Mengapa CEO Hebat Tahu Bila Perlu ‘Let Go’

Oct 27, 2025 3 Minit
CEO
Sumber:

Imej oleh rawpixel.com dari freepik

Kawalan Membina Syarikat Anda. Kini Ia Mungkin Menjadi Penghalang untuk Terus Berkembang.

Sebagai kompas utama bagi sesebuah syarikat, CEO beroperasi di bawah tekanan besar untuk memikul tanggungjawab tertinggi di mana setiap tindakan memerlukan kejelasan, keyakinan, kepantasan dan kepastian mutlak. Namun, jalan mudah yang sering diambil ialah dengan terus mengekalkan kawalan. Hakikatnya, pendekatan ini sering menjadi penghalang. Justeru, mengimbangi kawalan dalaman dengan perspektif luar menjadi satu keperluan strategik.

Apabila Kawalan Menjadi Had
CEO secara semula jadi cenderung untuk mengawal. Anda yang membina perniagaan itu, anda tahu bagaimana ia berfungsi, dan anda telah mengharungi setiap cabaran besar dengan bergantung pada naluri serta pengalaman anda. Tetapi lama-kelamaan, kawalan menjadi had bukan landasan untuk melonjak. Apabila kerumitan bertambah, cabaran baharu muncul yang tidak dapat diselesaikan dengan pengetahuan sedia ada. Pasaran berubah, pasukan anda berkembang, dan apa yang berkesan semalam mungkin tidak lagi sesuai esok.

Pada ketika inilah kawalan memerlukan imbangan iaitu perspektif luar. Perspektif memberikan keluasan pandangan, objektiviti, dan cabaran yang membina. Ia meluaskan horizon anda melebihi rutin harian, serta mengundang anda untuk berfikir secara berbeza, strategik, dan lebih berani.

Kekuatan Mencari Nasihat Luar
Satu kajian berjudul The Determinants and Performance Consequences of CEO Strategic Advice Seeking memberikan pandangan dunia sebenar tentang keseimbangan ini. Penyelidikan yang dijalankan ke atas 287 organisasi bukan untung itu mendapati terdapat korelasi positif antara CEO yang mendapatkan nasihat strategik daripada luar organisasi dan prestasi organisasi mereka.

CEO yang mendapatkan panduan daripada individu di luar organisasi, terutamanya mereka yang berpengalaman menguruskan situasi kompleks, didapati jauh lebih berpotensi untuk memimpin organisasi berprestasi tinggi. Mengapa? Kerana pemimpin seperti ini tidak terperangkap dalam ‘lingkaran maklum balas’ sendiri. Mereka mewujudkan ruang untuk cabaran dan refleksi, membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih bermaklumat dan kurang berat sebelah.

Kajian tersebut merumuskan: “Tindakan CEO mendapatkan nasihat luar meningkatkan keupayaan mereka membuat keputusan strategik yang lebih berkualiti dengan memperkukuh asas maklumat serta memperluas himpunan idea dan perspektif.” Ia bukan sekadar tentang apa yang anda tahu — tetapi siapa yang anda rujuk, dan bila.

Artikel ini mungkin menarik minat anda:

Ciri-Ciri Pemimpin yang Dihormati oleh Generasi Z

Dua CEO yang Memilih Perspektif Berbanding Pengasingan
Idea ini berlaku setiap hari dalam perniagaan pelbagai saiz. Dua syarikat Australia menunjukkan bagaimana membawa perspektif luar ke dalam proses kepimpinan boleh mengubah hasil.

Di Street Furniture Australia, pengasas bersama Bill Morrison menggambarkan Lembaga Penasihat syarikatnya sebagai “cermin” kepada perniagaan. Pantulan itu mendedahkan titik buta dalam pasukan kepimpinan dan operasi. Dengan berundur sedikit sebagai pengarah dan memberi kuasa kepada pasukannya, beliau melihat peningkatan dalam akauntabiliti, keupayaan, dan penjajaran strategi yang lebih tajam.

Kini, Street Furniture Australia diiktiraf sebagai peneraju industri dalam inovasi, telah menembusi pasaran antarabangsa dengan kukuh dan menjadi yang pertama dalam sektornya memperoleh pensijilan karbon neutral sepenuhnya.

Sementara itu, di Makinex, pengasas Rory Kennard membentuk Lembaga Penasihat semasa tempoh perubahan besar. Ketika berdepan dengan pengembangan antarabangsa dan tekanan untuk berkembang, beliau menyedari bahawa naluri sahaja tidak mencukupi, beliau memerlukan cabaran dari luar. Lembaga itu menjadi tempat rujukan dan kompas strategik. Akhirnya, apabila perniagaan semakin matang, Makinex beralih daripada Lembaga Penasihat kepada Lembaga Tadbir Urus bukti bahawa perspektif luar boleh berkembang seiring pertumbuhan. Dalam kedua-dua kes, para CEO mengekalkan kawalan, tetapi memilih untuk dikelilingi sekutu strategik individu yang tidak terperangkap dalam urusan harian tetapi benar-benar memahami risiko dan peluang yang dihadapi.

Membina Struktur yang Betul
Bagi ramai CEO, istilah ‘nasihat luar’ sering membayangkan perunding mahal atau lembaga tadbir urus yang kaku. Namun, perspektif tidak semestinya datang dalam bentuk yang formal. Ia boleh diperkenalkan secara beransur-ansur dan fleksibel.

Pertama, pupuk budaya di mana perbezaan pendapat yang berhemah dialu-alukan.
Sertai kumpulan CEO peer-to-peer untuk menyedari bahawa anda tidak bersendirian dan menguji pemikiran anda. Kemudian, lantik Lembaga Penasihat anda sendiri yang terdiri daripada penasihat berpengalaman dalam industri atau skala perniagaan anda, individu yang benar-benar komited terhadap kejayaan anda.

Bentuknya tidak sepenting fungsinya. Adakah struktur semasa anda memberikan akses kepada kebijaksanaan, cabaran dan perspektif yang anda perlukan untuk memimpin dengan yakin?

Memimpin dengan Perspektif, Bukan Sekadar Kuasa
Mengimbangi kawalan dengan perspektif tidak bermaksud anda menyerahkan tempat duduk pemandu. Ia bermaksud memperluaskan pandangan anda dan menggunakan sistem yang membantu mencari hala tuju yang betul. Dalam dunia perniagaan yang menghargai kepantasan, keanjalan dan pemikiran mendalam, CEO yang mencari pandangan luar berada dalam kedudukan terbaik untuk memimpin dengan impak.

Jadi, tanyakan pada diri anda: Siapa yang membantu anda berfikir dengan lebih baik? Siapa yang mencabar anda untuk melihat dari sudut berbeza? Siapa yang berada di sisi anda dan bukan untuk mengambil alih, tetapi untuk membantu anda berkembang?

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Anthony Moss ialah pakar strategi dan tadbir urus serta penulis buku The CEO Game Changer. Dengan lebih daripada 30 tahun pengalaman dalam bidang komersial dan rekod kerja bersama lebih 180 syarikat, Anthony membantu CEO syarikat swasta menembusi halangan pertumbuhan dengan kejelasan, keyakinan dan keupayaan. Sebagai Pengasas Lead Your Industry, beliau bekerjasama dengan pemimpin berwawasan untuk membina Lembaga Penasihat berimpak tinggi yang mempercepatkan hasil.


 

Alt

Cadangan Buat Kamu

pasukan kepimpinan

Luka yang Tidak Kelihatan: Harga Sebenar Kepimpinan

Oleh Ben Foo. Kepimpinan hadir dengan luka yang tidak kelihatan — saat-saat pengkhianatan, tuntutan yang mustahil, dan cabaran yang tidak adil. Adakah anda bersedia menghadapi kos tersembunyi dalam memimpin orang lain?

Mar 10, 2025 7 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest