Malaysia Menerajui Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan

Sep 25, 2017 5 Minit
Sherene Azli
Malaysia Dikenali Sebagai Negara Yang Menawarkan Penjagaan Kesihatan Yang Bertahap Tinggi.

Jika diajukan soalan berkenaan negara mana yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang terbaik di dunia, biasanya jawapan yang diberikan adalah Jerman, Britain, Amerika Syarikat, Dubai, Korea Selatan, Singapura, Australia, malah Thailand dan Jordan.

Namun, negara yang dinobatkan sebagai terbaik di dunia bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2015 oleh Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa (International Medical Travel Journal, IMTJ) ialah Malaysia. Ia kini dikenali di serata dunia sebagai negara yang menawarkan penjagaan kesihatan yang bertahap tinggi.

Dari segi penjagaan kesihatan berkualiti, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang mempunyai Sistem Penjagaan Kesihatan Terbaik Di Dunia dari 2015 ke 2017 oleh Indeks Persaraan Global Tahunan kelolaan majalah International Living.

Pemilihan Malaysia

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) Sherene Azli, beliau sebenarnya terkejut dengan pengiktirafan yang diterima daripada IMTJ pada julung-julung kalinya.

“Bila saya mula bekerja di sini pada awal 2015, saya betul-betul tidak tahu di mana kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa, jadi tumpuan utama saya adalah membina kesedaran,” katanya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa jangkaan memandangkan kami sering disogokkan dengan berita yang mengatakan negara-negara lain di rantau ini yang sering menjadi destinasi pilihan.

“Saya masih ingat bila nama kami disebut sebagai pemenang, telefon bimbit yang saya pegang ketika itu terlepas daripada genggaman kerana saya terlalu terkejut. Semuanya bagaikan berlaku dalam gerakan perlahan.”

Panel hakim yang dihormati meneliti kriteria seperti kualiti, kebolehcapaian dan kemampuan dalam pemilihan pemenang.

Antara ciri-ciri yang membuatkan Malaysia semakin dikenali di peringkat antarabangsa adalah kadar bayaran yang lebih rendah sehingga 80% daripada yang dikenakan di Amerika Syarikat tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, waktu menunggu yang singkat dan kemudahan ke semua hab pengangkutan utama.

Persepsi tentang Malaysia sebagai destinasi pilihan berubah sekelip mata apabila para hadirin mendapat tahu mengenai kebangkitan Malaysia dalam kategori tersebut.

“Saya masih ingat pengumuman itu dibuat ketika persidangan dua hari IMTJ di London,” kata Sherene.

“Pada hari pertama, hampir kesemua penceramah bercakap mengenai Thailand, Singapura, Dubai, Jordan, Korea Selatan dan Eropah. Pada waktu malamnya, majlis penganugerahan itu diadakan.

“Pada hari kedua, semua orang hanya bercakap mengenai Malaysia. Persepsi mengenai Malaysia berubah sekelip mata!”

Tanda aras kecemerlangan yang tinggi

IMTJ adalah standard industri untuk kecemerlangan dalam bidang berkenaan, dan pengiktirafan ‘terbaik di dunia’ yang amat berprestij itu telah menjadi pemangkin kepada industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia.

Malaysia terus mengungguli anugerah itu untuk dua tahun berikutnya dan terus membuktikan mengapa sistem penjagaan kesihatannya begitu terkenal.

“Kami telah meletakkan tanda aras yang sebegitu tinggi sekarang dan ia menjadi lebih sukar untuk kekal sebagai nombor satu berbanding sebelumnya. Jadi, kami kini lebih fokus untuk membina kesedaran dan memajukan lagi sistem kami,” kata Sherene.

“Diiktiraf oleh organisasi yang berwibawa dan bereputasi baik seperti ini telah membantu membuka mata masyarakat terhadap kerja yang kami lakukan.”

Majlis ini ditubuhkan pada tahun 2011 dengan tumpuan mencapai visi menjadikan “Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan antarabangsa terulung”. Segelintir sahaja yang dapat meramal yang mereka akan mendapat pengiktirafan seperti ini dalam masa singkat.

Hak cipta GeoSpatial

Pesakit didahulukan

KPE yang bercita-cita tinggi ini mempunyai perancangan yang besar untuk masa hadapan MHTC dan dalam masa yang sama terus menumpukan fokus pada penyediaan perkhidmatan terbaik untuk pesakit dari luar negara.

Ini semua sebahagian daripada inisiatif perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh terkemuka MHTC, di mana pesakit diberi keselesaan dan kemudahan bermula dari negara asalnya lagi.

Perkhidmatan hujung ke hujung

Seperti diterangkan oleh Sherene: “Kami telah mula menanti ketibaan pesakit di jejantas udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Kami juga mempunyai perkhidmatan rencam dan ruang istirehat untuk keperluan ini.

“Sebelum mereka memulakan perjalanan, mereka boleh berhubung dengan Pusat Panggilan kami yang akan memenuhi keperluan mereka sewajarnya.

“Kami akan menunggu mereka di jejantas udara, menemani mereka melalui kaunter pasport dan kastam dan menempatkan mereka di ruang menunggu sebelum kenderaan yang akan membawa mereka ke hospital atau hotel tiba. Ini memastikan proses itu berjalan tanpa henti.

“Apabila mereka pulang ke negara asal, mereka akan tetap mendapat akses kepada kemudahan ini, jadi proses hujung ke hujung menjadi mudah. Pesakit yang tidak sihat mesti dijaga dari saat mereka tiba, jadi inilah sebab kami memudahkan semua perkara.

“Kami membantu menyediakan hubungan antara perkhidmatan kami di sini dengan para doktor di negara asal mereka supaya mereka mendapat perkhidmatan pascarawatan yang terbaik.”

Mengambil pendekatan “perkhidmatan pelanggan” kepada penjagaan pesakit, MHTC mengutamakan keperluan pesakit berbanding perkara lain.

MHTC, kata Sherene, adalah agensi di bawah Kementerian Kesihatan yang memfokuskan kepada penjagaan kesihatan. “ Dengan cara ini, kami mengutamakan penjagaan perubatan dan dapat menyelaraskan kadar bayaran,” katanya,

Peka terhadap budaya dan keperluan pesakit

Seperti juga pembekal perkhidmatan “pelanggan” yang lain, MHTC sedar tentang keperluan memenuhi keperluan pesakit yang berbilang bangsa. Penekanan kepada sensitiviti budaya dan pemahaman tentang keperluan setiap pesakit secara individu adalah asas kepada pembentukan masa depan MHTC.

“Kami harus peka terhadap budaya dan keperluan pesakit dari negara lain,” komen Sherene.

“Tidak guna kami menghantar seseorang dari negara Timur Tengah ke hospital yang tidak mempunyai pilihan makanan halal atau penterjemah bahasa Arab.”

Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran bagi Sherene dan pasukannya di MHTC dalam mengenali perkara baharu mengenai warganegara dari pelbagai negara yang mencari rawatan perubatan di Malaysia.

“Kami perlu pastikan yang hospital-hospital kami sensitif kepada keperluan pesakit dan mengikut kehendak mereka sewajarnya. Kita tidak boleh melayani semua pesakit dengan cara yang sama.

“Ia mungkin perkara kecil, tetapi setiap negara mempunyai budaya yang tersendiri dan kita perlu memahami dan bertindak ke atas setiap isu dengan baik. Kami masih belajar untuk menyesuaikan diri,” tambah Sherene.

Hanya yang terbaik yang layak

Sentiasa berinovasi untuk mencapai kecemerlangan, MHTC menjadi tulang belakang kepada agensi kerajaan yang meletakkan Malaysia di peta dunia.

Sebagai orang tengah di antara pesakit luar negara dan panel hospital terpilih, MHTC telah berjaya mewujudkan tahap kepercayaan di kalangan pesakit luar.

Proses pemeriksaan yang ketat memastikan hanya hospital yang terbaik dalam negara layak menjadi ahli, dengan jumlah sebanyak 74. Daripada jumlah ini, hanya beberapa yang terpilih sahaja diberi status ‘ahli elit’.

Fasiliti penjagaan ini haruslah mempunyai akreditasi antarabangsa dan mempunyai Pusat Kecemerlangan sendiri supaya MHTC dapat mengesyorkan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital pakar yang mempunyai pengkhususan yang diperlukan.

Rakyat Malaysia sebagai duta antarabangsa

Walaupun semakin dikenali, MHTC berhasrat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tempatan dan menggalakkan orang ramai untuk menyebarkan maklumat tentang perkhidmatan yang mereka sediakan.

“Kita harus memberi kesedaran tentang kebaikan penjagaan kesihatan di sini supaya rakyat Malaysia dapat menjadi duta antarabangsa apabila mereka ke luar negeri,” kata Sherene.

“Kadang-kadang masyarakat Malaysia sendiri tidak menghargai sistem penjagaan kesihatan yang ada sehingga mendapatkan rawatan di luar negara.

“Dalam peranan saya sebelum ini, saya kerap melancong dan bertemu ramai orang berpengaruh. Kerana tidak sedar akan sejarah pelancongan perubatan negara kita yang cemerlang, saya tidak pernah memberitahu sesiapa tentang ini. Saya terlepas peluang yang sedia ada.”

Untuk berkembang, Malaysia memerlukan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha menyediakan tawaran-tawaran yang menarik dan sentiasa memastikan Malaysia menjadi destinasi nombor satu bagi pelancongan penjagaan kesihatan.

Visi berani MHTC, berserta sokongan berterusan daripada kerajaan, Kementerian Kesihatan dan kerja keras para doktor dan jururawat yang menyediakan penjagaan perubatan bertaraf dunia, industri perubatan dan pelancongan Malaysia akan terus mendapat manfaat dalam jangka masa yang panjang.

Persidangan InsigHT2017

MHTC akan menganjurkan Persidangan Kepintaran Pasaran Pelancongan Perubatan pada 26 dan 27 September bertempat di The Vertical, Bangsar South.

Acara yang dinamakan InsigHT2017 itu bakal dihadiri penceramah terkemuka dunia dan ketua-ketua pemikir, termasuk KPE MHTC Sherene Azli yang akan membincangkan keadaan industri dengan tema Penjagaan Kesihatan Malaysia – Melangkaui Kemampuan (Malaysia Healthcare – Going Beyond).

 

Untuk maklumat lanjut dan mendaftar nama untuk persidangan ini, layari www.mhtc.org.my/insight2017. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik How Malaysia’s Healthcare Tourism Industry Became The World’s Best.

 

Sila Kongsi

Kemasyarakatan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Ekosistem

Kebimbangan Eko: Bagaimanakah Perubahan Iklim Mempengaruhi Kesihatan Mental?

Oleh Editorial Leaderonomics. Adakah anda tahu bahawa terdapat kaitan langsung antara perubahan iklim dan kesihatan mental kita? Baca di sini apa yang menjadi kebimbangan generasi muda.

Dec 27, 2022 7 Minit

Alt

Malaysia, Tanah Airku

Sepanjang kembara kerjayanya, Roshan Thiran telah banyak berpeluang berkhidmat di luar negara. Namun, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.

Aug 25, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest