4 Cara Untuk Ketahui Minat Dan Bakat Sebenar Anda

Feb 07, 2018 4 Minit
minat, bakat, kemahiran

Ada di antara kita yang masih tidak tahu apakah minat dan bakat sebenar yang kita miliki atau mempunyai potensi untuk digilap.

Mungkin kebanyakan kita mahir melakukan sesuatu kerana anda diajar untuk melakukannya atau andamelihat orang lain melakukannya.

Pandai melakukan sesuatu tidak bermakna itulah perkara yang anda minati ataupun itulah satu-satunya bakat anda.

Boleh jadi ia adalah salah satu daripada kepandaian atau kemahiran anda tetapi itu bukanlah minat sebenar anda.

Dengan melakukan apa yang anda minati pasti akan membuatkan anda berasa lebih gembira.

Malahan ramai tokoh usahawan di luar sana berhasil menjadi kaya dan berjaya dengan mengusahakan apa yang mereka minati dengan sepenuhnya dan menggabungkannya dengan bidang perniagaan.

Berikut adalah panduan bagaimana anda dapat mengenal pasti minat dan bakat sebenar anda yang anda sendiri mungkin tidak tahu.

#1. Bina ramai kenalan baharu

Berada dalam lingkungan sosial yang baharu adalah cara terbaik untuk anda mengenal pasti minat anda yang sebenar.

Perkenalan dengan orang lain akan mendedahkan anda kepada perkara-perkara baharu yang anda mungkin tidak tahu sebelum ini.

Anda mungkin boleh mencuba perkara baharu berdasarkan hobi, idea dan pendapat orang lain.

Mungkin juga ada yang ingin melakukan sesuatu namun tidak ada keberanian kerana bersendirian.

Dengan adanya rakan baharu yang berkongsi minat yang sama anda boleh melakukannya bersama-sama.

Jika anda mahu mula belajar melakukannya namun tidak tahu bagaimana untuk bermula, anda boleh berhubung dengan mereka yang sudah pandai, lalu belajar atau bertanyakan caranya.

Jika anda bukanlah seorang yang gemar dan mahir bersosial, tidak mengapa. Tidak perlu keluar dan berkenalan secara berdepan.

Anda boleh berkenalan mereka dalam dunia maya jika itu yang lebih menyelesakan anda.

Hanya perlu sertai mana-mana kumpulan sosial yang berkaitan dengan minat anda yang baharu seperti group hiking, group travel, group masakan barat, group baking serta macam-macam lagi.

Belajarlah secara penuh semangat dan cubalah dengan sebaik yang mungkin supaya anda boleh lihat sejauh mana potensi anda.

#2. Cubalah beberapa hobi baharu serentak 

Jangan bazirkan masa dengan melakukan satu perkara sahaja pada satu masa.

Jika anda hanya mencuba satu aktiviti baharu misalnya bermain gitar dan anda mengambil masa yang lama untuk memahirinya dan sekiranya anda dapati anda kurang berminat bermain gitar, ia agak merugikan.

Kerana anda telah melaburkan sejumlah wang, tenaga dan masa untuk tujuan mendalami diri sendiri.

Cara yang terbaik, lakukan beberapa hobi atau aktiviti baharu pada waktu yang sama.

Pastikan anda tidak pernah melakukannya sebelum ini dan lihat hasilnya setiap kali anda melakukannya.

Walaupun anda masih tidak mahir, pasti akan ada salah satu aktiviti yang paling dominan yang anda gemari.

Setelah beberapa ketika, anda boleh bandingkan aktiviti yang mana satukah yang paling membuatkan anda gembira.

Jika anda masih tidak berasa benar-benar gembira dan bersemangat ketika melakukan kesemua aktiviti yang anda telah pilih, ini bermakna anda harus mencuba aktiviti yang lain pula sehingga anda menemui minat dan bakat anda yang sebenarnya.

#3. Baca sejumlah besar buku-buku

Buku? Perlukah untuk membaca buku jika anda bukan ulat buku? Jawapannya perlu! Kenapa?

Tidak kisahlah ‘genre’ apa yang anda mahu baca, ia akan bantu anda untuk memahami minat sendiri.

Bagaimana ia boleh membantu anda sedangkan membaca ternyata bukanlah aktiviti yang anda suka sejak dari dahulu?

Setiap buku ada menceritakan kisahnya yang tersendiri. Ada kehidupan di sebalik kisah yang terkandung dalam buku itu hatta komik sekalipun.

Manusia sering mendapat inspirasi daripada apa yang mereka lihat dan dengar.

Kita belajar daripada kehidupan dan pengalaman orang lain dan jadikan ia sebagai teladan.

Semasa membaca, kita akan mendapat pengetahuan baharu yang mungkin kita tidak pernah tahu.

Artikel berkaitan: Membaca Membuka Minda Kepada Khazanah Tak Ternilai

Banyak idea baharu boleh muncul melalui pembacaan anda kerana membaca sebenarnya memberi ruang untuk anda berfikir dengan kritis.

Anda bukan sahaja boleh mendapat idea untuk minat anda yang sebenar malahan jika anda meminati bisnes, anda boleh gabungkan ilham baharu mengenai perkara yang anda minati dengan bisnes untuk menjana pendapatan.

Dengan membaca, anda akan dapati yang hala tuju hidup anda lebih jelas dan senang untuk mengatur langkah.

Apakah perbezaan membaca buku dengan membaca secara elektronik?

Mungkin nampak seperti tiada beza namun sebenarnya membaca dengan kaedah yang lama mungkin lebih memberi fokus dan masa untuk anda bersendirian dan berfikir dalam dunia anda sendiri.

Sebaliknya, membaca menggunakan gajet, anda mungkin akan mudah terganggu dengan media sosial dan lain-lain daripada fokus kepada pembacaan dan menghayatinya.

#4. Melancong ke tempat baharu 

Melancong ke tempat-tempat menarik sudah menjadi satu trend baharu dalam komuniti milenia kita.

Ramai yang bercuti dan melancong untuk mencari pengalaman di tempat orang, untuk menghilangkan stress dan pelbagai sebab lain.

Melancong sebenarnya bukanlah sekadar memberi kenangan dan membeli cenderahati, sebaliknya boleh menjadi inspirasi untuk anda mendalami minat kita yang sebenar.

Mungkin jika anda terjumpa aktiviti atau benda baharu yang anda minati di situ namun tiada di tempat asal anda, nah, ini adalah peluang anda untuk membawanya pulang ke tempat anda dan memperkenalkannya kepada orang lain.

Silap haribulan boleh menjadi idea bisnes ataupun mungkin anda terlalu gemar melancong dan hanya melancong, jadi bukalah agensi pelancongan sendiri.

Itu adalah contoh idea bisnes berdasarkan minat yang anda boleh lakukan. Anda boleh melancong tanpa perlu mengeluarkan wang sambil berniaga.

 

Sumber: Majalah Niaga. Diulang siar dengan kebenaran.Artikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak Leaderonomics.

 

 

 

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Kecerdasan Keberanian – Kepimpinan untuk Masa Depan

Oleh Sonia McDonald. Dengan contoh dunia sebenar dan strategi yang berkesan, temui kuasa kepimpinan yang berani dalam mengharungi cabaran, membentuk budaya organisasi dan mempengaruhi perubahan positif.

Jan 09, 2024 10 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest