5 Kriteria Penting Membina Pemimpin Yang Hebat

Mar 05, 2019 1 Minit
pemain , pemimpin
Seorang Pemimpin Menonjolkan Ciri-ciri Dalaman Keperibadian Kita

Bukan mudah hendak menjadi seorang pemimpin yang hebat. Setakat jadi pemimpin yang baik mungkin lebih mudah.

Seseorang menjadi pemimpin yang hebat bukan sebab keupayaan meloloskan diri bermain politik hingga berjaya naik tangga menjadi pemimpin.

Bukan juga disebabkan faktor ‘siapa anda kenal’. Bukan kerana anda pandai cakap dan panda menyemarakkan semangat orang lain.

Itu semua memang memainkan peranan sedikit sebanyak. Tetapi ada faktor lain yang lebih mendalam yang perlu diterapkan menjadi amalan dalam diri.

Menurut Universiti Conerstone, kita perlu ada lima kriteria dalam diri jika kita berhasrat membina sifat kepimpinan yang hebat dalam diri.

1. Perbaiki diri sendiri terlebih dahulu

Sebelum kita hendak menyuruh orang lain mengikut kita, pemimpin yang hebat wajib memikirkan penambahbaikan diri sendiri terlebih dahulu.

Ini kerana sebagai pemimpin, kita akan sentiasa berada di barisan hadapan baik dari segi budaya kerja, integriti dan sebagainya.

Kalau kita asyik menyuruh orang lain supaya meningkatkan diri sedangkan kita sendiri tidak mengambil masa untuk mengusahakan penambahbaikan diri, jangan harap orang lain akan ikut secara sukarela. Kalau ikut pun, hanya kerana terpaksa.

Oleh itu, ungkapan ‘dengar apa aku cakap, bukan tengok apa aku buat’ memang tidak bersesuaian buat seorang pemimpin yang hebat.

Kalau kita hendak orang bawah datang awal, kita sendiri perlu datang awal. Kalau hendak orang bawah berlaku baik terhadap pelanggan, jangan pula kita  mengata-ngata buruk di belakang pelanggan. Kalau kita hendak maklum balas yang pantas, kita sendiri perlu memberikan respons dengan pantas.

Pertimbangkan soalan-soalan berikut:

  • Adakah aku menyuruh orang lain membuat apa yang aku sendiri tidak mahu buat?
  • Apakah aku hanya mempedulikan kepentingan diri aku atau kepentingan orang lain juga?
  • Adakah aku memaparkan contoh yang baik untuk diteladani?
  • Adakah aku sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan diri?
Berkaitan: Mula Dengan Insan Cerminan Diri

2. Sentiasa mengalu-alukan maklum balas

Kita sememangnya bukan pemimpin yang hebat seandainya kita  tidak suka dengar kritikan. Kita perlu bersedia menerima maklum balas, sama ada positif ataupun negatif.

Realitinya, semua orang pasti ada kelemahan dan kekuatan masing-masing. Kita  mesti menerima hakikat itu dengan hati terbuka.

Jika kita sentiasa dikelilingi oleh mereka yang kuat kipas sahaja, itu petanda bahawa tidak lama lagi kecelakaan akan melanda.

Jadi, berhati-hati dengan sikap kita apabila menerima maklum balas supaya kita akan dikelilingi oleh mereka yang jujur dan berterus terang. Bina kepercayaan dengan sikap yang tidak asyik mempertahankan diri apabila dikritik, baru orang selesa untuk memberi maklum balas, baik yang positif mahupun negatif.

Kita ada kuasa sebagai pemimpin bukan untuk digunakan bagi memaksa orang mengikut secara membuta tuli. Kuasa itu patut digunakan untuk mendorong semua orang mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Semua orang perlu memainkan peranan masing-masing dan bersikap telus tanpa ada perasaan takut atau tergugat.

Pertimbangkan soalan-soalan berikut:

  • Adakah semua orang di keliling aku bersedia memberi maklum balas yang tulus?
  • Bilakah kali terakhir seseorang yang rapat dengan aku memberikan aku kritikan yang membina?
  • Adakah dalam kalangan mereka di keliling aku yang tidak suka dengan aku?
  • Adakah aku mendengar dengan tekun apabila seseorang menyatakan kritikan terhadap aku?

3. Sentiasa belajar hingga ke liang lahad

Kalau kita inginkan peningkatan, kita perlu bersedia untuk membuat perubahan. Menerima perkara baharu, mencuba amalan baharu, melepaskan kepercayaan dan amalan lama walaupun ia selesa tetapi tidak membawa kita ke mana-mana.

Apabila kita sudah menjadi bos, kesilapan paling besar yang kita boleh lakukan adalah berhenti belajar. Anggapan ‘saya sudah tahu semua’ adalah titik tolak kepada bermulanya era kejatuhan.

Oleh itu, kalau hendak menjadi pemimpin yang hebat, kerja mencari ilmu perlu diamalkan sehingga ke liang lahad. Selagi hidup, kita perlu belajar perkara-perkara baharu, baik kemahiran, teknologi, pemikiran, konsep dan sebagainya yang ada hubung kait dengan apa yang kita buat. Beli dan baca buku baharu, layari internet untuk mencari maklumat terkini dan lain-lain.

Pertimbangkan soalan-soalan berikut:

  • Bilakah kali akhir aku membaca dan menghabiskan sebuah buku?
  • Bilakah kali akhir aku meluangkan masa bertukar-tukar pandangan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan pendapat aku?
  • Bilakah kali akhir aku cuba memahami buku atau tulisan yang mencabar pemahaman aku?
  • Adakah aku membina diri menjadi sumber maklumat dan peransang kepada orang lain?
Berkaitan: 4 Sebab Kenapa Kita Mesti Terus Belajar Sepanjang Hayat

4. Menggalas tanggungjawab penuh

Sifat ini adalah tanda pemimpin yang hebat. Dia akan menggalas tanggung jawab bagi semua yang berlaku. Kerana sebagai pemimpin, semuanya akan balik kepada dirinya — baik dasar pelaksanaan yang salah, polisi yang tidak betul mahupun pemilihan orang yang tidak sesuai. Tiada orang lain yang patut disalahkan melainkan diri pemimpin itu.

Pertimbangkan soalan-soalan berikut:

  • Apabila sesuatu yang tidak elok berlaku, apakah aku mula menuding jari?
  • Adakah aku takutkan kegagalan dan adakah puncanya kerana ketidaksanggupan aku untuk menggalas tanggungjawab dengan penuh.
  • Apakah langkah yang perlu aku ambil supaya terdaya menjadi lebih bertanggungjawab?

5. Memimpin orang lain untuk melangkah maju

Perkara paling mudah dilakukan adalah menjatuhkan orang lain. Ini tindakan yang mudah kerana kegagalan adalah perkara lumrah dalam hidup setiap orang. Apabila kegagalan berlaku, orang lain akan terus menggunakan kesempatan itu untuk menjatuhkan orang yang disasarkan.  

Tetapi inilah yang akan membezakan  antara kita engan orang lain — sama ada kita pemimpin yang hebat atau yang cepat mengambil kesempatan.

Sebagai pemimpin, kita boleh mengkritik orang bawah tetapi bukan dengan niat menjatuhkan martabatnya .

Sebaliknya, kita patut menggunakan kecerdikan akal yang ada untuk mengkritik berdasarkan kesesuaian, yang mampu melonjakkan semula orang itu untuk mara ke hadapan.

Ada kalanya kita perlu berlaku tegas ketika memimpin dan berkomunikasi. Itu bukan bermaksud untuk menjahanamkan orang lain. Ia terpaksa dilakukan bagi menunjukkan tahap kepentingan sesuatu keadaan.

Ketegasan pula tidak dilakukan sehingga orang bawah merasa kita tidak lagi menyokong dan mempercayai mereka. Ketegasan kita patut menghantar mesej bahawa kita mahukan yang terbaik untuk mereka.

Pertimbangkan soalan-soalan berikut:

  • Apakah nada suara aku negatif atau positif?
  • Adakah orang sekeliling aku sentiasa takut untuk membuat kesalahan di hadapan aku?
  • Adakah aku mencari sudut positif orang lain dan memberi pujian kepadanya?
  • Apakah nisbah galakan berbanding kritikan yang biasanya aku berikan?

Rumusan

Kepimpinan bukanlah perkara yang mudah; bukan setakat keupayaan memberi arahan buat itu dan ini. Ia sebenarnya adalah penonjolan ciri-ciri dalaman keperibadian kita yang terhasil daripada disiplin dan amalan mulia yang diterapkan sepanjang kehidupan kita.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bentuk asal dan penuh, klik 5 kriteria pemimpin hebat yang anda perlu ikut dan amalkan.

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Sosial

Kemahiran Sosial yang Diperlukan Sebagai Pemimpin dan Cara Menjadi Pemimpin yang Diperlukan oleh Pasukan

Oleh Sonia McDonald. Pekerja sedang mencari pemimpin yang mahir berkomunikasi, pembina perhubungan dan penyelesai masalah yang berorientasikan rakyat. Sebagai seorang pemimpin, adakah anda mempunyai kemahiran sosial yang begitu dicari sekarang? Baca di sini!

Oct 09, 2023 4 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest