Dari Biasa Menjadi Luar Biasa

Nov 24, 2017 7 Minit
permaisuri, luar biasa,  permainan catur

Setiap kali saya ajukan soalan “Siapa rasa diri mereka biasa sahaja?” kepada audiens yang terdiri daripada orang dewasa mahupun pelajar, ramai yang angkat tangan. Hakikatnya, kebanyakan daripada mereka.

Yang mengejutkan adalah apabila mereka yang angkat tangan itu merupakan golongan dewasa yang sudah berjaya dan pelajar yang hebat-hebat.

Kenapa mereka berfikir sedemikian? Adakah mereka diberitahu bahawa mereka itu biasa sahaja? Setiap kali seseorang pelajar tidak memperoleh gred A atau tidak mendapat kedudukan yang baik dalam kelas, mereka menganggap itu suratan takdir mereka.

Begitu juga tatkala seseorang belia gagal diterima masuk ke universiti atau tidak layak mendaftarkan diri ke universiti ‘teratas’, mereka menyalahkan diri, merasakan diri tidak cukup bagus.

Sepanjang kerjaya saya sebagai guru, salah satu perkara yang saya pelajari ialah cuma ada segelintir kecil orang yang ‘biasa-biasa’ sahaja. Malah, sekiranya diikhtiarkan dengan betul, sesiapa pun boleh berubah daripada ‘biasa’ menjadi ‘luar biasa’.

Contoh yang sangat bagus ialah bekas pelajar saya. Masa dia mula-mula menyertai kelas, sekali pandang dia boleh dikategorikan sebagai pelajar ‘biasa’, mungkin lebih teruk lagi! Prestasinya dalam pelajaran tidak memuaskan, tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris suka melawan cakap dan susah bergaul dengan rakan sebaya.

Namun, ceritanya tidak berakhir di sini. Dalam masa beberapa tahun dia belajar di sekolah kami, kami berusaha mengasah kekuatannya dan membaiki kelemahannya.

Hari ini, dia memiliki beberapa perniagaan di Australia, China dan Malaysia. Usianya baru 22 tahun! 

Ada banyak kisah menakjubkan tentang individu yang bangkit daripada keadaan teruk tetapi kemudiannya menjadi hebat, berjaya dalam hidup, memberi impak pada orang lain dan menggegarkan dunia.

Jadi, bagaimana seseorang individu boleh menjadi penggerak dalam mengubah nasib orang lain untuk mencapai potensi sebenar mereka?

Berhenti menggalakkan prestasi biasa 

Kebanyakan orang selalu terlepas pandang akan kepentingan menggalakkan seseorang menjadi lebih baik. Kita terlupa untuk memberitahu kebaikan mereka. “Apa akan jadi jika saya tidak memberitahu kesilapannya? Bagaimana dia boleh belajar?” Itu yang menjadi alasan kita.

Semestinya mereka tidak mampu memajukan diri jika dikritik saban hari atas kesilapan yang dilakukan. Dan inilah dilemanya.

Tujuan utama kita adalah untuk membentuk seseorang individu yang yakin dengan diri sendiri. Galakan yang diberi perlulah bertumpu pada kekuatan mereka dan kerja-kerja yang dilaksanakan dengan bagus.

Contohnya, dalam sistem pendidikan konvensional, ibu bapa dan guru lebih senang melihat pada kelemahan seseorang pelajar, lalu mengkritik dan mendesaknya membaiki kemahiran tertentu (atau apa-apa yang kurang dalam kes ini).

Biarpun tindakan itu bermaksud baik tetapi ini bermakna bahawa apa-apa kekuatan dan perkara yang diminati inidividu itu akan diketepikan supaya mereka dapat mengatasi kelemahan diri.

Hari demi hari, saya mendengar cerita tentang ibu bapa yang menyuruh anak mereka berhenti membaca buku cerita, atas sebab “Kamu sudah bagus dalam bahasa Inggeris, jadi kamu patut tumpukan perhatian pada subjek yang teruk, seperti Matematik.”

Ibu bapa tidak memberi tumpuan pada kekuatan anak-anak supaya kelemahan yang ada boleh dibaiki. Akhirnya, anak-anak ini menjadi biasa-biasa sahaja dalam semua aspek. Berhenti menggalakkan prestasi yang yang biasa-biasa sahaja! 

“Jadi maksud kamu, kami tak perlu aturkan tuisyen Matematik untuknya?” tanya ibu bapa tersebut. Apa yang ingin saya katakan ialah terus asah bahasa Inggerisnya semaksimum mungkin dan pada masa yang sama, bantunya menambahbaik dalam subjek Matematik.

Raikan pencapaian kecil dan besar

Selalu, selalu, selalulah raikan pencapaian mereka biar sekecil atau sebesar pun pencapaian itu. Ia adalah sama penting. 

Seperti yang dinyatakan Michael Kerr, penceramah perniagaan antarabangsa dan penulis The Humor Advantage dalam laman webnya, “Kemenangan kecil ada kuasa dan pengaruh yang melangkaui pencapaian yang diraih”.

Maka, apabila saya kata raikan kejayaan sekalipun yang terkecil, ini tidak bermaksud mengadakan parti dalam erti kata yang sebenar.

Tanda penghargaan yang ringkas seperti sep tapak tangan dan pujian seperti “bagus kerja kamu” sudah cukup memadai. Kesannya lebih besar kepada orang di sekeliling anda untuk menggenggam kejayaan dan mengubah diri menjadi luar biasa.

Orang dewasa pun sama sahaja. Mereka pernah menjadi kanak-kanak, pernah melalui sistem konvensional yang sama serta membesar dengan kepercayaan bahawa mereka cuma biasa-biasa sahaja.

Dalam organisasi, selalulah hulurkan bantuan untuk orang lain berubah daripada yang biasa menjadi luar biasa. Anda tidak akan percaya usaha ini sebenarnya mudah, caranya seperti berurusan dengan kanak-kanak.

Rasa ‘Bagusnya aku’

Seperti pendidik dan ibu bapa, penyelia dan majikan juga bertanggungjawab menyediakan persekitaran yang boleh membantu seseorang berkembang dan menjadi lebih maju.

Sekali lagi ingin saya tekankan, kata-kata semangat dan rasa empati merupakan komponen utama.

Anda boleh lakukan sesuatu yang ringkas, seperti mengucapkan “terbaik” atau “terima kasih”, apabila mereka menyiapkan kerja dengan baik.

Memberitahu seseorang bahawa kerja yang dilakukannya bagus sekali, atau membawa mereka keluar makan selepas bekerja selama beberapa jam, ini menjadi penggalak yang sangat berkesan.

Seringkali apabila rakan-rakan kita merungut tentang kerja, tidak lain tidak bukan mereka rasa tidak dihargai oleh orang atasan dan rakan sekerja.

Artikel berkaitan: Penghargaan – Rendah Kos, Tinggi Impak

Saya melihat golongan dewasa ini melakukan hal yang sama kepada anak-anak mereka. Saya pernah bertanya kepada pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang tentang reaksi ibu bapa mereka apabila mereka mendapat markah 80 ke atas.

Respons yang selalu diterima adalah, “Ibu (atau ayah) saya cakap ujian ini senang!”

Saya terperanjat lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang markahnya tidak seberapa. Dan percayalah, ujian yang diberikan bukannya mudah.

Selalulah beri pengiktirafan dan penghargaan apabila kena pada tempatnya. Kita manusia biasa, maka sebagai makhluk sosial, rasa dihargai amat menyenangkan sekali.

Kebanyakan orang berkembang maju atas sokongan dan dorongan.

Apa yang saya sedar, untuk membantu seseorang menjadi luar biasa, perkara pertama dan terpenting ialah mereka harus gembira dengan apa yang mereka lakukan.

Sistem sokongan yang disediakan penyelia dan rakan sekerja memainkan peranan yang besar untuk memastikan tempat kerja sentiasa produktif dan riang gembira.

Artikel berkaitan: Berbaloi Ada Keriangan Di Tempat Kerja!

Sebuah syarikat yang menggunakan sistem sokongan sebegini ialah NetApp.

Syarikat ini menjalankan program dalaman yang dipanggil ‘Dapatkan Orang yang Berbuat Baik’. Konsep program ini mudah dan besar kesannya. Sesiapa yang ternampak rakan kerja melakukan perkara yang luar biasa hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada naib pengerusi syarikat, yang kemudiannya akan menghubungi pekerja tersebut untuk mengucapkan terima kasih.

Memang terbaik, bukan! Cuba bayangkan, pekerja tersebut mestilah rasa sangat bermotivasi dan produktif sehingga ke penghujung hari!

Memberi kritikan… dengan mesra 

Adakah dengan memberi kata-kata penguat yang positif bermakna kita mengetepikan kesilapan yang dilakukan rakan sekerja dan orang lain? Semestinya tidak.

Kita semua melakukan kesilapan pada sesuatu masa dan tindakan berhadapan dengan isu-isu itu penting dalam mengorak langkah bagi kita menjadi insan luar biasa.

Bagaimana seseorang boleh berkembang tanpa berusaha membaiki kekurangan dan menghalusi kekuatan diri?

Sebagai pemimpin, kerja kita adalah untuk menambah baik seseorang supaya menjadi hebat. Sebahagian daripada kerja tersebut melibatkan kita melatih diri dalam memberi kritikan yang membina.

Val DiFebo, Ketua Pegawai Eksekutif Deutsch of New York berkata, “Ambil masa untuk memberi penjelasan yang sebetul-betulnya akan sesuatu kesilapan, daripada membiarkannya berlalu sahaja.” 

Apabila kita mengambil langkah ini, kita bukan sahaja mengurangkan sengatan rasa tewas dan kesedihan daripada maklum balas yang diberi, tetapi turut membantu seseorang itu memahami kesilapan yang dilakukan dan langkah yang perlu diambil untuk membetulkan keadaan.

Yang berkesan untuk kita sepanjang 20 tahun ini, sama ada dalam hubungan dengan anak-anak dan rakan sekerja, adalah menyediakan ruang yang selamat untuk gagal dan kesedaran bahawa maklum balas dan kritikan yang membina merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan.

Dengan cara ini, semua orang sedar bahawa mereka diberi ruang untuk berkembang dan menjadi lebih baik. Lagi pun, apa guna maklum balas jika kesannya hanya menyebabkan seseorang hilang semangat?

Sekiranya seseorang melihat kegagalan dari segi luaran dan kemudiannya mengetepikan langkah yang penting ini, kita harus menangani keadaan ini mengikut konteks.

Sila ambil maklum apabila saya menceritakan tentang kegagalan, ini bukanlah bermaksud kita boleh suka hati cuai dalam kerja, tidak ambil peduli atau buat bodoh dengan apa yang dilakukan mereka. Maksud saya, kesilapan boleh terjadi pada sesiapa sahaja, tidak kira betapa bagus diri anda.

Beberapa industri tidak membenarkan berlakunya kesilapan — misalnya penguatkuasaan undang-undang, pengangkutan udara — kerana ia melibatkan nyawa manusia.

Walau bagaimanapun, kesilapan dimaafkan sewaktu latihan supaya sesebuah pasukan boleh mengelakkan perkara ini terjadi di lapangan sebenar. Dalam hal inilah kritikan membina memainkan peranan.

Gelak tawa adalah penyelesaian terbaik

Untuk bergerak lebih jauh, apa kata anda selitkan unsur jenaka dalam maklum balas? Ini bukannya bertujuan untuk mengambil mudah sesuatu sitiasi, tetapi untuk mengurangkan ketegangan disebabkan oleh isu sebegini.

Sentuhan lawak jenaka boleh mengubah sesuatu perkara yang sangat ditakuti seseorang, menjadi titik perubahan yang akan mereka ingat seumur hidup.

Contoh terbaik adalah apabila sesetengah daripada kami tidak menjalankan kerja pentadbiran dengan betul.

Terdapat lompang dalam sistem. Tetapi apa yang pendaftar kami lakukan, dia tidak menengking rakan pasukannya, sebaliknya dia menyanyi.

Ini semestinya membuatkan orang lain faham. Tidak mengapa jika suara anda tidak merdu. Teruskan walaupun tempo lari.

Ringkasnya, untuk mengubah seseorang yang biasa menjadi luar biasa, genetik bukannya penentu, sebaliknya persekitaran memainkan peranan yang penting.

Pokok pangkalnya, untuk melahirkan individu yang luar biasa, itu kerja kita sebagai ibu bapa dan pendidik.

Buat para majikan, tujuannya adalah untuk membangunkan sebuah pasukan yang hebat, untuk memacu organisasi supaya cemerlang dalam segenap perkara. Dan anda harus ingat, biasakan diri dengan lawak jenaka, demi kebaikan semua.

 

Anne Tham ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ACE EdVenture, organisasi yang menjadikan pendidikan berasaskan peperiksaan sesuatu pengalaman yang menghiburkan dan melibatkan bagi pelajar-pelajarnya. Untuk membaca artikel dalam bahasa Inggeris, klik How To Lead People From Ordinary To Extraordinary

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Sumber Manusia

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

tabiat kerja yang sihat

Tabiat Kerja yang Sihat

Oleh Editor Leaderonomics. Malaysia tidak terkecuali dengan petikan BBC yang menyatakan bahawa negara-negara Asia cenderung untuk bekerja paling lama, mereka juga mempunyai kadar tertinggi pekerja yang bekerja terlalu lama melebihi 48 jam seminggu.

Aug 30, 2022 4 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest