Seni Bercerita Dalam Dunia Perniagaan

Mar 05, 2018 6 Minit
buku, cerita, seni

“Cerita yang baik menyentuh naluri anda dan ia adalah universal. Cerita sebegini menggenggam erat nilai diri dan komitmen anda kepada kecemerlangan; menyuntik ilham dan tarikan. Cara paling berkesan untuk menyampaikan idea-idea tersebut adalah dengan bercerita.” – Mark Truby, Naib Presiden Komunikasi, Syarikat Ford Motor

Dalam dunia yang kian beralih ke arah automasi di mana kita mendambakan kemudahan dan kecekapan, mudah bagi kita lupa akan unsur insaniah dalam bidang perniagaan.

Walaupun begitu, syarikat-syarikat terkemuka di dunia berkembang maju menerusi cerita-cerita yang dikongsi bersama kita. Kita semua membesar dengan seni bercerita yang mengusik perasaan dan dinikmati dalam bentuk yang pelbagai.

Bagi perniagaan, cerita seumpama ini adalah identiti mereka – tujuan kewujudan mereka dan bagaimana mereka memberikan makna kepada apa yang dilakukan.

Tukang cerita perniagaan yang baik bijak menarik perhatian kita untuk mengetahui segala-galanya tentang mereka. Ini bukannya mudah kerana penceritaan keusahawanan adalah seni dan juga sains yang teliti.

Jadi, bagaimana jenama dan perniagaan menceritakan kisah mereka dengan cara yang kuat dan berkesan?

Bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang bagaimana ia dilakukan, Leaderonomics berbicara dengan tiga pemimpin firma Malaysia. Organisasi pimpinan mereka berasaskan teknologi dan merupakan sebahagian daripada program Rangkaian Inovasi dan Pemecutan Global (GAIN) yang dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Chia Yong Wei, Microlink Solutions

Setelah dua tahun bersama Kumpulan OMESTI, Chia dilantik sebagai Ketua Pengawai Eksekutif (KPE) Kumpulan Microlink, anak syarikat OMESTI, pada April 2016. Chia juga berperanan sebagai Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan di Kumpulan OMESTI dan Ketua Pegawai Operasi Makmal Inovasi OMESTI – divisyen yang membina teknologi dan aplikasi.

Sebagai bekas Ketua Inovasi, Komersial dan Teknologi (ICT) dan Ketua Wilayah Pengurusan Hubungan Pelanggan AirAsia, Chia menimba pengetahuan daripada seorang lagi tukang cerita yang hebat — pengasas dan KPE Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes. Chia menonjolkan dua pengajaran utama yang dia sentiasa tekankan kini.

“Latar belakang saya terbentuk dan berfokus pada corak pembentangan berstruktur sejak dari masa saya bekerja selama 11 tahun di Accenture. Tetapi dengan Fernandes, anda akan sedar yang anda bekerja dengan seorang usahawan yang tajam dan mempunyai kepintaran perniagaan yang kukuh. Jadi anda tidak perlu bercakap berbelit-belit. Saya belajar dengan cepat untuk menyampaikan mesej dengan jelas dan padat – dalam tiga minit. Ia bukanlah seperti mencuba mendapatkan jualan dalam masa yang singkat tetapi ia haruslah padat dan kuat.”

“Satu lagi perkara yang saya pelajari daripada Fernandes adalah bagaimana mendapatkan perhatian daripada orang ramai. Fernandes sering memulakan perbualan dengan idea atau soalan yang baik yang menarik minat orang ramai. Dia sangat suka bercerita tentang asal-usulnya. Itu sudah cukup untuk membuatkan saya kagum.”  

Chia, seorang yang berkarisma dan penuh tenaga, menambah bahawa kualiti sebegini sangat bernilai baginya dan dia masih terus berusaha untuk memperkasakan dan memupuknya dalam dirinya.

“Terdapat ramai pemimpin di luar sana, dan saya ingin menjadi pemimpin yang berkarisma. Bukan hanya ingin menarik perhatian tetapi untuk menyampaikan mesej dengan sebaik mungkin. Ini penting kerana inilah cara kita melibatkan orang lain dalam kisah yang sedang kita ceritakan.”

Sebagai sebuah firma teknologi dalam era yang berteknologi maju, kemahiran berinteraksi sesama insan seperti bercerita adalah sangat penting, kata Chia. Fokus Microlink adalah pada usaha membantu klien mereka memahami Data Besar dan Industri 4.0.

Dia menambah: “Adalah penting untuk menyediakan konteks atau perbandingan supaya orang ramai dapat memahami konsep-konsep dengan penuh bermakna. Penceritaan menerbitkan rasa kemanusiaan kepada perkara-perkara tersebut melalui analogi dan  gambaran. Berikan fakta secara tepat dan padat dan pastikan cerita anda itu benar.”

Ringkasnya, menurut Chia, ketulenan, karisma dan keringkasan serta kepadatan adalah komponen penting dalam penceritaan yang berkesan.

Datuk Azrin Mohammad Noor, Sedania Innovator

Datuk Azrin, pengasas dan pengarah urusan Sedania Innovator Bhd, iaitu sebuah syarikat pemerkasaan teknologi, tidak asing kepada penceritaan kerana dia pernah menulis dua buah buku serta menerbitkan empat buah buku. Buku pertamanya, Non-Conforming (Tidak Mematuhi), menduduki tangga pertama dalam senarai buku yang sangat laris jualannya di MPH.

Dia berkongsi serba sedikit pengajaran yang didapati dalam perjalanannya menyiapkan buku tersebut.

“Seorang usahawan secara asasnya adalah seorang jurujual. Jika anda bukan jurujual, anda bukan usahawan – anda hanya membuat produk. Intipati keusahawanan yang hebat adalah menguasai penceritaan dan menjadikannya sebagai satu seni.

“Saya membahagikan formula saya kepada dua bahagian: isi kandungan dan audiens. Jika anda tidak dapat memahami kedua-duanya, anda tidak akan mencapai apa-apa. Dengan Non-Confirming, saya tahu yang saya ingin berhubung dengan golongan belia, jadi saya pun membentuk isi kandungannya mengikut kehendak kumpulan ini.”

Datuk Azrin, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai KPE Terbaik 2017 pada Anugerah Pencapaian Tertinggi Malaysia, mempunyai azam untuk membantu para belia berfikir dengan cara yang berbeza dan berinovasi supaya dapat berkembang maju. Ia adalah matlamatnya secara peribadi serta Sedania dalam usaha mereka memperkasakan para belia. Dia menitipkan nasihat berikut kepada firma-firma yang sedang meningkat naik dan ingin mengasah bakat seni penceritaan:

“Mula-mula sekali, sedari kepentingan menjadi pemikir, menjadi tegas, intuitif – dan pupuk ini dalam diri anda. Jika anda masih belum mencapainya, anda perlu menggaji orang yang mempunyai ciri-ciri itu dan belajar daripada mereka. Setiap ahli kumpulan mendapat manfaat daripada mereka yang mempunyai kebolehan bercerita yang hebat serta minda yang kuat tetapi kita harus terbuka dan menerima mereka sebagai sebahagian daripada ahli kumpulan.”

Vishen Lakhiani, Mindvalley

Lakhiani ialah pengasas dan KPE Mindvalley, sebuah syarikat teknologi pendidikan – dan juga penulis buku The Code of the Extraordinary Mind (Kod Minda Luar Biasa).

Dia menekankan kepentingan bercerita tentang kisah permulaan syarikat anda dengan tulus untuk memberi inspirasi dan menarik minat orang lain. Nasihat terbaiknya? Orang ingin tahu ‘sebab’ anda.

“Jika anda menerajui syarikat permulaan, orang tidak kisah apa yang anda buat. Mereka hanya ingin tahu mengapa anda lakukannya. Dalam siri temu bual TEDtalk terkenal bersama Simon Sinek Start With Why (Mulakan dengan Mengapa), dia mengatakan bahawa orang hanya ingin tahu tentang mengapa syarikat itu ditubuhkan atau individu yang memulakannya dan bukannya apa produk yang dijual.

Berkaitan: Memimpin Dari Dalam Ke Luar

“Orang lebih tertarik dengan mengapa dan bukannya apa, tetapi para pengasas syarikat permulaan yang saya kenali dan sedang membina syarikat yang hebat tidak membuatnya hanya untuk untung saja. Mereka terdorong untuk menyelesaikan masalah atau merapatkan jurang perbezaan dalam masyarakat. Ia penting bagi kita untuk berbincang tentang perkara asas yang memacu mereka, iaitu mengapa.”

Lakhiani berkata dia terpanggil untuk memulakan Mindvalley untuk berkongsi kebaikan dan pertumbuhan peribadi yang diperolehinya daripada meditasi, penetapan matlamat dan cara-cara lain yang dikongsi oleh bapanya dari usia yang muda. Itulah mengapa bagi dirinya yang tidak pernah dilupakannya.

Dia menambah bahawa syarikat permulaan haruslah melakukan lebih daripada penceritaan semata-mata dan berkongsi cerita sebenar, keghairahan dan keinginan mereka supaya dapat mencapai lebih ramai orang dan berkembang maju.

“Saya ingin berkongsi perkara yang telah saya pelajari dengan orang ramai. Apabila saya menerangkan tentang Mindvalley, saya menceritakan tentang apa yang memberi inspirasi kepada saya untuk melakukannya – iaitu mengapa.”

 

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dilancarkan pada tahun 1996 untuk merintis transformasi ekonomi digital Malaysia. Salah satu matlamatnya adalah melahirkan Rangkaian Inovasi dan Pemecutan Global (GAIN) yang bertujuan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengatasi halangan dalam pengembangan mereka. Untuk maklumat lanjut mengenai program ini dan kisah hidup mereka yang berjaya, layari www.mdec.myUntuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Lessons From Malaysian Leaders: The Art of Storytelling.

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Sudut Pakar, Nilai Murni

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Langkah mengelakkan burnout

Wajib Tahu! 6 Langkah untuk Mengelakkan Burnout

Oleh Michelle Gibbings. Adakah anda berasa Burnout di tempat kerja? Dengan keadaan ini, ia akan menjejaskan anda secara negatif, peribadi dan profesional.

Sep 20, 2022 5 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest