Siapa Lipat Payung Terjun Anda?

Feb 23, 2017 1 Minit
pemimpin, hargai, kumpulan, sumbangan

Baru-baru ini saya terbaca pengalaman ngeri seorang juruterbang jet Tentera Laut Amerika Syarikat, Charles Plumb. Dalam misi kombat ke-75nya, pesawatnya terhempas akibat terkena tembakan peluru berpandu dari tanah-ke-udara.

Dia berjaya melepasi diri dengan payung terjun tetapi tertangkap dan menghabiskan enam tahun dalam penjara komunis Vietnam. Bagaimanapun, dia terselamat dan kini mengajar tentang kepimpinan!

Beberapa tahun kemudian, seorang lelaki terserempak dengan Plumb di sebuah restoran lalu berkata: “Anda Charles Plumb! Anda menerbangkan jet pejuang di Vietnam dari pesawat pengangkut Kitty Hawk! Anda terkena tembakan dan terhempas!”

“Bagaimana anda tahu semua ini?” tanya Plumb. “Saya yang melipat dan menyediakan payung terjun anda,” jawab lelaki itu.

Plumb terperanjat sekali. Lelaki itu tersenyum dan berkata, “Ia berjaya, kan?” Tanpa berlengah-lengah, Plumb menjawab, “Sudah tentu. Jika tidak, saya tidak akan ada di sini hari ini.”

Plumb tidak dapat tidur malam itu kerana asyik berfikir tentang lelaki itu. Dia tertanya-tanya sama ada dia pernah berlaku baik terhadapnya semasa mereka sama-sama berkhidmat di tentera.

Plumb berkhidmat sebagai juruterbang pejuang sedangkan lelaki itu hanya kelasi biasa. Jadi, besar kemungkinan dia tidak terfikir atau memberi perhatian kepada kelasi berpangkat rendah itu.

Kelasi itu kemungkinan besar menghabiskan masa berjam-jam di bahagian bawah kapal, berhati-hati melilit kain payung terjun dengan tergenggam di tangannya nasib seseorang yang tidak dikenalinya. Apabila Plumb mengenang kembali kejadian itu, dia bersyukur mempunyai teman sepasukan yang begitu berhati-hati membuat kerjanya.

Siapa lipat payung terjun anda setiap hari?

Selepas membaca cerita Plumb, saya pun bertanya diri, “Siapakah yang melipat payung terjun saya?”.

Setiap hari dunia bisnes dan kehidupan penuh dengan pelbagai cabaran dan kita memerlukan bantuan dan sokongan ramai untuk memastikan ‘payung terjun’ kita berfungsi dengan baik pada saat-saat yang penting. Contohnya, memastikan bahawa slaid powerpoint tersiap dengan sempurna, dokumen usul cadangan kepada pelanggan utama tersusun dan terjilid dengan baik, atau memastikan produk berfungsi dengan baik.

Setiap orang saling bergantung kepada orang lain dalam sesebuah pasukan untuk menyediakan apa yang diperlukan untuk hari tersebut. Dunia bisnes hari ini melibatkan seribu sesuatu, justeru itu adalah mustahil untuk kita menguruskan semua aktiviti harian yang berkaitan secara sendirian.

Namun, ramai di antara kita tidak pernah berfikir tentang pasukan kita yang telah menyokong kita atau berterima kasih kepada mereka yang “melipat payung terjun kita” setiap hari.

Richard Branson adalah contoh model seorang pemimpin yang mengasihi dan mementingkan orang lain. Ciri ini jelas kelihatan dalam setiap aspek kepimpinannya. Menurutnya,

“faktor insan adalah asas kepada kebanyakan kejayaan keusahawanan. Banyak kegagalan terjadi kerana pemimpin bisnes mengetepikan faktor ini.”

Pada tahun 1990, British Airways (BA) melancarkan kempen sulit dengan pekerja terpilih mereka yang dipanggil ‘Helpliners’ untuk mengodam sistem komputer Virgin Atlantic dalam usaha mencuri penumpang Virgin. ‘Helpliners’ BA mengambil tindakan yang agak melampau lagi — mereka menelefon penumpang Virgin dan berbohong bahawa penerbangan mereka telah dibatalkan dan mereka perlu menempah semula penerbangan mereka dengan BA.

Perkara ini berlaku selama beberapa bulan sebelum Branson menyedari apa yang sedang berlaku. Branson menyaman BA yang kemudian membuat keputusan untuk menyelesaikan kes tersebut dengan membayar £500,000 kepada Branson, £110,000 lagi untuk Virgin dan £3 juta untuk kos perundangan.

Apakah yang Branson lakukan dengan wang penyelesaian itu? Beliau berkongsi pampasan itu (memanggilnya “bonus daripada BA”) dengan tenaga kerjanya, memastikan bahawa semua orang mendapat manfaat daripada ‘kemenangan’ tersebut sebagai ucapan terima kasih kerana telah berjuang keras bagi Virgin. Adakah anda kenal pemimpin seperti Branson yang tidak segan ‘berkongsi kejayaan’ dengan pasukan mereka?

Branson telah menyemai benih kepercayaan dengan menunjukkan rasa terima kasihnya. Branson kenal ‘mereka yang melipat payung terjunnya’ dan meluangkan masa untuk mengiktiraf para pekerjanya. Beliau berkongsi rahsia bahawa anda boleh sentiasa menunjukkan penghargaan dan rasa syukur kepada pekerja-pekerja sekiranya anda mendengar dengan baik, selalu memuji “mereka yang melipat payung terjun” atas usaha baik mereka, dan jangan sesekali mengkritik mereka di khalayak umum.

Beliau menambah, “Untuk menjadi seorang pemimpin yang baik, anda perlu menumpukan perhatian untuk mencungkil yang terbaik dari dalam pekerja anda. Manusia tidak banyak berbeza daripada bunga – mereka perlu dijaga dan disiram sepanjang masa. Jika tidak mereka akan layu dan mati. Ini benar, tidak kira sama ada seseorang itu pengendali papan suis atau pengerusi syarikat.”.

Prihatin terhadap mereka yang melipat payung terjun anda

Adakah anda benar-benar mengambil berat tentang mereka yang ‘melipat payung terjun’ anda? Atau adakah anda hanya pedulikan hasil daripada kerja yang diamanahkan kepada mereka? Para pekerja bukan sekadar sumber kerja dalam bisnes anda; mereka adalah bisnes anda!

Bisnes yang berkesan bukan tentang produk, perkhidmatan, rantaian bekalan atau pelan bisnes yang hebat. Ia sebenarnya adalah tentang sekumpulan orang yang bersemangat dan terangsang, yang dikenal sebagai tenaga kerja yang melaksanakan perancangan bisnes anda dengan baik.

Sebagai pemimpin, saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada setiap seorang yang saya berpeluang untuk bekerja dengan pada setiap hari. Jadi, bagaimana saya boleh menunjukkan rasa terima kasih kepada mereka? Dengan mengucapkan “terima kasih”.

Hormati tenaga kerja anda, dan iktirafkan komitmen dan sumbangan mereka sepanjang tahun. Kebanyakan kita mengucapkan terima kasih cuma sekali setahun, barangkali semasa majlis makan malam tahunan. Kajian menunjukkan bahawa untuk mencapai keberkesanan yang berpatutan, kita harus kerap mengucapkan terima kasih.

“Jika anda tidak melakukannya sekerap mungkin, anda tidak akan menikmati manfaatnya.” kata Profesor Lyubomirsky, “Ia adalah seperti anda hanya pergi ke jimnasium setahun sekali. Apa kebaikan yang anda akan peroleh jika berbuat demikian?”

Tetapi apabila beban kerja semakin bertimbun dan tarikh tamat kian menghampiri, kita akan mudah naik angin. Pada masa-masa seperti ini, saya teringatkan satu tanggapan mudah: Layanilah tenaga kerja anda bagaikan mereka sukarelawan.

Berkaitan: Strategi Kasih Dalam Kepimpinan Yang Unggul

Dalam kerja kemasyarakatan, kenyataan sebaliknya adalah benar. Anda perlu ‘melayani sukarelawan anda seolah-olah mereka adalah pekerja-pekerja anda’. Di banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tenaga sukarelawan sangat penting tetapi sering terlepas pandang apabila keputusan-keputusan penting dibuat, menyebabkan mereka merasa tidak dihargai dan diperkecilkan.

Pelajaran yang penting bagi kita adalah untuk terus mengingatkan diri bahawa semua orang patut dihormati dan dihargai sumbangan yang mereka buat.

Rasa terima kasih adalah penting

Kajian menunjukkan bahawa rasa terima kasih menghasilkan manfaat besar termasuk kesihatan baik dan kebahagian kepada yang memberi, serta optimisme dan daya tenaga kepada yang menerima.

Ahli psikologi David DeSteno mendapati bahawa “rasa berterima kasih menyebabkan orang untuk bertindak dengan cara yang lebih mulia atau tidak mementingkan diri sendiri.” Ini bermakna jika anda sentiasa menunjukkan rasa terima kasih kepada mereka yang ‘melipat payung terjun’ anda, mereka pula akan terdorong untuk memberi lebih daripada diri mereka tanpa mementingkan diri sendiri kepada anda.

Terdapat banyak cara untuk menunjukkan rasa terima kasih. Kunci utama adalah anda harus mengambil masa untuk berbuat demikian. Kita mudah lupa.

Apabila anda berterima kasih kepada tenaga pekerja anda, ia akan meningkatkan keyakinan diri mereka. Sekiranya anda mengimbas kembali, anda akan teringat beberapa orang pemimpin yang telah menginspirasikan dan mendorong anda dengan galakan dan rasa terima kasih mereka. Anda perlu juga berbuat sedemikian. Yang terbaik sekali ialah pemimpin yang berasa terima kasih jarang murung. Ini kerana anda tidak mungkin murung dan berterima kasih pada masa yang sama.

Rasa terima kasih mudah berjangkit. Apabila anda menceriakan hari orang lain dengan ucapan terima kasih, ia akan mengukir senyuman di wajah mereka. Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks, Howard Schultz, membina empayarnya berasaskan ini. Starbucks ditubuhkan kerana bapa Schultz telah dilayani dengan teruk oleh majikannya dan Schultz mahu membina sebuah syarikat yang mengambil berat tentang hal-ehwal setiap pekerjanya, termasuk mereka yang bekerja secara sambilan di sana.

Falsafahnya adalah “Pedulikan orang lebih daripada mereka fikir berpatutan.” Para pekerjanya turut dijangkiti sikap penyayang dan positifnya, sama ada secara sengaja atau tidak sedar. Dan mereka pula mula memperlakukan sedemikian kepada pelanggan mereka. Hasilnya, perniagaan Starbucks mula meningkat.

Akhir kata

Adakah anda masih terhutang rasa terima kasih kepada sesiapa dalam pasukan anda? Binalah sikap mengakui dan menghargai sumbangan orang lain. Tenaga kerja adalah nadi sesebuah syarikat. Mereka perlu dihargai dan sekali-sekala diraikan.

Jadi, pergilah dan ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekerja anda. Anda akan terkejut dengan kesan positif dua perkataan kecil ini ke atas seseorang. Jadilah seorang pemimpin yang berterima kasih!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Who Packs Your Parachute?

 

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pekerja gembira

Life@Leaderonomics: Selamat Hari Pekerja daripada Kami Semua!

Pejabat Leaderonomics pernah dipaparkan sebagai salah satu daripada 10 pejabat paling berinspirasi di Malaysia. Pengasas membina pejabat yang terasa seperti di rumah selepas menyedari bahawa perubahan persekitaran boleh mengubah tingkah laku orang ramai.

Apr 30, 2023 1 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Biar Mereka Gagal

Setiap pemimpin yang hebat pasti pernah gagal berulang kali dalam kembara kehidupannya. Belajar daripada setiap kegagalan. Jangan ulanginya. Jadikan kegagalan-kegagalan itu sebagai batu asas kejayaan masa hadapan. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Tidak Mengapa, Biar Mereka Gagal.

Jul 06, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest