Uruskan Bakat Dalam Subsektor Mesin Dan Kelengkapan

Dec 26, 2018 5 Minit
industri mesin, revolusi industri global

Industri mesin dan kelengkapan (M&E) adalah pemboleh bagi semua industri lain dan memainkan peranan strategik yang penting dalam segenap revolusi industri global.

Ia adalah salah satu daripada sektor yang paling berinovatif dalam ekonomi kerana ia menggabungkan teknologi utama masa hadapan seperti elektronik, robotik dan integrasi perisian, menjadikannya pemain utama di dalam Industri 4.0. 

Industri ini memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara kerana ia merentasi kesemua segmen ekonomi, terutamanya sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan.

Di Malaysia, industri ini didominasi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dimiliki anak tempatan yang kebanyakannya menghasilkan pengeluaran dalam kelompok kecil (bukannya pengeluaran besar-besaran) dan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan bagi pengilang-pengilang lebih besar.

Sebahagian besar PKS ini adalah mereka yang mengelak daripada mengambil risiko, dan cenderung untuk mengamalkan kaedah tradisi dalam pengurusan bisnes mereka, yang hanya memberi sumbangan kecil kepada produktiviti industri ini dalam persekitaran bisnes semasa.

Amalan ini  kian menjadi isu memandangkan lebih banyak negara maju bertambah kompetitif dengan menerima guna teknologi baharu dan kaedah mengendalikan bisnes.

Negara-negara jiran seperti Vietnam dan Thailand juga meningkatkan produktiviti negara mereka dan bakal meninggalkan kita di belakang jika tiada langkah-langkah sewajarnya diambil.

Cabaran PKS

1. Kekurangan pelaburan

Terdapat keperluan mendadak bagi industri kejuruteraan di Malaysia untuk menggantikan atau meningkatkan mesin dan kelengkapan mereka untuk kekal setanding dengan ekonomi yang lebih maju.

Malangnya, ini adalah usaha yang menelan belanja yang banyak dan majoriti daripada syarikat M&E tidak mempunyai sumber kewangan bagi tujuan tersebut, kata Mac Ngan Boon, Peneraju Nexus Produktiviti Mesin dan Kelengkapan (M&E) bagi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Menurutnya, ramai yang tidak ingin melabur kerana mereka tidak nampak masa hadapan bagi syarikat dan industri mereka.

“Kebanyakan syarikat ini dipunyai oleh seorang individu dan amat didorong oleh pemiliknya,” kata Mac.

“Ramai yang tidak mempunyai pelan penggantian kerana anak-anak mereka tidak berminat untuk mengambil alih bisnes tersebut, dan oleh sebab itu, mereka tidak nampak akan keperluan untuk meningkatkan prestasi. Tambahan pula, syarikat-syarikat ini kebanyakannya adalah pengeluar berkelompok yang tidak nampak kesinambungan dalam kerja mereka. Jadi, dorongan itu tidak ada.”

2. Kebergantungan yang melampau kepada buruh asing murah

Kos adalah faktor besar dalam bisnes, dan cara biasa bagi PKS untuk mengurangkan belanja adalah dengan bergantung kepada buruh asing yang murah. Kata Mac, ia telah sampai ke tahap di mana PKS tidak dapat meneruskan pengeluaran tanpa mereka.

“Pekerja asing senang didapati, jadi tiada dorongan untuk beralih dari keadaan semasa,” kata N. Sangaran, setiausaha agung Persekutuan Industri Mesin dan Kejuruteraan (MEIF).  

Mac berkata walaupun kos tenaga buruh di Malaysia cuma sebahagian kecil berbanding negara maju seperti Jerman berdasarkan kepada kebergantungan kita kepada buruh asing yang murah, tahap produktiviti kita kemungkinan juga 10 kali lebih rendah daripada mereka, per jam.

Ini kerana pemain industri di Jerman telah mengautomasikan proses kerja mereka, sementara kebanyakan kerja di Malaysia masih beroperasi secara manual.

“Jika produktiviti mereka 10 kali lebih daripada kita berasaskan jam manusia yang sama, jam manusia kita akan kurang kompetitif berbanding negara-negara maju. Hanya masa yang akan menentukan bila kita akan ketinggalan,” kata Mac.

Kemahiran teknikal dan pengurusan

Lazimnya, industri M&E ini intensif buruh dan anak tempatan secara amnya tidak gemarkan kerja sedemikian yang mereka anggap kotor (dirty), susah (difficult) dan berbahaya (dangerous) — juga dikenali sebagai 3D.

Namun begitu, Mac berkata matlamatnya bukanlah hanya untuk melatih lebih ramai rakyat Malaysia dalam aspek teknikal, kerana itu akan bermakna mereka ingin bersaing dengan pekerja asing.

Sebaliknya, anak tempatan harus dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan pengurusan supaya mereka dapat betul-betul memahami selok-belok yang rumit dalam proses kerja yang terlibat, selepas itu barulah mereka boleh memimpin yang lain.

“Apabila seseorang itu telah mencapai tahap latihan dan pemahaman yang tertentu, barulah kita boleh melihat kepada automasi, kerana dia bukan hanya tahu bagaimana untuk mengendalikan mesin tetapi juga faham bagaimana mesin-mesin itu beroperasi,” kata Mac.

Dengan meningkatnya automasi dalam industri, katanya, PKS akan memerlukan kurang tenaga kerja untuk hasil pengeluaran yang sama, dengan kawalan yang lebih baik dan kurang  kecacatan. “Bagi saya, itulah yang perlu kita fikirkan.”

Meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia dengan cara ini akan menaikkan pendapatan mereka serta tahap produktiviti, dan mengurangkan kebergantungan negara kepada buruh asing.

Yang menyedihkan adalah terdapat jurang yang semakin luas di antara permintaan industri ke atas juruteknik mahir dan bilangan graduan teknik yang berkelayakan yang memasuki sektor pekerjaan setiap tahun.

Ini adalah kerana makin ramai lepasan sekolah yang memilih untuk mendaftar bagi kursus-kursus di universiti, menjadikan mereka jurutera apabila mereka mendapat ijazah, berbanding kursus kolej teknik yang akan melayakkan mereka menjadi juruteknik.

“Terdapat kekurangan bakat yang ketara di peringkat pengurusan kolar biru. Kami di dalam industri sukar mencari pekerja di peringkat ini – apa yang kami asyik terima adalah jurutera,” kata Mac. “Tetapi sebaik sahaja seseorang itu memiliki ijazah kejuruteraan, pemikirannya adalah: “Kerja saya di pejabat; saya tak mahu berada di lapangan.”

Persepsi bahawa sekolah teknik dan vokasional adalah untuk mereka yang kurang cenderung dalam akademik dan kekurangan kesedaran berkenaan laluan kerjaya bagi graduan-graduan menyumbang kepada pilihan ini.

 

Ramai juga yang tidak sedar bahawa mereka mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan dan mendapat gaji setaraf jurutera berpandukan kepada permintaan industri yang tinggi bagi kemahiran-kemahiran ini.

Mac berkata ada banyak ruang bagi pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) di Malaysia untuk berkembang, dan nexus sedang mengkaji rangka baharu untuk sistem tersebut.

“TVET adalah permulaan yang hebat, tetapi kualitinya tidak seperti dulu. Ramai daripada graduan ini tidak dapat menjadi pemimpin yang diperlukan industri,” kata Mac.

Sangaran bersetuju: “TVET pada hari ini kekurangan perantisan yang sewajarnya. Pelajar mungkin telah tamat latihan amali, tetapi adakah mereka benar-benar mempelajari apa-apa kemahiran?

“Industri juga patut dipersalahkan; mereka hanya merungut yang graduan-graduan ini tidak tahu apa-apa, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengatasinya. Institut teknik harus berganding bahu dengan industri untuk  memperbetulkan keadaan.”

Akhir kata

Mac mendapati yang Malaysia ketinggalan dari segi pembangunan dan situasi itu amatlah membimbangkan.

“China telah pun memasuki Industri 4.0, sementara kita masih berada di Industri 2.5,” katanya. ”Inovasi dan pengkhususan adalah penting, dan ini adalah sesuatu yang kita harus fikirkan sebagai sebahagian daripada gambaran yang lebih besar.”

Sangaran memetik Jerman dan Switzerland sebagai contoh negara-negara yang telah menerima guna pandangan yang lebih meluas, dengan mengambil kira pasaran global.

“Mereka dikenali sebagai pembuat mesin kejituan tinggi. Mereka membuat apa yang diperlukan pasaran global, bukan sahaja apa yang pasaran mereka perlukan.”“Malaysia pula telah mula biasa membuat mesin untuk pasaran tempatan, atas sebab inilah angka eksport kita yang walaupun bagus, boleh diperbaiki lagi. Di sinilah set minda kita perlu berubah.”

Bagi Malaysia kekal kompetitif di rantau Asia Tenggara dan setanding dengan negara-negara maju, kita perlu berubah menuju ke arah automasi dan digital sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, tahap produktiviti semasa dalam industri M&E harus dipertingkatkan secara drastik sebelum kita boleh mula memikirkan untuk menyertai revolusi perindustrian baharu ini.

Di sinilah industri dan kerajaan patut bekerja sama untuk membolehkan Malaysia menerima sepenuhnya Industri 3.0, sebelum beralih ke Industri 4.0.

“Orang Malaysia telah menjadi puas hati. Jika kita tidak berfikir secara radikal, tiada satu pun yang akan berhasil. Kita mesti mengubah set minda kita dan menguatkan azam untuk berubah untuk masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” kata Mac.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Sains & Teknologi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Fokus Pada Pembacaan yang Berkualiti, Bukan Kuantiti

Fokus Pada Pembacaan yang Berkualiti, Bukan Kuantiti

Oleh Roshan Thiran. “Bagi saya, pembacaan yang berkualiti adalah seperti berbual mesra dengan mentor yang bijak.”

Sep 04, 2022 5 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest