Menghapuskan Halangan Dalam Subsektor Perkhidmatan Profesional

Nov 16, 2018 5 Minit
Alt

Dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), sektor perkhidmatan dikenal pasti sebagai jentera utama bagi pertumbuhan, menyumbang 40-60% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara-negara ASEAN.

Sumbangan ini diramalkan meningkat kepada sekurang-kurangnya 70% pada masa hadapan, sama seperti peratus yang dilihat di negara-negara maju. Perkhidmatan profesional adalah bahagian penting dalam sektor perkhidmatan.

Perkhidmatan profesional: Gambaran global

Menurut Laporan Pasaran Global Perkhidmatan Profesional 2018, wilayah terbesar dalam pasaran perkhidmatan profesional bagi tahun 2017 adalah Amerika Utara, yang mengambil bahagian terbesar sebanyak 37%.

Ini disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi perkhidmatan profesional merentasi industri-industri seperti guaman, pengiklanan, perakaunan dan perkhidmatan fotografi.

Wilayah kedua terbesar adalah Eropah Barat (24%) sementara yang terkecil adalah Afrika (4%).

Terdapat trend positif dalam perkhidmatan profesional di mana firma-firma menjadi semakin cekap menggunakan media sosial untuk mencari dan berinteraksi dengan klien-klien secara dalam talian. Banyak firma mendapati ia adalah lebih bermanfaat untuk memasarkan perkhidmatan mereka dan mengawasi pesaing-pesaing mereka di ruang siber.

Kehadiran yang baik dalam media sosial membantu firma-firma meningkatkan jangkauan, mengukuhkan kesedaran akan kewujudannya sesama klien yang berpotensi. Ia dapat membantu firma-firma meningkatkan kepuasan dan juga perhubungan dengan pelanggan.

Perkhidmatan profesional di Malaysia

Menurut Laporan Produktiviti ke-25 bagi 2017/2018, subsektor perkhidmatan profesional merangkumi 3.9% daripada nilai tambah sektor perkhidmatan Malaysia (bernilai RM24.7 bilion) tahun lepas.

Dari 2016 ke 2017, produktiviti bagi subsektor perkhidmatan profesional meningkat sebanyak 9.7% (kepada RM79,192). Dari segi peluang pekerjaan, subsektor ini menyumbang 3.5% kepada jumlah pengambilan dalam sektor perkhidmatan tahun lepas.

Tetapi, seperti juga kebanyakan industri lain dalam zaman gangguan, perkhidmatan profesional menghadapi cabaran yang dibawa oleh perkembangan teknologi yang pesat terutamanya dalam industri perakaunan.

Cabaran mendatang

Eksport adalah pemacu utama dalam pertumbuhan ekonomi kita, tetapi pasaran untuk perkhidmatan profesional di Malaysia masih bersifat domestik. Ini tidak menghairankan kerana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih mendominasi subsektor ini.

Sebaliknya, pasaran perkhidmatan profesional global didominasi syarikat-syarikat besar, yang bekerjasama untuk mengusahakan projek-projek besar. Cabaran-cabaran yang dihadapi subsektor ini termasuk:

  •  Globalisasi
  •  Liberalisasi
  •  Ketidaktentuan ekonomi
  •  Kekurangan kronik profesional mahir
  •  Kadar penerimaan rendah terhadap solusi teknologi maklumat dan informasi (ICT)
  •  Pemain industri berskala kecil
  •  Pengawalan yang tidak konsisten dan bercanggah

Secara khususnya, pengawalan yang tidak konsisten dan bercanggah berpotensi ini menyebabkan risiko kawal selia dan menjurus kepada kos penyetujuan.

“Kita nampak seolah-olah kekurangan profesional terlatih, tetapi sebenarnya Malaysia mempunyai bakat yang banyak. Kita cuma tidak berfokus untuk mendapatkan yang paling baik daripada sumber kita secara keseluruhan. Hasilnya, kita melihat pertumbuhan tetapi ia perlahan,” kata Ts Choo Kok Beng, Peneraju Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional bagi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Selama 25 tahun, MPC telah berusaha untuk meningkatkan produktiviti di Malaysia. Usaha-usaha bagi pelbagai segmen industri di Malaysia termasuk mengadakan bengkel, program latihan, dan perkhidmatan perundingan tentang cara mempertingkatkan produktiviti. Ia juga telah menghadiahkan geran dan pengiktirafan kepada organisasi cemerlang yang mengendalikan projek penyelidikan berkaitan dengan produktiviti.

Pada permulaan milenium ini, MPC mula membangunkan penandaan aras dan amalan-amalan terbaik, mempelajari bagaimana meningkatkan daya saing dan inovasi di peringkat kebangsaan.

Melalui kolaborasi bersama Unit Perancang Ekonomi (UPE), Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) dilancarkan pada tahun 2017 bagi memacu pertumbuhan produktiviti. Sembilan subsektor penting telah digariskan, salah satunya adalah Perkhidmatan Profesional.

“Di negara-negara lain seperti Jepun dan Korea, mereka lebih berfokus pada objektif mereka. Disebabkan itu, mereka berupaya mencapai kemajuan yang gemilang dalam masa yang singkat.

“Kini Indonesia juga mula memberi fokus kepada pembangunan bakat mereka juga,” kata Choo, yang juga bekas presiden terbaru bagi Gabungan Penyedia-penyedia Perkhidmatan Malaysia (MSPC).

“Bagaimana negara-negara ini memecut pertumbuhan mereka? Bagi isu-isu tertentu, mereka mempunyai kementerian yang dikhaskan untuk mengawal aktiviti kementerian-kementerian yang menjurus kepada objektif yang sama. Kementerian yang menyelaras ini harus berupaya untuk mendapatkan semua pihak untuk memberi fokus,” tambahnya.

Rujuk pada data

Adalah penting bagi kita untuk membuat kajian, menyemak latar belakang dan mungkin merujuk kepada pakar-pakar dalam bidang relevan sebelum mencapai keputusan atau kesimpulan. Dilengkapi dengan ilmu dan kefahaman yang betul, cara ini mendatangkan hasil yang lebih baik dan adil, daripada kita mendengar nasihat kawan-kawan, kenalan atau tukang gosip.

“Saya adalah Felow Akademi Sains Malaysia (ASM). Saya belajar daripada cerdik pandai di ASM bahawa kita mesti menggunakan data dan statistik bagi analisis untuk menghasilkan cadangan dan penyelesaian yang berasaskan bukti. Anda tidak boleh menganalisis keadaan mengikut emosi. Apa yang anda rasa ialah apa yang anda rasa. Selamat berjaya!” kata Choo secara terus terang.

“Jom kita lihat pada pendidikan. Kita sudah mendengar pelbagai komen negatif mengenai sistem pendidikan kita dalam beberapa tahun ini. Tetapi, kita telah menghasilkan ramai doktor, hinggakan nak mendapatkan penempatan pun menjadi sukar. Kita telah menghasilkan peguam, arkitek, jurutera, akauntan, pakar teknologi dan juruteknik yang cekap. Untuk negara yang kecil, kita telah menghasilkan ramai pakar. Lihatlah pada angka-angkanya.

“Tetapi, mereka berfungsi dengan cara mereka tersendiri. Apabila ini berlaku, kita tidak dapat menarik bersama-sama sumber yang ada. Jadi, ia tidak akan seproduktif yang ia boleh menjadi,” ujarnya.

Terima guna set minda pertumbuhan

“Menurut jabatan perangkaan, 98.2% daripada perusahaan-perusahaan adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai tenaga kerja tidak melebihi 75 orang.

Jadi, ia tidak menghairankan jika kita memfokuskan pada mereka. Perkhidmatan profesional juga tergolong dalam PKS. Syarikat-syarikat perkhidmatan profesional di Malaysia bukanlah besar.

Kebanyakannya kecil sahaja, tetapi masalahnya adalah mereka cukup gembira dengan keadaan semasa. Mereka tiada keinginan untuk berkembang,” kata Choo.

“Sebagai peneraju bagi perkhidmatan profesional, saya perlu memikirkan bagaimana untuk membuat mereka ingin terus berkembang dan mencari cabaran-cabaran baharu. Impak teknologi amat drastik, jika anda tidak menyesuaikan diri dengan cara-cara baharu, anda akan ketinggalan.”

Singkirkan halangan yang membantutkan kemajuan

Dalam usaha memecut pertumbuhan perkhidmatan profesional, Choo menggunakan perkhidmatan kejuruteraan sebagai pemacu kerana ia merangkumi segenap sektor.

Beliau teringat bagaimana beliau telah meminta bekas menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk membantunya mengendalikan mesyuarat dialog awam untuk 70-90 jurutera.

“Bilangan peserta yang hadir melebihi jangkaan — seramai 100 orang hadir,” kata Choo.

Sebelum mesyuarat tersebut, data dan statistik yang berkaitan dikumpul untuk dikongsi dengan hadirin. Mereka juga telah mendapatkan maklumat tentang 10 firma perunding asing – pusing ganti mereka, kekuatan staf, produktiviti per orang, dan yang paling penting, pegangan saham mereka.

“Kami mengadakan dialog. Kami ingin tahu apakah halangan mereka, supaya kami dapat mengubah produktiviti perkhidmatan kejuruteraan negara. Kami perlukan konsensus daripada semua orang. Kami mengenal pasti halangan-halangannya. Kami perlukan pembaharuan institusi,” hurainya.

“Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Pindaan 2015) mengawal bisnes firma-firma perunding kejuruteraan. Ia mengehadkan permodalan. Pengawalan Akta membenarkan hanya 30% pemegang saham daripada golongan bukan jurutera profesional. Kebanyakan daripada mereka, mungkin semuanya sekali, adalah cukup bagus untuk memenuhi keperluan pasaran domestik,” ujar Choo.

“Mereka sudah cukup puas hati apabila meraih RM1-2 juta setahun. Penghapusan sekatan pegangan saham akan membolehkan beberapa syarikat mengukuhkan kewangan mereka dan bersaing dengan firma asing yang mendominasi pasaran tempatan dan mereka juga boleh menembusi pasaran luar negara. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh membantu dengan melantik firma-firma tersebut untuk menjadi perunding utama yang mempunyai modal untuk mengambil pakar-pakar,” katanya

Menurutnya, Mustapa menasihatkan tentang langkah seterusnya iaitu menganjurkan forum yang lebih besar, dihadiri oleh semua pemegang saham — bukan hanya jurutera tetapi pemilik bank, peguam dan lain-lain.

“Jika ada konsensus, kertas kerja boleh disiapkan dan diserahkan kepada kerajaan untuk mendapat persetujuan Kabinet.”

Melangkah ke hadapan

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jalan ke hadapan bagi perkhidmatan profesional nampak terang, jika mereka dapat berfokus pada objektif mereka, dan menerima guna set minda pertumbuhan.

 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah memulakan gerakan produktiviti di seluruh negara, merentasi semua segmen masyarakat untuk mewujudkan tahap kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi mengenai kepentingan dan manfaat produktiviti pada tahap perusahaan, berserta bimbingan mengukur dan menjejak produktiviti. Untuk maklumat mengenai Nexus Produktiviti, layari wayup.my. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MPC, kunjungi mpc.gov.my.Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Removing Blocks In Professional Service.

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Kereta

Kesan Lesen Elektrik Texas terhadap Pertumbuhan Kepimpinan

Oleh Mark San Juan. Memperoleh lesen elektrik Texas boleh berfungsi sebagai pemangkin untuk menjalani pertumbuhan transformatif dan mengambil alih peranan kepimpinan dalam bidang ini.

Sep 10, 2023 4 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Jangan Takut untuk Gagal

Program Tip Kepimpinan adalah satu rancangan oleh Leaderonomics di mana tip-tip mengenai hal-hal kepimpinan disediakan untuk tontonan ramai.

Jan 01, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest