5 Soalan yang Akan Ditanya oleh Steve Jobs Tentang Idea Anda

imej oleh @Gulom Nazarov dari unsplash
Adakah dia akan mengangguk?
Atau terus mengkritik habis-habisan?
Atau keluar tanpa sepatah kata?
Jobs bukan sekadar genius produk. Dia adalah pengesan omong kosong. Penentu citarasa. Pakar menapis kekeliruan dan memfokus hanya pada perkara yang penting. Dia tidak cukup dengan idea baharu — dia mahukan sesuatu yang pasti berlaku.
Jadi, jika anda ingin tahu sama ada idea anda cukup kuat untuk mengubah industri, syarikat, atau mungkin dunia... cuba tanya 5 soalan ini.
5 Soalan Tajam yang Akan Ditanya oleh Steve Jobs Tentang Idea Anda
1. "Kenapa idea ini masih relevan dalam 10 tahun akan datang?"
Jobs tidak kejar trend. Dia abaikan semua itu.
Beliau obses dengan nilai yang kekal.
Jika idea anda hanya berdasarkan hype, dia akan kesan dalam masa beberapa saat. Jika idea itu tak boleh bertahan tanpa istilah popular semasa atau gimik sementara — ia sudah pun gagal.
Tanya diri anda:
- Adakah anda sedang menyelesaikan keperluan manusia yang mendalam? Atau hanya ikut aliran semasa?
- Jika idea ini dilancarkan 10 tahun lalu, adakah ia masih masuk akal?
- Jika ia dilancarkan 10 tahun dari sekarang, adakah ia masih penting?
Jika tidak — mula semula.
2. "Di mana detik 'aha' itu?"
Jobs sukakan kesederhanaan. Kejelasan. Detik di mana semuanya klik.
Jika idea anda perlukan 10 slaid untuk difahami... ia belum bersedia.
Dia akan cabar anda:
- Apa satu ayat yang buat orang terus kata, “Whoa. Bijaknya.”
- Bolehkan budak umur 10 tahun faham?
- Bolehkan pelabur skeptikal rasa impaknya?
Kalau anda tak boleh tunjukkan keajaiban dengan cepat — mungkin tiada keajaiban pun.
3. "Apa yang anda sanggup tolak?"
Inovasi bukan tentang buat lebih. Tapi buat kurang, dengan lebih cemerlang.
Jobs pernah kurangkan produk Apple daripada berdozen kepada hanya empat. Dia tak tambah ciri — dia buang semua yang tak penting, hingga tinggal yang paling bernilai.
Idea hebat perlu datang dengan senarai 'buang':
- Apa yang anda TIDAK akan bina?
- Siapa yang anda abaikan?
- Ciri apa yang anda korbankan demi keunggulan satu perkara?
Berkata “tidak” itu sukar. Tapi di situlah lahirnya lagenda.
4. "Kenapa idea ini layak wujud?"
Bukan “boleh wujud” atau “boleh laku”.
Tapi — layakkah ia berada di dunia ini?
Jobs mahukan produk yang membawa kegembiraan. Yang ada jiwa. Yang memberi makna.
Itulah sebabnya dia obses dengan perkara kecil yang CEO lain anggap remeh:
- Bunyi permulaan sistem
- Lengkung sudut peranti
- Rasa kotak pembungkusan
Tanya diri anda:
- Apa yang menjadikan idea ini lebih daripada sekadar pelan jana wang?
- Adakah ia akan menjadikan hari seseorang lebih baik?
- Adakah dunia akan rugi jika idea ini tiada?
Kalau jawapannya tidak — kenapa anda buat semua ini?
5. "Adakah ini hasil terbaik anda?"
Jobs dorong orang ke tahap obses.
Bagi dia, idea hebat bukan datang dari sikap “cukup bagus”. Tapi daripada ketekunan melicinkan setiap sudut kasar.
Dia akan tanya:
- Di mana anda ambil jalan pintas?
- Bahagian mana yang masih buat anda rasa tak selesa?
- Jika ini jadi legasi anda — cukup baikkah ia?
Soalan itu menyakitkan. Tapi itulah yang ubah idea biasa menjadi ikonik.
Kesimpulan Saya...
Kebanyakan idea bukan mati sebab ia buruk. Tapi sebab tiada siapa cabar ia untuk jadi hebat.
Jadi, lain kali anda nak bentang sesuatu — pada klien, pasukan, atau diri sendiri — berhenti dan tanya:
“Apa agaknya yang akan dikatakan oleh Steve Jobs?”
Kepimpinan
Anthony J. James ialah Ketua Pegawai Eksekutif bagi Inovasi & Pertumbuhan di Trinity Consulting, sebuah agensi global dalam strategi pemasaran, inovasi dan transformasi perniagaan. Beliau bekerjasama dengan jenama-jenama yang ingin meningkatkan hasil pendapatan dan penguasaan pasaran di peringkat antarabangsa.
Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam inovasi digital, Anthony pernah berkhidmat di pelbagai agensi pemasaran, syarikat teknologi, syarikat pemula (start-up), serta firma perunding pengurusan terkemuka—membantu organisasi menghadapi perubahan dan membuka potensi pertumbuhan melalui transformasi strategik.