Kepimpinan Jurulatih Dan Kapten Penting Demi Kejayaan Organisasi

Jun 27, 2018 8 Minit
jurulatih, kapten

Beberapa minggu yang lepas, saya berjumpa dengan seorang rakan dari Universiti Bridgeport, di mana saya telah bermain bola sepak untuk NCAA (National Collegiate Athletic Association / Persatuan Olahragawan Kolej Kebangsaan).

Kami mengimbas kembali musim kemenangan pasukan kami – Purple Knights —  ketika hampir melayakkan diri ke permainan ‘play off’ (permainan tambahan untuk menentukan keputusan muktamad). Seperti yang dijangkakan, kami selanjutnya berbincang tentang seorang individu yang telah mendesak kami untuk mencapai potensi penuh kami: jurulatih Henrik Syatborn.

Beberapa tahun yang lepas, saya terdengar cerita mengenai jurulatih Usain Bolt, Glen Mills, tentang cara beliau melatih Bolt, keras tetapi selesa. Semasa lawatannya ke Malaysia tidak beberapa lama kemudian, Bolt menyifatkan jurulatihnya sebagai satu-satunya orang yang beliau akan lakukan apa sahaja yang diarahkan. Beliau percaya sepenuhnya pada jurulatihnya, dan berpendapat beliau berupaya mencapai tahap semasa kerana galakan dan desakan demi desakan jurulatihnya.

Untuk artikel ini, saya dan Eva akan melihat bagaimana kepimpinan dalam sukan (iaitu jurulatih dan kapten) adalah faktor kritikal dalam kejayaan dan kegagalan sesebuah pasukan. Marilah kita bermula dengan mengkaji peranan jurulatih.

Jurulatih

Jurulatih yang meninggalkan impak paling kuat pada diri saya ialah Mokhtar Dahari, legenda bola sepak Malaysia dan jurulatih bola sepak pertama saya. Beliau kuat menekankan kepentingan bekerja keras, bertabah hati dan berusaha tanpa berhenti-henti biarpun menghadapi cabaran. Penjaga gol Malaysia, R. Arumugam, juga seorang lagi jurulatih saya. Pemergiannya secara tiba-tiba mengejutkan kami, tetapi beliau tetap menjadi inspirasi kami.

Ken Carter dibesarkan dalam keluarga yang kasar, dan menumpukan pada kepentingan akademik. Bagaimanapun, beliau meminati sukan, khasnya bola keranjang. Sebagai jurulatih, beliau menegaskan bahawa ahli-ahli pasukannya perlu mengambil berat tentang persekolahan mereka — di samping latihan mereka — supaya mereka akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej, dan terbuka kepada peluang-peluang lain.

Apabila beliau mendapati ramai daripada ahli pasukannya yang mewakili pasukan pemenang bola keranjang Sekolah Tinggi Richmond, agak lembap dalam kelas, beliau menghentikan latihan dan perlawanan sehingga pasukan itu kembali mencapai prestasi positif dalam bidang akademik mereka.

Pada mulanya, komuniti sekeliling agak marah dengan tindakannya; malahan mereka mengundi untuk pasukan itu kembali menjalani latihan. Tetapi para pemain berkenaan sedar akan niatnya, dan enggan bermain hingga keputusan akademik mereka bertambah baik. Pada akhirnya, Carter dipuji kerana bertindak mengutamakan nilai baik dalam pasukannya. Filem Coach Carter yang diterbitkan pada 2005, dengan watak utama, Samuel L. Jackson, menceritakan kisah ini.

John Wooden adalah individu pertama yang terukir namanya di Dewan Kemasyhuran Bola Keranjang; beliau juga terpilih oleh ESPN sebagai jurulatih paling hebat sepanjang masa. Wooden adalah jurulatih bola keranjang UCLA selama 40 tahun, tidak berpindah ke NBA atau peranan yang lebih tinggi profil kerana beliau juga ada kesungguhan mendalam untuk mengajar bahasa Inggeris. Beliau mahukan pemain-pemainnya mencapai kemenangan dalam hidup, bukan sahaja dalam bola keranjang.

Beliau memetik mutiara kata daripada perbualan dengan bapanya semasa beliau membesar di ladang. “Kamu jangan cuba sesekali ingat anda lebih baik daripada orang lain. Selalu belajar daripada mereka, dan jangan berhenti menjadi yang terbaik mungkin,” katanya semasa sesi Ted Talk.

“Kejayaan adalah keamanan minda, hasil langsung daripada kepuasan diri dalam mengetahui anda telah berusaha menjadi yang terbaik yang terdaya.”

Vince Lombardi, salah seorang jurulatih bola sepak Amerika yang paling berjaya, terkenal dengan sikap panas barannya dan tuntutan tinggi yang beliau kenakan pada pasukannya. Bagaimanapun, di sebalik tirai, beliau nampaknya memahami keperluan untuk berhubung dengan setiap pemain dalam cara yang berbeza, dan kepentingan melayan setiap seorang sebagai individu. Kajian Kramer dan Shaap menunjukkan bahawa Lombardi pada hakikatnya tahu bahawa pemain-pemain perlu digalakkan dengan kritikan, dan individu mana yang memerlukan pengukuhan positif yang lebih banyak untuk mencungkil bakatnya.

Alex Ferguson pula memulakan karier bola sepaknya sebagai pemain penyerang pasukan Scotland. Beliau kemudiannya menguruskan kelab-kelab bola sepak — mula-mulanya di Scotland, dan kemudian Manchester United, dari 1986 hingga 2013.

Sumber: Flickr | Andrea Sartorati

Pada pandangan pemain, pengurus dan penganalisis, beliau adalah seorang pengurus yang paling hebat dan paling berjaya sepanjang masa.

“Semasa saya menjadi jurulatih, setiap pemain mesti mempunyai rambut pendek dan kemas bercukur. Saya tidak tahu bagaimana pengurus lain boleh membenarkan pemain-pemain menaiki bas dengan berjanggut. Itu sesuatu yang tidak kena bagi saya. Yang saya suka ialah melihat pasukan saya turun ke padang dengan jaket United, kemeja putih dan tali leher, kerana mereka mewakili Manchester United. Bagi saya, ini adalah sebahagian daripada pendidikan yang saya beri kepada mereka — tanggungjawab sebagai seorang pemain Manchester United. Ini semuanya berbalik kepada disiplin.” – Alex Ferguson

 

Setiap jurulatih yang kami kaji ada cara yang berbeza, tetapi besar berpengaruh terhadap motivasi pemain, suasana sekeliling dan sistem pembelajaran dan pertumbuhan. Kesemua mereka konsisten dengan apa yang perlu dibuat dan apa yang boleh dijangkakan.

Peranan sebenar seorang jurulatih

Jurulatih bukan sekadar jurulatih; mereka adalah guru, mentor, kawan, malah ada juga yang memberi bimbingan sebagai ibu bapa. Mereka juga menunjukkan emosi, nyala rasa, ketulenan, kejujuran dan kesabaran. Mereka juga tidak menghakimi orang lain.

Kalangan mereka amat teratur sikap, manakala yang lain mempunyai keupayaan istimewa (seperti keupayaan menilai potensi pemain, membaca dan menganalisis permainan, membantu pemain mengatasi kelemahan mereka, atau secara efektif menyatukan semua staf sokongan).

Tetapi yang paling penting, mereka amat baik dalam melahirkan suasana yang berpusat pada atlet dan pasukan yang terstruktur, dan bersifat famili. Mereka bijak menjalin hubungan profesional yang kukuh dan berterusan dengan atlet, dan pada masa yang sama, bersifat peramah dan mudah diajak berbicara.

Cara mereka melatih pasukan juga mengandungi elemen pengajaran, komunikasi, memberi motivasi, memberi respons, penyediaan, persembahan dan penolakan yang tidak relevan. Mereka beralih dengan lincah dari bersikap mendesak dan menuntut menjadi setiawan (confidante), kaunselor dan penasihat peribadi.

Bandingan sukan dengan perniagaan

Semasa kami mengkaji jurulatih sukan, kami cuba membuat perbandingan dengan perniagaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah mengadakan perbincangan dengan kelab Liga Perdana Inggeris. Setelah mengkaji organisasi mereka, kami melihat bagaimana ia berbeza dengan cara perniagaan dijalankan.

Kebanyakan perniagaan mempunyai seorang ketua pegawai eksekutif (KPE) yang menyandang semua kuasa. Kebanyakan kelab sukan mempunyai pengurus pasukan atau jurulatih yang menguruskan pasukan dan prestasi pemain, manakala KPE menguruskan perniagaan. Perniagaan pula mempunyai pengurus yang menyandang tanggungjawab operasi. 

Biarpun bimbingan (coaching) kerap diungkapkan dalam perniagaan pada masa kini, cuma segelintir kecil pengurus yang membimbing staf mereka sebagaimana yang dibuat pengurus sukan. Kebanyakan pengurus berperanan sebagai kapten yang bermain dan memberi arahan semasa permainan sedang berjalan. Bagaimanapun dalam sukan, jurulatih memberi impak yang terbesar sebelum permainan, dan semasa masa rehat.

Kapten pasukan  

Paolo Maldini – kapten pasukan AC Milan dan Itali yang mesra dipanggi ‘Il Capitano’ – dianggap sebagai pemimpin oleh rakan pemain bola sepak yang lain. Sebagai nama tetap dalam roster Milan, beliau memberi inspirasi kepada setiap orang dengan cara beliau bermain, serta dedikasinya kepada bola sepak dan pasukannya.

Tidak kira apa tawaran yang diterima, beliau tetap menolak kesemuanya dan terus bersama dengan kelabnya sepanjang masa.

Maldini, dalam peranannya sebagai kapten dan selebihnya, sentiasa memberi yang terbaik mungkin kepada pasukannya, memberi galakan habis-habisan apabila berhadapan dengan lawan yang kuat, dan selalu mengambil rebutan bola yang berisiko bagi pasukannya. Beliau agak vokal dan sentiasa membela pasukannya.

Gheorghe Hagi dan Paolo Maldini (left). Source: Flickr | l3o_

Mahendra Singh Dhoni, batsman tengah-tengah dan penjaga gawang kananan, rata-rata dianggap sebagai salah seorang pemain penghabisan yang terhebat dalam kriket terhad. Beliau mengetuai pasukan India dalam format terhad dari tahun 2007 hingga 2016 dan dalam Kriket Ujian dari tahun 2008 hingga 2014.

Di bawah kepimpinannya, India berjaya menduduki tangga Nombor Satu dalam Senarai Kedudukan Ujian ICC pada Disember 2009. Selepas itu, beliau berjaya mengetuai India dalam siri kejohanan dunia Ujian menentang Afrika Selatan pada Februari 2010.

India juga berjaya mencapai kedudukan seri 1-1 dalam siri Ujian di Afrika Selatan pada lewat tahun itu. Selepas memenangi perlawanan akhir menentang Sri Lanka dalam Piala Kriket Dunia 2011, Sachin Tendulkar mengisytiharkan Dhoni sebagai kapten terbaik yang pernah ditemuinya.

Menurut Tendulkar, sikap tenang Dhoni membantu semua rakan pasukan semasa pertandingan, dan dia kagum dengan cara Dhoni menangani tekanan. Dhoni juga kapten yang prihatin — apabila pasukan menang, beliau membenarkan rakan sepasukan untuk bertemu dengan pihak media untuk berkongsi kebanggaan dan pencapaian mereka. Tetapi dalam masa yang susah, beliau akan menggalas tanggungjawab menjawab semua soalan keras yang diajukan.

Dupuis, Bloom dan Loughead mengkaji tingkah laku kepimpinan yang ditunjukkan oleh para pemimpin dalam olahraga (mereka yang diberi gelaran kehormat ‘kapten’ oleh institusi mereka), dengan berfokus pada pasukan hoki. Penemuan mereka mengkategorikan pengaruh kapten-kapten pada pasukan mereka dalam tiga bidang berikut:

1. Sifat-sifat dan pengalaman interpersonal

Ini merujuk kepada perwatakan seseorang kapten itu, dan pengalaman mereka dalam sukan — kebanyakan mereka bermain sukan dari usia muda, bekerja dengan pelbagai kapten yang kemudian memberi mereka peluang untuk belajar dan dapatkan dari gaya orang lain.

Ciri-ciri seperti berkomunikasi dengan berkesan; bersikap jujur dan hormat; mempunyai sikap positif; mampu mengawal emosi; tetap positif dan mempamerkan kepercayaan dan penghormatan dikenal pasti oleh kapten-kapten yang ditemu bual sebagai kunci kejayaan mereka.

2. Interaksi lisan

Kesabaran mereka dalam mengamati sikap dan prestasi rakan sepasukan sebelum memberi maklum balas; keupayaan mereka untuk mengenal pasti bila masanya menjadi autokratik dalam menyampaikan mesej dan bila pula ketika untuk menggunakan pendekatan yang lebih demokratik; dan keupayaan untuk memilih masa yang sesuai untuk berkomunikasi; didapati telah membuat perbezaan.

Di samping itu, penting bagi kapten untuk bekerja dengan baik dengan jurulatih untuk menyampaikan mesej secara berkesan daripada pasukan kepada jurulatih, dan juga bekerja dengan baik dengan pemimpin tidak rasmi dalam pasukan — pemain yang mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi orang lain dan membantu anda dengan mesej.

3. Tingkah laku berasaskan kerja

Ini merujuk kepada aktiviti yang bersifat pentadbiran, seperti membantu jurulatih dengan perancangan luar musim, penggalangan dana, bertemu peminat, mewakili pasukan dalam sesi media, pertemuan dengan penaja dan upacara penghargaan. Semasa perlawanan, ia merujuk kepada masa berhadapan dengan pengadil, atau menyelesaikan isu pasukan di tempat kejadian.

Pada dasarnya, ini adalah tentang menetapkan contoh yang tepat — dengan rela membantu dalam semua kegiatan yang tiada kaitan langsung dengan latihan dan permainan itu sendiri, tetapi sangat penting untuk kejayaan pasukan. Ini juga merupakan cara untuk menetapkan norma untuk pasukan, dan untuk mementor ahli muda.

Kesimpulan

Sementara jurulatih memberi kesan signifikan terhadap pasukan, kapten memainkan peranan kritikal semasa permainan. Apabila pasukan sedang dalam kedudukan kalah, atau pengadil tidak berpihak kepada mereka, kapten pasukan merupakan faktor yang membuat perbezaan.

Jurulatih merangkakan falsafah, taktik dan corak permainan; kapten pula memastikan semua ini terlaksana. Soalan besar yang patut kita tanya ialah dalam perniagaan, siapakah jurulatih dan kapten.

Kita tahu KPE menetapkan hala tuju dalam perniagaan tetapi adakah mereka memainkan peranan yang sama seperti jurulatih. Dalam perniagaan dengan beratus-ratus orang, KPE jarang sekali ada masa dan tenaga malah keupayaan untuk mempengaruhi dan membimbing setiap pekerja.

Jadi, siapakah jurulatih dalam perniagaan? Jurulatih mengurus sekumpulan kecil pemain, dan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mencungkil yang terbaik daripada kumpulan.

Adakah pengurus dalam perniagaan kita boleh dianggap sebagai jurulatih yang hebat?

Adakah mereka membolehkan pasukan mereka mengatasi saingan?

Adakah pengurus membantu mewujudkan suasana menang dan memelihara suasana tersebut?

Adakah mereka menggalakkan dan mendesak pekerja mereka untuk mencapai kecemerlangan tetapi pada masa sama, menunjukkan bahawa mereka prihatin dan sedia memberi bimbingan dan kasih sayang sebagai ibu bapa kepada mereka?

Adakah mereka berupaya menyatukan pekerja sokongan (perkhidmatan sokongan) dengan pekerja barisan hadapan (pasukan jualan atau operasi) untuk membentuk pasukan pemenang yang bersatu?

Yang lebih penting, adakah mereka mempunyai kapten yang hebat dalam pasukan mereka supaya kepimpinan yang hebat wujud di padang?

Banyak pasukan mempunyai pengurus yang hebat tetapi kekurangan kapten yang dapat membantu mendorong prestasi dalam cara yang tepat pada masa. Bagaimana kita boleh membantu membentuk kepimpinan ini dalam semua pasukan dalam organisasi kita?

Artikel ini mengemukakan lebih banyak soalan daripada jawapan. Kami berharap ia akan membolehkan setiap KPE, pengurus dan kapten untuk merenungi kepimpinan diri.  Mungkin masa sudah sampai untuk anda meninjau bagaimana anda boleh berkembang menjadi jurulatih atau kapten yang boleh membawa perbezaan positif kepada pasukan anda.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik It Is Not Just The CEO That Matters – Coaches & Team Captains Are Key Too!

 

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Keseimbangan kerja dan kehidupan

Mengutamakan Kesejahteraan Pekerja untuk Pengalaman Pekerja yang Positif

Oleh Lee Nallalingham. Kesejahteraan pekerja adalah penting untuk mengoptimumkan output mereka, baca lebih lanjut untuk mengetahui cara menyediakan persekitaran yang menyokong untuk keseimbangan kerja-kehidupan mereka.

Jul 16, 2023 3 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest