Legasi Seorang Ibu Untuk Generasi Seterusnya

May 14, 2017 1 Minit
ibu, Freda Liu, keluarga, tanggungjawab

Apabila saya menyedari saya mengandung, saya menangis tersedu-sedan. Boleh dikatakan saya dalam kejutan! Sememangnya saya mahukan anak, tetapi saya mahu menunggu situasi yang ‘sempurna’. Saya sedar situasi itu tidak mungkin terjadi.

Saya percaya saya menangis kerana ini ialah petanda akhir bahawa saya perlu mematangkan diri. Saya bukan sahaja bertanggungjawab untuk kehidupan sendiri tetapi juga masa hadapan anak saya.

Apakah tugas seorang ibu? Saya berfikir panjang soalan ini dan menyedari saya perlu bermula dengan menetapkan pengakhiran. Ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Stephen Covey, dalam bukunya yang bertajuk ‘7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan’.

Saya terbayang-bayang tentang diri apabila umur menginjak 80 (atau nazak di atas katil jika anda mahu berfikir sesuatu yang menggerunkan!). Apakah ukuran sebenar pencapaian saya? Adakah harta kekayaan atau kejayaan luaran, atau hubungan dan memori indah yang saya himpunkan? Perkara yang paling jelas dalam minda saya adalah pembawaan dan perwatakan anak saya apabila besar nanti.

Apabila perkahwinan saya berakhir dengan perceraian, saya berasa diri saya betul-betul gagal. Saya cuba menyelamatkan ikatan rumah tangga selama enam tahun itu kerana saya mahukan imej ‘keluarga’ seperti yang disarankan Tuhan.

Saya juga berasa saya amat mengecewakan anak saya. Pada masa sama, saya cukup bersyukur kerana mempunyai dua orang ibu yang betul-betul menyayangi saya dan anak saya. Saya sungguh terhutang budi kepada mereka berdua — ibu mentua dan ibu kandung saya.

Dua orang ibu

Sehingga hari ini, bekas ibu mentua masih tinggal dengan saya. Semoga Tuhan memberkatinya. Saya tidak pasti saya mampu menguruskan hidup saya tanpa sokongan dan kasih sayangnya yang melimpah untuk saya dan dalam berkongsi beban menjaga anak saya.

Kerana bekas ibu mentua bersama kami, saya senang hati bahawa seseorang yang benar-benar menyayangi anak saya sentiasa ada bersama untuk membolehkan saya melakukan perkara-perkara lain. Ibu (panggilan saya kepadanya) merupakan tunggak kekuatan saya dan oleh itu, saya terhutang budi kepadanya sehingga akhir hayat.

Semasa membesar, tidak pernah sekali saya berasa saya tidak mampu berbuat apa-apa. Jika saya mahu mengikuti kelas muzik atau Mandarin, ibu kandung saya akan menjadi pemandu setia, tanpa merungut sedikit pun.

Oleh sebab Ma, saya tidak pernah ada stigma berkenaan perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh wanita. Ma sentiasa menyokong apa-apa kerjaya yang saya pilih.

Pelaburan seumur hidup

Mempunyai anak ialah suatu pelaburan. Dan pelaburan saya itu adalah dalam bentuk masa yang diluangkan dengan anak saya. Pada tahun 2015, matlamat saya adalah untuk mencapai 52 detik indah bersama anak saya dalam tempoh setahun itu. Ini bermakna dalam masa seminggu, kami akan memperuntukkan sehari suntuk untuk meluangkan masa bersama dengan penuh bermakna dan tanpa gangguan luar.

Sejak itu saya menjadikan matlamat 52 detik indah bersama anak saya sebagai matlamat tahunan kami. Dia membesar dengan pantas. Jika saya tidak meluangkan masa yang berkualiti dengannya, saya akan kehilangan kenangan dengannya.

Dia memerhatikan setiap gerak-geri saya, bukan cuma perkataan yang saya ungkapkan. Sekarang, saya mendengar rungutannya seperti saya meluangkan terlalu banyak masa dengannya dan saya terlalu banyak menghimpit, memeluk dan menciumnya.

Dia bertanya kenapa saya tidak boleh berkelakuan seperti ibu yang normal dan kurang menciumnya? Saya memberitahunya bahawa apabila dia besar nanti, dia akan berpeluang untuk berkata bahawa semasa kecil, dia terlebih dicium dan dipeluk, dan tidak pernah kekurangan kasih sayang.

Legasi terbesar saya

Seorang mentor pernah memberitahu saya, “anak-anak ialah tetamu sementara kita” dan “jangan nafikan mereka keistimewaan bersusah-payah.” Masa anak saya dalam jagaan saya terhad, walaupun saya tetap ibunya.

Saya tidak boleh terlebih memanjakannya kerana saya hendak pastikan dia berupaya menguruskan hidupnya sendiri apabila saya sudah tiada. Ini ialah hadiah kedua terbaik yang boleh saya beri kepadanya. Menjadi ibu yang tegas bukan menyeronokkan tetapi saya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi penjelasan sebab kenapa dia ditegur apabila perlu.

Salah satu hadiah terbaik yang boleh saya berikan kepadanya ialah pengetahuan Al-Kitab.

“Apa gunanya seorang memperoleh seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya?”

Pendidikan adalah bagus namun saya lebih mahukan anak saya membesar menjadi seorang lelaki yang seimbang, boleh menyesuaikan diri, penyayang, serta setia dan komited. Seperti yang dinyatakan oleh seorang bapa tunggal baru-baru ini, “Kebolehpercayaan merupakan gelagat seksi yang baharu.”

Selamat Hari Ibu!

 

Freda Liu ialah jurulatih fakulti Leadernomics, dengan kepakaran dalam bidang perhubungan awam dan penyiaran. Dia juga penyampai/penerbit radio BFM89.9. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik A Mother’s Legacy To The Next Generation
Leadernomics mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada para ibu! E-melkan pengalaman/pendapat anda sebagai seorang ibu kepada kami di editor@leaderonomics.com.

 

Nota Gambar: Freda (kedua dari kanan) bersama-sama dengan dua orang ibunya dan anak lelaki kesayangannya semasa cuti keluarga baru-baru ini

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan Digital

Kepimpinan Digital ialah Kepimpinan Manusia

Oleh Ian Chew. Apakah tiga perkara hebat yang penting untuk kepimpinan jarak jauh? Baca pandangan oleh penulis di sini.

Feb 12, 2023 5 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest