Menjadi Lebih Kreatif daripada Orang Lain

May 15, 2025 3 Minit
kreatif
Sumber:

imej dari freepik.com

Ikuti Jejak Orang Kreatif
  1. Ingin berbeza daripada orang lain?
  2. Bosan dengan perkara dan gaya yang sama?
  3. Ingin lebih berjaya?

Petua Panduan Pantas

Contohilah ciri-ciri orang yang kreatif. Pilih sesiapa sahaja yang telah membuktikan bahawa mereka kreatif – orang yang berjaya dengan pelbagai idea menarik dan mengagumkan. Mereka kebanyakannya tidak terkongkong, tidak takut menghadapi masalah, istiqamah, bersedia mengambil risiko dan mempunyai imaginasi yang tinggi. Adakah anda berani?

Jadi Seperti Ikan

Bukalah pintu minda anda. Jangan cepat menghakimi atau menolak sesuatu idea. Otak yang kreatif seperti ikan yang bernafas di dalam air. Ikan menyedut semua air, kemudian barulah insang memerangkap oksigen yang terdapat di dalam air. Ikan tidak memilih atau cerewet. Ikan tidak menutup mulutnya. Begitu jugalah dengan anda. Bukalah minda anda.

Lupakanlah Sekejap Ini

Lupakan logik buat sementara waktu. Oleh kerana terlalu logik, ramai orang gagal untuk menjadi kreatif. Fikiran logik biasanya berguna ketika mengkritik perkara yang sudah ada. Tetapi kreatif bukan tentang perkara yang telah wujud. Kreatif ialah sesuatu yang belum ada atau belum diwujudkan. Jika idea itu sudah berada di mana-mana, itu bukanlah kreatif namanya.

Gila-gila, Bukan Gila

Berfikirlah secara gila-gila – bukan gila, tetapi gila-gila. Banyak ciptaan hari ini wujud hasil daripada pemikiran yang luar biasa ini. Rudolph Scheineder pernah terfikir: bolehkah makan di restoran tanpa membayar? Akhirnya, dia mencipta kad kredit pertama, Diner’s Club.

Bayangkan anda hidup pada tahun 1950-an dan mengeluarkan idea tentang telefon tanpa wayar yang boleh menjadi kamera, kalkulator, jam, penggera, jam randik, diari, bahkan boleh menghantar faks. Sudah pasti orang lain akan kata idea itu gila. Tetapi sebenarnya, ia adalah idea gila-gila – dan kini, kita menggunakan telefon bimbit yang jauh lebih hebat daripada itu.

Don’t Take It Personally

Anda tidak perlu mempertahankan idea sendiri. Dalam proses kreatif, yang penting ialah mengeluarkan idea – sebanyak dan sepelik mungkin. Tiada siapa berhak menolak atau mencemuh idea pada peringkat awal perah minda. Tidak perlu berdebat atau mengemukakan dalil. Yang penting ialah: IDEA!

Galakkan diri anda mencuba sesuatu yang kreatif. Tidak kira sama ada ia berjaya atau tidak – mencuba sesuatu yang kreatif sudah dikira satu kejayaan. Mungkin anda tidak berjaya pada kali pertama, namun itu bukanlah satu kegagalan (asalkan percubaan anda tidak mendatangkan kerosakan kepada orang lain). Ingatlah, antara ciri orang yang kreatif ialah istiqamah dan tidak takut pada masalah. Sudahkah anda lupa?

Benarkan diri anda melakukan kesilapan. Memang benar, orang yang mengikut kebiasaan selalunya tidak melakukan kesilapan – tetapi itu tidak kreatif. Apabila anda mencuba sesuatu yang baru, anda akan terdedah kepada kesilapan. Jika anda ‘menghalang’ diri daripada melakukan kesilapan, anda tidak akan mencuba perkara baru – dan anda tidak akan berkreatif. Jadi, jangan mengongkong diri. Maafkan diri anda jika berlaku kesilapan dalam cubaan kreatif.

Anda mungkin menyukai artikel ini:
9 Petua Meningkatkan Keyakinan Diri di Tempat Kerja

Ulang Perbaiki, Bukan Mengalah dan Pindah

Jika perlu, ulang dan perbaiki. Jangan jadi seperti watak Coyote dalam kartun Road Runner Show. Dia sangat ingin menangkap Road Runner, tetapi terlalu cepat berputus asa dengan idea yang dicuba. Setiap kali gagal, dia terus mengalah dan mencuba sesuatu yang lain pula.

Ingatlah, tidak berjaya kali pertama tidak bermakna gagal selama-lamanya. Kenal pasti kekurangan dan perbaikilah. Jangan cepat mengalah dan beralih arah. Jangan jadi hangat-hangat tahi ayam.

Sesuatu yang datang secara semula jadi. Ia perlu dipelajari dan dilatih. Jangan anggap keputusan peperiksaan yang baik membuktikan anda seorang pemikir bijak. Belajarlah bagaimana untuk berfikir secara bijak. Mungkin kaedah Enam Topi Berfikir dan Pemikiran Lateral oleh Edward De Bono sesuai untuk anda pelajari.

Renungan

Untuk muslim, ingatlah bahawa idea itu datang daripada Tuhan. Tuhan memiliki ilmu yang begitu luas dan hebat sehingga tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Kalau air lautan dijadikan dakwat untuk menulis ilmu-Nya, ia tetap tidak mencukupi. Selalulah berdoa:

“Ya Allah, bukakanlah pintu kebijaksanaan-Mu dan berikanlah kepadaku khazanah-khazanah rahmat-Mu.”

Hikmah Tambahan

“Jika anda mempunyai sebiji epal dan saya mempunyai sebiji epal, dan kita saling bertukar-tukar epal tersebut; maka anda dan saya masih mempunyai sebiji epal. Tetapi jika anda mempunyai satu idea dan saya satu idea, dan kita saling bertukar idea; maka anda dan saya sudah mempunyai dua idea.”
— George Bernard Shaw

Artikel ini disiarkan atas kebenaran penulis. Boleh lihat penulisan asal di sini.

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt

Hj Fadzli Yusof Albasuti adalah konsultan strategi pembangunan pasukan jualan dan barisan dengan aplikasi NLP. Pelan strategi beliau telah membangunkan potensi & prestasi  puluhan ribu kakitangan korporat tersenarai di bursa Malaysia. Penulis 51 buah buku human development dan mendapat anugerah "Malaysia Leading NLP Trainer" oleh ASEAN HR Award pada tahun 2019. Beliau juga Pengarah Urusan Global Genius Consultant Sdn. Bhd dan Presiden TAMRIN (Trainer Motivator Islam Nasional).


 

Alt

Cadangan Buat Kamu

Burnout

Mengapa Kita Mengalami Burnout Empati dan Bagaimana Mengatasinya?

Ditulis oleh Crystal Chan Yin Cheng. Artikel ini mengupas tentang burnout empati, punca-puncanya, dan strategi berkesan untuk mengekalkan kesejahteraan di tengah-tengah pendedahan media berterusan dan cabaran emosi.

Jun 24, 2024 5 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVan Malaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest