Adakah Organisasi Anda Patuh Kepada Prinsip Rukun Negara?

Oct 01, 2018 1 Minit
bangunan, Malaysia, negara, prinsip, tradisi
Soalan Sepintas: Cuba lafazkan lima prinsip Rukun Negara tanpa melihat mana-mana rujukan. Semasa saya membesar, kalimah ini sering diperdengarkan semasa perhimpunan sekolah, malah dicetak di setiap kulit belakang buku latihan sekolah.

Kini apabila sudah dewasa, barulah saya benar-benar menghargai kepentingan prinsip-prinsip ini, yang menyatukan kita semua sebagai satu bangsa.

Rukun Negara*, yang dirangka pada tahun 1970, adalah satu set prinsip kebangsaan untuk dijadikan sebagai kod etika bagi rakyat Malaysia. Hal ini mula tercetus apabila berlakunya pertelagahan antara kaum pada 13 Mei 1969.

Berikut rusuhan tersebut, kerajaan mengenakan perintah berkurung dan mengisytiharkan darurat di seluruh negara, melalui Ordinan Darurat 1948.

Parlimen dibubarkan dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, bertindak sebagai kerajaan sementara.

Majlis itu terdiri daripada tokoh terkemuka yang disegani ramai, yang berusaha memastikan supaya rakyat Malaysia kekal bersatu padu dan terus berfokus dalam menghadapi masa kesulitan.

Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara (MAPEN) ditubuhkan. Jabatan Perpaduan Negara di bawah arahan MAGERAN menghabiskan masa hampir setahun merangka ideologi kebangsaan dengan hasrat untuk menyatupadukan penduduk Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa.

Rangka ini kemudiannya dibincangkan oleh MAPEN, yang terdiri daripada pemimpin komuniti, ahli perniagaan, ahli akademik, pemimpin agama, guru, wartawan, dan ahli politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

Selepas beberapa perbincangan dan pindaan, Rukun Negara diumumkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970.

Sebuah pegangan abadi

Rukun Negara terdiri daripada lima prinsip:
  • Kepercayaan Kepada Tuhan
  • Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-Undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

 

Walaupun tujuan awalnya adalah untuk menyatukan rakyat sebagai sebuah bangsa baharu, Rukun Negara masih merupakan pegangan abadi sehingga hari ini.

Kini dengan semangat ‘Malaysia Baharu’, adalah sangat penting untuk kita semua memiliki gagasan prinsip yang sama, supaya perpaduan antara kita kekal terpelihara dalam tahun-tahun yang mendatang.

Berkaitan: #RakyatMalaysiaBoleh Demi Kemakmuran Negara Tercinta

Apabila berlakunya perubahan dan ketidaktentuan, kita perlu lihat pada sesuatu yang kita sama-sama percayai dan terus berpegang teguh dengannya.

Sama juga dengan dunia korporat, perubahan di tempat kerja berlaku dengan lebih pantas dan lebih rumit daripada sebelumnya.

Selain daripada peranan yang bertukar; perubahan turut mengakibatkan kehilangan pekerjaan, berpunca daripada kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan.

Jadi, apakah yang bakal terjadi sekiranya kita tidak mengambil pendekatan yang bersepadu dalam menangani cabaran sebegini?

Mari kita hayati Rukun Negara dengan lebih mendalam, supaya kita dapat meneliti cara untuk mempersiapkan diri dengan lebih baik dalam merangkul perubahan.

1. Kepercayaan kepada Tuhan

Kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang kukuh kepada Tuhan dan ini mungkin kesan dari zaman dahulu, tatkala nenek moyang kita membuat perubahan besar dalam hidup, meninggalkan kehidupan lama untuk mencari peluang dengan berdagang dan membina kehidupan baharu, mengikut cerita orang-orang dahulu.

Keazaman yang tinggi bertitik tolak daripada kepercayaan bahawa sebagai manusia, kita boleh mempersiapkan diri dan melakukan yang terbaik, namun hasilnya terletak di tangan Sang Pencipta.

Prinsip ini membantu kita mengendalikan kekecewaan dan tidak hanyut dalam ego apabila mencapai kejayaan, dalam kita mencari-cari keputusan yang boleh memberi kesan yang besar dalam hidup.

2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Apabila diselubungi rasa tidak tentu arah, kepimpinan adalah penting dalam mengendalikan emosi. Hal ini membantu kita menumpukan momentum positif ke arah perubahan.

Kesetiaan merupakan jiwa sesuatu bangsa, seperti mana ia jiwa bagi sesebuah organisasi.

Kesetiaan yang tulus ikhlas kepada Raja-Raja dan bangsa akan mendorong kaum daripada pelbagai bangsa untuk bersatu padu, malah dalam konteks pekerjaan, kesetiaan menggerakkan pekerja dengan serba macam perangai ke arah matlamat yang sama.

Pemimpin juga harus sedar dengan kuasa yang dipegang dan seharusnya melaksanakan kewajipan dengan bermaruah.

Baru-baru ini, diumumkan bahawa surat rasmi kerajaan seharusnya diakhiri dengan frasa ‘Yang menjalankan amanah’, menggantikan ‘Yang menurut perintah’. Hal ini menunjukkan bahawa semua pihak bertanggungjawab untuk memainkan peranan dengan cekap, bukannya taat membabi-buta akan pemimpin. Kesetiaan bukanlah ‘taat membabi-buta’.

3. Keluhuran Perlembagaan

Kewarganegaraan memberikan kita rasa keberadaan dalam sesebuah negara. Perlembagaan memberi hak dan keistimewaan tertentu kepada warganegara. Perlembagaan juga meletakkan tanggungjawab dan kewajipan tertentu kepada bangsa dan negara.

Malahan, keseimbangan antara keistimewaan dengan tanggungjawab juga berlaku dalam dunia pekerjaan. Setiap daripada kita seharusnya mengetahui peranan masing-masing dengan jelas dan melaksanakan tugasan dengan penuh amanah demi matlamat yang sama dalam sesebuah organisasi.

Tempoh perubahan dalam organisasi agak melelahkan dan kita perlu terus melangkah supaya kita akhirnya dapat merealisasikan hasil daripada titik peluh kita semua.

Jika kita masih belum bersedia memainkan peranan masing-masing, maka masyarakat ini tidak dapat berfungsi dengan baik, malah sesebuah organisasi tidak dapat bergerak maju dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

4. Kedaulatan Undang-Undang

Keadilan ditentukan berdasarkan kedaulatan undang-undang. Kedudukan semua warganegara adalah sama di sisi undang-undang.

Keadilan dalam bentuk layanan dan kebertanggungjawaban mengikut piawaian yang ditetapkan membantu membentuk aturan sosial dan membezakan antara yang betul dan salah.

Dalam memacu perubahan, pemimpin yang bagus akan menetapkan piawaian bagi tingkah laku dan sasaran, yang membantu menyatukan ahli pasukan.

Apabila terdapat pelanggaran piawaian, kita tidak boleh menutup mata. Sekiranya tidak diperiksa dan diperbetulkan mengikut peraturan yang dipersetujui, hal ini mewujudkan suasana yang kurang elok dalam memacu perubahan.

Orang ramai akan mula beralih perhatian daripada matlamat yang sama, sebaliknya mereka akan lebih mengutamakan agenda masing-masing. Ini akan mengakibatkan terhakis ketelusan dan hala tuju. Hal ini sememangnya boleh menjejaskan usaha ke arah perubahan dan transformasi.

5. Kesopanan dan Kesusilaan

Setiap insan atau kumpulan perlulah melaksanakan urusan masing-masing tanpa melanggar kesusilaan. Sikap bersopan menandakan nilai kesusilaan yang tinggi dalam kehidupan individu dan masyarakat.

Pendapat atau keputusan yang keterlaluan dapat dilenturkan apabila disampaikan dengan nada penuh sopan, hormat dan empati.

Apabila melihat perjalanan sesebuah negara atau organisasi, kita tidak dapat lari daripada pendapat yang berbeza. Maka, kita sepatutnya sedar bahawa ini merupakan perkara yang sihat selagi mana kita bersifat terbuka dan jujur dalam komunikasi antara satu sama lain.

Hal ini membantu kita menghargai pendapat orang lain dan tidak terlalu keras hati merasakan kita sahaja yang betul.

Kesopanan dan kesusilaan menggalakkan kesefahaman yang tulus. Ini merupakan penawar kepada konflik dan perasaan tidak percaya antara satu sama lain.

Akhir kata 

Banyak organisasi memiliki pernyataan kod etika dan tingkah laku teras bagi menggariskan budaya dan prinsip yang dipegang.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya bangga dengan Rukun Negara dan prinsip yang diterapkan kerana nilai yang dibawa melalui Rukun Negara masih relevan bagi setiap lapisan masyarakat.

Kesannya begitu mendalam sehingga hari ini, seperti mana ketika mula-mula dilancarkan.

Hal ini merupakan aspirasi untuk saya hayati sebagai rakyat Malaysia dan saya yakin prinsip-prinsip ini akan terus mengikat kita semua sebagai sebuah bangsa, kini dan masa hadapan, untuk kita menangani liku-liku hidup, yang memerlukan kita untuk menyesuaikan diri dan berubah.

 

*Sumber: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Malaysia
Rupa Sivanoli ialah anggota fakulti Leaderonomics. Dia bersemangat untuk memacu perubahan dalam Malaysia Baharu dengan cara yang berstruktur lagi mampan. Untuk menghubunginya, hantar e-mel ke editor@leaderonomics.com.
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Does Your Organisation Abide By The Principles Of The Rukun Negara?

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Bagaimana Pemikiran Utopia Boleh Menginspirasikan Pemimpin Perniagaan

Oleh Marc Le Menestrel. Eksekutif dihantui oleh kesan alam sekitar industri mereka. Bolehkah pemikiran utopia, menumpukan pada pemenuhan nilai teras manusia, menawarkan penyelesaian?

May 20, 2024 4 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest