Berbaloi Ada Keriangan Di Tempat Kerja

Jul 12, 2017 1 Minit
indah, pandangan, kehidupan

Pada akhir tahun 1990-an, saya diundang untuk menghadiri perdebatan antara Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Southwest, Herb Kelleher, dan Ketua Pegawai Eksekutif General Electric, Jack Welch.

Saya begitu tertarik dengan Kelleher dan bagaimana beliau menggunakan keseronokan untuk meningkatkan produktiviti. Tidak ada cemeti, paksaan atau inisiatif untuk hal tersebut; cuma falsafah yang sederhana dengan sikap sambil lewa yang tidak ortodoks.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Southwest ini sering kali ke pejabat dengan menunggang motosikal Harleynya. Ada beberapa kali Kelleher berpakaian seperti Elvis Presley atau Bunny hanya untuk membuat pekerjanya tersenyum dan gembira.

Dalam suasana keriangan ini, Southwest telah berjaya membangunkan reputasi sebagai syarikat penerbangan paling menguntungkan di Amerika Syarikat. Pada tahun 2000, ia meraih penjualan menghampiri AS$5.7 bilion dan keuntungan sebanyak AS$603 juta.

Keriangan menambah baik suasana kerja

Beberapa bulan kemudian, saya diberi tanggungjawab sebagai pemimpin fungsian sebuah urusan perniagaan. Ketika saya memulakan tugasan saya, saya bertemu dengan pasukan baharu saya dan menghabiskan beberapa hari untuk mengenal dan memahami cara mereka bekerja. Mereka sangat rajin dan adalah pasukan teknikal yang berbakat tetapi memiliki moral kerja dan produktiviti yang rendah. Mereka bekerja hingga larut malam tetapi beroleh hasil yang sangat rendah. Mereka juga tidak menyukai pekerjaan mereka!

Kata-kata Kelleher tentang sikap sambil lewa dan keseronokan untuk meningkatkan produktiviti terus bermain dalam fikiran saya. Meskipun perkara ini kedengaran seperti tidak masuk akal, saya memutuskan untuk mencubanya dengan pasukan baharu saya.

Pada penghujung minggu setiap tiga bulan, kami akan pergi bersantai untuk berseronok bersama dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Kami juga mula makan tengah hari bersama-sama sebanyak kali yang mungkin, dan meluangkan masa untuk bergila-gila selepas makan tengah hari. Pada waktu ini, kami akan melakukan hal-hal gila seperti mengenakan penyedut air pada baju masing-masing, bersenam bersama atau melakukan jenaka praktkal ke atas orang lain. Kami juga melakukan kegiatan mingguan seperti menari tarian Latin atau bermain bola tampar.

Sama seperti yang dicapai oleh Kelleher di Southwest, ketika kami mula bergembira bersama-sama, daya pengeluaran dan pencapaian pasukan kami mula meningkat secara luar biasa. Jabatan lain, yang pada mulanya memandang serong terhadap kegilaan kami, akhirnya menaruh minat untuk bergabung dengan kami dan mengikuti acara suku tahunan kami. Keseronokan, yang sepatutnya menjadikan kami kurang produktif, sebenarnya memberi kesan yang berlawanan; ia meningkatkan keberkesanan kami.

Sebab-sebab keseronokan penting

Ada pelbagai sebab kenapa keseronokan penting di tempat kerja.

Berfikir di luar kotak

Persekitaran yang tidak serius memberi kita ruang untuk berfikir di luar kotak dan membolehkan kita menghasilkan penyelesaian masalah yang inovatif. Keseronokan adalah perangsang kreativiti yang mujarab.

Meningkatkan proses pembelajaran

Keseronokan juga baik untuk proses pembelajaran. Penyelidikan mendapati bahawa semasa bergembira, kita mengembangkan sel-sel saraf yang baharu pada bahagian otak yang bertanggungjawab untuk pembelajaran dan ingatan.

Dalam buku mereka The Levity Effect, Adrian Gostick dan Scott Christopher menulis tentang bagaimana pembelajaran dalam bilik darjah dapat ditingkatkan oleh keseronokan: “Jenaka juga berkesan dalam bilik darjah. Bahkan pelajar kolej lebih mengingati kuliah apabila ia ditaburkan dengan sedikit jenaka. Penyelidikan ahli psikologi Randy Gardner menunjukkan bahawa apabila hal-hal tidak serius tentang topik yang bersangkutan diselitkan dalam kuliah, pelajar mampu mencapai markah 15% lebih tinggi dalam peperiksaan.”  

Mengekalkan pekerja

Keseronokan adalah elemen yang kritikal dalam pengekalan pekerja. Penggantian pekerja menelan kos sebanyak RM60,000 seorang jika kita mengambil kira bayaran pampasan pemberhentian kerja, sesi temu duga, kos pengupahan dan kehilangan produktiviti semasa melatih staf baharu. Kos ini bertambah lagi jika kita mengira kira kos-kos tidak langsung seperti kehilangan modal intelektual, kemerosotan moral, peningkatan tekanan terhadap pekerja dan reputasi negatif.

Tempat kerja yang seronok dapat menurunkan kadar pusingan ganti pekerja. Saya teringat ketika jabatan kami menjadi tempat kerja yang seronok, kebanyakan pekerja saya tidak ponteng kerja. Bukan sahaja mereka mempunyai ramai kawan di tempat kerja, mereka juga tidak mahu terlepas dari apa-apa sahaja “kegiatan menggembirakan” di tempat kerja. Google yang memiliki tempat kerja yang menyeronokkan, berjaya mengekalkan 95% daripada pekerja mereka.

Menarik perhatian pelanggan baharu

Keseronokan sangat penting untuk menarik perhatian pelanggan baharu. Pelanggan tertarik kepada syarikat yang nyaman dan riang. Saya teringat seorang pelanggan yang menandatangani perjanjian kerja bernilai jutaan ringgit dengan kami beberapa tahun lalu.

Apabila saya bertanya mengapa dia mahu menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat kecil, dengan pantas dia menjawab: “Organisasi kamu penuh dengan keseronokan dan ia cepat berjangkit. Semua pekerja kamu menyukai pekerjaan mereka dan saya pasti dalam beberapa tahun sahaja , syarikat kamu akan setaraf dengan syarikat kelas dunia yang lain.” Dan memang benar katanya!

Menjadikan tempat kerja lebih seronok

Jadi, bagaimanakah anda membuat tempat kerja anda lebih seronok? Adakah anda berpendapat hanya syarikat multinasional sahaja yang mampu melakukannya? Ia tidak memerlukan kos yang besar seperti membangunkan kemudahan mewah, misalnya kolam renang atau dinding memanjat batu seperti yang dilakukan Google. Mungkin sekadar sesuatu yang sederhana seperti mengadakan permainan kepura-puraan (charade) sekali dalam dua minggu atau bersarapan bersama. Yang diperlukan hanya persekitaran di mana semua orang dapat melapangkan dada dan bergembira. Itu sahaja.

Keseronokan sering kali tidak berlaku kerana ia bukan dalam senarai keutamaan kita. “Berurusniaga dahulu, berseronok kemudian” kerap menjadi slogan laungan kita.

Di tempat kerja saya dahulu, setiap hari seorang akan ditugaskan memainkan sebuah lagu pada waktu petang ketika orang lain ingin berehat supaya mereka bangkit dan menari.

Syarikat Lego mempunyai skuter untuk ditunggang pekerja di sekitar taman premis perniagaannya. Di Southwest, para anak kapal bergembira dengan penumpang mereka. Di Leaderonomics, kami meringankan fikiran dengan mengadakan pertandingan yang menyeronokkan sesama sendiri.

Kalau anda bukan periang, bagaimana?

Tetapi, bagaimana kalau anda bukanlah seorang yang periang? Jangan khuatir kerana seperti hal yang lain, ia boleh dipelajari. Kita tidak perlu menjadi seorang yang periang dengan tiba-tiba kerana bermain adalah sesuatu yang kita nikmati secara tidak sedar. Apa yang kita perlu buat ialah belajar untuk memberi ruang kepada diri dan orang lain untuk bergembira. Sebagai pemimpin, kita perlu menyediakan kesempatan untuk keseronokan itu bertumbuh.

“Anda tidak memerlukan pasukan penulis komedi,” kata David Summers dari American Management Association. “Pengurus hanya perlu membenarkan pekerjanya menjadi manusia yang terbuka untuk memberi dan menerima jenaka di tempat kerja.” Rahsia untuk membolehkan keseronokan berkembang di tempat kerja ialah dengan membiarkan diri dan perusahaan anda untuk bergembira, bahkan kadang-kadang membiarkan diri anda menjadi objek keseronokan di tempat kerja.

Akhir kata

Keseronokan penting, lebih-lebih lagi dalam masa kemelesetan. Ia meningkatkan komunikasi, mengembangkan kreativiti, membangun kepercayaan dan persahabatan dalam organisasi, dan memiliki nilai-nilai kesihatan. Ketika orang berseronok, mereka akan bekerja lebih keras, fokus pada organisasi dan mempertahankan ketenangan dalam krisis. Jika organisasi anda telah bersiap sedia melonjak ke aras kejayaan perniagaan yang lebih tinggi, keseronokan mungkin pemangkinnya.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik It Pays To Have Fun At Work

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Kebolehan Diri, Tujuan Diri

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Perkara yang menyeronokkan di tempat kerja

Adakah Anda Mengambil Tahu Apa yang Anda Suka?

Oleh Michelle Gibbings. Semua pekerjaan mempunyai bahagian yang tidak menyeronokkan. Jadi, adakah anda berhenti melakukan perkara yang anda tidak suka lakukan? Itu cadangan yang tidak praktikal dan tidak realistik. Baca tentang pandangan Michelle di sini.

Dec 04, 2022 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest