Merdeka Kerjaya

Aug 30, 2020 4 Minit
kerjaya
Berjaya Dalam Kerjaya

Merdeka!… Merdeka!…. Merdeka!… Satu perkataan yang sering dilaungkan setiap tahun bermula dari tahun 1957 sehinggalah sekarang. Bagi individu yang berkait secara terus dengan peristiwa kemerdekaan, laungan ‘Merdeka!’ memberikan makna yang cukup mendalam kepada diri mereka. Pada saat kita dilanda pandemik yang telah meragut ratusan ribu nyawa diseluruh dunia sekarang ini, tentunya agak berat lidah untuk melaungkan ‘merdeka’, kerana sedar akan hakikat bahawa diri masih belum merdeka sepenuhnya daripada virus COVID-19 yang boleh berjangkit pada bila-bila masa hanya dengan sedikit kealpaan dan sikap mengambil mudah akan hal kebersihan dan kesihatan. 

Bagaimana pula apabila kemerdekaan itu dihayati dari aspek kerjaya? Adakah anda sudah merdeka? Dalam artikal kali ini saya ingin membawa sidang pembaca untuk menghayati kemerdekaan dari sudut kerjaya kerana setiap individu masyarakat Malaysia sudah semestinya berkerjaya tidak kira besar atau kecil peranan kita, semuanya menyumbang kepada pembentukan ekosistem masyarakat yang aman dan harmoni seperti sekarang ini. 

Kebebasan Mendapat Kerjaya yang Diimpikan

Apakah yang saya maksudkan dengan merdeka dari sudut kerjaya adalah kebebasan untuk mendapat kerjaya yang diimpikan dalam masa yang sama mencipta peluang pekerjaan sendiri. Adakah diri kita masih lagi terikat dengan corak pekerjaan yang lama?, iaitu menunggu peluang bertahun-tahun untuk naik pangkat dan naik gaji, yang mana pada zaman sekarang ini telah memungkinkan kita memegang suatu jawatan besar pada umur yang masih muda? Tidak terkejutkah mungkin suatu hari nanti kebanyakan mesyuarat-mesyuarat penting akan dihadiri oleh orang-orang muda keseluruhannya? Dan ya! Mereka anak-anak muda yang sudah merdeka dalam kerjaya mereka. 

Mungkin sebahagian besar daripada kita sudah pun sedia maklum bahawa, peluang pekerjaan menjadi sangat kritikal pada saat seluruh dunia dilanda wabak COVID-19 dan ratusan juta manusia telah kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata. Di Malaysia sendiri pun terdapat lebih daripada 800 ribu individu yang berstatus penganggur. Adakah ‘Merdeka’ apabila masih mempunyai tunggakan hutang yang belum dilangsaikan kerana belum ada pekerjaan?

Namun, persoalannya sampai bila? Saya menganggarkan bahawa angka-angka pengangguran tidak akan menunjukkan sebarang trend penurunan dalam tempoh 5 tahun yang akan datang berikutan tempoh masa yang diambil oleh kebanyakan industri untuk pulih dari sektor ekonomi yang sedang tenat, dan ini merupakan suatu perkhabaran yang tidak baik dan menuntut semua pihak tidak kira kerajaan mahu pun pun swasta, semua pihak harus memainkan peranan yang lebih serius. 

Masanya untuk Bangkit Semula

Sudah tiba masanya untuk bangkit semula, kerjaya seseorang individu tidak lagi boleh diukur dan dihadkan berdasarkan segulung ijazah yang dipegang tetapi berdasarkan impian dan cita-cita mereka. Cara pemikiran harus diubah, baik individu pelajar mahu pun ibu bapa dan penjaga bahawa belajar sehingga ke menara gading itu tidak hanya untuk memiliki segulung ijazah, tetapi apa yang lebih penting adalah untuk memperoleh ilmu yang akan digunakan dalam apa jua kerjaya yang bakal ditempuhi nanti. Seseorang yang memiliki ijazah kejuruteraan tidak semestinya menjadi seorang jurutera apabila mana minatnya yang mendalam adalah dalam bidang masakan, ia bukan lagi sesuatu perkara yang pelik dan tidak perlu dipandang serong, sebaliknya galakkan dan sokongan yang tidak putus harus diberikan. Ini zaman survival, pemikiran harus merdeka bagi membolehkan kita berfikiran lebih kreatif dan inovatif untuk terus ‘survive’ dalam apa jua situasi yang dihadapi sekarang ini. 

Sekarang Bukan Lagi Zaman Menunggu

Zaman sekarang tidak lagi rasional untuk menunggu dan terus menunggu peluang pekerjaan, malah semua individu harus lebih aktif dan kreatif mencari peluang pekerjaan dan mencipta peluang pekerjaan yang baharu. Jika 10% daripada penganggur sudah berjaya mencipta peluang pekerjaan yang baharu sudah pasti kita akan saksikan trend penurunan pengangguran dari satu tahun ke satu tahun yang seterusnya. Ini adalah berdasarkan ‘equation’ bahawa apabila satu peluang pekerjaan baharu yang dicipta, ia akan memberi peluang pekerjaan kepada paling kurang 3 individu yang tiada pekerjaan.

Ini telah saya perhatikan sendiri di depan mata yang mana ada 4 orang anak muda yang tiada pekerjaan, salah seorang daripada mereka pula ada sedikit modal dan beliau telah membuka gerai char kuetiau di tepi jalan hanya bermula dengan 2 meja, dan 3 orang lagi rakan beliau dipelawa untuk kerja bersama. Saban tahun melihat perkembangan mereka, ada yang sudah mampu berkahwin, menyewa di rumah flat,  memiliki sebuah kereta second-hand dan ini telah membuktikan bahawa usaha mereka ada hasilnya. Dan asalnya daripada 4 orang anak muda yang hanya lepak ditepi jalan tanpa pekerjaan, kini sudah ada gerai dan berkerjaya. 

Persiapan Mental adalah Sangat Penting

Dalam menghadapi apa jua situasi kerjaya, salah satu persiapan yang wajib dibuat ketika mana mengejar kerjaya idaman adalah persiapan mental dan spiritual. Statistik menunjukkan bahawa penyakit mental kini telah berada ditangga yang kedua selepas penyakit jantung, ini menunjukkan bahawa ia bukan lagi suatu penyakit yang tidak memerlukan perhatian yang serius, malah tindakan segera harus dilakukan bagi membendung penyakit ini dari terus berkembang dalam masyarakat.

Kemajuan komunikasi sememangnya telah memudahkan banyak perkara terutamanya dari sudut ekonomi khususnya, namun implikasinya terhadap kesihatan mental juga tidak kurang hebatnya. Bayangkan dengan jaringan media sosial yang pelbagai dapat memudahkan sesiapa sahaja untuk ‘viralkan’ perkara yang melibatkan aib seseorang dan seterusnya menjadi bahan fitnah yang boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang. Justeru, kesihatan mental harus diutamakan dalam apa sahaja bidang kerjaya yang diceburi agar prestasi kerja sentiasa berada dalam keadaan yang baik. “Hati kena kuat, jiwa kena cekal”

Ayuh sekalian, laungkan ‘Merdeka!.. Merdeka!.. Merdeka!’ tahun ini dengan penuh bersemangat yang luar biasa, kerana itu merupakan keazaman kita semua untuk bebas daripada apa jua situasi tidak baik yang sedang kita semua hadapi sekarang ini. Semoga kita semua akan terus diberikan semangat, kekuatan, dan kesabaran untuk harungi segala ujian. 

Sila Kongsi

Kepemimpinan

Tag: Kebolehan Diri, Tujuan Hidup

Alt
Nik Faiz seorang jurulatih kerjaya. Dia telah menolong lebih dari 10,000 individu mendapat kerja yang sesuai dan berjaya dalam kehidupan mereka.
Alt

Jadilah Pembaca Leader’s Digest