Lakukan Sahaja!

Oleh Roshan Thiran|14-08-2017 | 1 Minit
Tips Untuk Menguasai Cara Menyiapkan Kerja

Seperti anda semua, saya juga bergelut melawan pelbagai gangguan serta tenggelam dalam kerja-kerja dan kesempatan harian. Selalu sahaja saya dihujani oleh perkara menarik perhatian yang meningkatkan rasa ingin tahu diri ini. Video YouTube yang mencuit hati, artikel yang merangsang fikiran, 500 e-mel yang perlu dihadap setiap hari dan mesyuarat yang tidak berkesudahan. Sehingga tidak cukup masa untuk saya membuat kerja hakiki. Namun, pergelutan ini perlu ditangani. Pemimpin yang hebat bukan sahaja mampu menangani  gangguan, namun mereka berjaya mengatasinya dan menyudahkan kerja hakiki. Mereka masak dengan seni menyiapkan kerja.

Kajian yang dijalankan Fortune mendedahkan bahawa 70% daripada kegagalan ketua pegawai eksekutif disebabkan oleh kegagalan mereka untuk bertindak. Apakah tindakan yang gagal dilaksanakan oleh kebanyakan ketua pegawai eksekutif  ini? Mereka gagal menyudahkan pekerjaan, teragak-agak dalam membuat keputusan, dan tidak melaksanakan komitmen dan tugasan dengan baik.

Charles Schwab

Charles Schwab dinaikkan pangkat daripada pekerja buruh kepada eksekutif disebabkan kebolehannya melaksanakan kerja. “Schwab ialah seorang pembina, bukannya pengasas”, ini komen daripada bosnya, Andrew Carnegie.

Schwab pernah bercerita tentang seorang pengurus kilang yang tidak dapat menghasilkan pengeluaran seoptimum mungkin. Pengurus itu mencuba pelbagai cara namun masih gagal. Schwab pergi ke kilang itu pada penghujung hari, membawa sebatang kapur dan bertanya kepada seorang penyelia, “Berapa banyak leding yang dihasilkan dalam syif hari ini?” Penyelia itu menjawab “Enam”. Menggunakan kapur, Schwab menulis angka ‘6’ yang besar pada dinding, kemudian masuk ke dalam kilang, diam membisu. Kemudian apabila tiba syif malam, pekerja yang datang nampak angka 6 pada dinding, dan bertanya apakah maksudnya.

“Bos besar ada datang tadi,” kata pekerja syif siang. “Dia tanya kami berapa banyak leding yang kami sudah siapkan. Kami kata enam. Dan itulah yang ditulisnya.”

Keesokan pagi, Schwab singgah ke kilang yang sama dan nampak angka ‘6’ itu telah dipadamkan dan digantikan dengan nombor ‘7’. Hasil yang diperoleh daripada syif malam melangkaui syif siang pada hari sebelumnya. Malam itu dia kembali dan angka ‘7’ itu pula telah dipadamkan, dan yang tertayang di dinding itu ialah angka ‘10’.

Sedikit sebanyak Schwab telah mewujudkan persaingan antara pekerja syif malam dan siang tanpa perlu bersuara. Hal ini berterusan sehinggalah kilang itu, yang pada asalnya merupakan kilang paling teruk, berubah menjadi kilang yang menghasilkan pengeluaran yang paling tinggi.

Pemimpin-pemimpin yang hebat seperti Schwab tahu cara untuk mencapai hasil daripada kerja. Sama juga dengan syarikat-syarikat yang hebat. Pada tahun 80-an dan 90-an, Toyota mencapai hasil yang lebih tinggi daripada General Motors (GM) kerana ia melaksanakan kerja dengan lebih baik.

Pelaksanaan penting dalam sesebuah strategi

Musuh nombor satu bagi mana-mana strategi ialah pelaksanaan yang lemah. Strategi dan model perniagaan Dell diketahui umum namun sedikit sahaja syarikat yang mampu mengikut langkah yang sama.

Menurut pengasasnya Michael Dell, ‘sebab utama model perniagaan langsung” Dell terus berjaya adalah kerana “kami melaksanakan kerja. Semuanya terletak pada pelaksanaan”. Southwest Airlines berjaya menjana keuntungan setiap tahun selama 30 tahun. Strategi ini diketahui ramai, tetapi seperti Dell, tiada syarikat yang mampu mengikut jejak langkah organisasi ini dari segi pelaksanaan. Walmart bertahun-tahun berjaya menguasai pasaran melalui pelaksanaan strategi tanpa henti, lalu berjaya menjadi stor yang terbesar di dunia.

Industri perbankan merupakan contoh terbaik yang menunjukkan pelaksanaan merupakan penentu kejayaan. Kebanyakan bank runcit mempunyai strategi tersendiri yang hakikatnya sukar untuk dibezakan. Strategi bank-bank ini secara umumnya ditujukan pada sasaran dan melibatkan pelanggan yang sama, mempunyai pengurusan perhubungan dan menyediakan perkhidmatan berkelas dunia, pembangunan produk berinovatif dan pengurusan risiko. Namun, masih ada yang berjaya dan tewas dalam bidang ini. Pemenang dalam persaingan ini ialah bank yang menunjukkan perbezaan dari segi kualiti pelaksanaan tugasan.

Jendela peluang terbuka luas dan tutup dengan lebih pantas daripada sebelum ini. Pelanggan hari ini menjangkakan semua benda, dari aspek perkhidmatan sehinggalah penyelesaian masalah, semuanya perlu ditangani dengan segera. Kelewatan merupakan kesalahan, hal ini menelan kos yang besar dan boleh meranapkan perniagaan. Pemimpin yang hebat tidak pernah bertangguh. Mereka mempunyai pendorong dari dalam yang mementingkan kepantasan dan tindakan dalam menyempurnakan tugasan.

Idea sahaja tiada gunanya

Penting untuk kita mempunyai idea. Perniagaan ditubuhkan melalui pembangunan produk berinovatif untuk membantu manusia, menyelesaikan masalah, mewujudkan nilai dan boleh diperbesar. Namun, kita lebih cenderung mempunyai idea yang bagus berbanding kemampuan untuk melaksanakannya. Kemampuan untuk melaksanakan inilah yang menentukan sama ada idea-idea yang bagus ini akan terlahir sebagai produk atau tenggelam tanpa dikenali sesiapapun.

Mempunyai idea tidak mendatangkan makna sehinggalah seseorang mengambil langkah untuk melakukan kerja-kerja yang diperlukan. Hal inilah yang membezakan idea daripada inovasi sebenar. Tetapi amat payah untuk kita menabur langkah. Ini memerlukan keberanian untuk melaksanakannya, menghasilkan produk, menghadap sepak terajang politik dan memperjuangkan bajet yang diperlukan. Ini semua bertitik tolak daripada pelaksanaan.

Berkaitan: Organisasi Yang Dipacu Tujuan Akan Mencapai Kehebatan

Beberapa tahun lepas, HP melantik Carly Fiorina sebagai ketua pegawai eksekutif untuk memimpin syarikat dengan gagasan yang membawa pembaharuan dan mengemudi organisasi ini melalui hala tuju dengan lebih kental. Dia menetapkan penggabungan yang terbesar dalam sejarah dan merancang untuk melancarkan produk berinovatif yang baharu melalui penggabungan ini.

Tujuh tahun kemudian, penggabungan ini gagal berhasil dan Carly dipecat. Ketua pegawai eksekutif baharu, Mark Hurd, kemudiannya dilantik dan dia menjayakan pembaikpulihan yang terhebat melalui pelaksanaan kerja tanpa henti dan disiplin tanpa kompromi. Dia memotong perbelanjaan, menambah baik kecekapan dan meletakkan orang yang betul bagi peranan utama, selain memacu operasi berteraskan hasil sepanjang proses itu berjalan.

Anda boleh belajar melaksanakan kerja

Mark Douglas, pakar perdagangan berkata,

“Pelaksanaan perdagangan yang betul merupakan komponen yang paling penting untuk menjadi peniaga yang berjaya dan perkara ini barangkali amat susah untuk dipelajari. Kebanyakan peniaga berasa mudah untuk mengenal pasti peluang, berbanding mengerjakan idea tersebut.”

Hal ini diguna pakai dalam semua bidang. Menjadikan peluang adalah suatu kenyataan yang memerlukan disiplin dan fokus.

Masalah utama kita ialah kebiasaan. Untuk memulakan tindakan, ini memeritkan dan memaksa kita untuk membuat sesuatu yang menuntut disiplin diri. Kebanyakan kita benci akan disiplin kerana kita lebih suka berada dalam zon yang selesa.

Helah yang boleh digunakan adalah dengan memulakan tugasan pada peringkat permulaan. Amat payah untuk kita memulakan sesuatu dengan segera. Terus laksanakan tugasan yang terdapat dalam senarai kerja sebaik sahaja anda bangun dan jangan berlengah. Apabila anda berjaya menyiapkan sesuatu tugasan, walaupun tugasan itu nampak remeh, perkara ini boleh meningkatkan momentum seharian anda. Hal ini merupakan pelajaran pertama dalam menyiapkan kerja: Jangan anda tunggu peluang yang betul-betul sesuai tiba. Lakukan Sahaja Sekarang!

Semua orang boleh belajar melaksanakan kerja. Semua ini berkait rapat dengan disiplin dan kerja keras.

10 langkah utama untuk menguasai cara menyiapkan kerja

  1. Menang pertarungan pada awal pagi setiap hari. Tahan diri daripada godaan untuk memeriksa e-mel atau membazirkan masa melakukan perkara sia-sia. Kemenangan singkat di awal pagi memastikan angin anda baik, dan ini akan menentukan keadaan dalam meneruskan hari tersebut.
  2. Buat senarai tugasan yang anda mahu sudahi. Tetapkan prioriti yang realistik bagi setiap tugasan (i.e perlu siap hari ini, esok, Jumaat depan, dll.). Usahakan TPU (Tugasan Paling Utama) terlebih dahulu
  3. Kerjakan sebahagian kecil daripada setiap tugasan setiap hari. Jangan bertangguh sehingga saat akhir dalam menyiapkan tugasan. Apabila anda telah temui jalan buntu, berhenti daripada mengerjakan tugasan tersebut dan beralih pada tugasan lain. Jangan tonton TV atau layari Facebook. Sebaliknya, teruskan dengan mengerjakan tugasan lain.
  4. Bersusah-susah dahulu. Lakukan kerja yang paling sukar terlebih dahulu. Jika kerja yang anda laksanakan pada waktu pagi adalah yang paling ‘renyah’, hari anda akan berlalu dengan lebih mudah.
  5. Bekerja dalam selang waktu dan rehat sebentar dengan memberi ganjaran kepada diri dengan coklat (atau snek yang lebih sihat!), kemudian anda boleh kembali menyiapkan sebahagian kerja yang lain. Pastikan anda terlebih dahulu menentukan selang waktu bekerja dan masa rehat serta ikuti keputusan yang dibuat.
  6. Semasa rehat, nilai semula kemajuan anda dan lihat jika ada perspektif baharu yang boleh diamalkan untuk selang waktu yang seterusnya.
  7. Sentiasa ikuti kemajuan anda. Potong mana-mana tugasan daripada senarai apabila sudah siap. Ini akan membuatkan anda gembira dengan pencapaian sendiri lalu memberi motivasi untuk menyiapkan kerja yang lain.
  8. Pastikan matlamat akhir jelas. Nilai kembali senarai kerja yang perlu dilakukan setiap hari. Tulis semula dan susun kembali prioriti, sekiranya perlu. Lebih jelas matlamat akhir itu, lebih mudah untuk anda bergerak. Selalu tanya diri anda, “Apakah yang perlu dilakukan untuk projek ini bertambah baik?”
  9. Manfaatkan teknologi untuk menyempurnakan tugasan dengan lebih pantas, cekap atau tepat. Ada cara yang lebih cepat dan bagus untuk menyiapkan kerja. Cari alternatif yang paling pantas dan memberikan anda hasil yang terbaik.
  10. Bersungguh-sungguh melakukan kerja. Kesungguhan mendatangkan tenaga. Jika anda tidak begitu peduli dengan apa yang anda kerjakan, tidak mungkin anda mampu menyempurnakannya.

Akhir kata

Saya suka akan sebuah kisah daripada Afrika, yang berkisarkan kepentingan melaksanakan dan menyiapkan kerja:

“Setiap pagi seekor gazel Afrika bangun tidur dan sedar ia perlu lebih tangkas daripada singa yang paling laju, atau bakal mati menjadi mangsa baham. Namun di Afrika juga seekor singa bangkit tidur dan sedar ia perlu menandingi gazel yang bergerak paling perlahan, atau bakal mati kelaparan. Tidak kisahlah anda menjadi singa atau gazel; apabila matahari terbit, anda perlu memulakan larian.”

Kisah ini boleh diguna pakai oleh individu seperti kita atau mana-mana perniagaan. Jika kita mahu berjaya, pemilihan kasut yang akan dipakai ketika larian mungkin penting, namun ini tidaklah semustahak perbuatan berlari itu sendiri. Inilah yang dilakukan oleh pemimpin yang hebat. Mereka berusaha menyiapkan kerja. Seperti yang dilaungkan Nike, mereka ‘lakukan sahaja’. Sudahkah anda siapkan kerja anda?

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Just Do It! Leaders Always Execute And Get Things Done

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Perwatakan, Identiti

Roshan is the Founder and CEO of the Leaderonomics Group. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe", in their own special ways. He is constantly featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com
Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.