Hargai Penyimpang Demi Kejayaan Bisnes

Feb 22, 2017 7 Minit
peribadi

Setiap tahun, tradisi peribadi saya adalah meluangkan masa secara bersendirian untuk merenung kembali tahun yang baru berlalu. Tahun ini, renungan saya tertumpu kepada kematian memandangkan saya menghadiri beberapa upacara pengebumian sepanjang tahun lalu. Kematian adalah suatu ketetapan yang menandakan tamat tempoh hayat seseorang.

Satu kematian signifikan adalah kematian Steve Jobs. Kematiannya mengingatkan saya tentang kebangkitan terbesar sebuah syarikat yang hampir mati. Menjelang tahun 1997, Apple sesungguhnya seperti sudah sampai akhir hayatnya. Mereka kemudian melancarkan kempen pengiklanan ‘Think Different’ (Fikir Dengan Berbeza), salah satu kempen iklan terbesar yang membawa kepada kebangkitan semula Apple. Think Different adalah berdasarkan sebuah puisi berjudul ‘The Crazy Ones’ (Mereka Yang Gila) oleh Craig Tanimoto. Puisi itu berbunyi seperti berikut:

“Ini adalah untuk mereka yang gila.
Yang tidak dapat menyesuaikan diri.
Yang suka mencari gaduh.
Pasak bulat dalam lubang-lubang persegi.
Mereka yang melihat dengan cara yang berbeza.
Mereka tidak gemar peraturan.
Dan mereka tidak menghormati status quo.
Anda boleh memetik kenyataan mereka, tidak bersetuju dengan mereka,
memuji atau memburuk-burukkan mereka.
Cuma satu perkara yang anda tidak boleh lakukan adalah mengabaikan mereka.
Kerana mereka mengubah suasana.
Mereka mendorong umat manusia untuk maju ke depan.
Manakala orang lain memandang mereka sebagai orang gila,
Yang kita nampak adalah genius.
Kerana manusia yang cukup gila untuk berfikir mereka boleh mengubah dunia, adalah mereka yang melakukannya.”

Kempen itu mempertahankan mereka yang menyimpang daripada pendapat umum di tempat kerja. Mereka ‘mendorong umat manusia untuk maju ke hadapan’ dengan mengenepikan peraturan-peraturan, mengabaikan tradisi dan menyebabkan gangguan. Sepanjang sejarah, penyimpang-penyimpang ini telah mengubah dunia.

Galileo mencipta teleskop dan membuktikan bahawa bumi berputar mengelilingi matahari. Beliau dibicarakan oleh Pasukan Penyiasatan, dan didapati “telah menyimpang dengan sekeras-kerasnya”, lalu diseksa dan menghabiskan hidupnya di bawah tahanan.

Joan of Arc berumur 19 tahun apabila beliau dibakar pada kayu pancang di Rouen. Beliau telah mengingkari norma-norma masyarakat apabila beliau seorang perempuan telah memimpin salah sebuah pasukan tentera Perancis untuk mengalahkan tentera Inggeris. Beliau meninggal dunia sebagai seorang penyimpang  tetapi kemudian dijadikan santo.

Sepanjang sejarah terdapat senarai panjang mereka yang menyimpang daripada konvensyen namun telah mengubah dunia. Buckingham dan Coffman dalam buku mereka “First Break all the Rules” (Pertama Sekali Langgarlah Semua Peraturan) menyimpulkan bahawa pengurus-pengurus hebat di dunia tidak mempunyai banyak persamaan tetapi berkongsi satu sifat: Mereka tidak teragak-agak melanggar hampir setiap peraturan yang dianggap suci oleh kebijaksanaan konvensional.

Siapakah si penyimpang?

Saya mentakrifkan penyimpang sebagai seseorang yang mempunyai pandangan, kepercayaan atau tindakan yang bertentangan dengan tradisi dan kepercayaan popular. Individu ini bukan sahaja amat setia kepada organisasi tetapi juga menggenggam ilham suatu kebenaran baharu yang belum lagi difahami umum.

Menurut Seth Godin, “Seorang penyimpang adalah seseorang yang mempunyai iman tetapi tidak peduli tentang agama.” Dia menjelaskan bahawa, “ada perbezaan di antara agama dan keyakinan.” Agama adalah satu set peraturan, ritual dan tradisi yang melingkari keyakinan. Penyimpang memeluk matlamat bisnes tetapi juga akan menyerang ‘ritual-ritual’ tersebut jika ia tidak masuk akal.

Kebijaksanaan konvensional

Di sebalik banyak amalan bisnes yang hebat yang kini kita panggil sebagai “kebijaksanaan konvensional,” terdapat seorang penyimpang yang, pada suatu ketika dahulu, telah berjuang untuk idea yang pada ketika itu kelihatan aneh, tidak masuk akal, dan mustahil.

Dalam peranan saya sebelum ini, saya mencabar beberapa norma organisasi. Saya mengubah cara pasukan saya bekerja dan ia menghasilkan keputusan yang baik. Pemimpin-pemimpin organisasi menyambut baik keputusan yang dicapai tetapi pegawai-pegawai kanan Sumber Manusia tidak teruja melihat ‘peraturan-peraturan’’ mereka dilanggar. Tidak lama kemudian, kami dilemparkan ancaman akan kehilangan pekerjaan dan label-label negatif seperti derhaka dan ingkar perintah. Ini semua beransur-ansur melemahkan semangat kami dan memaksa kami untuk mematuhi peraturan-peraturan konvensional. GejaIa ini biasa dialami oleh si penyimpang yang lambat-laun terpaksa mematuhi norma-norma sesebuah organisasi kerana kalau tidak, akan “dibakar pada kayu pancang.”

“Tidak ada sesiapa pun yang pernah dipecat kerana membeli IBM.” Klise itu telah bertukar daripada makna asalnya iaitu sebagai cadangan penjualan menjadi suatu amaran untuk terus berpaut kepada tradisi bagi memastikan keberlangsungan hidup. Bagaimana kepimpinan melaksanakan sesuatu lazimnya tertumpu kepada cara bagaimana orang sebelum mereka melakukannya. Pendekatan tersebut tetap boleh berjalan sehinggalah seseorang mengubah peraturan-peraturan tersebut.

Pada tahun 1970-an, industri jam tangan Swiss mengalami kemerosotan teruk akibat saingan daripada Jepun. Nicholas Hayek, seorang penyimpang, mengambil tindakan dramatik dengan menggabungkan ASUAG dan SSIH untuk menubuhkan Swatch. Dalam tempoh lima tahun, Swatch muncul sebagai pembuat jam tangan terbesar di dunia, menulis semula semua peraturan dalam industri jam tangan dengan mewujudkan jam tangan kos rendah, berteknologi tinggi, menyeronokkan dan emotif.

Kekayaan jarang dinikmati oleh mereka yang mengambil jalan selamat tetapi oleh mereka yang bersedia untuk mencabar status quo dan menentang kepercayaan atau institusi ortodoks.

Semasa berusia 26 tahun, Chip Conley melanggar dua peraturan asas keusahawanan: melabur dalam industri yang beliau langsung tidak kenali, dan mengabaikan mantera “lokasi, lokasi, lokasi” dengan membeli sebuah motel lusuh di kawasan yang kurang selamat. Sedekad kemudian, Conley diraikan untuk kepintaran keusahawanannya dalam membina hotel-hotel butik Joie de Vivre, menewaskan gergasi-gergasi seperti Marriott, Hilton dan lain-lain untuk dinobat anugerah #1 dalam perkhidmatan pelanggan pada tahun 2010.

Pada tahun 1980-an, Jack Welch langsung tidak pedulikan warisan 100 tahun General Electric apabila beliau menutup bisnes-bisnes dalam organisasi itu, menyelaraskan proses dan memecat pekerja-pekerja tertentu. Hari ini, banyak pihak menganggap tindakan ‘menyimpang” beliau sebagai dogma pengurusan, sepertimana Galileo dihormati pada hari ini sebagai seorang saintis yang hebat.

Richard Branson pula melanggar setiap konvensyen bisnes semasa menubuhkan Virgin. Sam Walton menjadikan Walmart sebagai salah sebuah syarikat terbesar di dunia dengan pendekatan beraninya yang tidak konvensional. Beliau berkata, “Saya sentiasa bangga dengan diri sendiri kerana melanggar semua peraturan orang lain, dan saya suka jika orang lain mencabar peraturan-peraturan saya.” Li Ka Shing, Andrew Carnegie dan Jeff Bezos berjaya kerana mereka adalah penyimpang dalam pendekatan kehidupan mereka.

Anda perlukan penyimpang 

Namun begitu, kebanyakan organisasi benci akan mereka yang menyimpang. Mereka dianggap sebagai pengacau yang tidak mahu mematuhi garis panduan syarikat. Kebanyakan syarikat lebih suka tenaga kerja yang mematuhi peraturan-peraturan yang direka untuk mengenakan kawalan ketat. Tindakan sedemikian sememangnya mengorbankan autonomi dalam organisasi berkenaan. Penyimpang masa moden tidak akan dibakar pada kayu pancang tetapi ‘disejukbekukan’, dipulaukan atau ditekan untuk meletakkan jawatan.

Pada tahun 1988, Sony dan Nintendo bekerja bersama-sama untuk menghasilkan Superdisc. Nintendo menarik diri daripada perkongsian tersebut dan projek itu pun lenyap. Ken Kutaragi, ketua penyelidikan dan pembangunan projek tersebut, ‘dipindahkan’ ke Sony Music. Walau bagaimanapun, beliau ‘menderhaka’ dan berkeras untuk meneruskan projek tersebut. Pada mulanya Sony menolak penciptaan PlayStation, tetapi Kutaragi terus melawan sistem dan akhirnya berjaya menyakinkan Sony. Jika Kutaragi tidak bertindak balas, Sony mungkin tidak akan menikmati keuntungan yang signifikan yang dijanakan oleh PlayStation.

Picasso melanggar semua peraturan mengenai rupabentuk wajah seseorang manakala Gaudi pula melanggar semua peraturan mengenai rupabentuk sesebuah bangunan. Adakah anda juga seorang penyimpang seperti Kutaragi, Picasso dan Gaudi?

Jika kita mahu kemajuan, penuhilah organisasi kita dengan tenaga kerja yang melanggar konvensyen, sentiasa menyoal, dan membuat eksperimen tanpa takut. Mereka mungkin menjengkelkan dan menyusahkan tetapi kita perlu pemberontak dan pengacau seperti ini kerana “mereka akan mengubah keadaan. Mereka akan mendorong umat manusia untuk maju ke hadapan.”

Pada 11 September 2001, syarikat-syarikat penerbangan terpaksa tutup, menyebabkan ramai penumpang terkandas. Daripada cuma menunggu semata-mata, seorang pemimpin ‘penyimpang’ di Penerbangan Southwest mengajak penumpang-penumpang untuk menonton wayang dan bermain boling. Ketika syarikat penerbangan lain memecat tenaga kerja mereka selepas peristiwa 9/11, Southwest mengekalkan semua pekerjanya.

Suasana selesa untuk mereka yang menyimpang 

Adakah syarikat anda mesra dengan mereka yang menyimpang? Carmen Medina menghabiskan masa 32 tahun dengan CIA “sebagai penyimpang”. Menurutnya, penyimpang memerlukan hubungan dengan penyimpang yang lain.  Medina sengaja menyimpang dengan menubuhkan Intellipedia, wiki untuk para pengintip. Beliau berjaya kerana mendapat galakan daripada penyimpang-penyimpang yang lain. Penyimpang memerlukan suasana yang selesa dan galakanpenyimpang-penyimpang yang lain.

Medina berpendapat: “Syarikat anda memang mempunyai penyimpang-penyimpang. Mereka bukan musuh. Mereka sebenarnya ingin membantu. Mereka bukan masalah. Mereka adalah pembuka jalan penyelesaian untuk sesuatu masalah.” Organisasi yang paling mesra dengan penyimpang akan berusaha mencungkil sifat-sifat terbaik dalam diri mereka. Kenalpastilah penyimpang-penyimpang yang positif dalam organisasi anda, dan binalah organisasi yang mesra dengan penyimpang.

Kembangkan penyimpang anda dari awal

Kajian Keluarga Kembar Minnesota menyimpulkan bahawa jika para belia dirangsang dari awal kehidupan mereka dengan cabaran-cabaran dan situasi-situasi di mana mereka terpaksa melanggar peraturan secara sederhana, potensi kepimpinan mereka dapat dipercepatkan. Yang menariknya, kita mengajar anak-anak untuk mewarnakan ruang-ruang di dalam batas garisan, kemudian mengharapkan orang dewasa untuk berfikir di luar kotak. Inovasi didorong oleh kesediaan untuk membuang cara lama dalam membuat kerja dan berfikir. Tetapi berhati-hatilah kerana anda mahu melahirkan individu-individu seperti Gandhi, dan bukan Bernie Madoff.

Akhir kata

Tidak ada orang yang benar-benar memahami pengabaian status quo dan kepentingan menikmati kehidupan yang selesa melainkan mereka yang sedang menghadapi kematian.
Seperti Apple pada tahun 1997 dan Steve Jobs baru-baru ini. Kata-kata Jobs yang sungguh terkenal adalah, “Kesedaran bahawa saya akan mati tidak lama lagi merupakan peralatan yang paling penting pernah saya kenali untuk membuat pilihan yang penting dalam hidup saya. Kerana hampir segala-galanya akan lenyap apabila kematian berlaku, cuma yang tertinggal adalah apa yang benar-benar penting.”

Hargailah penyimpang-penyimpang anda. Berpaut dan dengarlah naluri mereka. Ingatlah bahawa seorang penyimpang melihat sesuatu kebenaran dari perspektif yang bercanggah dengan kebijaksanaan konvensional, tetapi mereka tetap setia kepada kedua-dua entiti: organisasi anda dan kebenaran tersebut.

Para penyimpang bukan murtad; mereka tidak mahu meninggalkan “kepercayaan”. Sebaliknya, mereka mahu bisnes anda berkembang dan mencapai kebenaran-kebenaran yang mereka lihat. Jika CIA dan Sony yang kaku dan tegas boleh mengalu-alukan (dan mendapat keuntungan daripada) penyimpang-penyimpang, apakah yang menghalang anda? Manfaatkan ‘mereka yang gila’ dalam organisasi anda.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Here’s To The Crazy Ones!

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Bunga

Membuka Potensi Anda: Memanfaatkan SkillsFuture Singapura untuk Pertumbuhan Peribadi

Oleh Germaine Ignacio. Apabila mempertimbangkan kos kursus SSG yang agak rendah berbanding dengan alternatif peningkatan kemahiran yang lain, mengambilnya adalah tidak perlu, terutamanya jika anda boleh mencari masa.

May 28, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest