Nak Tonjolkan Diri? Dengar Dan Tindak Atas Nasihat Bijak

Oleh Roshan Thiran|30-05-2018 | 4 Minit

Saya suka membaca artikel dan nasihat tentang cara untuk berjaya. Tetapi, bagaimanakah saya boleh menonjol memandangkan semua orang pun mengikut nasihat yang sama?

Inilah mesej yang saya terima baru-baru ini. 

Sebagai seorang yang suka membantu orang lain mencapai cita-cita mereka, saya berharap respons saya akan memberi inspirasi kepada semua orang untuk membuat apa sahaja yang termampu untuk mencipta kisah kejayaan yang menakjubkan.

Respons saya kepada mesej itu berbunyi seperti berikut:

“… Semua orang mengangguk-angguk kepada segala nasihat yang diberi. Semua orang berfikir bahawa apa-apa sahaja yang dibaca dalam talian adalah hebat dan mereka patut ‘memberi nafas kepada idea itu dengan cepat.’

“Tetapi tidak ramai yang bertindak secara konsisten dengan kemahuan yang disengajakan untuk menjadi lebih baik daripada semalam, dan terus membina atas kemajuan yang telah dicapai.

“Untuk menonjol, anda hanya perlu bertungkus lumus bekerja untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah anda tetapkan.

“Bak kata pepatah, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’

“Nak menonjol bukannya susah… anda cuma perlu komited untuk mengambil lebih banyak langkah ke depan berbanding yang sanggup dilakukan kebanyakan orang lain.”
 

Penyajak Amerika Ralph Waldo Emerson berkata,

“Satu-satunya orang yang anda ditakdirkan untuk menjadi adalah orang yang anda putuskan untuk menjadi.”

Selalunya, apabila saya berbual dengan anak-anak muda dan mereka bertanya kepada saya cara untuk menonjol, berjaya, mengambil jalan hidup sendiri, dan mengejar impian, saya dapat rasakan yang mereka mencari formula ajaib. 

Ia tidak semudah itu.
 

Kata-kata nasihat

Nasihat terbaik yang boleh diberi adalah anda harus sedar yang anda bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kehidupan anda sendiri serta hala tuju yang diambil.

Ini bermakna apa sahaja cita-cita yang anda impikan boleh dicapai, selagi anda sanggup bekerja keras, memberi komitmen, masa dan dedikasi untuk tiba ke destinasi yang diingini.

Nasihat berikutnya datang dengan kaveat. Sesetengah orang mempunyai kekangan hidup tertentu yang tidak memungkinkan mereka membuat pilihan yang diinginkan.  

Secara teknikalnya, kata-kata ‘semuanya adalah pilihan’ adalah benar, tetapi buat sesetengah orang, jelas sekali bahawa keupayaan untuk membuat pilihan hidup adalah lebih sukar.

Dengan itu, saya ingin memberi sepotong nasihat berikut kepada mereka yang lebih bernasib baik untuk mencorak hala tuju hidup mereka. Anda akan berjaya lebih cepat jika anda berhenti memberi alasan.

1. Membaca untuk memimpin

Ini benar, terutamanya apabila kita bercakap tentang membaca (cara yang berkesan untuk memaksimumkan potensi anda)

Orang ramai sering memberitahu saya yang mereka tidak mempunyai masa untuk membaca.

Selalunya, saya akan bertanya jika pekerjaan mereka lebih sukar daripada kerja yang ditanggung oleh Presiden Amerika Syarikat.

Apabila mereka berkata ‘tidak’, saya berkongsi bagaimana mantan Presiden George W. Bush bersaing dengan Timbalan Ketua Staf Karl Christian Rove, untuk melihat siapa yang membaca lebih banyak buku dalam setahun (ketika itu, Bush adalah Presiden Amerika). 

Pada akhir cabaran, Bush telah membaca 95 buah buku berbanding 110 oleh Rove. Ini bermakna beliau, seorang Presiden, telah meluangkan masa membaca lebih kurang dua buah buku setiap minggu. 
 

Berkaitan: Membaca Membuka Minda Kepada Khazanah Tak Ternilai

2. Sebab lawan alasan

Untuk menonjol, anda harus bekerja kuat. Bagi kebanyakan orang, nasihat ini tidak menyenangkan. 

Tidak ramai orang mempunyai kesabaran, nyala rasa, ketabahan dan etika kerja untuk mencapai impian mereka. Bermimpi itu enak dan mudah; hendak merealisasikannya pula perkara lain belaka.

Alasan-alasan inilah yang selalu membantutkan impian kita. Penting untuk kita ingat bahawa ‘alasan’ berbeza daripada ‘sebab’.

Jika anda tidak boleh memulakan perniagaan kerana anda penjaga sepenuh masa kepada saudara tua, itu adalah sebab — ia titik terakhir

Jika ia alasan, ia berbunyi begini, “Saya tidak boleh memulakan perniagaan kerana saya tidak mempunyai cukup wang.”

Alasan-alasan adalah perisai yang kita gunakan untuk mengelak daripada kemungkinan kegagalan.

Berkaitan: Berhenti Memberi Alasan Dan Mulakan Dengan Langkah Pertama

3. Kebisingan atau nasihat yang bijak?

Kita boleh mengikut nasihat yang salah yang mungkin berniat baik tetapi tidak sesuai untuk kita, atau ia hanya untuk memperdaya. Jangan salah faham. Kita harus sentiasa mengambil kira pandangan orang lain melainkan ia nasihat yang terang-terang teruk.

Walau bagaimanapun, kita patut belajar dengan cepat untuk membezakan nasihat yang baik daripada yang mengekang kita daripada mencapai potensi.

Penulis British George Monbiot mempunyai nasihat yang sangat baik tentang bagaimana untuk mempunyai kelebihan dan menonjolkan diri.

Walaupun dia memfokuskan kepada bidang kewartawanan, namun nasihat yang diberi boleh disesuaikan dengan mana-mana bidang atau profesion.

Dia menulis:

“… Anda disuruh untuk mengembara, dalam kata lain, menuju arah yang bertentangan daripada yang ingin diambil…

“Para penasihat mengatakan, laluan kerjaya seperti ini adalah penting jika anda tidak mahu ‘terjerat’ dengan pengkhususan; maknanya jika anda ingin menjadi cukup fleksibel untuk memberikan respons kepada tuntutan-tuntutan yang berubah dalam pasaran penggajian.

“Tetapi sebenarnya dengan mengikut jalan yang disarankan, anda menjadi pengkhusus; pengkhusus mengitar semula apa yang dianggap sebagai berita oleh golongan kaya-raya dan berkuasa. Dan selepas beberapa tahun sebegitu, anda bagaikan tidak berguna lagi.”

Apa yang kita boleh lihat daripada kata-kata Monbiot adalah bahawa kebanyakan orang diberi nasihat yang sama, dan kebanyakan menurutinya atas dua sebab:

  • Ia datang daripada mereka yang berkuasa (yang pakar pun boleh tersilap)
  • Ia lebih senang untuk mengikuti  apa yang orang lain suruh anda lakukan daripada menelusuri jalan yang dipilih sendiri.

Boleh dikatakan semua orang mengikuti nasihat yang sama — nasihat yang selamat. Itu sebabnya tidak ramai yang menonjol. 

Tidak ramai orang mengikut nasihat yang betul-betul membuat mereka rasa bernyawa, yang benar-benar seiring dengan apa yang mereka ingin lakukan.

Masalahnya, walaupun nasihat itu baik, ia memerlukan dedikasi dan kerja keras untuk mengaut hasilnya, jadi tidak ramai yang ikut.

Tanyakan diri soalan-soalan ini:

  • Anda ingin menjadi siapa?
  • Kehidupan bagaimanakah yang anda ingin layari?
     

Dengan mengambil masa memikirkan soalan-soalan ini, saya berharap anda akan menemu inspirasi dan keberanian untuk membuat apa yang 90% daripada orang lain gagal lakukan.

Akhir kata

Entah ada gunanya atau tidak, berikut adalah lima cadangan bagaimana untuk menonjol berbanding orang lain.

  • Sentiasa memberi lebih daripada yang diberi kepada anda.
  • Memberi tanpa syarat: ia bukannya pemberian jika ia datang dengan jangkaan.
  • Lihat di luar bidang minat anda yang spesifik untuk pengajaran yang betul-betul berharga yang akan membantu anda berkembang.
  • Belajar untuk mencintai proses nyala rasa anda dan bekerja kuat ke arahnya. Kejayaan selalu bergantung kepada banyaknya usaha yang dilaburkan sepanjang jalan. Curahkan segala-galanya.
  • Cari masa untuk membaca. Mari mulakan cabaran untuk melihat siapa yang boleh membaca paling banyak buku dalam setahun!

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Have You Been Listening To Sound Advice, Or Just Noise?

 

Sila Kongsi

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.