Dah Selesai Peperiksaan, Nak Buat Apa Sekarang?

Dec 06, 2017 1 Minit
pelajar, latihan, masa

Sekiranya anda baru selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahniah! Anda sudah sampai ke satu lagi detik penting dalam kembara hidup anda.

Keputusan yang keluar nanti cuma bayangan usaha yang anda curahkan terhadap peperiksaan itu. Sekeping kertas yang tercetak dengan beberapa perkataan tidak semestinya mendefinisikan potensi, kecerdasan dan masa hadapan anda dalam apa cara sekali pun.

Berhenti seketika. Pejam mata anda. Dapatkah anda bayangkan di mana anda akan berada selepas ini?

Keputusan yang akan anda buat seterusnya berpotensi mengubah haluan hidup anda, biar ke yang lebih cerah ataupun yang lebih malap.

Berkaitan: Cabaran Hidup Selepas SPM

Ryan Duncan, pelajar tahun kedua di Universiti Harvard berkata, “Sepanjang persekolahan saya, si gurulah yang berdiri di hadapan dan bercakap manakala pelajar-pelajar pula mengambil nota dan cuba menyerap informasi yang dikongsikan sebaik mungkin.”

Dia mendakwa pendekatan praktikal di Harvard memberi nafas baharu kepada cara pembelajarannya.

Adakah anda mengangguk bersetuju? Ini bermakna anda juga lebih sukakan pendekatan praktikal.  

Cara belajar yang baharu

Latihan amali (internship) adalah pilihan ideal untuk seseorang yang kurang pasti tentang bidang yang hendak diceburi tetapi mahu melangkah ke dunia kerja tanpa kerenah.

Kaji selidik yang dianjurkan oleh sekolah dan organisasi membuktikan bahawa mereka yang berjaya menjalankan latihan amali mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan yang baik kelak.

Syarikat-syarikat juga berminat untuk menawarkan pekerjaan kepada pelajar yang sebelum ini menjalankan latihan amali dengan mereka.

Menurut Internships.com, ternyata latihan internship mungkin cara yang paling mudah untuk mendapat pekerjaan sepenuh masa, memandangkan 69 peratus syarikat dengan 100 atau lebih pekerja menawarkan pekerjaan sepenuh masa kepada pelatih mereka.

Ketua Pegawai Pemasaran Internships.com, Stuart Lander, berkata seseorang yang menjalankan latihan amali dengan sesebuah syarikat mempunyai 70% peluang untuk diambil bekerja oleh syarikat tersebut.

Mengikut kaji selidik tahunan yang dijalankan oleh Persatuan Kolej dan Majikan Kebangsaan, 95 peratus majikan mengatakan bahawa pengalaman kerja calon adalah faktor penting dalam membuat keputusan pengambilan kerja.

Kajian yang dijalankan oleh Politeknik Ngee Ann Singapura tidak berapa lama dahulu mendedahkan bahawa 93 peratus pelajar mereka mengatakan bahawa latihan amali mempengaruhi keputusan kerjaya mereka.

Sebelum menjalankan latihan amali, 32 peratus berkata mereka kurang pasti mengenai rancangan pasca graduasi. Angka itu jatuh kepada 18 peratus selepas latihan amali mereka.

Bekas pelajar berusia 21 tahun, Heng Pei Ling, menerima tawaran kerja sebelum tamat pengajian, terima kasih kepada latihan amali selama lima bulan di Wine Connection, rantaian runcit makanan dan minuman. Dia berkata latihan amali itu amat bernilai dalam membantunya mengamalkan apa yang dipelajari di sekolah.

Hubungan industri

Lebih-lebih lagi, latihan amali membolehkan anda menjalin hubungan industri yang menjadi penting untuk mendapat kerja yang sesuai apabila tamat pengajian.

Ingat pepatah lama, “Bukan apa yang anda ketahui, tetapi siapa yang anda tahu.” 

Berkaitan: Menulis CV Yang Hebat

Dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif hari ini,  apa dan siapa yang anda ketahuilah  yang sering membuat perbezaan besar. Oleh itu, latihan amali adalah cara yang baik untuk menangani kedua-dua isu tersebut pada masa yang sama.

Gregg Carnaffan, Pengurus Perekrutan Bakat Baru dan Eksekutif di syarikat perbankan antarabangsa HSBC mengulas, “Latihan amali atau pengalaman kerja adalah suatu kelebihan.

“Majikan mencari calon pelajar yang berupaya menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka ada untuk menyelesaikan masalah atau meningkatkan prestasi.”

“Apabila majikan mencari calon pekerja dari kolej, bukti menunjukkan bahawa kemahiran akademik bukan fokus utama mereka,” kata Peter Cappelli, seorang profesor di Universiti Wharton di Pennysylvania.

“Pengalaman kerja adalah ciri penting yang dikehendaki majikan walaupun untuk pelajar yang masih belum bekerja sepenuh masa,” katanya.

Laporan seperti Penyiasatan Majikan QS Global juga menunjukkan bahawa majoriti majikan menitikberatkan pengalaman kerja ketika menilai pemohon. Latihan amali yang anda jalankan akan memberikan anda lebih keutamaan apabila majikan terpaksa memilih dari kalangan yang mirip kelayakan dan/atau pandangan.

Latihan amali pembuka mata 

Pendedahan kepada latihan amali memang cara untuk maju. Peluang-peluang ini membolehkan pelajar muda berumur 17 tahun yang tamat peperiksaan SPM untuk melanjutkan minat mereka dalam sektor yang paling mereka minati. 

Selain itu, majikan juga dapat melihat perwatakan dan aksi pelatih itu dalam menjalankan tugasnya pada setiap hari.

Adakah pelatih datang ke pejabat mengikut waktu yang ditetapkan? Adakah pelatih berminat dalam operasi harian?

Adakah pelatih menunjukkan kemahiran dalam menjalankan tugasnya dan cepat mempelajari pelbagai tugasan baharu dengan mudah?

Adakah pelatih menunjukkan inisiatif untuk membuat tugas melebihi batas skop kerjanya? Adakah pelatih seorang yang bertenaga positif?

Ini dan banyak soalan lain mudah dijawab apabila pelatih melakukan latihan amali. Etika dan ketekunan kerja yang mengagumkan mungkin mampu mengotakan impian anda!

Akhir kata

Sudah tentu tidak sukar untuk memahami mengapa golongan remaja ini agak payah membuat keputusan tentang pilihan kerjaya mereka. Mereka berhadapan dengan terlalu banyak pilihan tetapi kurang mendapat sokongan untuk membantu mereka membuat keputusan.

Latihan amali memberikan mereka peluang untuk mengalami situasi sebenar bidang yang ingin diceburi. 

Steve Jobs berkata bahawa latihan amali dengan Hewlett-Packard adalah pengalaman terbaik baginya. Beliau berkata, “Apabila saya berusia 12 atau 13 tahun, saya ingin membina sesuatu dan memerlukan beberapa bahagian peralatan tertentu. Jadi, saya pun menelefon Bill Hewlett, pengasas bersama Hewlett-Packard. Namanya tersenarai dalam buku telefon Palo Alto.

“Beliau menjawab panggilan telefon saya dan benar-benar peramah. Kami berbicara selama lebih kurang 20 minit. Beliau tidak mengenali saya sama sekali, tetapi beliau akhirnya memberikan saya beberapa bahagian peralatan yang saya kehendaki. Beliau juga mengambil saya bekerja di kilang Hewlett-Packard semasa cuti sekolah. Tugas saya ialah  memasang kaunter frekuensi. Sebenarnya bukan memasang tetapi cuma memasukkan skru. Itu tidak penting. Saya seolah-olah di syurga.”

 

Alpa Shah ialah pengarah Future Leaders Internship Program (FLIP). Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik I’m Done With High School… Now What?

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Digital

Pasaran Digital dan Kepimpinan dan Pembangunan – Kebolehcapaian (Bahagian 1)

Oleh Arun Nagarajah. Temui arah aliran masa depan dalam kepimpinan digital dan pasaran pembangunan: peningkatan pendedahan jenama, saluran pemasaran yang dipertingkatkan dan kuasa bukti sosial. Manfaatkan potensi untuk berskala, penyesuaian dan impak seluruh industri.

May 22, 2023 5 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest