Inilah yang Berlaku Apabila Anda Tidak Bersuara

Nov 18, 2026 • 3 Minit
looks thoughtful
Sumber:

imej dari pexels

Pernahkah anda berada dalam situasi apabila seseorang meminta pendapat, tetapi anda hanya menjawab, “Terpulanglah”? Atau apabila ada sesuatu yang tidak disukai, anda memilih untuk berdiam diri dan berharap orang lain menyedarinya sendiri?

Pada pandangan pertama, sikap seperti ini mungkin kelihatan biasa. Anda tidak mahu menyusahkan orang lain, mengelakkan pertelingkahan atau merasakan bahawa tiada masalah untuk mengikut pilihan orang lain. Namun, bagaimana jika tabiat ini sebenarnya menyukarkan orang lain untuk memahami diri anda?

Apabila anda tidak mengatakan apa-apa, itu tidak bermakna orang lain tahu apa yang sedang anda fikirkan.

1. Orang Lain Tidak Dapat Membaca Fikiran Anda

Bayangkan situasi berikut. Seorang rakan bertanya, “Kalau kita makan di restoran A, anda nak ikut?”

Anda menjawab, “Terpulanglah, boleh sahaja.”

Namun, apabila tiba di sana, rupa-rupanya anda tidak menyukai menu yang tersedia. Sepanjang makan, wajah anda kelihatan kurang bersemangat. Rakan anda pula tertanya-tanya kerana sebelum ini anda sudah mengatakan bahawa tiada masalah.

Sedangkan, anda boleh sahaja menjawab, “Ada pilihan lain? Saya kurang gemar menu di sana,” atau “Boleh juga, tetapi saya belum pasti nak makan apa. Ada menu yang anda boleh cadangkan?”

Memang, akhirnya semua orang mungkin perlu memikirkan semula pilihan tempat makan. Namun, sekurang-kurangnya anda dapat menikmati masa bersama tanpa perlu membuat orang lain tertanya-tanya tentang apa yang sebenarnya anda inginkan.

Ingat, orang lain tidak semestinya tahu apa yang bermain dalam fikiran anda. Melainkan wajah anda mempunyai sari kata, jangan berharap mereka dapat memahami sesuatu yang tidak pernah anda luahkan.

2. Orang Lain Mungkin Menganggap Anda Tidak Mempunyai Pendapat

Apabila seseorang meminta pendapat anda, sebenarnya mereka sedang memberikan ruang untuk mendengar pandangan anda.

Jika setiap kali ditanya anda hanya menjawab “terpulanglah”, “ikut sahaja” atau “apa-apa pun boleh”, orang lain mungkin menganggap anda tidak mempunyai pilihan tertentu atau tidak berminat untuk melibatkan diri.

Hakikatnya, mungkin banyak perkara yang ingin anda sampaikan. Cuma, anda belum terbiasa untuk meluahkannya.

Situasi yang sama juga boleh berlaku di tempat kerja. Apabila ketua meminta pandangan dalam sesuatu perbincangan, sikap terlalu kerap berdiam diri boleh menyebabkan sumbangan anda tidak disedari. Bukan kerana anda tidak berkemampuan, tetapi kerana orang lain tidak berpeluang mendengar idea dan pandangan anda.

3. Ketidakselesaan yang Dipendam Boleh Menjadi Masalah

Tidak semua perkara perlu dipersetujui. Anda berhak mempunyai pandangan yang berbeza, menolak sesuatu ajakan atau menyuarakan perkara yang dirasakan kurang tepat.

Namun, ada yang memilih untuk berdiam diri kerana takut mengecewakan orang lain atau dianggap sukar untuk bekerjasama.

Akibatnya, rasa tidak selesa terus dipendam. Lama-kelamaan, perkara kecil yang sebenarnya boleh dibincangkan lebih awal berpotensi menimbulkan salah faham, malah menjejaskan hubungan dengan orang lain.

Daripada berharap orang lain menyedari perubahan sikap anda, lebih baik nyatakan perkara yang membuatkan anda berasa kurang selesa. Anda tidak perlu meninggikan suara atau menyalahkan sesiapa. Cukup sekadar menjelaskan situasi dan memberikan alasan yang munasabah.

4. Belajar Menyuarakan Apa yang Anda Fikirkan

Menyuarakan pendapat bukan bermakna anda mesti sentiasa mendapat apa yang diinginkan. Orang lain juga berhak mempunyai pandangan berbeza dan membuat keputusan sendiri.

Namun, sekurang-kurangnya anda sudah memberikan mereka peluang untuk memahami sudut pandang anda.

Anda boleh bermula dengan perkara mudah dalam kehidupan seharian. Jika tidak menyukai sesuatu pilihan, jelaskan sebabnya. Jika mempunyai idea lain, kongsikannya. Jika tidak bersetuju, terangkan bahagian yang menurut anda perlu dipertimbangkan semula.

Anda tidak perlu menunggu sehingga benar-benar berani untuk bersuara. Mulakan dengan membiasakan diri menyampaikan pendapat dalam situasi harian.

Berdiam diri memang kadangkala menjadi pilihan terbaik, tetapi jangan sampai anda terlepas peluang untuk menyuarakan sesuatu yang sebenarnya penting.

Akhirnya, komunikasi bukan sekadar tentang mendengar orang lain, tetapi juga memberikan mereka peluang untuk mendengar suara kita. Jadi, jika ada sesuatu yang ingin disampaikan, luahkannya dengan baik.

Hal ini kerana orang lain tidak dapat memahami apa yang anda inginkan jika anda terus mengharapkan mereka meneka sendiri.

Sila Kongsi

Komunikasi

Alt

Manisha ialah editor dan penulis di Leaderonomics. Beliau percaya bahawa tulisan mempunyai kekuatan untuk mendidik dan membawa perubahan dengan memberi inspirasi kepada ramai orang.


 

Alt

Cadangan Buat Kamu

komunikasi

Apabila Komunikasi di Tempat Kerja Tidak Seperti yang Dimaksudkan

Oleh Amirah Nadiah. Komunikasi yang tidak jelas boleh menyebabkan salah faham, menjejaskan hubungan dan mengganggu kerjasama di tempat kerja. Ketahui bagaimana gaya komunikasi, andaian dan cara kita mendengar mempengaruhi pemahaman antara satu sama lain.

Nov 17, 2026 • 3 Minit

Alt

Tip Kerjaya: 4 SEBAB Komunikasi Efektif Asas Untuk Berjaya

Mengapa ada orang lebih mudah mendapat kepercayaan dan sokongan di tempat kerja? Ketahui empat sebab kemahiran komunikasi efektif penting untuk membina kerjasama, menyampaikan idea dan mencapai kejayaan dalam kerjaya.

Nov 11, 2026 • 5 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest