Tak Henti-henti Mengejar Impian

Sep 29, 2017 1 Minit
pahlawan berperang, cerita dongeng, impian
Berusaha Dengan Penuh Jiwa Raga Untuk Mencapai Impian

“Rancangan kami adalah untuk memimpin orang ramai dengan produk baharu; bukannya bertanya kepada mereka jenis produk yang mereka mahu. Orang ramai tidak tahu apa yang mungkin berlaku, tetapi kami tahu.”

Kebanyakan orang mengaitkan kata-kata bijak tersebut dengan Steve Jobs. Tetapi hakikatnya, kenyataan ini dibuat oleh Akio Morita, pengasas bersama Sony, beberapa tahun sebelum digunakan dalam ucapan Jobs.

Sony menampilkan kisah menakjubkan tentang keazaman Morita dan cara beliau berusaha tanpa henti untuk mencapai visi menghasilkan produk dengan tag ‘Buatan Jepun’ yang disegani ramai, yang bertaraf premium. Pada masa itu, sekitar tahun 1950-an, label tersebut adalah simbol bagi produk berkelas rendah dan tiruan.

Pada tahun 1999, apabila Morita meninggal dunia, pungutan undi meletakkan Sony sebagai jenama nombor satu di kalangan pengguna di Amerika Syarikat, mengatasi syarikat Amerika seperti General Electric dan Coca-Cola.

Namun, bagaimana sebuah kedai membaiki radio yang ‘cokia’ milik Morita boleh berubah menjadi organisasi gergasi yang sangat inovatif dalam bidang hiburan dan elektronik di persada global?

Bermula daripada sebuah visi

Morita dilahirkan dalam keluarga kaya yang terlibat dalam perniagaan pembuatan bir selama 14 generasi. Sebagai anak sulung, beliau terdidik sejak dari kecil untuk menjadi pengganti perniagaan. Dari umur 10 tahun, beliau turut sama menghadiri mesyuarat lembaga pengarah dan diajar ilmu sain pembuatan sake.

Namun demikian, semasa meningkat remaja, beliau menyedari minatnya lebih tertumpu pada matematik dan fizik. Beliau menjadi semakin ghairah untuk meluangkan masa dengan peralatan elektronik. Morita belajar tentang elektronik pada masa lapang, sehingga berjaya mencipta radio dan fonograf sendiri.

Entah bagaimana, Morita berjaya meyakinkan bapanya untuk membenarkan adik lelakinya meneruskan legasi pembuatan sake manakala beliau pula menyambung pengajian dalam jurusan fizik di Universiti Imperial Osaka.

Setelah tamat pengajian, Morita menyertai Tentera Laut Jepun dan ditugaskan di Pusat Penyelidikan Tentera Laut. Di sana, minatnya dalam bidang elektronik semakin mendalam. Di sana juga, beliau bertemu Masaru Ibuka, yang berkongsi minat dalam teknologi. Bermodalkan ¥190,000 (lebih kurang AS $500), Tokyo Tsushin Kogyo Kabushiki Kaisha (Perbadanan Kejuruteraan Komunikasi Tokyo) ditubuhkan.

Meskipun Morita dan Ibuka sama-sama ghairah dengan dunia elektronik, Morita mempunyai keinginan yang meluap-luap untuk membantu mengubah imej Jepun di mata dunia. Beliau menyaksikan kejatuhan Jepun dan percaya syarikatnya boleh memulihkan kembali kegemilangan Jepun. Visi menaikkan nama negara menjadi pegangan syarikat baharunya.

Pada tahun 1950-an, Morita menetapkan bahawa tujuan utama syarikatnya adalah untuk menjadi sebuah syarikat peneraju, sesuatu yang, pada hakikatnya, agak mustahil.  Selain itu, beliau membayangkan masa hadapan syarikatnya seperti berikut:

  • Menjadi sebuah syarikat terkemuka yang mengubah imej barangan buatan Jepun di mata dunia. Label Buatan Jepun akan memberi gambaran sesuatu yang bagus, bukannya barangan tidak bermutu.
  • Menghasilkan barangan yang akan diguna secara meluas di serata dunia.
  • Menjadi syarikat Jepun yang pertama melangkah masuk pasaran Amerika dan menjadi pengedar secara langsung.
  • 50 tahun dari sekarang, jenama syarikat akan menjadi sangat terkenal di muka bumi.

Morita kemudiannya bekerja tanpa lelah untuk merealisasikan visi ini. Pada bulan Oktober 1999, Morita meninggal dunia akibat teruk mengidap penyakit radang paru-paru (pneumonia).Penghormatan demi penghormatan diluahkan buat seorang insan yang menjunjung teknologi Jepun ke tahap yang terbaik.

Seorang penganalisis terkemuka berkata: “Beliau sendiri telah memainkan peranan utama mengubah ekonomi Jepun yang mengalami kejatuhan selepas Perang Dunia II, bertukar menjadi pemain yang sangat berkuasa dalam pasaran dunia.”

Lima puluh tahun selepas visi ini dibentuk, Jepun bangkit dari abu kehinaan menjadi pemimpin baharu dalam dunia teknologi. 

Tiada permata yang lebur

Bagaimana Morita terdaya mencapai sesuatu yang mustahil? Pemimpin terbaik berfikiran tunggal dan memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada visi mereka. Morita tahu bahawa jika beliau hendak menjadikan Jepun hebat sekali lagi, beliau harus meniru kehebatan ekonomi Barat. 

Pada tahun 1952, beliau mengambil keputusan untuk melawat Amerika Syarikat dan Eropah untuk meneroka jurang antara Jepun dan Barat. Semasa lawatan itu, beliau sedar bahawa tiada sesiapa yang boleh menyebut Tokyo Tsushin Kabushiki Kaisha (nama syarikatnya). Maka beliau bercadang untuk menukar nama syarikatnya.

Hal ini nampak mudah, tetapi susah untuk diterima semua orang. Nama merupakan permata yang berharga. Tetapi Morita sedar beliau perlu melakukannya. Setelah membuat kajian mendalam, beliau dan Ibuka mengambil keputusan menggunakan nama ‘Sony’, yang diperoleh daripada dua perkataan iaitu ‘Sonus’ (bermaksud bunyi dalam Latin) dan ‘Sonny’ (bermaksud budak lelaki yang pintar, muda dan comel dalam bahasa Inggeris).

Mengenang kembali peristiwa itu, Morita berkata: “Kami menggunakan cara yang ringkas untuk mendapatkan nama baharu. Pertama, nama tersebut perlu bersifat antarabangsa. Kedua, nama tersebut perlu ringkas, pendek dan senang diingati. Ketiga, nama tersebut perlu disebut dengan bunyi yang sama di seluruh dunia.”

Morita kemudiannya memecah tradisi dengan tidak menggunakan logo syarikat pada produknya. Sebaliknya, beliau hanya menggunakan nama ‘Sony’. ‘Budak-budak lelaki comel’ ini dengan penuh keazaman dalam jiwa menetapkan hasrat untuk mencapai visi yang seterusnya, iaitu menghasilkan produk yang hangat di pasaran dan kemudian ‘berhijrah ke Amerika’.

Visi tergugat 

Morita sedar Sony perlu menghasilkan produk yang hebat dan produk ini perlu berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat, bukan sahaja Jepun. Selepas mengeluarkan radio transistor Sony yang pertama, Morita bertemu pengedar di Amerika untuk menjual produk itu.

Namun, bulan demi bulan berlalu tetapi tiada apa pun yang berlaku. Morita hampir berputus asa tetapi akhirnya, Bulova, sebuah syarikat jam tangan, bersetuju untuk memesan 100,000 unit sekiranya produk itu dipasarkan dengan jenama Bulova. Hal ini bermaksud Sony akan hanya menjadi OEM dan Boluva akan menjadi jenama radio.

Bagi Morita dan Sony, ini merupakan tempahan terbesar, dan nilainya lebih besar daripada jumlah permodalan pasaran Sony. Ahli lembaga pengarah Sony sangat gembira dan pengasas bersama Ibuka menggesa Morita supaya menandatangani perjanjian itu serta-merta.

Namun demikian, beliau tidak mempedulikan lembaga pengarahnya dan enggan menandatangani perjanjian itu. Pada pandangan Morita, visinya untuk menaikkan jenama Jepun di peringkat global akan pudar jika Sony hanya menjadi pembekal dari luar negara kepada Bulova. Beliau tetap teguh dengan visinya.

Usaha gigihnya akhirnya terbayar apabila Morita menemui seorang pengedar yang bersetuju dengan syaratnya, iaitu menjual radio tersebut dengan menggunakan jenama Sony. Orang Amerika sukakan Sony dan radio itu.

Produk-produk hebat Sony memainkan peranan yang besar dalam mengubah pandangan dunia terhadap barangan Jepun. Morita percaya satu-satunya cara untuk membangunkan produk berinovatif adalah dengan sentiasa membuat sesuatu yang lain daripada biasa dan sentiasa mengambil dua langkah ke hadapan terlebih dahulu. Maka Sony bekerja keras tanpa henti untuk memperkenalkan pelbagai produk baharu, menjadikan Sony ibarat Cadillac bagi dunia elektronik. 

Menembusi pasaran Amerika 

Cabaran yang lebih besar adalah untuk berjaya di Amerika. Pada tahun 1961, Sony menjadi syarikat Jepun pertama yang tersenarai di Bursa Saham New York. Tetapi Morita berasa untuk menguasai pasaran Amerika, beliau perlu menetap di sana.

Maka, pada tahun 1963, beliau dan seluruh keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat.

Inilah seorang ketua pegawai eksekutif yang betul-betul percaya bahawa beliau sendiri memerlukan pengalaman praktikal berkenaan cara menjual dan memenangi pasaran di AS.

Morita begitu berdedikasi untuk memastikan visi Sony terlaksana. Beliau sedar bahawa untuk berjaya menjual barangan di Amerika, beliau perlu lebih arif tentang orang Amerika dan cara hidup mereka.

Tetapi Morita tahu bahawa untuk menang besar di Amerika Syarikat memerlukan sesuatu yang berbeza, sambil menambah: “Saya tahu kami memerlukan senjata untuk memecah masuk pasaran Amerika Syarikat, dan ia harus sesuatu yang cukup berbeza, sesuatu yang tiada siapa yang membuatnya.”

Morita berpindah ke Amerika Syarikat terutamanya untuk belajar. Beliau menambah: “Berhati-hati melihat bagaimana orang hidup, dapatkan akal intuitif untuk apa yang mereka mahu dan kemudian pergi dengannya. Jangan lakukan penyelidikan pasaran.”

Pemerhatiannya membuatkannya sedar akan kesukaan warga Amerka terhadap muzik.   Beliau melihat warga Amerika mendengar muzik di dalam kereta  dan juga membawa stereota besar ke pantai atau taman.

Terciptalah Walkman – produk yang menawarkan bunyi berkualiti tinggi tetapi sangat mudah alih. Morita menghadapi tentangan di Sony berkaitan pembangunan produk sedemikian. Tetapi beliau tahu bahawa beliau harus membuat produk yang akan merevolusikan dunia.

Maka beliau menggesa pasukannya untuk bekerja keras sehingga mereka berjaya menghasilkannya. Ramai pemimpin yang berasa berat hati untuk bersetuju dengan nama Walkman, bunyinya agak canggung, akan tetapi, beliau mewajibkan semua anak syarikat Sony untuk menggunakan nama tersebut.

Walkman merupakan bonanza besar bagi Sony kerana teknologi ini terbukti susah untuk ditiru. Model-model pesaing mengambil masa lebih dua tahun untuk memperkenalkan produk yang serupa.

Pada waktu itu, reputasi dan pengiktirafan jenama Sony telah melonjak ke seluruh dunia. Kelahiran Walkman menandakan kegemilangan Sony, yang mengubah persepsi dunia terhadap produk Jepun.

Akhir kata

Fokus tanpa henti terhadap usaha mencapai visi adalah sifat utama pemimpin yang hebat. Pertama, mereka mempunyai visi yang jelas. Kemudian, mereka menumpukan segenap perhatian dalam usaha merealisasikan visi mereka.

Morita mempunyai visi yang mustahil. Cubaannya untuk ‘mencipta semula’ Jepun dalam masa 50 tahun mungkin menjadi bahan tawa kebanyakan orang. Tetapi beliau tidak putus harapan dan teguh pada pegangannya. Beliau mengejar strategi ini dengan usaha tanpa henti yang penuh tenaga dan semangat.

Beliau mengharungi banyak rintangan. Sejarah Sony penuh dengan liku-liku. Produk pertama Sony ialah periuk nasi elektrik, tetapi periuk itu menyebabkan nasi hangit. Namun Morita tidak pernah menyerah kalah. Beliau gigih berjuang sehingga Walkman dan Discman mengubah pandangan dunia.

Apakah visi anda? Adakah anda jelas dengan visi anda dan garis masa untuk melaksanakannya? Adakah anda membuat sesuatu untuk mencapai misi anda dengan sepenuh tumpuan? Teruskan perjuangan anda. Anda bakal menghasilkan ‘Walkman’ anda sendiri jika anda mengejar visi anda tanpa henti.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Are You Relentless In Pursuing Your Dream? Akio Morita’s Vision Enabled Sony To Soar

Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Penjenamaan

Bagaimana Penjenamaan Peribadi Membantu Pemimpin Meluaskan dan Menzahirkan Kesedaran Diri Mereka

Oleh William Arruda. Pemimpin perlu mengambil berat tentang jenama peribadi mereka. Ketahui cara membangunkan penjenamaan peribadi yang tulen melalui tiga fasa mudah.

Aug 14, 2023 4 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVanMalaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest