Khidmat Sukarela Penawar Tekanan Dan Kemurungan

Apr 07, 2017 5 Minit
tangan, khidmat sukarela
Bagaimanakah Khidmat Sukarela Boleh Menawar Tekanan Dan Kemurungan?

Beberapa tahun yang lalu, sebuah impian saya terlaksana dengan lahirnya portal khidmat sukarela, Do Good Volunteer.
Portal khidmat sukarela ini menghubungkan individu seperti anda dan saya yang ingin membuat kerja sukarela tetapi tidak tahu-menahu peluang yang ada, dengan organisasi yang memerlukan bantuan dan sumber.

Mujurlah, ‘talian sambungan’ luar biasa ini berjaya dibentuk dengan kerjasama antara pasukan kami di Leaderonomics bersama-sama pasukan dari The Star. 

Tetapi kenapakah portal ini begitu penting kepada kami di Leaderonomics? Kami percaya khidmat sukarela adalah satu-satunya cara untuk melahirkan transformasi bangsa. Lebih daripada itu, khidmat sukarela adalah ‘senjata rahsia’ yang jarang digunakan oleh individu dan korporasi untuk membina prestasi mereka.
 

Khidmat sukarela senjata rahsia

Kebanyakan korporasi menggaitkan khidmat sukarela dengan tanggungjawab sosial korporat, dan meletakkan dua fungsi ini di bawah pengurusan Sumber Manusia. Ramai pemimpin perniagaan menggangap khidmat sukarela sebagai aktiviti yang hanya perlu dilakukan sekali-sekala. Bagi bahagian Sumber Manusia pula, fokus mereka adalah pada hal-hal yang dianggap lebih penting seperti memastikan produktivi pekerja, mengekalkan pekerja, dan membangunkan bakat serta kemahiran dan keupayaan baharu.

Jadi, khidmat sukarela diketepikan; sesuatu yang bagus diadakan jika ada masa. Kebanyakan pemimpin gagal memahami bahawa khidmat sukarela membolehkan Sumber Manusia mencapai segala tujuan korporat. Ia juga adalah saluran bagi perniagaan mencapai kebanyakan matlamat strategiknya. Tambahan pula, ia percuma.
 

Hidup lebih lama

Membuat kerja sukarela adalah baik untuk jiwa kita. Tetapi tahukah anda bahawa ia juga meningkatkan produktiviti dalam organisasi? Kajian demi kajian menunjukkan bahawa sukarelawan dan sukarelawati hidup lebih lama dan kurang jatuh sakit berbanding rakan-rakan sebaya yang tidak terlibat dalam aktiviti sukarela, tidak kira umur mereka. 

Menurut kajian oleh Klinik Mayo dan Universiti California, khidmat sukarela menghasilkan manfaat-manfaat kesihatan, termasuk kadar kematian yang lebih rendah. Kajian lain menunjukkan bahawa pesara-pesara yang berusia 65 dan ke atas yang terlibat dalam aktiviti sukarela menghadapi kurang separuh daripada risiko kematian berbanding rakan-rakan sebaya yang tidak aktif.

“Kami mendapati bahawa khidmat sukarela kekal sebagai peramal kuat bagi penurunan kematian di kalangan pesara, malahan selepas penyesuaian meluas dibuat ke atas pelbagai faktor, menurut pengarang-pengarang kajian itu. “Ya, sukarelawan hidup lebih lama,” tambah Dr Gary Kennedy, salah seorang doktor yang mengetuai kajian yang lain di San Francisco.

Dalam kajian itu, individu yang mengalami kesakitan kronik yang berkhidmat secara sukarela sebagai kaunselor untuk kesakitan yang serupa mendapati bahawa penyakit jantung, ketidakupayaan, kesakitan kronik dan kemurungan mereka berkurangan.

Kajian Universiti Duke mendapati bahawa individu yang berkhidmat secara sukarela selepas mengalami serangan jantung melaporkan pengurangan dalam kesedihan dan kemurungan, dua faktor yang dikaitkan dengan kematian di kalangan pesakit penyakit arteri koronari.

Bayangkan implikasi bagi Sumber Manusia sekiranya mereka memastikan bahawa khidmat sukarela adalah antara agenda utama dalam organisasi mereka: bil perubatan yang lebih rendah, tenaga kerja yang lebih sihat, tenaga kerja yang lebih terlibat, pekerja yang lebih gembira dan produktif, dan organisasi berkenaan akan mempunyai pekerja yang hidup lebih lama dan gembira.
 

Membanteras kemurungan

Hakikatnya, isu tekanan dan kemurungan adalah paling lazim di tempat kerja. Apakah penawarnya? Tepat sekali, khidmat sukarela! 
Khidmat sukarela boleh membanteras kemurungan. Apabila kita terlibat dalam aktiviti sukarela, badan kita menghasilkan oksitosin yang berupaya menangani hormon tekanan yang berkait rapat dengan kemurungan, seperti kortison dan andrenalin.

Salah satu risiko kemurungan ialah keterpinggiran sosial. Khidmat sukarela memberi anda peluang untuk bergaul dengan orang lain dan membentuk sistem sokongan yang teguh yang dapat melindungi anda daripada tekanan dan kemurungan dalam masa-masa yang mencabarkan.

“Mereka yang bergaul dengan orang lain akan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan dianggar akan hidup lebih lama,” tekan Dr Gary.
Hakikatnya, pekerja yang terlibat dalam khidmat sukarela mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi daripada mereka yang tidak. Bersukarela meningkatkan harga diri dan kebahagian hidup. Berbuat baik kepada orang lain dan komuniti memberi nikmat pencapaian dan hala tujuan. Ia juga memberi rasa kemegahan dan identiti diri.

Apabila anda mempunyai tanggapan diri yang positif, anda akan mempunyai pandangan positif tentang hidup dan menunjukkan prestasi yang lebih baik di tempat kerja.
 

Khidmat sukarela membentuk sifat kepimpinan

Tetapi satu-satunya manfaat terpenting hasil daripada khidmat sukarela ialah ia merupakan cara terbukti untuk membentuk kepimpinan dalam seseorang.

Pemimpin dibentuk oleh pengalaman. Beberapa tahun yang lepas, saya memimpin organisasi sukarela di General Electric (GE) dan memerhati bahawa penglibatan dalam khidmat sukarela mengembangkan kerjaya rakan-rakan sekerja.

Salah satu contoh ialah Sheela Chandra, yang memulakan kerjayanya sebagai pembantu pentadbir sehingga dinaikkan pangkat menjadi pemimpin serantau. Biarpun dia seorang setiausaha, Sheela melibatkan diri dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti sosial di pejabat. Dia belajar mempengaruhi rakan-rakan sekerja untuk menyokong matlamatnya dan belajar cara mengagihkan kumpulan tenaga kerja.

Semasa acara sukarela diadakan di United Kingdom, dia akan mengurus, memimpin dan memberi arahan kepada semua. Penglibatannya dalam memberi khidmat sukarela dan memimpin beberapa projek sukarela telah memberikannya peluang untuk mempelajari pelbagai kemahiran kepimpinan. Dia berjaya meningkatkan kebolehannya berucap di khalayak ramai serta kemahiran komunikasi, pemasaran dan mempengaruhi orang lain.

Perkembangan kebolehannya sebagai pemimpin dikesani dan dia dinaikkan pangkat untuk memegang peranan yang lebih kanan dalam organisasi.
 

Khidmat sukarela menajamkan kemahiran 

Khidmat sukarela juga membantu anda membangunkan lagi kemahiran anda dan menggunakannya untuk melanjutkan kerjaya anda. Pemimpin-pemimpin Sumber Manusia sepatutnya mempergunakan khidmat sukarela sebagai peralatan pembangunan kepimpinan yang hebat untuk tenaga kerja organisasi.

Dalam kebanyakan kes, terutamanya bagi kalangan orang muda, mereka tidak mempunyai banyak peluang untuk memahirkan kepimpinan mereka. Khidmat sukarela menyediakan peluang untuk berbuat demikian.

Menurut kajian, satu fakta menarik ialah 90% pemimpin korporat yang berjaya pernah terlibat dalam kerja komuniti semasa zaman muda. Penglibatan ini telah membolehkan mereka menajamkan daya kepimpinan mereka. Namun begitu, kebanyakan pemimpin ini telah lupa akan cara mereka berkembang yang sepatutnya dipergunakan untuk perkembangan tenaga kerja mereka.

Mengapakah organisasi tidak mengaut faedah daripada khidmat sukarela secara besar-besaran? Sebahagian sebabnya ialah persepsi bahawa bersukarela mengambil banyak masa.

Kajian menunjukkan bahawa seseorang boleh hidup lebih lama dan menimba manfaat daripada khidmat sukarela jika dia cuma melabur sekitar 100 jam setahun. Ini bermakna dua hingga tiga jam seminggu. Dengan dua atau tiga jam seminggu, anda boleh menikmati produktiviti yang lebih tinggi, hidup lebih lama dan menikmati harga diri yang lebih tinggi.
 

Akhir kata

Sukarelawan selalunya merupakan gam yang menyatukan sesebuah komuniti. Bersukarela memberi peluang kepada anda dan organisasi anda untuk bergaul dengan komuniti dan menjadikannya tempat yang lebih selamat. Banyak hasil positif yang akan diperolehi sekiranya perniagaan kerap melibatkan tenaga kerja mereka dalam aktiviti-aktiviti sukarela.

Kajian juga menunjukkan bahawa satu lagi manfaat yang akan diperolehi mereka yang terlibat dalam aktiviti sukarela, lebih-lebih lagi sekiranya mereka masih belum ada teman hidup, adalah peluang untuk menemui teman. Hairan sekali kaum wanita meletakkan nilai tinggi pada altruisme ini.
Jadi, libatkan diri dalam khidmat sukarela. Ia adalah mudah. Jika anda tidak tahu di mana hendak bermula, log masuk www.dogoodvolunteer.com, dan mulakan kembara anda.
 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Volunteerism Can Help To Cure Your Stress And Depression.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni, Hubungan, Visi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Memimpin dalam Dunia yang Mengganggu: Pengajaran Utama daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Global 2023 (Bahagian 1)

Oleh Kiran Tuljaram. Daripada memupuk perhubungan yang berkembang maju kepada memanfaatkan kuasa penambahbaikan tambahan, dapatkan wawasan yang tidak ternilai yang boleh digunakan dalam konteks peribadi, profesional dan masyarakat.

Dec 05, 2023 10 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest