Bagaimana Ronaldo Menjadi Pemain Bola Sepak Terbaik Dunia

Jul 04, 2018 2 Minit
ronaldo bermain bola

Dilahirkan pada 5 Februari 1985, Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro ialah pemain dan kapten pasukan bola sepak kebangsaan Portugal. Dia juga pemain penyerang kelab Sepanyol, Real Madrid. Ronaldo menjadi pemain termahal dunia dalam perpindahan yang bernilai 94 juta euro dari Manchester United ke Real Madrid pada 2009. Kontraknya bersama Real Madrid, di mana dia dibayar 21 juta euro setiap tahun (selepas cukai), menjadikannya pemain bola sepak berpendapatan tertinggi di dunia.

Untuk kebanyakan orang (iaitu FIFA dan saya), dia adalah pemain terbaik di dunia ketika ini. (Walaupun begitu, saya masih menganggap Diego Maradona pemain terbaik sepanjang zaman kerana faham-faham sahajalah, saya datang daripada generasi berbeza!) Ronaldo membesar dalam kejiranan golongan kelas pekerja. Boleh dikatakan yang kehidupannya sewaktu kecil dibentuk oleh kesusahan.

Bapanya seorang tukang kebun yang gemar meminum arak, dan akhirnya maut akibat komplikasi buah pinggang pada 2005. Ibunya menjadi pengaruh terbesar dalam hidupnya kerana dialah yang membesarkan anak-anaknya dan memastikan kewangan keluarga sentiasa kukuh. Ibunya bekerja sebagai tukang masak dan tukang cuci untuk menampung kehidupan keluarganya.

Ronaldo memenangi anugerah Ballon d’Or (anugerah Bola Emas) buat kali kedua, mengetepikan persaingan hebat daripada Lionel Messi dan Franck Ribery tahun ini. (Anugerah Ballon d’Or dihadiahkan kepada pemain bola sepak terhandal tahun sebelumnya dalam acara tahunan.) Jadi, apakah pengajaran kepimpinan yang dapat kita pelajari daripada Ronaldo?

Berikut adalah beberapa pengajaran yang saya percaya menjadi penentu buat Ronaldo hingga dia menjadi pemain terbaik dunia:

1. Percaya pada bakat sendiri

Setiap orang mempunyai bakat tersendiri. Ronaldo mula berlatih dari kecil lagi dan mempunyai minat yang amat mendalam terhadap sukan ini. Tetapi, ada juga masa dan ketika di mana bakat Ronaldo dipertikaikan, dan dia kadang-kadang terbawa-bawa dengan pemikiran yang sama. Seperti contoh ketika permulaan musim 2007-2008.
Ronaldo dilayangkan kad merah kerana menanduk pemain Portsmouth Richard Hughes ketika perlawanan kedua Manchester United pada musim itu, menyebabkannya digantung tiga perlawanan. Akibatnya, dia menjadi teramat kecewa apabila bakatnya dikritik dengan dahsyat sekali. Namun, Ronaldo tidak sekali-kali mengalah kerana dia sendiri tidak pernah meragui bakat yang dimiliki.

Adakah anda bekerja bertungkus-lumus untuk mengembangkan bakat anda? Adakah anda percaya pada bakat sendiri? Adakah anda percaya anda boleh menjadi yang terbaik di dunia dalam perkara yang anda lakukan?

Video: Aksi paling hebat Cristiano Ronaldo

2. Berlatih, berlatih, berlatih

Telah banyak diperkatakan tentang betapa tekunnya Ronaldo semasa sesi latihan. Jurulatih Portugal Carlos Queiroz berkata,:

Terdapat pemain-pemain hebat yang percaya bahawa jika ada sesuatu yang tak kena dalam latihan, mereka akan terus berhenti. Fikir mereka, ‘saya ok, hari ini tak berapa baik, tetapi esok pasti kembali baik.’ Tidak terlintas dalam fikiran mereka bahawa kemungkinan ada sesuatu masalah. Tetapi bukan Ronaldo. Dia akan terus bekerja sehingga semuanya sempurna dan dia sendiri puas hati.

Begitu bersemangatnya Ronaldo tentang latihan hinggakan dia berlatih selama berhari-hari semata-mata untuk menyempurnakan satu bahagian dalam permainannya.

Berkaitan: Giat Berlatih Untuk Mencapai Kecemerlangan Kepimpinan

Queiroz menambah,

Saya sentiasa meluangkan masa bersama-sama pemain untuk mengambil sepakan percuma tetapi dengan Ronaldo, kami mengambil masa berhari-hari lamanya. Kami berlatih setiap hari. Tiada siapa yang sanggup bekerja lebih kuat daripadanya untuk memantapkan kemahirannya.
Saya teringat waktu kami mara ke peringkat akhir Liga Juara-Juara menentang Chelsea pada 2008. Seperti biasa saya bersama Ronaldo akan berada di padang latihan bagi mengatur set-piece . Ia adalah bola baharu, bola yang berlainan untuk perlawanan itu dan pada hari pertama, prestasi kami sungguh teruk sekali. Dia tak dapat menyumbat walau satu gol pun melalui sepakan percuma, serba tak kena jadinya — bola melantun ke atas, ke kiri, ke kanan, tak pernah kena pada sasaran.
Jadi, kami pun bermula dengan perinciannya: berdiri ke kanan, ke kiri, letakkan kaki berdiri di sebelah sana, menendang begini, sebelah dalam kaki, sebelah luar kaki.
Setelah dua hari, masih tiada perkembangan, tetapi selepas hari ketiga barulah bola itu terbang seperti yang kami inginkan. Pengagihan udara dalam semua bola berbeza dan bola yang satu itu bagaikan mimpi ngeri, tetapi yang penting adalah Ronaldo tak pernah mengalah. Walaupun selepas dua hari tanpa hasil yang padu. Itulah sebabnya saya katakan yang saya seronok bekerja dengannya — saya selalu katakan dia yang memberi motivasi kepada jurulatih, bukan sebaliknya.

3. Jangan biarkan halangan menjejaskan anda

Ketika masih di bangku sekolah, Ronaldo agak popular dengan kalangan pelajar. Tetapi ketika berusia 14 tahun, dia dibuang sekolah selepas insiden dia melemparkan kerusi ke arah cikgunya. “Dia tak menghormati saya,” terang Ronaldo kemudian.

Bagi anak-anak lain, insiden sedemikian hanya akan membawa kecelakaan. Tetapi berlainan pula dengan ibu Ronaldo, dia menggalakkan anaknya melupakan tentang sekolah dan memfokuskan pada bola sepak.
Pada usia 15 tahun, Ronaldo didiagnos kondisi jantung berdebar kencang, yang bakal membawa bencana kepada mana-mana pemain sukan. Kemudian, dia menjalani pembedahan dan sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital, dia terus memulakan latihan.

Adakah halangan menggugat anda? Adakah anda membenarkan kekecewaan menghancurkan matlamat anda? Jantung yang ‘cedera’ tidak mematahkan semangat Ronaldo, jadi apakah alasan anda?

Berkaitan: Atasi Halangan, Tiada Yang Mustahil!

4. Berada selangkah ke depan daripada pesaing anda

Selama bertahun-tahun Ronaldo menyesuaikan corak permainannya supaya dia dapat menyumbat gol dari mana-mana sudut di bahagian lawan. Ronaldo berlatih tanpa henti supaya dia sentiasa berada selangkah ke depan lawannya.

Pada mulanya, dia digelar raja teknik step-over. Kemudian, apabila pihak lawan mula memahami corak pergerakannya, dia memperbaiki mutu permainannya di bahagian lain. Bagaimana anda ingin kekal selangkah ke depan? Apakah strategi anda untuk terus memperbaiki diri anda supaya pesaing anda tidak dapat meneka langkah anda seterusnya?

5. Hormati mentor anda

Sir Alex Ferguson dan Ronaldo pernah mempunyai perhubungan yang menarik. Ferguson membantu Ronaldo berkembang dan pada masa yang sama, Ronaldo sering mendengar nasihat bijaknya. Walaupun perhubungan mereka dilaporkan menjadi dingin, Ronaldo menggelar Ferguson sebagai bapanya dan pengaruh terbesar dalam hidupnya apabila dia meninggalkan Manchester United dan berhijrah ke Real Madrid.

Semua orang memerlukan mentor yang baik untuk mendaki tangga kepimpinan dengan efektif. Anda mempunyai seorang mentor? Adakah anda seorang mentor? Pemimpin yang hebat bersedia untuk menerima dan memberi maklum balas.

Saksikan kisah hidup Ronaldo dalam video dibawah:

6. Jangan berhenti belajar

Walaupun memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia dan Ballon d’Or, serta berpacaran dengan supermodel Irina Shayk, Ronaldo tidak memperlahankan regimen latihan dan program pembelajarannya. Dia terus bekerja kuat dan mempelajari muslihat baharu demi memastikan dia kekal menjadi raja bola.
Queiroz juga menambah,

Cara budak ini (Ronaldo) bekerja sejak berusia 17 tahun, keingin-sempurnaannya, obsesinya, dia ingin menjadi yang terbaik. Baginya, menjadi yang baik saja tidak mencukupi. Dia harus menjadi yang terbaik.
Jadi, kita sentiasa harus ada nyala rasa untuk belajar dan menjadi yang terbaik.

Adakah anda dahagakan untuk menjadi lebih baik? Adakah anda berusaha untuk menjadi lebih baik hari ini daripada semalam? Jika pemain terbaik dunia terus-menerus mendorong dirinya, apakah alasan kita untuk tidak berusaha tanpa henti demi mencapai keunggulan?

Kata-kata akhir

Sebenarnya, banyak lagi yang boleh ditulis tentang Ronaldo. Untuk menjadi yang terbaik di dunia, kita perlukan motivasi dalaman dan rasa dahagakan kemenangan. Kita harus ingin menjadi yang terbaik di dunia. Selepas itu, kita perlu mendorong diri sendiri untuk berkembang dan belajar mencapai visi yang telah ditetapkan.

Begitu juga kepimpinan yang hebat. Ia adalah tentang mempunyai impian yang hebat diikuti dengan dorongan, mengharungi cabaran dan sentiasa berada di hadapan demi mencapai impian itu. Teruskan, jadilah seorang Ronaldo dan takluki dunia. 

Roshan Thiran amat gemar bermain bola sepak dan pernah bercita-cita mengikut jejak langkah Diego Maradona. Malangnya, tak berjaya. Bagaimanapun, kini beliau beraspirasi menjadi yang terbaik di dunia dalam bidang kepimpinan. Anda boleh mengikutinya melalui Facebook dan Twitter. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik What I Learned From Ronaldo: How He Became The World’s Best Player


Jika anda berminat untuk menjadi No. 1 di dunia (seperti Ronaldo), anda mesti belajar dengan tekun. Cara paling efektif untuk belajar adalah melalui app pembelajaran digital necole. Inilah salah satu app pembelajaran yang paling berkesan di dunia. Dapatkan app ini daripada website necole.app

Lihat video dibawah tentang keberkesanan app necole ini

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Kemahiran

Kemahiran Diperlukan Setiap Calon Kepimpinan

Oleh Jonathan Lienbenberg. Kebanyakan daripada anda bercita-cita untuk menjadi pemimpin dalam industri kita. Ia boleh memberi manfaat untuk mula menilai diri anda selaras dengan kemahiran kepimpinan yang diketengahkan dalam artikel ini. Langkah pertama adalah sentiasa menilai kekuatan dan kelemahan anda.

Jan 15, 2024 4 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest