Terima Kasih, Cikgu, Atas Jasa Dan Baktimu!

May 16, 2017 4 Minit
guru, mengajar, murid-murid, jasa, bakti

Tema Hari Guru 2017 ialah “Guru Pembina Negara Bangsa”. Menurut teks perutusan Hari Guru 2017“tema ini menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan semua warga pendidik dalam usaha untuk melahirkan satu masyarakat yang berkualiti serta generasi berketrampilan yang boleh dicontohi. Warga pendidik seharusnya sentiasa berbangga kerana setiap personaliti atau ikon…. pastinya pernah menerima asuhan daripada kita, iaitu seorang guru yang sinonim dengan panggilan cikgu.”

Sempena Hari Guru ini, saya mengimbas kembali zaman persekolahan saya dan teringatkan dua orang guru — Puan Nahariah Abdul Rahman dan Encik Suparjo @ Mohd Fadhil bin Hassan — yang cukup besar peranan mereka dalam membimbing saya hingga mencapai kejayaan yang tidak terfikir boleh oleh seorang pelajar perempuan dari keluarga kampung yang miskin.

“Atikah, tunggu di English Room lepas habis sekolah esok? Cikgu boleh hantarkan pulang bila habis nanti,” kata Puan Nahariah Abdul Rahman, guru bahasa Inggeris saya dari Tahun 4 hingga Tahun 6 di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 di Kelantan.

Biarpun saya selalu mendapat markah yang tinggi dalam semua subjek, subjek bahasa Inggeris merupakan “subjek pembunuh”.

Maka, saya amat  gembira apabila Cikgu Nahariah sendiri menawarkan masa untuk membuat ulang kaji tambahan dengan saya. Selalu sahaja saya membuat kesilapan dan bertanya soalan yang sama, namun beliau amat bersabar.

Saya sungguh bersyukur sekali apabila akhirnya saya mencapai 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), termasuk gred A dalam bahasa Inggeris! Saya terkedu kerana tidak menyangka hal ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi kerana tiada sesiapa pun dalam keluarga yang mampu berbahasa Inggeris.

Selain mengajar saya bahasa Inggeris, beliau juga mengajar saya nilai ikhlas dan tidak pentingkan diri serta berpegang teguh kepada amanah sebagai seorang pendidik.

Dengan keputusan 5A, saya berjaya ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong di  Hulu Perak. Bagi seorang guru taska yang bergaji RM500 sebulan seperti ibu saya, dan pada masa yang sama perlu menjaga tujuh orang anak seorang diri, kejayaan seorang anak masuk asrama merupakan suatu rahmat.

Terima kasih, Cikgu Nahariah!

Seorang lagi guru yang saya ingat sehingga sekarang ialah Encik Suparjo @ Mohd Fadhil bin Hassan, guru yang menyeliakan kumpulan “home room” saya semasa saya di MRSM Lenggong.

Semasa mengisi butir peribadi dan latar belakang, saya membiarkan kosong bahagian bapa. Apabila disoal oleh Cikgu Suparjo, saya terpaksa mengaku bahawa kami sekeluarga ditinggalkan ayah, dan hanya ibu yang menjaga kami semua.

Mulai hari itu, Cikgu Suparjo seolah-olah memberi perhatian yang lebih kepada saya. Apabila ibu tidak mampu membeli tiket bas untuk saya pulang ke asrama, beliau dan tunangnya, yang juga guru di sekolah asrama tersebut, akan memandu kereta dari Kuala Terengganu ke Pasir Puteh, Kelantan untuk menjemput saya untuk bersama-sama ke asrama di Hulu Perak.

Semasa saya dibuli tiga rakan sekelas, malah dipulaukan rakan setingkatan, semangat saya untuk belajar luntur. Saya mahu keluar dari sekolah. Mujurlah Cikgu Suparjo memberi semangat untuk belajar lebih bersungguh-sungguh dan membuktikan saya mampu berjaya walaupun menghadapi dugaan dan tekanan.

Kerana beliau tidak pernah lelah memberi galakan dan rangsangan, akhirnya saya mencapai kecemerlangan akademik dan berjaya meraih tajaan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Queensland di Australia.

Terima kasih, Cikgu Suparjo!

Kepercayaan yang diberikan oleh Puan Nahariah dan Encik Suparjo memangkinkan saya untuk berusaha dengan lebih gigih. Biarpun mereka mempunyai cabaran sendiri , tetapi mereka tetap bersabar dan teguh menggalas amanah untuk mendidik anak bangsa.

Berikut adalah pembelajaran yang saya perolehi daripada mereka:

1. Bersabar dan berkomunikasi dengan hikmah

Apabila melihat kelakuan anak saya yang betul-betul menguji kesabaran, saya akan teringat kembali guru-guru yang perlu berhadapan dengan bukan seorang, tetapi 40 budak yang pelbagai perangai dan hingar-bingar dalam satu masa!

Maka, saya memujuk diri untuk lebih bersabar dan bertindak dengan penuh hikmah apabila berkomunikasi dengan anak sendiri.

2. Memberi panduan dan bimbingan

Setiap pelajar mempunyai potensi tapi kadang kala sukar untuk pelajar itu menyedari kemampuan diri tanpa bimbingan sesiapa. Ada juga pelajar yang percaya mereka bakal mewarisi kitar kemiskinan. Saya berterima kasih kepada guru-guru yang percaya saya ada peluang untuk melangkau jauh.

Oleh sebab itu, saya sentiasa bersangka baik bahawa setiap individu boleh membina masa hadapan yang lebih baik daripada sebelumnya apabila diberi panduan.

3. Percaya setiap individu ada potensi

Adalah menjadi tugas kita membuka jalan dan pandangan kanak-kanak dan pelajar yang kurang bernasib baik untuk menggilap bakat dan kebolehan mereka.

Kita harus berbuat demikian dengan harapan mereka bakal mengubah hidup dan membantu ahli keluarga dan masyarakat sekeliling yang memerlukan. Tidak semua ada kelebihan dari segi akademik. Ada yang lebih berkemahiran dalam seni, mekanik ataupun muzik.

Percayalah, peluang sentiasa ada bagi yang berusaha!

Kata-kata akhir

Buat guru-guru, kamulah nadi yang mencorak anak bangsa dalam membentuk tonggak generasi masa hadapan.

Terima kasih, cikgu-cikgu. Selamat Hari Guru saya ucapkan!

 

Nur Atikah Halim kini sedang mengikuti program Sarjana Sastera dalam Pengajian Penterjemahan di Universiti Sains Malaysia (kampus Kuala Lumpur) dan pada masa sama menjaga dua orang anak kecil.Leaderonomics mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik! Kongsikan pengalaman anda di kotak komen di bawah. Kami berminat untuk mendengar cerita anda. Anda juga boleh menghantar e-mel ke editor@leaderonomics.com

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Sudut Pakar, Nilai Murni

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Tangan

Adakah Bantuan Anda, Membantu?

Oleh Michelle Gibbings. Membantu orang lain membuat anda berasa baik. Sementara itu, bentuk dan cara membantu yang diambil perlu dipertimbangkan.

Mar 19, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest