Mencabar Kemahiran Pemikiran Kritis Demi Pekerjaan Masa Hadapan

Jan 17, 2019 4 Minit
Alt

Pemikiran kritis merupakan salah satu kemahiran penting yang menyumbang pada kejayaan kerjaya seseorang tanpa mengira profesion.

Suatu penemuan oleh Guthrie-Jensen Global Training Consultants baru-baru ini menunjukkan bahawa kemahiran ini adalah yang kedua terpenting selepas kemahiran menyelesaikan masalah rumit yang kita perlukan untuk berkembang maju menjelang era 2020, terutamanya dengan kebangkitan Industri 4.0.

Sementara itu, sebuah kaji selidik kemahiran oleh American Management Association pada tahun 2012 menunjukkan bahawa hanya 40.6% daripada majikan berpendapat bahawa pekerja mereka mempunyai kemahiran berfikir secara kritis melebihi paras purata.

Berita baiknya ialah sesiapa sahaja mampu melatih minda mereka untuk berfikir dengan kritis.

Pokok pangkalnya, kemahiran ini melibatkan keupayaan seseorang menganalisis dengan terperinci dan menilai secara rasional dalam menyelesaikan masalah.

Kemahiran lain seperti pemikiran strategik, pemikiran reka bentuk, dan pemikiran analitis juga penting kerana semua ini membantu membina asas yang kukuh untuk mendayaupayakan kita membuat keputusan dengan lebih baik — satu lagi kemahiran yang penting untuk kita berkembang maju dalam pekerjaan pada masa hadapan.

  • Pemikiran strategik melibatkan penilaian terhadap sesuatu situasi secara menyeluruh, mengenal pasti hal-hal kecil yang memberi kesan dengan terperinci, supaya kita mampu memperoleh kelebihan daya saing dalam mencapai matlamat.
  • Pemikiran reka bentuk memerlukan anda mengasah kefahaman secara mendalam berkenaan audiens sasaran, misalnya pelanggan, untuk mengetahui keperluan mereka yang belum dipenuhi dan mereka bentuk penyelesaian terbaik bagi cabaran yang dihadapi.
  • Pemikiran analitis melibatkan pengumpulan, pengaturan, dan analisis maklumat bagi mengenal pasti bidang-bidang utama yang mengandungi pandangan yang bernilai, serta membandingkan kebaikan dan keburukan bagi setiap potensi penyelesaian.

Amalan pemikiran kritis di tempat kerja

Amalan pemikiran kritis sangat memberi kesan di tempat kerja dari segi:

1. Sumber manusia 

Keputusan dalam menetapkan ganjaran ataupun hukuman terhadap pekerja hendaklah berasaskan fakta dan analisis.

Selalunya, pengurus perlu meneliti prestasi pasukan secara keseluruhan sebelum menilai pencapaian individu.

Pemikiran kritis membolehkan anda memberikan penilaian yang saksama dan mengelakkan sifat pilih kasih.

2. Pemasaran

Pegawai pemasaran yang memanfaatkan pemikiran strategik dalam membangunkan pelan pemasaran bakal meraih hasil yang lebih baik berbanding golongan yang bergantung pada andaian semata-mata.

Dalam erti kata lain, aspek yang paling penting dalam setiap kempen pemasaran ialah penyelidikan. Hal ini bukan sahaja memerlukan pengumpulan data tetapi turut melibatkan analisis data.

Tanpa pandangan sedemikian, susah untuk kita kenal pasti pendekatan yang optimum untuk mencapai dan berhubung dengan bakal pelanggan.

3. Jualan

Sering kali, pegawai jualan perlu memenuhi jangkaan yang tinggi yang ditetapkan oleh bakal pelanggan.

Anda perlu memahami kepentingan mengenali persona pembeli supaya dapat merangka teknik yang bertepatan.

Tanpa maklumat yang relevan dan yang paling penting, pendekatan pemikiran reka bentuk, agak sukar untuk anda mencapai persetujuan urus niaga.

Peringkat pemikiran kritis

Semasa meneliti proses tersebut, lebih baik kita biasakan diri dengan ciri-ciri pemikir kritis bagi mendapatkan kefahaman yang lebih baik.

1. Pengetahuan

Anda perlu mengendalikan cabaran yang dihadapi kini dengan mengambil iktibar daripada pengalaman lalu. Jangan bertindak secara melulu. Teliti langkah untuk menyelesaikan masalah tertentu untuk dijadikan panduan dalam menentukan strategi yang paling berkesan untuk memperoleh hasil yang diingini.

Sebagai permulaan, bangkitkan soalan-soalan berikut:

  • Mengapa kaedah ini berkesan untuk saya sebelum ini?
  • Mengapa faktor-faktor sebegini penting dalam situasi yang sedang saya hadapi? Apakah cara untuk memanfaatkannya?
  • Apakah cara untuk memanfaatkan pengalaman lalu bagi menyelesaikan permasalahan ini?

2. Kesedaran

Objektif sekarang adalah untuk mewujudkan kefahaman secara menyeluruh berkenaan cabaran yang dilalui berdasarkan pandangan masa lalu daripada Langkah 1.

Anda boleh membiasakan diri mengamalkan pemikiran kritis dalam proses merancang, membuat perbezaan, transkripsi, dan merungkai rintangan yang dihadapi.

Lebih baik lagi,  cuba lihat dari perspektif yang berbeza.

Ini menjadi titik penentu apabila golongan yang berpemikiran kritis dapat membezakan antara kebenaran dan perspektif, sebab dan akibat, serta pendapat dan spekulasi.

Sebagai permulaan, bangkitkan soalan-soalan berikut:

  • Apakah situasi sekarang?
  • Perspektif apakah yang harus digunakan untuk meneliti situasi ini?
  • Apakah cara untuk mengendalikan situasi tersebut berdasarkan kefahaman saya berkenaan cabaran ini?

3. Aplikasi

Pertimbangkan semua andaian penyelesaian dalam mengendalikan cabaran.

Hal ini boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan pengetahuan diri, menggunakan pandangan yang diperoleh daripada Langkah 1 dan 2.

Ingatkan diri supaya tidak terburu-buru untuk terus menggunakan penyelesaian yang terdetik dalam minda buat kali pertama tanpa meneroka cara lain.

Yang penting ialah kemungkinan, bukannya kebarangkalian. Penting untuk kita sentiasa berfikiran terbuka, dan bersedia dengan jalan penyelesaian yang lain apabila menghadapi cabaran.

Sebagai permulaan, bangkitkan soalan-soalan berikut: 

  • Apakah pilihan yang perlu dipertimbangkan untuk saya pertingkatkan peluang untuk berjaya?
  • Apakah hasil yang bakal diperoleh sekiranya saya mengambil langkah sedemikian?
  • Apakah alternatif yang harus saya pertimbangkan untuk mencapai hasil yang terbaik?

4. Analisis

Langkah ini memerlukan anda menghalusi segenap aspek dalam analisis kritis. Berpandukan semua maklumat dan pandangan yang anda peroleh setakat ini, anda mampu meramalkan kesan bagi setiap tindakan dan senario paling teruk yang mungkin terjadi.

Sebagai permulaan, bangkitkan soalan-soalan berikut:

  • Adakah hal ini bertepatan dengan situasi tersebut?
  • Apakah hubungan antara… dengan…?
  • Apakah perbezaan yang dikenal pasti antara… dengan…?
  • Apakah kemungkinan lain yang dirasakan wajar?

5. Penilaian

Pada peringkat akhir pemikiran kritis, anda perlu bersedia untuk mengesahkan sama ada penyelesaian yang dikemukakan wajar ataupun tidak.

Tumpukan perhatian untuk menetapkan syarat-syarat tertentu dalam mengenal pasti jawapan apabila sesuatu persoalan mula menjengah minda.

Sebagai permulaan, bangkitkan soalan-soalan berikut: 

  • Sejauh manakah saya benar-benar pasti dengan hasil sebenar?
  • Apakah jalan penyelesaian yang ada sekiranya…? 
  • Apakah perkara baharu yang dapat saya pelajari dengan menggunakan langkah ini untuk berkembang lebih maju?

Berkaitan: Tip Kepimpinan: Amalkan Pemikiran Kaizen

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik It’s Time To Challenge Your Critical Thinking Skills For The Future Of Work.

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

michelle_sales_a0496d_8f660ec953.jpeg

Michelle Sales ialah pengarang The Power of Real Confidence (Major Street Publishing).

Alt

Cadangan Buat Kamu

Bersedia Menyesuaikan Diri

Berwaspada dan Bersedia untuk Menyesuaikan Diri

Oleh Michelle Gibbings. Anda tidak boleh meramalkan masa depan. Walau bagaimanapun, anda boleh merancang untuk itu! Baca lebih lanjut mengenainya di sini.

Nov 04, 2022 3 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest