Bukit Kepong: Mengenang Pengorbanan Wira-wira Yang Gugur

Aug 23, 2017 1 Minit
Tugu Kebangsaan
Pengajaran Yang Boleh Diambil

Dalam kita membangun selama 60 tahun sebagai sebuah negara yang merdeka, generasi pascaMerdeka sering kali tidak merenung perjuangan yang dilalui oleh nenek moyang kita untuk memperoleh kemerdekaan.

Sebagai contoh, jika kita selami luahan golongan yang hidup dalam era pemberontakan komunis, akan terdapat coretan kisah jerih-payah, keberanian dan ketahanan mereka dalam menjalani hidup sebelum kemerdekaan.

Sewaktu kecil dahulu, saya menonton cerita Bukit Kepong, filem patriotik yang diterbitkan pada tahun 1981 dan yang diarahkan oleh Jins Shamsuddin.  Ia adalah antara filem yang masih lekat dalam ingatan.

Bagi sesiapa yang tidak tahu, filem ini adalah berdasarkan pemerian sejarah serangan gerila komunis terhadap stesen polis Bukit Kepong  pada 23 Februari 1950.

Para komunis memandang rendah akan semangat juang pasukan polis, dan menganggap mereka boleh merampas kawalan stesen itu dalam masa singkat. Walaupun harapan begitu tipis tetapi wira-wira kita dengan gagah berani bertarung selama lima jam sebelum kubu yang diperbuat daripada kayu itu dibakar oleh komunis.

Sempena minggu Kemerdekaan, saya menonton semula filem ini untuk mendapatkan beberapa pengajaran yang tak lapuk dek zaman. Maka, pengajaran yang digarap adalah berdasarkan filem ini, bukannya dari tragedi sebenar yang menimpa Bukit Kepong.

#1. Kerjasama: Berkomunikasi secara terbuka

Dalam filem ini, kita melihat bagaimana pasukan polis pimpinan Sarjan Jamil Mohd Shah, polis laut (marin), penduduk kampung dan wakil British duduk berbincang tentang kelemahan kawasan masing-masing. Kawasan mereka, yang terletak di  tebing sungai Muar, senang didatangi melalui bot, dikelilingi hutan belantara, dan mudah menjadi tempat persembunyian bagi komunis.

Berikutan perbincangan itu, penduduk kampung yang berdekatan turut menjalani latihan artileri untuk menjadi polis bantuan (AP) dalam usaha menangani ancaman komunis. Mereka sentiasa berjaga-jaga serta memasang mata dan telinga untuk anggota polis Bukit Kepong.

Mereka juga mewujudkan sistem amaran dengan menugaskan seorang penduduk kampung untuk memukul gendang sementara tanpa henti jika terdapat ancaman sebagai memberi amaran kepada orang lain dan menggerakkan penduduk kampung untuk menentang komunis.

Pengajaran yang boleh diambil:

Kita boleh menyiapkan diri untuk berhadapan dengan tugas yang mencabar dengan lebih baik jika kita mengenal pasti kekurangan diri. Kita harus mengutarakan masalah yang ada dan berbincang dengan pihak berkepentingan tentang cara untuk menanganinya bersama-sama demi kebaikan bersama.

Dengan itu, pemimpin daripada semua pihak perlu menggunakan setiap kesempatan untuk mendengar keluhan rakyat dan tenaga kerja, dan mencari jalan penyelesaian secara matang.

#2. Ketelitian: Percaya pada gerak hati

Dalam filem ini, kita melihat adegan-adegan beberapa orang AP memasuki kawasan tersebut bagi memastikan tiada proksi komunis yang menyelinap.

Terdapat satu adegan yang menunjukkan dua orang pengintip mengunjungi balai polis pada lewat petang dengan alasan membuat laporan kanak-kanak yang terjatuh dalam telaga dan perlu diselamatkan dengan segera.

Kita perlu memuji polis yang mengambil laporan tersebut atas sikap berjaga-jaganya. Dia begitu prihatin melihat gerak-geri pengintip seorang lagi yang nampak mencurigakan, kerana matanya merayau-rayau memerhatikan keadaan sekeliling stesen polis itu.

Polis itu percaya pada gerak hatinya bahawa dua lelaki (pengintip) itu berniat tidak baik, serta menasihati Sarjan Jamil untuk tidak menghiraukan permintaan mereka.

Pengajaran yang boleh diambil:

Apabila melihat pada keselamatan negara dan sempadan, rakyat dan pihak berkuasa perlulah sentiasa berjaga-jaga untuk menangkis penularan pengaruh dan ideologi asing yang boleh menjejaskan negara.  

Sebagai contoh, kita sebagai rakyat bertanggungjawab untuk memaklumkan pihak berkuasa sekiranya kita mengesyaki ada aktiviti meragukan di premis yang sentiasa tertutup di kelilingi pagar yang tinggi, namun ada kenderaan bercermin gelap yang sentiasa keluar masuk dari tempat itu.   

Apabila melibatkan pusat pemeriksaan dan imigresen, pihak berkuasa tidak boleh menutup sebelah mata apabila berlakunya pendedahan salah guna kuasa, sikap acuh tak acuh dan insiden yang melibatkan penyeludupan komoditi dan manusia.

#3. Keberanian: Menyerah kalah bukanlah pilihan

Komunis Muhammad Indera membuat beberapa panggilan arahan kepada pegawai polis Bukit Kepong untuk mengangkat bendera putih sebagai tanda menyerah. Tetapi kita tahu dalam mempertahankan tanah air tercinta daripada musuh, kita patut lebih sanggup mati bermaruah dengan melawan balik.

Dalam filem ini, kita turut melihat Mariam, isteri seorang polis laut yang telah kehilangan nyawa, bangkit memikul senjata untuk terus menentang pihak komunis.

Dalam situasi sebegini, tindakan menyerah kalah adalah konotasi kita melepaskan hak kepada pihak lawan. Ini seakan-akan memberi laluan mudah kepada mereka untuk terus mengambil alih benda kepunyaan kita.

Pengajaran yang boleh diambil:

Berhubung isu nasional, kita memerlukan keberanian untuk tidak sewenang-wenangnya tunduk apabila berhadapan dengan ancaman yang ditimbulkan oleh pegawai atasan yang korup.

Walaupun selalunya payah untuk kita berjuang atas kebenaran, tetapi kita perlu berganding bahu dan tidak gentar mempertahankan kebenaran dan keadilan.

#4. Tidak pentingkan diri: Selalu periksa orang di sekeliling anda

Melalui cerita Bukit Kepong, kita melihat Sarjan Jamil mempertaruhkan nyawanya untuk memeriksa saki-baki orang yang masih hidup di berek polis itu. Kebanyakan polis laut telah gugur tetapi dia tetap mengumpulkan balu-balu polis untuk sama-sama menenangkan diri dan memerhatikan keadaan masing-masing.

Pengajaran yang boleh diambil:

Apabila pemimpin hebat yang bersifat empati maju ke depan, mereka akan sentiasa menoleh ke belakang untuk memeriksa keadaan semasa pengikut. Mereka akan memastikan pengikut mereka dalam keadaan baik dan tidak tertinggal ke belakang sendirian.

Akhir kata 

Banyak sekali pengajaran yang dapat kita peroleh daripada filem ini. Banyak lagi pengajaran yang boleh dikutip daripada cerita, karakter dan orang-orang di sebalik filem ini yang tidak sempat saya rangkumkan.

Saya mencadangkan anda menonton filem Bukit Kepong dari kaca mata seorang rakyat Malaysia, bukannya sebagai seorang dengan latar belakang kaum yang berbeza.

Hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai ancaman dari luaran mahupun dalaman. Selain puak pelampau dan pengganas, rasuah mungkin merupakan cabaran paling besar yang perlu kita tempuhi.

Walaupun kita diselubungi kebimbangan akan nasib masa hadapan negara, saya berharap cinta anda pada negara ini tidak akan pernah padam. Negara kita Malaysia masih ada bibit-bibit harapan untuk semakin pulih dan semakin maju.

Selamat Hari Kemerdekaan! 

 

Lim Lay Hsuan ialah kurator kandungan untuk Leaderonomics.com. Beliau berbesar hati sekiranya anda berkongsi komen dan pengajaran tambahan yang diperoleh dari menonton filem Bukit Kepong ini. Anda boleh menghubunginya melalui editor@leaderonomics.com. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Bukit Kepong: Remembering The Sacrifices Of Our Fallen Heroes

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Media sosial, kerjaya

Media Sosial Membantu atau Merumitkan Kerjaya Anda?

Oleh Michelle Gibbings. Media sosial boleh mempercepat dan meningkatkan kerjaya anda apabila anda menggunakannya dengan bijak. Baca di sini bagaimana anda boleh membuatnya untuk anda.

Nov 11, 2022 5 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest