Seni Berpidato Umum

May 29, 2017 4 Minit
berucap, berpidato

Gemuruh jiwa semakin kencang apabila saya melihat rakan sekerja dari pasukan lain menyampaikan ucapan mereka dengan mudah dan penuh keyakinan.

Mereka seolah-olah mempunyai bakat semula jadi dalam berpidato umum. Saya benar-benar kagum akan kemahiran mereka.

Ucapan yang saya perlu sampaikan ini adalah untuk simulasi perniagaan saya yang pertama di hadapan rakan sekerja dan panel yang bertauliah.

Apabila tiba giliran saya untuk berdiri di hadapan para hadirin, terasa kepala saya berpusing, bibir saya kering, jantung berdegup pantas dan suara saya tersekat-sekat.

Jika anda menunjukkan petanda-petanda ketakutan ini semasa berpidato di hadapan umum, anda tidak keseorangan.

Berikut adalah tujuh prinsip untuk menyampaikan pidato umum dengan berkesan, yang diperolehi daripada sesi kendalian Eric Lau. (Malangnya, saya menghadiri latihan itu seminggu selepas ‘detik getir’ itu.)

Merancang dan bersedia

Lakukan kajian dan persediaan dengan baik. Fahami dan biasakan diri dengan topik yang bakal dibincangkan supaya anda dapat menyediakan diri untuk sesi soal jawab.

Tentukan tempoh masa yang diberikan dan bahagikannya kepada segmen yang lebih kecil untuk memberi anda masa untuk mengutarakan idea-idea anda.

Pastikan ucapan anda dilengkapi dengan pembukaan yang kuat dan menarik untuk membuatkan audiens teruja dan akhiri penyampaian anda dengan penutup yang berimpak, supaya mereka tergerak untuk melakukan sesuatu.

Kenali audiens dan tujuan anda

Kenal pasti audiens sasaran anda. Adakah anda perlu menyampaikan ucapan di hadapan sekumpulan belia atau eksekutif korporat? Dengan golongan belia, contohnya, usaha yang lebih diperlukan untuk mengekalkan perhatian mereka.

Bagi membantu anda mengenali audiens, tiba lebih awal di tempat berkenaan untuk ‘bertegur sapa’ dengan mereka dan untuk mengetahui secara kasual sebab mereka menghadiri ceramah anda dan perkara yang dijangkakan mereka.

Selain itu, apakah objektif penyampaian anda? Adakah ia bertujuan untuk menyampaikan ilmu, memberi inspirasi, penjelasan, motivasi, cabaran, mengajar atau memberi maklumat?

Elakkan daripada menghafal

Ingatlah bahawa apabila anda menyampaikan sesuatu, anda perlu berinteraksi dengan audiens, bukannya memberi arahan berdasarkan nota ucapan.

Apabila anda mula membaca daripada nota atau slaid, hubungan anda dengan audiens akan hilang.

Audiens mungkin sedar anda sedang menghafal kerana anda nampak bersusah-payah untuk mengingat perkara yang ada dalam fikiran. Dalam proses ini, anda kelihatan seperti robot.

Antara bahaya menghafal adalah apabila sesuatu idea itu terlepas daripada fikiran, anda kemungkinan besar akan terkial-kial dengan idea yang seterusnya.

Berlatih, berlatih, berlatih

Alah bisa tegal biasa. Walaupun anda tidak perlu menyampaikan ucapan buat masa sekarang, anda boleh merebut peluang untuk bercakap di hadapan orang lain, sama ada di tempat kerja atau secara suka-suka sahaja.

Ataupun, luangkan masa untuk melatih diri berucap di hadapan cermin. Dengan melihat diri di hadapan cermin, anda boleh melatih diri untuk lebih peka dengan bahasa badan dan gerak isyarat.

Jika ini suatu usaha berpasukan, luangkan sedikit masa untuk berlatih dengan ahli-ahli kumpulan supaya mereka dapat memberi maklum balas dengan serta-merta.

Anda juga mungkin memerlukan bantuan mereka untuk merakam ucapan latihan supaya anda boleh menilai dan mengenal pasti cara untuk membuat penambahbaikan yang sewajarnya.

Bawa perwatakan diri yang sebenar 

Anda boleh membayangkan diri sebagai seorang pemidato yang bagus seperti Abraham Lincoln, namun anda perlu ingat bahawa membawa perwatakan diri yang sebenar merupakan kunci untuk audiens mengenali diri anda.

Mereka mampu berhubung dengan anda dengan lebih baik sekiranya mereka nampak diri anda yang “sebenar”, daripada melihat seseorang yang terlalu mencuba untuk meniru perwatakan orang lain.

Hal ini bukanlah bermaksud anda perlu kekal dengan status quo dari segi tahap kemahiran memberi ucapan. Malah, anda perlu mengetengahkan ucapan yang lebih baik apabila anda melakukan hal ini dengan lebih kerap, diselitkan dengan sentuhan unik personaliti anda.

Libatkan audiens anda

Apabila berucap di hadapan audiens, anggap diri anda sedang “berdialog” dengan mereka. Hal ini boleh mengurangkan perasaan janggal anda sebagai seorang penyampai yang cuba mengekalkan minat para pendengar dengan ucapan anda.

Berusahalah bersungguh-sungguh untuk berkomunikasi dengan jelas, lancar dan penuh hormat, sama seperti anda sedang berbual dengan rakan anda.

Berlatih dengan teknik berpidato umum yang bagus

Pada pendapat saya, teknik berpidato umum yang dikongsi semasa latihan yang saya sertai serupa dengan teknik yang digunakan dalam sebutan korus.

Satu-satu perbezaannya ialah sebutan korus jelas melibatkan kumpulan yang lebih besar dan kurang menakutkan.

Teknik-teknik yang dikongsi adalah seperti berikut:

Hubungan mata

Kekalkan hubungan mata anda dengan audiens.

Dalam fikiran anda, bahagikan audiens kepada tiga atau empat segmen, dari kiri ke kanan, serta dirikan dan bina hubungan yang baik dengan setiap segmen supaya tiada yang ketinggalan.

Lontaran suara

Lontarkan suara anda dengan kuat supaya audiens dapat mendengar dengan jelas.

Gerak isyarat

Hadkan pergerakan anda pada tahap minimum untuk mengelakkan audiens daripada merasa terganggu.

Sebaliknya, gunakan pergerakan tangan supaya selari dengan mesej yang dibawa. Adakah anda mahu tersilap langkah dengan menuding tiga jari sedangkan anda berkongsi menyeempat poin?

Derap

Anda mungkin mahu mempercepatkan atau memperlahankan sebahagian daripada ucapan anda supaya nampak lebih dinamik dan hidup.

Jika anda mahu menzahirkan istilah tertentu yang agak baharu untuk audiens, anda mungkin perlu berucap dengan perlahan supaya mereka tidak ketinggalan.

Penekanan perkataan

Jika derap ialah “tempo” bagi ucapan, maka penekanan perkataan merupakan “kresendo” bagi ucapan.

Anda mungkin mahu menekankan beberapa perkataan kerana kepentingannya dalam mesej yang anda bawa kepada audiens.

Jeda

Pada peringkat awal, jeda memberi anda masa untuk menyesuaikan diri sebagai pusat tumpuan di dalam bilik tersebut.

Selepas anda bermula, selitkan jeda antara perkataan untuk membantu anda berehat dan berfikir sejenak sebelum meneruskan ucapan.

Kesimpulan

Apakah yang terjadi pada ucapan saya; adakah anda masih tertanya-tanya?

Salah seorang ahli panel terpaksa mencelah dan memberi jaminan bahawa penyampaian saya adalah baik dalam usahanya “bersorak” untuk saya. Itulah betapa gemuruhnya saya berasa apabila berdiri di hadapan audiens.  

Namun, ia merupakan pengalaman yang baik. Mungkin yang saya perlu lakukan sekarang adalah mempergunakan tip-tip yang saya ketahui kini, dan tidak berputus asa.

Seperti yang selalu dikatakan, lebih kerap anda paksa diri untuk berucap di hadapan orang lain, lebih bagus dan lebih yakin anda akan jadi.

 

Lim Lay Hsuan berharap dia mampu mengawal perasaan gemuruh dengan lebih baik pada masa hadapan. Sekiranya anda ingin menghubunginya, hantar e-mel ke editor@leaderonomics.com. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Art Of Public Speaking.

 

Sila Kongsi

Alt
Lay Hsuan adalah bagian dari kurasi konten untuk Leaderonomics.com, berperan sebagai penjaga konten serta memastikan integritas cerita yang masuk. Dia sesekali menjadi penulis untuk tim dan sebelumnya menjadi juru kunci untuk saluran sosial media Leaderonomics. Dia masih merasa bahagia ketika Anda meninggalkan komentar di website, atau subscribe kepada Leader's Digest, atau membagikan konten Leaderonomics di sosial media.

Cadangan Buat Kamu

Perkara yang menyeronokkan di tempat kerja

Adakah Anda Mengambil Tahu Apa yang Anda Suka?

Oleh Michelle Gibbings. Semua pekerjaan mempunyai bahagian yang tidak menyeronokkan. Jadi, adakah anda berhenti melakukan perkara yang anda tidak suka lakukan? Itu cadangan yang tidak praktikal dan tidak realistik. Baca tentang pandangan Michelle di sini.

Dec 04, 2022 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest