Selain merupakan orang yang sangat kaya dan berjaya, apakah persamaan yang dimiliki Steve Jobs (pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Apple), Michael Dell (pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dell Computer), Bill Gates (pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft), Richard Branson (pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Virgin) dan Simon Cowell (penerbit muzik terkenal dan juri American Idol)?
Mereka semua gagal dalam bidang pelajaran. Jobs berada di kolej selama satu semester sahaja sebelum beliau mencuba nasib di dunia sebenar. Begitu juga dengan Dell yang memulakan Dell Inc. (sebelum ini dikenali sebagai PC Limited) semasa di kolej dengan modal AS$1,000. Gates, orang yang terkaya di dunia, masih ‘bercuti’ dari Universiti Harvard untuk menerajui syarikatnya, Microsoft Corporation, yang bernilai berbilion dolar. Branson tidak pernah menghabiskan pengajiannya di sekolah menengah tetapi berupaya membangunkan Virgin menjadi jenama yang sangat menguntungkan dan bernilai di dunia. Sebelum menggunakan magiknya menjadikan mereka yang berbakat terkenal, kecewa atau tersinggung, Cowell hanyalah seorang penjaga bilik surat.
Ternyata, seseorang terlupa memberitahu mereka bahawa mereka perlu mendapat gred A dalam semua mata pelajaran jika mereka ingin mencapai kejayaan dalam hidup mereka!
Jangan salah anggap dengan apa yang saya katakan ini. Seperti orang lain, saya juga percaya kepada nilai pendidikan yang baik. Saya amat menghargai detik-detik yang saya lalui semasa di Universiti Bridgeport dan kemudian pengalaman bekerja di universiti korporat milik GE iaitu Crotonville. Jadi, saya adalah orang terakhir yang akan mengutuk nilai pendidikan yang agung. Sebahagian besar kejayaan dan pembentukan keperibadian, sosial serta profesionalisme yang saya miliki hari ini adalah hasil pengalaman yang saya perolehi daripada kedua-dua universiti berkenaan.
Berbaloi mengotori tangan
Tetapi saya juga ingin menegaskan bahawa amalan mengotori tangan (atau turun padang) semasa bekerja adalah jauh lebih penting daripada memiliki kad laporan pengajian yang cemerlang.
Pengalaman bekerja sememangnya lebih menguntungkan berbanding dengan berada di dalam kelas. Hal ini kerana manusia belajar dengan lebih baik semasa melakukan sesuatu. Mitos biasa yang sering kita dengar ialah kemahiran dan pembelajaran adalah hasil sumbangan kerja kursus atau latihan formal.
Ramai yang beranggapan bahawa 70% daripada apa yang kita pelajari datang daripada latihan dalam kelas. Kemudian diikuti dengan rangkaian pekerjaan, model peranan dan pementoran (kira-kira 20% daripada apa yang kita pelajari) dan akhir sekali, pengalaman bekerja (10% daripada apa yang kita pelajari). Ini menunjukkan pembelajaran dalam kelas amat ditekankan kerana dipercayai bahawa latihan dalam kelas merupakan jalan yang terbaik untuk mempertingkatkan pembelajaran. Kebanyakan syarikat membentuk struktur pengurusan organisasi dan kumpulan latihan dengan berlandaskan kepercayaan ini. Mereka beranggapan bahawa semakin banyak latihan dalam kelas, semakin banyak perkara yang dipelajari pekerja.
Nilai pembelajaran amali
Walau bagaimanapun berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan oleh syarikat-syarikat multinasional, termasuk GE, dan kemudian diperakui oleh syarikat-syarikat penyelidikan yang lain, hakikatnya ialah latihan dalam kelas hanya menyumbang 10% daripada pembelajaran dan kemajuan sebenar. Sebaliknya pengalaman dalam pekerjaanlah yang membentuk ketajaman fikiran dalam perniagaan dan pertumbuhan jangka panjang dalam kerjaya seseorang. Semakin susah peranan seseorang, semakin sukar persekitaran, semakin mencabar tugas yang diberikan, semakin banyak yang akan dipelajari, semakin bertambah dan berkembang pengetahuan.
Bukan yang cemerlang pendidikan sahaja yang terpilih
Selepas menjalani Program Pengurusan Kewangan GE (dikenali sebagai Financial Management Programme, FMP) di Amerika Syarikat, saya kembali ke Malaysia. Saya kemudian bertugas sebagai Ketua Pegawai Kewangan di syarikat kejuruteraan penerbangan. Di sana, saya membantu mewujudkan dan menguruskan FMP.
Untuk menjalankan program ini, kami menjalankan latihan pengambilan pekerja. Kami memilih graduan muda dari pelbagai latar belakang, berlainan universiti dan yang mendapat markah GPA/kelulusan yang baik. Kami juga mengambil mereka yang berkelulusan sederhana tetapi mempunyai semangat, potensi dan keinginan untuk membawa perubahan kepada dunia. Ini mengukuhkan hakikat bahawa walaupun mereka berada di tahap sederhana dari segi akademik, mereka tetap terpilih berdasarkan pengalaman dan potensi yang lain.
Kami juga menolak beberapa calon cemerlang yang boleh dianggap dalam kategori pelajar Liga Ivy. (Pelajar Liga Ivy adalah pelajar yang telah lulus dari universiti antarabangsa yang terkenal seperti Universiti Harvard, Princeton dan yang lain yang diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia.)
Hari ini, setiap pelajar yang berjaya dalam program ini memegang jawatan kanan di pejabat GE di seluruh dunia – tidak kira apa pun gred dan kelayakan yang dimiliki mereka sebelum menyertai kami.
Pusingan kerja
Bagaimana kami melakukannya? Saya yakin usaha kami berjaya melahirkan pemimpin bertaraf global – bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia – seperti yang terkandung dalam modul FMP.
Program ini mendorong setiap pelatih untuk bertukar daripada satu pekerjaan kepada yang baharu setiap enam bulan untuk tempoh dua tahun. Di sinilah pengalaman dan pembelajaran sebenar berlaku apabila kita mengotori tangan, bekerja sambil belajar melalui pekerjaan.
Tidak boleh dinafikan bahawa kelas juga sangat penting, terutamanya dalam bidang yang melibatkan fungsi dan berbentuk teknikal. Namun pembelajaran yang datang daripada tempat kerja sama pentingnya kerana ia mengubah asas tentang konteks dan situasi. Setiap perkara baharu yang berlaku merupakan pembelajaran baharu dan peluang pertumbuhan yang baharu.
Apabila kita melihat kembali individu-individu seperti Branson, Gates dan Jobs, tidak hairanlah mengapa mereka begitu berjaya. Mereka belajar secara amali dalam bidang-bidang tertentu, dengan mengharungi pelbagai situasi yang baharu dan belajar serta berkembang melalui pengalaman. Dan semakin banyak pengalaman mereka dapat, semakin tinggi nilai pembelajaran dan pertumbuhan yang dimiliki.
Akhir kata
Pembelajaran dalam kelas akan tetap mendapat tempat mengikut kesesuaiannya. Malah, sebahagian daripada yang diusahakan kami di Leaderonomics adalah memastikan bahawa sesi pembelajaran dalam kelas berasaskan pembelajaran bertindak, iaitu latihan berdasarkan eksperimen secara langsung terdapat dalam semua modul kami. Ini menjadi latihan masa hadapan – berlandaskan proses pembelajaran bertindak.
Saya pernah memiliki sembilan jenis jawatan yang berbeza dalam masa 13 tahun saya bekerja dengan GE, di merata-rata tempat di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia. Dalam tempoh tersebut, saya didedahkan kepada industri-industri yang berlainan – petroleum dan gas, TV/media, perkhidmatan kewangan, dan industri berkaitan dengan penerbangan dan, penjagaan kesihatan. Tugas saya meliputi kewangan, sumber manusia, operasi serta pelbagai tugas kepimpinan fungsian yang lain, termasuk memimpin syarikat.
Setiap pengalaman membantu saya membina pembelajaran peribadi; setiap pengalaman menyumbang kepada pertumbuhan peribadi saya. Jadi, walaupun pembelajaran dalam kelas mempunyai faedah tersendiri, nasihat saya sekiranya anda ingin menjadi pemimpin –keluarlah dan dapatkan pengalaman bekerja walaupun ini bermakna anda harus bermula dengan kerja-kerja yang paling teruk atau dengan syarikat-syarikat yang sedang mengalami kesukaran. Pengalaman-pengalaman ini yang akan membentuk dan mengajar anda lebih daripada yang anda dapat daripada kuliah atau profesor. Berbaloi mengotori tangan anda!
Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/
Oleh Kiran Tuljaram. Daripada memupuk perhubungan yang berkembang maju kepada memanfaatkan kuasa penambahbaikan tambahan, dapatkan wawasan yang tidak ternilai yang boleh digunakan dalam konteks peribadi, profesional dan masyarakat.
Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.
Dalam episod ini, Roshan Thiran, Ketua Pegawa Eksekutif Leaderonomics cuba memberi tipnya mengenai kuasa seseorang untuk mengendalikan benda-benda yang kecil. Jika kami dapat menjayakan benda-benda yang kecil, lama-lama ia akan membawa kejayaan yang besar