakan dan tindakan. Semua pembelajaran hanya boleh diperolehi melalui renungan.

Periksa sikap anda setiap hari

Sekiranya kita ingin menikmati kehidupan yang luar biasa, kita mesti usahakannya dari dalaman dengan menyemai sikap positif setiap hari. Sikap dan pilihan yang anda lakukan hari ini akan membina rumah yang akan anda diami pada keesokan hari. Binalah dengan bijak! Binalah dengan komitmen, kebanggaan, kegembiraan, kasih sayang dan keghairahan.

Sikap anda mudah berjangkit dan akan menentukan suasana bagi mereka yang ada di sekeliling anda. Sekiranya anda teruja, rakan-rakan sekerja anda juga akan turut teruja. Apabila anda bertenaga, mereka juga turut bertenaga.

Plato membuka Akademi di Athens ketika berusia 40 tahun, walaupun jangka hayat waktu itu adalah 36 tahun. Beliau mengelola universiti yang pertama itu, melatih Aristotle dan yang lain, sehingga beliau berumur 80 tahun. Mengejar mimpi-mimpi yang positif membekalkan seseorang dengan tenaga yang tinggi dan membawa kepada kehidupan yang diperpanjangkan serta memuaskan.

‘Saya tak ada masa untuk merenung!’

“Saya tidak ada masa untuk membuat renungan.” Ini adalah kenyataan yang lazim diucapkan.

Persoalannya adalah: Adakah anda mempunyai masa untuk membuat kesilapan yang sama berulang-ulang kali? Ataupun untuk kekal tidak mempunyai fokus, berlari ke hulu ke hilir seperti ayam tidak berkepala? Atau kekurangan tenaga untuk melaksanakan impian anda?

Saya masih ingat bos lama saya pernah memberitahu saya bahawa saya tidak dibayar untuk duduk berfikir. Apabila mengimbas kembali, nasihat itu barangkali nasihat paling buruk yang pernah saya terima. Pemimpin seharusnya meluangkan sekurang-kurangnya seperempat daripada masa mereka untuk berfikir tentang masa depan syarikat dan merenung tentang masa silam. Ia mungkin kelihatan tidak masuk akal, tetapi ‘kerja sebenar’ hanya boleh dilakukan dengan betul apabila anda mengetahui hala tujuan anda dan mempunyai tenaga untuk sampai ke sana.

Akhir kata

Sekiranya kita boleh menghidupkan kembali masa yang berlalu, kita mungkin akan menggunakan cara berbeza dan yang lebih baik. Namun masalahnya ialah kita tidak boleh kembali ke masa yang sudah berlalu.  Kita adalah seperti pekerja pembinaan itu. Setiap hari kita menukul paku, menyusun papan, menegakkan tiang dalam karier, keluarga dan kehidupan kita. Adakah kita melakukannya dengan fokus dan tenaga? Adakah kita belajar daripada kesilapan-kesilapan kita untuk menambah baik diri?

Jika kesungguhan semakin pudar dalam hidup kita dan kita hidup secara auto-kemudi dan kegembiraan hidup semakin lesap, inilah masanya kita berhenti sejenak dan merenung kehidupan kita.

Socrates, Franklin dan ramai lagi pemimpin hebat yang lain percaya bahawa renungan membawa kepada kehidupan yang produktif dan memuaskan. Dan jangan sesekali katakan bahawa anda tidak ada masa. Lagipun, seperti yang dikatakan Buddha:

“Segala yang kita jadi adalah hasil daripada apa yang kita fikirkan.”

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik If Your “House” Is Build By Your Actions, What House Are You Building?

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Mengapa Wanita Memegang Kunci Kepimpinan yang Sahih

Oleh William Arruda. Temui cara pemimpin wanita mentakrifkan semula keaslian dalam kepimpinan, mengutamakan kesedaran diri, kerjasama dan daya tahan.

Mar 28, 2024 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest