Buat Sebaik Mungkin!

May 19, 2017 1 Minit
Dr. Sharifah Hapsah

Profesor Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin… jika nama beliau (serta pangkat-pangkatnya) tidak membuat anda berasa seolah-olah kehabisan nafas, bacalah pencapaian-pencapaian beliau. Anda pasti akan terpesona dengan pemilik nama ini.

Banyak artikel telah ditulis tentang Dr Sharifah; carian pantas di Google akan menemukan anda dengan pelbagai pencapaian profesionalnya. Bacalah biografi beliau Sharifah Hapsah: Inspiring Futures (Sharifah Hapsah: Mengilhami Masa Depan) dan anda akan kagum dengan kejayaan tokoh pendidikan ini.

Seimbas kembali

Dr Sharifah, 69 tahun, adalah lulusan pengajian perubatan dari Universiti Malaya pada tahun 1973 dan menjadi Naib Canselor wanita pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2006, jawatan yang dipegang selama tujuh tahun.

Beliau mencapai semua ini bukanlah dengan sekelip mata. Biarpun tidak pernah bercita-cita memegang jawatan tinggi dalam mana-mana organisasi, tetapi apabila dilantik, beliau sentiasa bertekad untuk membuat yang terbaik. Antara jawatan yang pernah dipegang beliau termasuklah sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Akreditasi Negara, Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia, pakar perunding kepada beberapa agensi antarabangsa utama seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNESCO.

Beliau berpegang teguh pada prinsip ‘buat sebaik mungkin’ – sifat yang kita boleh dan patut amalkan.

Ciri-ciri kepimpinan

Berikut adalah tujuh ciri kepimpinan yang saya rangkumkan daripada pertemuan dengan beliau baru-baru ini:

1. Buat keputusan dan lakukan sebaik mungkin 

Dr Sharifah diuji seawal di bangku sekolah. Memandangkan beliau seorang pelajar yang bijak, Dr Sharifah ditempatkan dalam aliran Sains walaupun beliau amat meminati undang-undang.

Pada masa itu, hanya pelajar aliran Sastera sahaja yang dapat meneruskan pelajaran dalam bidang undang-undang. Dr Sharifah terpaksa akur dengan bidang perubatan, walaupun ia bukan pilihan pertamanya.

“Apabila saya memasuki sekolah perubatan, saya memutuskan untuk membuat sebaik yang mungkin dan lulus dengan cemerlang,” katanya.

Bagi kita semua, kehidupan ini adalah perjalanan yang memerlukan kita membuat pelbagai jenis keputusan. Kita hendaklah mempertimbangkan pro dan kontra perkara berkenaan. Lepas itu, kita mesti yakin dengan keputusan yang dibuat dan jalan yang dipilih, dan berjanji untuk membuat sebaik mungkin.

2. Keberanian mengambil jalan yang belum diterokai

Dr Sharifah mempunyai laluan kerjaya yang agak luar biasa. Sebagai lulusan perubatan, laluan kerjaya normal adalah pengkhususan dalam salah satu bidang amalan klinikal.

Walau bagaimanapun, atas sebab tuntutan keluarga terutamanya anak lelakinya yang memerlukan perhatian rapi, beliau membuat keputusan untuk menceburi dunia akademia dan meneruskan kerjaya dalam bidang bukan klinikal. Beliau memilih untuk memasuki disiplin baharu yang dikenali sebagai pendidikan perubatan.

Penglibatan beliau dalam pendidikan perubatan telah membawanya ke dunia akreditasi dan jaminan kualiti. Walaupun perjalanannya penuh onak dan duri, beliau tidak pernah lelah dalam misi untuk maju ke depan.

Kini, namanya sering dikaitkan dengan akreditasi dan jaminan kualiti pendidikan tinggi. Beliau memainkan peranan penting dalam penyediaan kerangka kawal selia untuk Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Ini adalah antara kenangan terindah beliau.

3. Terangkum, Runding, Telus

Cara kepimpinan Dr Sharifah boleh dikodkan sebagai “ICT”: Inclusive (terangkum), Consultative (rundingan), Transparent (telus) yang mementingkan komunikasi mendatar.

Ia adalah pendekatan di mana seseorang itu dihargai untuk bakat dan kepakaran mereka dan diajak untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan (terangkum) kerja tersebut, bertukar-tukar pandangan (rundingan) supaya tindakan yang diambil adalah untuk kebaikan semua dan bukan untuk sesetengah orang (telus).

Apabila Dr Sharifah dilantik sebagai Naib Canselor UKM, salah satu perkara yang dilakukan adalah mengumpulkan profesor dan ketua jabatan, mengenal pasti kekuatan mereka, mengagihkan mereka dalam kumpulan pelbagai disiplin dan mengajak mereka memfokus kepada satu matlamat. “Kepelbagaian dalam kumpulan adalah penting buat saya,” kata profesor yang sangat celik teknologi ini.

4. Hebahkan kekuatan anda

“Umumnya, orang Asia segan untuk menghebahkan kekuatan mereka. Jika anda berupaya membuat sesuatu kerja dengan baik, dan seseorang memerlukan bantuan anda, katalah, “Saya boleh buat ini dengan baik dan saya boleh tunjukkan anda’,” kata Dr Sharifah.

Dikenali dengan kepakaran dan kebolehannya, Dr Sharifah dilantik sebagai pakar perunding kepada beberapa agensi antarabangsa. Beliau juga sering dijemput untuk menyampaikan ucapan penting, menjadi ketua pelapor dan mengendalikan konvensyen antarabangsa, dengan membawa masuk delegasi asing yang bereputasi tinggi.

Salah satu kekuatan beliau adalah kebolehan menyediakan laporan ringkas dan resolusi sesuatu mesyuarat untuk penyerahan keesokan harinya.

5. Jalin rangkaian kerja

Dr Sharifah percaya akan kepentingan menjalin rangkaian kerja yang strategik.

“Bila anda membuat kerja dengan baik dan berucap di persidangan, anda akan membina hubungan. Rakan-rakan ini akan mengesyorkan nama anda untuk disertai dalam rangkaian mereka, dan dalam masa yang singkat, anda akan dikenali,” katanya semasa memberikan contoh bagaimana beliau diterima masuk ke dalam rangkaian WHO dan UNESCO.

Bagi Dr Sharifah, tujuan beliau bukan hanya untuk menaikkan nama sendiri di arena antarabangsa tetapi juga nama organisasi yang diwakili serta negaranya.

Beliau percaya kepada pepatah, manusia tidak dapat hidup sendirian dan memerlukan orang lain, Beliau juga percaya bahawa walaupun sesuatu perkara itu amatlah susah untuk dilakukan, tetapi jika seseorang mempunyai rangkaian yang baik dan strategi untuk menggunakannya, dia akan berjaya jua.

Pendedahan antarabangsa dan penyertaan secara aktif dalam persidangan anatarabangsa, lembaga editorial, bengkel dan mesyuarat global telah memanfaatkan beliau dari segi perkembangan peribadi, dan seterusnya perkhidmatan beliau kepada konstituensi-konstituensi yang beliau terlibat.

6. Lakukan segalanya dengan minat yang mendalam

“Anda tidak boleh membuat sesuatu tanpa minat, kerana kalau demikian, anda tidak akan menjadi bagus. Buat sesuatu tanpa minat sama seperti makan gaji. Anda mesti ada dorongan dalaman yang kuat untuk berjaya.

“Apabila kita melakukan sesuatu, kita mesti berhasrat untuk mencapai yang terbaik, berada di tangga teratas atau paling tidak, antara salah seorang daripada yang terbaik,” kata Dr Sharifah, yang dikenali sebagai “profesional yang amat kuat bekerja”.

7. Buatkan kerja dengan integriti

“Anda mesti ikut kata hati anda. Tindakan anda tidak patut menyakiti sesiapa; ia tidak sepatutnya membawa lebih banyak kerosakan. Jika ada kemungkinan kemudaratan, maka ia haruslah membawa lebih kebaikan daripada keburukan pada kemudian hari. Buat keputusan yang betul, bukan keputusan yang popular.” Kata-kata bijak daripada seorang yang telah melalui pergolakan situasi dalam kembara kepimpinannya.

Kesimpulan

Pada potretnya yang dihadiahkan kepada Dr Sharifah, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman, menulis mesej ini:

“…to take care of this nation as a mother, wife, intellectual and patriot”  

(“…menjaga negara ini sebagai ibu, isteri, cendikiawan dan patriot”.)

Nampaknya, Dr Sharifah telah memenuhi tanggungjawabnya melangkaui jangkaan Allahyarham Tunku.

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Ilustrasi Kerja

Pengurusan Adaptif: Mengemudi Perubahan dan Memupuk Ketangkasan

Oleh Lee Nallingham. Kebolehsuaian dan ketangkasan boleh menjadi kemahiran utama yang bergerak dalam landskap perniagaan yang tidak dapat diramalkan. Temui cara anda boleh memupuk ketangkasan itu dan menjadikan kepimpinan anda dapat menyesuaikan diri untuk berubah.

Oct 28, 2023 3 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest