Jangan Jadi Semacam Monyet!

Oleh Roshan Thiran|27-03-2017 | 1 Minit
Dalam Kepimpinan, Anda Perlu Melepaskan Genggaman Untuk Maju

Lepaskan genggaman yang menjadi penghalang untuk bergerak maju. Adakah genggaman itu ego, keghairahan untuk kuasa, harga diri, ketamakan?

Di Malaysia, seorang penduduk kampung menggunakan kaedah “Perangkap Monyet” yang bijak. Dia menggerudi sebuah lubang di dalam sebiji kelapa. Lubang itu sempit tetapi cukup besar untuk monyet memasukkan tangannya. Lepas itu, dia memasukkan potongan buah-buahan, kacang atau daging yang dicucuk dengan lidi ke dalam lubang itu. Kemudian dia menanam kelapa itu ke dalam tanah.

Bau dari umpan akan menarik monyet untuk cuba mencapai makanan dari bukaan yang sempit dan menggenggam makanan yang ada di dalam. Bagaimanapun apabila monyet itu mahu menarik keluar tangannya, ia tidak terdaya kerana genggamannya terlalu sarat untuk dikeluarkan dari bukaan yang sempit itu. 

Monyet itu akan menjerit dengan geram. Biarpun itu ia masih terus menggenggam makanan itu dan cuba berulang kali untuk melepaskan tangannya dari lubang tersebut. Penduduk kampung berkenaan akan datang dan menjatuhkan jaring ke atas monyet itu. Walaupun monyet itu melihat penduduk kampung itu datang menghampirinya, ia begitu nekad menjaga makanannya, malah menggenggamnya dengan lebih erat lagi, dan mencuba dengan lebih gigih untuk mengeluarkan genggamnya. 

Tidak ada seorang pun yang menjadikan monyet tersebut tawanan, kecuali dirinya sendiri. Apa yang ia perlu lakukan adalah melepaskan makanan yang digenggamnya. Tetapi begitu kuat daya ketamakan dalam fikirannya, jarang sekali ada monyet yang melepaskan genggamannya.

Bukankah ramai pemimpin bisnis yang sama seperti monyet? Kita mungkin mentertawakan monyet kerana kebodohannya, tetapi setiap hari kita melihat kebodohan yang sama dipaparkan oleh kebanyakan pemimpin bisnis yang bergelut dengan sikap tidak mahu melepaskan sesuatu. Seperti monyet, ramai pemimpin gagal apabila mereka berpegang terlalu kuat kepada sesuatu yang boleh menyebabkan mereka terbabas. 

Kita sememangnya susah hendak melepaskan produk, perkhidmatan dan amalan yang dahulunya berhasil tetapi sangat sedikit sumbangannya pada hari ini, malahan memerlukan banyak masa dan perhatian kita. Ataupun kita begitu sukar untuk melepaskan ego dan keangkuhan kita. Ada juga beberapa pemimpin bisnis yang tidak boleh melepaskan bisnis mereka dan tetap memegang jawatan mereka walaupun sudah tiba masanya untuk mereka bersara atau diganti.

Tetapi isu ini tidak terhad kepada pemimpin-pemimpin bisnis sahaja. Ramai orang yang secara traumatik terikat dan berpaut pada hubungan yang tidak baik walaupun mereka tahu mereka tidak seharusnya lakukannya. Ataupun kita tidak boleh melepaskan suatu tabiat buruk. Yang paling buruk lagi adalah masih ramai yang berpegang kepada kepercayaan dan dogma seperti “jika ia tidak pecah, mengapa hendak membaikinya” sehingga mereka terlepas peluang apabila perubahan perlu dibuat. Mengapa hal ini berlaku? 

Dalam kes monyet tadi, ketamakan adalah sebab utama mengapa ia tidak boleh melepaskan sesuatu. Ketamakan dan kerakusan adalah sebab mengapa para eksekutif gagal untuk melepaskan sesuatu. Dan ketamakan membawa kepada ketakutan.

Ahli falsafah Cina Zhuangzi menulis:

“Sesiapa yang menganggap kekayaan adalah sesuatu yang baik tidak akan sanggup melepaskan pendapatannya; orang yang menganggap kemegahan sesuatu yang baik tidak akan sanggup melepaskan kemasyhurannya. Orang yang gilakan kuasa tidak akan dapat menyerahkan kuasanya kepada orang lain. Berpegang kuat kepada hal-hal sebegini, orang-orang tersebut akan menggigil ketakutan; sekiranya mereka melepaskannya, mereka akan merana dalam kesedihan.”


Jika ketamakan untuk makanan menggenggam si monyet, apa pula yang menggenggam kita? Adakah itu ego, kuasa, kebanggaan atau ketamakan kita?

Pemimpin bisnis yang berjaya sukar melepaskan produk dan perkhidmatan mereka yang berhasil sebelum ini kerana mereka takut akan perkara yang tidak diketahui. Takut kehilangan kejayaan masa lalu melampaui keuntungan masa hadapan. Thich Nhat Hanh, seorang guru agama Buddha yang terkenal, berkata “Manusia menghadapi kesukaran untuk melepaskan penderitaan mereka. Kerana takut akan apa yang tidak diketahui, mereka memilih penderitaan yang sudah mereka kenal.”

Mereka percaya jika mereka meneruskan cara yang sama, walaupun ia mungkin menyakitkan sekarang, satu hari nanti kehidupan akan kembali kepada lebihan seperti sebelumnya. Albert Einstein menangkis kepercayaan ini dengan berkata:

“Ketidakwarasan adalah melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza.”

Tanpa perubahan

Secara semulajadi kita semua mahu mengekalkan keadaan tanpa perubahan, dan bersandar kepada yang selamat dan selesa.

Menurut Edward Miller, dekan sekolah perubatan John Hopkins, manusia tidak akan berubah walaupun kehidupan mereka bergantung kepada perubahan. Dia mengkaji sekumpulan orang yang dua tahun dahulu telah menjalani cantuman pintasan arteri koronari dan mendapati bahawa 90% daripada mereka tidak mengubah gaya hidup mereka walaupun mereka tahu mereka boleh mati. Mereka tidak dapat mengubah gaya hidup mereka atas pelbagai sebab dan alasan.

Kononnya ketua pegawai eksekutif merupakan agen perubahan utama bagi syarikat-syarikat mereka tetapi seringkali merekalah yang paling menentang perubahan.

Apabila Louis Gerstner mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IBM, dia bermula dengan mengikuti rutin McKinsey yang telah lama diamalkannya dan terbukti berhasil sepanjang kerjayanya. Dia berpendapat dia boleh menghidupkan semula syarikat tersebut melalui latihan intensif seperti menjual aset dan memotong kos yang merupakan zon keselesaannya. Tetapi dia tersilap. Nasib baik dia menukarkan pendekatan konsultannya kepada pendekatan yang lebih berunsur transformatif budaya, dan dengan itu, membolehkan IBM bangkit semula.

Alasan bagaikan si monyet

Tetapi kebanyakan pemimpin menentang perubahan dan dilumpuhkan dengan alasan mengekalkan keadaan tanpa perubahan. Jika anda terdengar alasan-alasan berikut, anda sememangnya berada dalam bisnis di mana terdapat banyak monyet yang tidak boleh melepaskan:

  • Kami tidak pernah melakukannya sebelum ini dan ia mungkin tidak akan berhasil.
  • Kami/syarikat lain/orang lain sudah mencubanya sebelum ini dan ia tidak berhasil. Syarikat kami tidak sama.
  • Kami telah melakukan cara ini sejak 50 tahun yang lalu.
  • Mengapa harus ubah? Ia bekerja dengan baik. Semuanya baik di sini.
  • Pengurusan akan membencikan ini. Syarikat ini belum bersedia untuk itu.
  • Ia memerlukan siasatan lanjut dan ia memerlukan lebih banyak pertimbangan.
  • Pesaing-pesaing kami tidak melakukannya. Jadi, mengapa kami harus lakukan?
  • Kami tidak mempunyai wang/sumber/aset untuk melakukan perkara ini.
  • Kesatuan akan membantah. Terlalu banyak masalah kalau kami mahu ubah.
  • Para pelanggan tidak akan membelinya. Ia merupakan satu perubahan yang sangat radikal 

Ego 

Ego adalah penyebab bagi kebanyakan kegagalan bisnis. Disney, Wang Laboratories dan General Motors tergelincir dari kegemilangan mereka kerana ego kepimpinan. Bahkan ketua-ketua pegawai eksekutif selebriti pun tidak kebal terhadap isu-isu ego. Steve Jobs dipecat dari syarikat yang ditubuhkannya kerana isu-isu ego.

Ada pemimpin yang tidak boleh melepaskan bisnis mereka dan tetap tinggal dalam jawatan mereka melepasi tarikh luputnya, menyebabkan bisnis atau negara musnah dalam proses tersebut.

Kepercayaan-kepercayaan yang ketinggalan zaman

Adalah sukar untuk mengenal pasti walau satu pun bisnis besar yang berjaya kerana mengikuti kebijaksanaan konvensional. Namun ramai yang masih bergantung kepadanya setiap hari.

Semasa bekerja sambilan sewaktu menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat, seorang setiausaha enggan untuk mempelajari komputer dan hanya menggunakan mesin taip. Dia menaip 300 perkataan seminit dan percaya jika dia terus meningkatkan kelajuan itu, dia akan tetap mempunyai pekerjaan itu. Walaupun persekitarannya membayangkan perubahan kepada penggunaan komputer, kepercayaan dalamannya menyatakan sebaliknya. Setahun kemudian, dia dipecat dan digantikan dengan seseorang yang menaip 80 perkataan seminit tetapi yang boleh menggunakan komputer.

Industri surat khabar di seluruh dunia mengalami penurunan dan banyak yang menyalahkan kemunculan internet sebagai penyebab penurunan ini. Tetapi penyelidik-penyelidik Michael Moore dan Sean Paul Kelley percaya bahawa ketamakan dan kebergantungan terhadap kebijaksanaan lapuklah yang telah menyebabkan penurunan media cetak.

Setiap kita mempunyai kepercayaan dan pemikiran konvensional yang menyekat kemajuan kita. Ambil masa dan kaji semula kepercayaan anda dan keluarkan serta gantikan mana yang tidak boleh digunakan. Bisnis-bisnis juga perlu lebih sering melakukan hal ini.

Welch juga tidak terkecuali! 

Malah tokoh legenda Jack Welch juga tidak terkecuali daripada isu ego. Welch, yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif General Electric (GE), enggan berpisah dengan Montgomery Ward, sebuah pasar raya bermasalah yang bergabung dengan GE untuk mendapatkan suntukan dana sebanyak $100 juta bagi menyelamatkan nasib peruncit tersebut. Tahun-tahun berikutnya, mereka kembali dan meminta lebih banyak lagi. 

GE, yang boleh memilih untuk meluputkan pelaburan asalnya, terus memberi dana tambahan kepada firma tersebut. Kerana mahu melindungi pelaburan permulaan sebanyak $100 juta dolar itu, GE akhirnya membazirkan berbilion-bilion dolar. Sama seperti monyet yang enggan melepaskan tangannya, ketua pegawai eksekutif terhebat di dunia itu juga tidak dapat melepaskan genggamannya. Beliau kemudian mengaku bahawa egolah yang menjadi penyebabnya. Berita baik adalah Welch menyedari kesalahannya dan belajar untuk melepaskan “monyet”nya.

Lepaskan genggaman

Terdapat banyak perkara yang kita perlu belajar untuk melepaskan dalam kehidupan ini. Kita perlu melepaskan situasi, benda, kenangan, pergantungan kepada orang lain dan juga diri kita sendiri. Ia mungkin pengalaman dan perasaan yang sangat menyakitkan apabila tiba masanya untuk melepaskan.

Melepaskan sesuatu sama dengan bersenam di palang monyet. Anda perlu melepaskan satu palang demi satu palang untuk maju ke hadapan. Melepaskan sesuatu mungkin merupakan pengalaman yang paling menakutkan dalam hidup. Tetapi hanya dengan keberanian mengambil langkah keyakinan memasuki suatu situasi yang tidak diketahui, maka anda boleh menjadi pemimpin yang sepatutnya.

Jadi, luangkan masa untuk merenung dan mengenal pasti sesuatu yang menghalang anda daripada mencapai kehebatan. Kemudian, ambillah tindakan. Lepaskan genggaman anda daripadanya. Ingatlah, setiap jalan keluar merupakan jalan masuk ke tempat lain.

Klik berikut untuk mendengar podcast yang berkaitan:

Tontonilah video yang berkaitan:

Adakah anda rasa melepaskan sesuatu itu satu perkara yang baik? Hantarkan jawapan anda melalui roshan.thiran@leaderonomics.com. Anda juga boleh mengikutinya melalui media sosial Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Don’t Be A Monkey


Sila Kongsi

Roshan adalah pendiri dan CEO dari Leaderonomics Group, kepala redaksi untuk Leaderonomics.com dan seorang yang menamakan dirinya sendiri dengan sebutan 'kuli'. Ia percaya bahwa semua orang bisa menjadi pemimpin dan dapat membuat lekukan di alam semesta dengan cara mereka masing-masing.
Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.