Cabaran Dan Pengalaman Hidup Selepas SPM

Feb 21, 2017 9 Minit
hidup, jalan, masa hadapan

“Masa itu adalah waktu yang terbaik, sekaligus yang paling teruk sekali; ia adalah zaman kebijaksanaan, sekaligus zaman kebodohan; zaman kepercayaan, sekaligus zaman tidak percaya; musim terang sekaligus musim kegelapan; musim bunga yang penuh harapan, sekaligus musim sejuk yang penuh dengan putus asa; kami mempunyai segala-galanya di hadapan kami, sekaligus langsung tiada apa-apa di hadapan kami…” – Charles Dickens

Setahun selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya membaca novel Charles Dickens yang berjudul A Tale of Two Cities (Kisah Dua Kota) dan berfikir betapa tepatnya cerita itu menggambarkan keadaan saya pada waktu itu. Hidup saya selepas SPM penuh dengan detik-detik gembira dan indah serta marah, keliru, takut dan kesal.

Detik indah dan gembira bermula sebaik sahaja saya habis menduduki kertas akhir SPM dan meninggalkan bangku sekolah sehinggalah keputusan SPM diumumkan. Apabila keputusan SPM diumumkan, hidup saya menjadi kucar-kacir.

Secara jujurnya, saya agak frus selepas peperiksaan SPM kerana dalam kalangan rakan sekolah, saya seorang sahaja yang tidak ada teman wanita. Rakan-rakan saya selalu ditemani buah hati mereka. Tetapi saya tidak peduli sangat kerana saya sibuk menguruskan aktiviti-aktiviti lain termasuk memulakan perniagaan sendiri, membantu di kem-kem belia, bekerja dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya sememangnya berasa penuh berkuasa sekaligus bodoh, terburu-buru dan spontan, dan penuh impian mahu ‘mengubah dunia’.

Sewaktu keputusan SPM diumumkan, dunia saya berubah dengan tiba-tiba. Apa yang melucukan ialah keputusan saya agak baik. Saya mencapai tujuh A1 dan satu C3. Pada waktu itu, kami hanya dibenarkan mengambil lapan hingga sembilan mata pelajaran. Saya tidak terkejut dengan keputusan itu tetapi saudara-mara dan rakan-rakan saya amat terkejut memandangkan saya banyak menghabiskan masa bermain bola sepak dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti lain.

Roshan sebagai kapten rumah sukan sekolahnya semasa di MBS.

Yang mereka tidak tahu ialah saya sebenarnya mengulang kaji pelajaran saya sewaktu rakan-rakan saya keluar mencari buah hati mereka. Walau bagaimanapun, mendapat keputusan yang baik merumitkan hidup saya. Saya bertekad tidak mahu melanjutkan pelajaran di universiti tempatan, sebaliknya berimpian mendapat biasiswa untuk ke luar negeri.

Saya dan rakan-rakan (yang juga merancang untuk meninggalkan Malaysia untuk menikmati pendidikan yang lebih baik di negara asing) memohon biasiswa yang ditawarkan oleh JPA, Petronas, Renong dan macam-macam lagi. Seorang demi seorang rakan saya yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang berbanding saya ditawarkan biasiswa ke negara-negara asing. Saya pula menghadiri satu temu duga lepas satu temu duga, tetapi tidak beroleh sebarang kejayaan.

Kemudiannya saya sedar saya sememangnya tidak menguasai kemahiran temu duga. Saya cenderung berbicara dengan jujur semasa ditemu duga dan ternyata itu bukanlah sesuatu yang ingin didengar oleh penemu duga, terutamanya impian saya menyeimbangkan hasrat mengubah dunia, bersukan dan kesibukan hidup sebagai pelajar. Selepas beberapa bulan, saya masih belum menerima sebarang berita tentang permohonan biasiswa. Akhirnya saya terpaksa menerima hakikat bahawa saya akan melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam.

Roshan dengan rakan-rakan pelajar perempuan semasa di Tingkatan 6 di MBS

Susah sekali untuk saya menerima hakikat ini. Saya melihat rakan-rakan saya berlepas ke luar negeri atau melanjutkan pengajian di kolej swasta atau ke kelas persediaan sebelum berlepas ke negara-negara asing yang ‘eksotik’ seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan United Kingdom. (Bagi seorang yang setakat ini hanya pernah melancong ke dua tempat sahaja di luar Malaysia, mana-mana negara pun adalah eksotik!)

Tetapi saya terpaksa kembali ke Sekolah Lelaki Methodist Kuala Lumpur (MBS) untuk meneruskan pelajaran di Tingkatan Enam. Hari-hari yang indah selepas tamat SPM kini bertukar menjadi hari-hari yang cukup menekankan. Saya ke sekolah tetapi hati dan jiwa saya cemburu mengenangkan betapa beruntungnya rakan-rakan yang lain.

Satu-satunya penawar duka adalah setidak-tidaknya dalam kelas Tingkatan 6 ada pelajar perempuan (tidak seperti sepanjang lima tahun sebelumnya). Jadi, mungkin ada sedikit harapan untuk memenuhi kekosongan hidup saya yang setakat ini ‘tidak ada teman wanita’. Pada masa ini, rakan-rakan saya sudah putus cinta dengan teman wanita pertama dan sedang menjalin hubungan dengan teman wanita kedua atau ketiga.

Namun keadaan kasihan diri tidak berlarutan. Guru besar saya yang cukup tegas dan berdisiplin pernah mengingatkan saya bahawa sebagai pemimpin pelajar MBS yang mahu mengubah dunia, saya sepatutnya jangan mudah menjadi mangsa keadaan. Nasihat yang sama juga saya terima daripada bekas jurulatih bola sepak saya, pemain legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari.

Beliau percaya nasib buruk (dalam hal ini, terkandas di MBS!) berlaku kepada semua orang tetapi cara kita menanganinya menunjukkan kehebatan seseorang. Menyaksikan Mokhtar Dahari bertarung melawan penyakit yang kemudian menelan nyawanya memberi semangat kepada saya untuk meneruskan hidup dan tidak mudah jadi mangsa keadaan.

Dengan semangat baharu, saya berkeputusan menumpukan beberapa bulan berikutnya untuk mencari jalan yang membolehkan saya ke luar negeri. Saya tahu bahawa saya mesti terus mencuba; seperti yang dikatakan oleh Mokhtar Dahari berulang-ulang kali kepada kami, “Semua perkara memerlukan usaha gigih dan kesabaran.’’ Jadi, saya pun bekerja keras siang dan malam memohon untuk ke universiti di luar negeri.

Saya mula mendapatkan borang-borang permohonan universiti, memperkemaskan resume dan menulis surat sebaik mungkin kepada beberapa universiti sambil menjelaskan kenapa mereka perlu menerima saya dan membiayai pengajian, makan-minum, tempat tinggal dan setiap sesuatu perbelanjaan saya.

Saya mungkin habis menggunakan wang simpanan dan pendapatan (daripada perniagaan kecil memberi tuisyen dan lain-lain) serta wang sagu hati yang saya terima selepas mendapat keputusan cemerlang (bapa saya kakitangan kerajaan dan saya mendapat hadiah daripada koperasi yang memberi insentif kepada anak kakitangan yang mendapat keputusan cemerlang) untuk membeli setem dan mengirim lebih daripada 1000 pucuk surat kepada universiti-universiti di seluruh dunia.

Saya agak terkejut apabila mendapat jawapan daripada banyak universiti ternama. Harvard, Princeton dan Georgetown menerima saya tetapi hanya menawarkan biasiswa kecil yang cuma dapat membiayai 25 peratus daripada yuran saya. Oleh kerana saya tahu ibu bapa saya tidak mungkin dapat menanggung bakinya (ketika itu saya tidak tahu kerajaan akan membiayainya jika saya dapat masuk ke universiti utama), saya tidak berhenti memohon kepada universiti-universiti lain.

Akhirnya, sebuah universiti kecil di Connecticut (tidaklah terlalu kecil!) menerima permohonan saya dan menawarkan saya biasiswa penuh yang menampung semua perbelanjaan termasuk makan-minum, tempat tinggal, tuisyen dan lain-lain. Yang saya perlu sediakan hanyalah bayaran tiket penerbangan ke sana.

Saya masih ingat lagi, surat itu saya terima pada 18 Disember 1992. Pada 3 Januari 1993, saya menaiki pesawat (saya bertemu bakal isteri saya yang turut menaiki pesawat yang sama) untuk melanjutkan pelajaran di Connecticut. Kesabaran dan usaha gigih saya terhasil. Saya pun bersiap sedia untuk memulakan pengembaraan saya ke tempat baharu lagi eksotik, New England.

Apabila sampai di Universiti Bridgeport, saya berjumpa dengan Presiden Universiti (kerana nampaknya saya adalah antara golongan pelajar yang pertama menerima biasiswa penuh daripada universiti itu). Selepas itu, saya berjumpa pula dengan penasihat pelajar. Soalan pertamanya “Kenapa anda memilih universiti ini?’’ mendedahkan bahawa dia ketahui saya memang mendapat tawaran daripada beberapa universiti yang lebih ‘baik’. Saya menjawab soalan itu dengan tenang. Kemudian dia menanya soalan kedua, “Anda ingin belajar apa?”

Saya terdiam. Saya tidak tahu apa yang saya hendak belajar atau apakah kerjaya saya nanti. Saya rasa ibu bapa saya mahu saya menjadi jurutera; yang lain hendak saya menjadi akauntan atau kerjaya yang dapat membina masa hadapan. Saya menatapi penasihat itu yang bernama Profesor Greenspan, dan bertanya kepadanya: “Apakah kursus paling mudah yang ditawarkan yang saya boleh lulus dengan senang?” Dia memandang saya seakan-akan marah sebelum menjawab dengan sabar:  “Perniagaan. Perniagaan Antarabangsa, senang.” Saya menatapi wajahnya dan menjawab: “Okay. Saya ambil kursus itu.’’ (Beberapa hari kemudian baharulah saya sedar bahawa Profesor Greenspan ialah profesor perniagaan dan kerana itu, dia mencadangkan kursus tersebut.)

Selepas tamat pengajian dan mendapat kerja di General Electric (GE), saya masih tidak tahu apa yang saya hendak buat. Apabila bos pertama saya sedar saya kurang mahir dalam bidang kewangan, dia mendesak supaya saya diberi peranan kewangan semasa saya memulakan kerjaya saya di GE. Beberapa lama kemudian, saya dilantik menjadi ketua kewangan dan selepas itu sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) di GE. Tetapi pada masa itu pun saya masih tidak tahu apa yang saya benar-benar mahu capai dalam hidup ini. Akhirnya, selepas jawatan ketujuh di GE, saya baru sedar apa sebenarnya yang saya benar-benar mahukan dalam hidup saya.

Bukanlah senang untuk mencungkil nyala rasa diri.  Steve Jobs, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Apple, tidak tamat kolej serta mengecewakan ibu bapanya kerana tidak tahu apa yang beliau inginkan dalam hidup  dan bagaimana kolej boleh membantunya membina kehidupannya. Pada mulanya Jobs bekerja di Atari untuk menyimpan wang untuk melancong ke India demi mencari nyala rasanya. Di India, beliau menghabiskan masa mengenali persekitarannnya dan Penciptanya dalam usaha mencari “panggilannya”. Apabila Jobs memberi nasihat kepada setiap seorang selepas mereka tamat sekolah tinggi, beliau akan berkata:

“Anda perlu bekerja sebagai konduktor bas atau apa sahaja sehingga anda temui nyala rasa anda. Saya yakin bahawa perbezaan besar antara usahawan yang berjaya dan yang tidak adalah KECEKALAN. Ramai orang terbabas apabila mengharungi kesukaran. Melainkan anda sangat bersungguh-sungguh dengan apa yang anda impikan, anda tidak akan berjaya. Anda akan putus asa. Jadi, anda harus mempunyai satu idea, atau satu masalah, atau satu kesalahan yang anda benar-benar mahu betulkan dan minati. Jika tidak, anda tidak akan mempunyai ketabahan untuk melaluinya. Saya fikir itu adalah separuh daripada perjuangan anda.”

 

Apa yang dikatakan oleh Jobs itu betul. Anda perlu mencari dahulu apa yang anda benar-benar inginkan. Ini perkara penting yang perlu anda lakukan selepas SPM. Selepas anda tahu keinginan ini, anda akan bersemangat untuk menjadi seorang yang hebat.

Kebanyakan lepasan SPM mempunyai pengalaman yang sama seperti saya – tidak tahu sama ada mahu meneruskan pengajian atau tidak, belajar di mana, belajar apa, hendak kerja jadi apa dan apa pilihan kerjaya. Oleh itu, masa selepas SPM (atau sekolah tinggi) adalah batu tanda yang penting dalam hidup.

Bagi kebanyakan lepasan SPM, pilihan adalah ke Tingkatan Enam dan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau A-Levels dan kemudian menentukan kerjaya yang ingin diceburi. Bagi sesetengah orang, mereka mungkin terpaksa membuat penentuan lebih awal. Namun, kita semua berhadapan dengan masalah kerana kita tidak tahu apa yang kita benar-benar inginkan. Carilah impian anda. Itulah kunci kehidupan selepas SPM.

Usah risau, itu galakan saya kepada anda. Cuba jalan yang berbeza. Saya mengambil beberapa tahun untuk menemui impian saya dan apabila saya menemuinya, saya tidak pernah menoleh ke belakang. Tetapi apabila saya mengimbas kembali, saya memang tidak inginkan masa silam yang berbeza. Setiap pengalaman yang saya lalui, baik yang bagus atau tidak, membantu saya untuk mengenali diri dan memajukan diri. Semua pengalaman ini membantu saya mengenali apa yang saya tidak mahu lakukan dan apa yang saya betul-betul inginkan.

Jadi, nasihat saya ialah bergembiralah selepas SPM. Jangan risau. Teruskan usaha anda untuk mencari dan mengalami. Suatu hari nanti anda akan menemui ‘passion’ anda. Selamat Maju Jaya!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Life After SPM: Your Search For Your Passion

 

 

 


 

Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Pandemik Memberikan Keburukan Terhadap Keseimbangan Jantina

Pandemik Memberikan Keburukan Terhadap Keseimbangan Jantina

Oleh Zoe Kinias. Kemajuan ke arah pariti jantina merosot semasa wabak. Agenda jantina mundur. Di sini penulis menghimpunkan lima cara pemimpin boleh mengambil langkah kecil ke arah mencapai kesetaraan gender. Baca terus untuk mengetahui lebih lanjut.

Oct 03, 2022 5 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Biar Mereka Gagal

Setiap pemimpin yang hebat pasti pernah gagal berulang kali dalam kembara kehidupannya. Belajar daripada setiap kegagalan. Jangan ulanginya. Jadikan kegagalan-kegagalan itu sebagai batu asas kejayaan masa hadapan. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Tidak Mengapa, Biar Mereka Gagal.

Jul 06, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest