"Saya Tidak Pernah Bergantung pada Motivasi"

imej dari magnific
Baru-baru ini, seseorang bertanya kepada saya bagaimana saya mengekalkan motivasi. Saya terdiam seketika untuk berfikir kerana jawapan sebenar saya ialah saya tidak bergantung pada motivasi. Serius, memang begitu.
Saya tidak pernah bergantung pada motivasi. Motivasi hanyalah satu perasaan, dan perasaan boleh datang dan pergi. Ada pagi kita bangun dengan penuh semangat. Ada juga pagi kita bangun dalam keadaan letih, lesu dan langsung tidak bersemangat untuk melakukan apa-apa. Jika saya menunggu sehingga berasa bersemangat, saya mungkin akan gagal. Kebanyakan hari akan berlalu begitu sahaja. Kadangkala, selepas menonton filem terbaharu Rajinikanth, saya rasa seperti mampu melakukan apa sahaja. Namun, sebaik sahaja sampai di rumah, semangat itu sudah hilang.
Biar saya ceritakan bagaimana rutin pagi saya biasanya bermula. Jam loceng berbunyi pada pukul 5 pagi. Saya sebenarnya tidak rasa mahu bangun. Memang tidak pernah! Tetapi saya tetap bangun, menunaikan solat Subuh dan terus melakukan senaman kardio. Membosankan, membosankan dan memang membosankan! Tiada babak hebat seperti dalam filem Rocky. Apa yang ada hanyalah rutin yang telah ditetapkan, dan saya mengikutinya. Itu sahaja.
Kemudian, tibalah masa untuk ke gim. Kebanyakan hari, saya terpaksa memaksa diri untuk pergi. Sejujurnya, saya memang berat hati. Saya tidak rasa mahu bersenam dan saya tidak akan berpura-pura sebaliknya. Tetapi sebaik sahaja memulakan set pertama, sesuatu mula berubah. Selepas set itu selesai, saya mula fokus, lebih bersedia dan bersyukur kerana membuat keputusan untuk datang. Perasaan yang saya tunggu-tunggu itu muncul selepas saya mula bertindak, bukannya sebelum itu.
Inilah perkara yang sering disalah fahami oleh kebanyakan orang. Mereka menunggu sehingga berasa bersedia sebelum mula bertindak. Bagi saya, prosesnya berlaku secara terbalik. Saya mula bertindak dahulu, kemudian barulah perasaan bersedia itu muncul.
Cuba fikirkan rutin harian anda sendiri. Mengapa anda makan? Mengapa anda berpakaian? Mengapa anda memberus gigi? Adakah anda bangun pagi dengan penuh motivasi untuk memberus gigi? Rasanya tiada siapa yang pernah berdiri di hadapan sinki sambil menunggu inspirasi untuk melakukannya. Anda melakukannya kerana perkara itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian. Anda tetap melakukannya sama ada anda mahu atau tidak, tanpa perlu berunding dengan diri sendiri setiap kali.
Perkara yang paling penting dalam hidup saya juga diatur dengan cara yang sama. Saya tidak perlu membuat keputusan setiap pagi kerana semuanya sudah ditetapkan lebih awal. Malah, saya meletakkan peringatan di merata-rata tempat kerana secara semula jadinya, saya seorang yang malas!
Motivasi berkata, "Saya akan buat apabila saya rasa mahu melakukannya." Disiplin pula berkata, "Saya tetap melakukannya kerana itulah kebiasaan saya." Sistem yang baik pula menghilangkan keperluan untuk membuat keputusan berulang kali sehingga tiada lagi ruang untuk berdalih.
Inilah beberapa perkara yang saya pelajari untuk menjadikan pendekatan ini berkesan:
Pertama, mudahkan langkah untuk bermula. Sediakan segala keperluan pada malam sebelumnya. Singkirkan apa-apa perkara yang boleh melambatkan anda daripada memulakan sesuatu.
Kedua, buat keputusan sekali sahaja. Tetapkan masa dan tempat, kemudian berhenti mempersoalkan keputusan yang sama setiap pagi.
Ketiga, tetap lakukan walaupun pada hari yang kurang baik. Sesi senaman yang biasa-biasa atau dilakukan ketika badan letih tetap dikira sebagai satu usaha. Konsistensi untuk terus melakukannya itulah yang membentuk diri anda, bukannya hari-hari yang sempurna.
Keempat, fokus pada langkah pertama sahaja. Bagi saya, langkah itu ialah memulakan set pertama. Anda tidak perlu membayangkan bagaimana hendak menghabiskan keseluruhan sesi senaman seawal pukul 5 pagi. Cukup sekadar memulakan set pertama.
Jika anda terus menunggu sehingga berasa bersedia, mungkin anda perlu menunggu untuk tempoh yang sangat lama. Kesediaan ialah satu perasaan. Disiplin pula ialah satu keputusan. Sistem yang baik membantu anda membuat keputusan itu setiap hari.
Jadi, ini cabaran saya untuk anda minggu ini. Pilih satu perkara yang penting dalam hidup anda dan jadikannya sebagai satu rutin. Tetapkan masa dan tempat untuk melakukannya. Anggaplah ia seperti memberus gigi.
Kemudian, lakukan perkara itu pada hari yang anda langsung tidak bersemangat untuk melakukannya. Di situlah usaha sebenar anda bermula.
Jumpa lagi Isnin depan.
Artikel ini diterbitkan di LinkedIn.
Perkembangan Peribadi
Datuk Jake Abdullah ialah penceramah TEDx dan penceramah utama, penulis serta jurulatih dalam bidang kecerdasan emosi (EQ), penjenamaan peribadi dan kepimpinan. Beliau juga merupakan hos @bookofjake yang membantu para pemimpin keluar daripada zon selesa untuk terus berkembang dan mencapai potensi diri.




