Pencapaian Akademik Atau Pembelajaran Melalui Pengalaman?

Nov 19, 2018 5 Minit
akademik
Mendidik Anak-anak Muda Mencari Potensi di Dalam Diri Sendiri

Ini merupakan topik hangat hari ini, pencapaian akademik yang semakin kurang dititikberatkan dalam usaha mengejar kecemerlangan dan kejayaan.

Seringkali, bait-bait kata yang keluar daripada mulut Elon Musk atau Jeff Bezos membuatkan laluan pembelajaran tradisional kelihatan lapuk kerana kita lebih meraikan semangat keusahawanan dalam membangunkan diri dan berkembang maju.

Kita perlu berhati-hati dalam membincangkan isu pendidikan tradisional, ibarat menarik rambut di dalam tepung.


Tidak kira betapa lemahnya model pendidikan konvensional, kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa pendidikan masih memberi nilai yang besar dalam membantu anak-anak muda memupuk kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengemudi kehidupan setelah tamat pengajian.

Kita perlu berhati-hati dalam membincangkan isu pendidikan tradisional, ibarat menarik rambut di dalam tepung. Jelas sekali, nilai pendidikan begitu besar.

Walaubagaimanapun, model pendidikan sedia ada masih tidak berubah seiring dengan peralihan zaman bagi memenuhi permintaan baharu yang digerakkan oleh kemajuan sosial dan teknologi.

Nafas baharu

Perkara yang perlu kita renung, dan teliti dengan serius ialah tumpuan pada kecemerlangan akademik semata-mata tidak membantu atau menjamin kejayaan pada masa hadapan, sekalipun kita berjaya memperoleh markah tertinggi dengan konsisten.

Sekiranya kita mahu anak-anak muda bersedia untuk menghadapi cabaran hari esok, kita wajib menggunakan pendekatan holistik dalam menangani pendidikan hari ini, dengan menyelitkan pembelajaran melalui pengalaman secara sama banyak (jika tidak lebih banyak) dengan pembangunan intelektual.

Kita mencapai suatu kejayaan besar, kerana buat kali pertama sejak tahun 1987, tiada liputan yang meluas dibuat berkenaan pencapaian akademik pelajar semasa pengumuman keputusan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pada tahun lalu.


Salah satu perkara yang paling membimbangkan majikan hari di serata dunia ialah graduan baharu yang memiliki kemahiran praktikal untuk melaksanakan kerja, namun kebanyakan daripada mereka tidak menguasai kemahiran hidup dalam dunia sebenar untuk mengatasi cabaran seharian dalam industri seperti keupayaan untuk memimpin, berkomunikasi dan menyesuaikan diri.

Hasil penyelidikan daripada The Sutton Trust, sebuah yayasan di United Kingdom yang bertumpu pada mobiliti sosial mendapati lebih separuh daripada guru yang disoal selidik percaya bahawa kemahiran hidup dalam dunia sebenar (dirujuk sebagai kemahiran insaniah) pada hakikatnya adalah lebih penting daripada kemahiran akademik untuk mencorakkan kejayaan anak-anak muda pada masa hadapan..

Separuh daripada guru yang disoal selidik percaya bahawa kemahiran hidup dalam dunia sebenar.


Jelas sekali, seramai 94% majikan, 88% anak muda, dan 97% guru berpendapat bahawa kemahiran hidup sama penting atau lebih penting daripada kelayakan akademik.

Pengasas dan pengerusi The Sutton Trust, Sir Peter Lampl berkata, “Kita semakin menghargai keupayaan bekerja dengan anjal, nilai kreativiti, dan kerja berpasukan, kadangkala meletakkan semua ini pada tahap yang lebih bernilai daripada pengetahuan akademik dan kemahiran teknikal.”

Pendidikan yang menarik dan menyeronokkan

Walaupun ada tanggapan bahawa pendekatan holistik dalam pendidikan lebih penting daripada mengajar sekadar untuk lulus peperiksaan, hakikatnya sukar untuk kita mengubah pendirian masing-masing, walaupun ada kajian yang menyatakan pembelajaran melalui pengalaman (iaitu ‘belajar secara praktikal’) merupakan kaedah pembelajaran yang paling berkesan.

Sudah tentu, kita semua pernah alami perbezaannya, siapa antara kita yang tidak pernah berkali-kali mengelamun semasa berada di dalam kelas atau bilik kuliah?
Namun demikian, apabila kita terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran, minda kita kekal fokus dengan lebih lama dan sebahagian besar daripada hasil pembelajaran lekat di fikiran.

Bukankah sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu, daripada menanam tebu di bibir sahaja, untuk memperluas skop model pendidikan konvensional, lalu meraikan kaedah pembelajaran yang paling bertepatan dengan abad ke-21?

Melampaui pembelajaran konvensional 


Selepas ini, saya akan bercerita tentang empat insan yang sangat berjaya namun tidak sempat menamatkan pengajian di sekolah menengah. Boleh kata mereka ini merupakan insan luar biasa yang memiliki bakat luar biasa, namun hakikatnya kisah mereka bukan semudah ini.

Pangkalnya, kita perlu mendidik anak-anak muda supaya lebih rajin mencari potensi di dalam diri daripada sekadar belajar daripada bacaan buku sekolah.


Setiap insan yang berjaya berusaha keras dengan penuh dedikasi sebelum mencapai kejayaan. Yang membezakan mereka daripada orang lain, mereka berpeluang mengguna pakai kemahiran insaniah (seperti kreativiti) untuk dimanfaatkan melalui proses pembelajaran yang memenatkan. Hasilnya mereka berjaya mengasah bakat sendiri sebaik-baiknya, serta memberi sumbangan yang cukup mengagumkan kepada dunia.

Hakikatnya, pembelajaran konvensional mempunyai peranan tersendiri dalam membangunkan jati diri pemimpin untuk hari esok, namun sudah tiba masanya kita akui bahawa ini bukan lagi penggerak utama dalam mencorakkan kejayaan di masa depan.

Pokok pangkalnya, kita perlu mendidik anak-anak muda supaya lebih rajin mencari potensi di dalam diri daripada sekadar belajar daripada bacaan buku sekolah.

Mari kita kenali empat insan yang tidak pernah tamat sekolah namun sangat berjaya dalam hidup:

1. Sir Richard Branson

Jutawan British ini memulakan perniagaan pertamanya iaitu Student Magazine setelah meninggalkan persekolahan pada usia 15 tahun. Sejak itu, beliau terlibat dengan lebih daripada 500 syarikat, termasuk jenama terkemuka miliknya iaitu Virgin. (Nilai harta: AS$5.1 bil)

2. Aretha Franklin

Beliau menerima anugerah kehormat dari beberapa universiti seperti Yale, Harvard dan Princeton, namun ‘Ratu Muzik Soul’ ini berhenti sekolah pada usia 15 tahun untuk mengasuh anak pertamanya.

Kerjaya nyanyian Aretha yang begitu disanjung merupakan salah satu karya muzik yang paling ikonik dan bagi mengiktiraf dedikasi dan bakatnya, beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman Grammy (Grammy Lifetime Achievement Award) pada tahun 1994. (Nilai harta: AS$60 juta)

3. Mike Hudack

Selepas meninggalkan persekolahan pada usia 15 tahun, Hudack menyertai firma sekuriti Internet di Connecticut. Selepas itu, beliau berpindah ke New York untuk bekerja sebagai perunding bagi pihak Time Warner.

Beliau kemudiannya mengasaskan Blip.tv pada tahun 2005, kemudian meninggalkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif pada tahun 2012 untuk menyertai Facebook sebagai pengurus produk. Hudack kini merupakan ketua pegawai teknologi bagi sebuah firma teknologi di Eropah, iaitu Deliveroo. (Nilai harta: AS$200 juta)

4. Francois Pinault

Jutawan dari Perancis ini kini merupakan pemegang saham terbesar dan pengerusi kehormat sebuah konglomerat runcit iaitu Kering. Pada tahun 1998, beliau membeli majoriti saham milik Christie, iaitu hartanah lelongan yang terkemuka di London.

Yang mengagumkan, perjalanannya bermula pada usia 11 tahun, tatkala beliau berhenti sekolah untuk bekerja di kilang perkayuan milik ayahnya. Dengar cerita, salah satu sebab beliau berhenti sekolah kerana tidak tahan diejek oleh rakan-rakannya dengan panggilan budak miskin. (Nilai harta: AS$27.8 bil)

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Alt

Cadangan Buat Kamu

Inspirasi pemikiran baharu kepada ahli pasukan

Menginspirasikan Pemikiran Baharu pada Ahli Pasukan

Oleh Karin Hurt dan David Dye. Walaupun semua perubahan berlaku, adakah anda perasan pasukan anda terperangkap dalam rutin yang tidak memberangsangkan? Apa yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan ini?

Dec 14, 2022 3 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest