Kesignifikanan Membuahkan Legasi Berkekalan

Oleh

Roshan Thiran

05-05-2017

6 minit

Template Logo
category-icon

Beberapa tahun yang lepas, saya berpeluang berkongsi pentas di acara Gathering of the Great Minds dengan Patch Adams, yang terkenal dengan pesanan ringkasnya tentang kasih.

Adams merupakan seorang pelajar perubatan yang berikrar untuk membina sebuah hospital di mana penjagaan tidak akan dikenakan bayaran.

Setelah lulus menjadi doktor, dia menjemput para pesakit untuk tinggal di rumahnya. Selama 12 tahun, dia tinggal bersama isterinya, dua orang anak, empat orang doktor, dan 50 orang pesakit gelandangan.

Dia tidak pernah menolak sesiapa pun atau mengenakan bayaran walau sesen pun untuk penjagaan yang diberikan. Sepanjang tahun-tahun tersebut,  dia telah merawat puluhan ribu orang pesakit dengan kasih tanpa meminta apa-apa sebagai balasan.

Beberapa tahun kemudian, Adams mendirikan Institut Gesundheit yang menawarkan rawatan perubatan holistik percuma kepada semua orang.

Patch mempelajari kasih daripada ibunya. Bapanya terbunuh di medan perang ketika dia baru berumur enam tahun. Sejak itu dia mengutamakan kasih di dalam semua yang dilakukannya, termasuk dalam bisnes.

Adams, yang terkenal melalui filem adaptasi hidupnya, menggunakan kasih dan riang tawa untuk menyembuhkan, justeru mencipta legasi besar yang akan berterusan menjangkaui jangka hidupnya.

Apabila kita semakin lanjut usia, adalah baik sekiranya kita mempertimbangkan legasi yang bakal kita tinggalkan. Sebuah pepatah lama mengatakan:

“Sekiranya anda menjalani sebuah kehidupan yang bermakna, anda tidak akan mati. Sebaliknya, anda akan terpecah menjadi 1,000 kepingan kecil, setiap satu kekal hidup di dalam mereka yang anda telah sentuh sepanjang hayat anda.”

Kesignifikanan bukan kejayaan

Tidak lama yang lalu, saya terbaca kisah tentang Nick dan isterinya, Drana. Nick adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan pendapatan yang tinggi, cukup untuk membuat semua impian mereka menjadi kenyataan. Hidup anak-anak mereka sudah tersergam untuk mengikuti kejayaan mereka. Tetapi Nick dan Drana memilih untuk tidak mahu kejayaan yang serupa untuk anak-anak mereka. Sebaliknya, mereka mahu membesarkan anak-anak mereka untuk mengejar kesignifikanan.

Mereka sedar bahawa mereka harus mengubah kehidupan mereka sendiri dari sesuatu yang berjaya kepada sesuatu yang dapat bertahan. Mereka membuka rumah mereka kepada orang yang tidak dikenali, mula mengamalkan sikap memberi dan bukan menerima, menawarkan perkhidmatan secara sukarela dan menolong ramai orang.

Anak perempuan bongsu mereka, Agnes, memilih untuk menumpukan hidupnya untuk mengejar ‘kesignifikanan’. Dia sangat cerdik, cantik, rajin dan tahu bahawa semua ini adalah kunci kepada kejayaan, namun dia belajar daripada ibu bapanya bahawa untuk menjadi signifikan, hatinya, perwatakannya dan kasih-sayangnya adalah lebih kritikal.

Pada tahun 1997, Agnes meninggal dunia dan saya diminta untuk membuat obituari TV yang istimewa mengenai Agnes. Dunia mengenali Agnes sebagai Mother Teresa. Keputusan ibu bapanya untuk melepaskan ‘kejayaan’ bagi ‘kesignifikanan’ memastikan bahawa legasi mereka terus menyala dalam jiwa anak perempuan mereka. Legasi tersebut hidup sehingga hari ini dalam berjuta-juta orang yang telah disentuh oleh kasih kurnia dan belas kasihan Agnes.

Pemimpin-pemimpin yang hebat meninggalkan legasi yang melampaui mereka. Ken Blachard berkata:

“Ramai orang mengukur kejayaan mereka dengan kekayaan, pengiktirafan, kuasa dan status. Tidak ada yang salah dengan semua itu, namun sekiranya mata anda hanya dikaburi oleh semua itu, anda sudah tersilap. Sebaliknya, berilah tumpuan kepada kesignifikanan.”

Wright bersaudara menumpukan perhatian mereka kepada kesignifikanan – bukan untuk menjadi kaya tetapi untuk mengubah dunia melalui penerbangan. Pesaing mereka, Samuel Langley, pula bekerja keras untuk mengaut kejayaan kewangan dalam penerbangan. Dia tidak pernah berjaya.

Legasi anda

Pernahkan anda terfikir akan legasi anda? Adakah legasi yang akan anda tinggalkan menyerupai Jack Welch, Nelson Mandela, Patch Adams, Steve Jobs ataupun seperti Nick dan Drana yang membesarkan Agnes kepada kesignifikanan? Atau mungkinkah legasi anda tercemar dengan tipu helah, kelicikan, penyesalan, hipokrit ataupun satu kegagalan di dalam mencapai potensi anda?

Legasi adalah sebuah perkataan yang kuat yang sering dikaitkan dengan kepimpinan. Kita semua adalah pemimpin. Ibu bapa adalah pemimpin, begitu juga dengan para guru. Sekiranya anda memimpin seseorang, anda adalah pemimpin dan anda memiliki tanggungjawab untuk meninggalkan legasi yang positif.

Wikipedia menjelaskan legasi sebagai: “Sesuatu yang diturunkan oleh nenek moyang atau pendahulu atau dari masa yang lampau; ataupun sesuatu yang diperolehi tanpa pampasan.” Ia sinonim dengan hak kelahiran, warisan, keturunan dan tradisi. Pemimpin mencipta dan mewariskan legasi.

Jadi, bagaimanakah seseorang memulakan perjalanan mereka membina legasi yang berkekalan? Jawapannya bermula dengan membuat inventori diri sendiri. Anda perlu mengetahui apa yang membangkitkan semangat anda. Ia bermula dengan nyala rasa.

Legasi dibina atas keghairahan 

Satu tinjauan baru-baru ini menunjukkan bahawa 75% daripada penduduk dunia tidak menyedari apakah keghairahan atau nyala rasa sebenar mereka. Mencari nyala rasa sebenar anda bukanlah semudah yang disangkakan. Soalan-soalan seperti ‘apakah perkara yang menggembirakan anda’, ‘benda apakah yang anda gemar lakukan’, ataupun ‘perkara apakah yang mampu menjana kreativiti anda’ dapat membantu anda untuk memulakan perjalanan mengenal pasti keghairahan dan nyala rasa anda.

Sebelum Steve Jobs menemui nyala rasa sebenarnya, dia menghabiskan banyak masa untuk mengenali diri sendiri. Kebolehan sebenar diri selalunya terserlah sewaktu kita melaksanakan keghairahan kita. Ini akan membawa kepada kehebatan. Kehebatan adalah tunjang bagi kesignifikanan.

Legasi dibina atas kesignifikanan

Ibu bapa Mother Teresa, Nick dan Drana, secara sedar membuat keputusan untuk meninggalkan hidup mengejar kejayaan kepada mengejar kesignifikanan. Sebagai seorang pelajar perubatan, Patch Adams bertekad untuk tidak menjadi seorang doktor yang kaya dan berjaya semata-mata untuk membuat impak yang besar dalam dunia perubatan.

Bagaimanakah anda bergerak dari mengejar ‘kejayaan’ ke mencapai ‘kesignifikanan’? Berikut adalah beberapa soalan yang boleh membantu anda:

  • Siapa saya?
  • Mengapa saya ada di sini?
  • Ke mana saya harus pergi?
  • Bagaimana saya akan sampai ke sana?
  • Apabila saya sampai di sana, adakah saya akan berasa signifikan?

Anda juga boleh membuat satu senarai 10 pencapaian paling signifikan dalam hidup anda dan mengapa mereka adalah signifikan. Apabila anda menemui titik pertembungan keghairahan anda dengan kebolehan terbesar diri anda, anda boleh mula mengukir pelan tindakan untuk mencapai kesignifikanan anda.

Legasi dicipta setiap hari

John Maxwell berkata:

“Kejayaan hari-hari saya bergantung kepada benih-benih yang saya tabur, bukan hasil yang saya tuai.”

Selalunya, para pemimpin terlepas pandang akan proses menabur benih disebabkan terlalu taksub kepada hasil jangka pendek. Inilah fenomena yang membawa kejatuhan terhadap pemimpin seperti Kenneth Lay.

Menabur benih tanpa henti adalah lebih baik daripada mendapat hasil-hasil segera. Ini kerana tuaian yang sebenar bergantung kepada biji benih yang anda tabur hari ini. Legasi adalah hasil daripada amalan ‘menabur benih dalam hidup orang lain setiap hari yang pasti membuah subur pada hari kemudian’.

Legasi tidak tercipta dengan serta merta. Ia dibina setiap hari melalui nilai-nilai, kerja keras, integriti kepimpinan dan perwatakan. Pilihan yang anda buat setiap hari dengan masa dan usaha anda secara langsung akan memberikan impak kepada bagaimana anda akan diingati nanti. Rahsia bagi kesignifikanan ditentukan oleh agenda harian anda.

Ia bukan tentang meninggalkan sebuah legasi, tetapi menghidupkan sebuah legasi.

“Pemimpin telah dikondisikan untuk memandang ke hadapan. Tetapi dengan berbuat demikian, mereka sering terlupa akan hari ini. Legasi dicipta pada hari ini.” — Shane yount

Legasi mengambil masa bertahun-tahun untuk dicipta namun ia boleh lesap dalam sekelip mata. CSPAN ditauliahkan satu kajian untuk menilai 41 orang presiden Amerika Syarikat yang lalu berdasarkan 10 kualiti kepimpinan mereka. Tiga teratas adalah Abraham Lincoln, Franklin Roosevelt dan George Washington. Dua terbawah pula adalah Bill Clinton dan Richard Nixon. Kedua-dua Clinton dan Nixon mungkin akan mendapat kedudukan yang lebih tinggi sekiranya nilai moral mereka tidak terjejas oleh skandal-skandal mereka.

Legasi bertahan melalui pewaris

Akhir sekali, legasi harus mempunyai pewaris. Peter Drucker berkata:

“Tidak ada kejayaan tanpa pengganti.”

Kepimpinan Abraham Lincoln menamatkan perhambaan di Amerika. Selepas perang saudara, Lincoln membina semula bahagian selatan Amerika Syarikat untuk menjalin talian silahturahim dengan hamba-hamba berkulit gelap yang sudah bebas.

Walau bagaimanapun, Lincoln terbunuh dengan mengejut dan digantikan oleh Andrew Johnson sebagai presiden. Johnson membangun semula sistem yang bersifat penindasan di bahagian selatan dan memusnahkan legasi kebebasan Lincoln, sekaligus membantutkan gerakan hak sivil dan mengekalkan ketidakadilan untuk seabad seterusnya.

Seperti apa yang dinyatakan oleh Maxwell:

“Nilai berkekalan seseorang pemimpin diukur oleh pewarisnya.”

Sekiranya Lincoln mempunyai pewaris yang berkongsi wawasannya, isu-isu perkauman di Amerika pasti tidak berlarutan sehingga ke abad ke-20.

Sewaktu seorang pemimpin mengakhiri penggal perkhidmatannya, dia harus menumpukan tenaganya untuk membantu pewarisnya meneruskan legasi tersebut. Pemimpin yang terbaik membentuk pemimpin baharu. Proses pembentukan ini termasuk membangun, melatih dan melengkapkan orang lain untuk kejayaan kepimpinan.

Para pemimpin hebat yang meninggalkan legasi yang berkekalan adalah mereka yang paling murah hati dengan pengetahuan dan kepakaran mereka. Mereka adalah orang-orang yang selalunya mewujudkan nilai ekonomi yang paling tinggi serta legasi kepimpinan yang berpanjangan.

Akhir kata

Memang mengerikan apabila kita memikirkan tentang kematian. Tetapi apabila kita meninggal dunia, apakah yang akan dikatakan orang semasa memberi ucapan pujian? Kita menjadi abadi bukan melalui kebendaan tetapi melalui legasi yang kita tinggalkan.
Kita tidak akan diingati untuk apa yang kita lakukan bagi diri kita tetapi apa yang kita lakukan untuk orang lain. Pada akhirnya nanti, tiada siapa peduli pencapaian kebendaan anda. Tetapi mereka akan mengingati sifat kepimpinan, khidmat, perwatakan dan inspirasi anda.

Patch Adams menjadikan kasih sebagai hala tujuan hidupnya. Lennon dan McCartney menggemakan Adams dengan berkata:

“Pada akhirnya, kasih yang anda ambil sama banyak dengan kasih yang anda beri.”

Dengan cara yang sama, legasi anda bergantung kepada apa yang anda berikan hari ini, bukan apa yang anda terima.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik What’s Your Legacy?

Cadangan Buat Kamu