Kebebasan Bukan Hak Asasi

Aug 31, 2020 2 Minit
Kebebasan

31 Ogos 1957, laungan "MERDEKA!" oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Kelab Selangor disambut oleh ribuan rakyat Malaysia yang berhimpun di sana. Ya, kita sememangnya telah bebas daripada dibelenggu penjajah. Itulah sejarah yang telah tertulis dan setiap tahun kita menyambut kemerdekaan sebagai peringatan kepada peristiwa tersebut. 

Bagi kebanyakan orang, merdeka bererti kita bebas. Kita bebas daripada cengkaman penjajah. Kita bebas mengurus tadbir negara kita sendiri. Kita bebas menentukan hala tuju negara. Tetapi, adakah kita akan selamanya bebas? Persoalan yang sering saya tanyakan kepada diri saya sendiri, adakah kita tidak akan lagi dijajah?

Mari kita rujuk semula sejarah, kenapa negara kita dijajah? Sejak tahun 1511 sebenarnya kita dijajah kerana satu faktor utama. Melaka sebagai kerajaan sebelum itu merupakan satu kerajaan yang masyhur malah empayar Melaka berkembang pesat di mana pada zaman kegemilangannya sewaktu diperintah oleh Sultan Mansur Shah dari tahun 1459 sehingga tahun 1477.

Hanya dalam tempoh singkat selama 34 tahun, empayar Melaka yang begitu masyhur telah dijajah oleh armada Portugis yang pada ketika itu dipimpin oleh Alfonso de Albuquerque. Maka, bermulalah episod penjajahan di Tanah Melayu sehinggalah kita akhirnya menikmati kemerdekaan pada tahun 1957.

Kenapa kita dijajah? Salah satu faktor utama adalah kepimpinan. “Semuanya ada naik dan turun dalam kepimpinan” kata John C Maxwell. Beliau menyambung, “Bukan hanya satu perkara atau beberapa perkara tetapi pada semuanya”  Jatuh bangun segala sesuatu adalah kerana kepimpinan.

Ya benar, kita sudah merdeka. Tetapi apakah erti kemerdekaan sebenar. Kita hidup pada abad ke-21, dunia tidak lagi dijajah oleh kuasa-kuasa besar melalui penaklukan kerajaan. Kini kita lebih terdedah untuk dijajah dalam pelbagai faktor.

Mari kita renungkan kembali sejarah yang pernah berlaku pada Sri Lanka. Semasa zaman pemerintahan Mahinda Rajapaksa, beliau membuat keputusan untuk membina pelabuhan di Hambantota dan meminjam wang yang banyak daripada China. Walaupun menyedari lokasi pelabuhan kurang berpotensi untuk berdaya maju.

Selepas sarat dengan hutang, Sri Lanka tidak dapat melunaskan hutang mereka dengan China dan kini pelabuhan tersebut milik China. Tidak cukup dengan itu, atas tekanan hutang 15,000 ekar tanah juga terpaksa dipajak kepada kerajaan China selama 99 tahun. Ini antara salah satu contoh penjajahan berlaku pada zaman kini. Walaupun Rajapaksa tidak lagi memerintah, pemerintah seterusnya terpaksa menguruskan isu legasi yang ditinggalkan oleh pemerintah terdahulu.

Kita boleh bercakap tentang kegemilangan kita pada masa yang lepas. Betapa hebatnya bangsa kita, tanah air kita. Tetapi perkara yang lepas sudah pun berlalu. Kita sebenarnya penentu masa depan negara kita.

Tak perlu kita berdemonstrasi menuntut hak. Sebaliknya sekiranya kita mempunyai kuasa pengaruh yang baik, kita dapat memimpin dengan baik, kita akan mendapat hak kita dan kita akan dihormati oleh dunia.

Mari saya jelaskan, artikel ini bukan bermaksud untuk menggalakan kita untuk menjadi xenofobia atau merasa curiga terhadap orang lain. Saya percaya ada batas untuk kita merasa bangga sebagai rakyat, dan tidak ada ruang untuk masalah perkauman bagi masyarakat yang bertamadun. Maksud saya ialah, kita harus berfikiran matang jika ingin berdikari.  Kebebasan kita bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ia adalah hak istimewa yang harus kita banggakan dan jaga.

Diterbitkan dengan kebenaran. Untuk berhubung dengan lebih lanjut, email editor@leaderonomics.com 

Sila Kongsi

Alt
Johan Irwan Kamarozaman adalah pengasas Leap Leadership Academy dan pengarang Komunikasi Warna. Dia mempunyai minat yang mendalam terhadap membantu orang mempertingkat tahap komunikasi dan kepimpinan diri mereka.
Alt

Cadangan Buat Kamu

Anja Juliah Abu Bakar

Tumpuan Pada: Anja Juliah Abu Bakar, Pengasas Athena Empowers

Bersempena Hari Wanita Sedunia tahun ini, kami meraikan enam pemimpin wanita dalam ruang impak. Wanita yang memikul peranan perintis dan didorong oleh rasa tujuan untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan ditambah pula dengan semangat mereka yang kuat untuk menentang ketidakadilan.

Mar 07, 2023 3 Minit

Alt

Malaysia, Tanah Airku

Sepanjang kembara kerjayanya, Roshan Thiran telah banyak berpeluang berkhidmat di luar negara. Namun, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.

Aug 25, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest