Masa Hadapan Subsektor Elektrik Dan Elektronik

Nov 21, 2018 6 Minit
perkilangan peranti
Subsektor Penting Dalam Eksport Malaysia

Pernahkah anda terfikir mekanisme yang membolehkan peranti elektrik dan elektronik berfungsi, dan di mana peranti-peranti itu diperbuat?

Ada kemungkinan salah satu komponen dalam alatan peranti kepunyaan anda berasal dari  di Malaysia.

Pada tahun 1970-an, ‘Delapan Samurai’ (National Semiconductor, Intel, Advanced Micro Devices (AMD), OSRAM, Hewlett Packard, Bosch, Hitachi dan Clarion) memulakan operasi di Taman Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sejak itu, lebih kurang 300 syarikat multinasional (MNC) mula beroperasi di Malaysia, sehingga terwujudnya hab elektrik dan elektronik (E&E) seperti Lembah Silikon di Amerika Syarikat.

Ini merupakan subsektor terpenting dalam eksport Malaysia.

Pada bulan Jun 2018, produk E&E (bernilai sebanyak RM29.89 bilion) menyumbang 38% daripada jumlah eksport, ini menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak 6.9% dari bulan Jun 2017.

Barangan elektrik di sini termasuklah penjana dan motor elektrik dan, peralatan rumah, bahan pendawaian, lampu dan lain-lain.

Sementara itu, barangan elektronik merangkumi komputer dan peranti persisian, komponen dan papan elektronik, peralatan komunikasi dan barangan elektronik pengguna.

Aliran global dalam pembuatan elektrik dan elektronik

Laporan Pasaran Global Pembuatan Elektrik dan Elektronik 2018 mendedahkan bahawa segmen terbesar dalam pasaran pembuatan E&E di seluruh dunia adalah pembuatan barangan elektrik, dengan bahagian pasaran sebanyak 55%.

Hal ini disebabkan oleh angka jualan yang tinggi dan nilai barangan yang dihasilkan, termasuklah papan dan peralatan suis, transformer, serta peralatan elektrik yang lain.

Segmen kedua terbesar pula adalah pembuatan produk elektronik, dengan bahagian pasaran sebanyak 31%.

Pada tahun 2017, Asia Pasifik memegang 55% daripada bahagian pasaran.

Oleh itu, Asia Pasifik dianggap sebagai rantau terbesar dalam pasaran pembuatan elektrik dan elektronik.

Amerika Utara menduduki tempat kedua (17%), sementara Afrika memegang bahagian yang lebih kecil (lebih kurang 3%).

Dalam usaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti kilang, syarikat-syarikat mula memanfaatkan robotik dan automasi.

Sensor yang dipasang pada mesin juga mempertingkat kecekapan kilang, apabila risiko kerosakan dapat dikurangkan.

Aliran global barangan elektronik pengguna

Apabila semakin ramai orang memperoleh akses kepada Internet di serata dunia, jualan produk elektronik terhubung akan terus meningkat, seperti yang dijangkakan oleh Euromonitor International dalam Gambaran Keseluruhan Industri Global Barangan Elektronik Pengguna (2017).

Dan apabila jumlah dagangan meningkat, nilai runcit dijangka berkembang, kerana pengguna mengharapkan peranti yang kualitinya lebih baik, setanding dengan wang yang mereka belanjakan.

Industri ini diramal mengalami pertumbuhan yang kukuh disebabkan oleh inovasi yang pesat, peralihan sempadan pasaran, tumpuan pada barangan premium dan urusan membeli-belah kini dijadikan sebahagian daripada pengalaman dalam talian.

Sekalipun populariti IoT meningkat naik, orang ramai akan terus membeli komputer riba dan TV LCD, kerana produk kategori matang ini dianggap penting.

Walau bagaimanapun, kategori ini kini direka semula oleh pengeluar untuk menjadikannya lebih premium supaya dapat menaikkan margin keuntungan.

Laporan itu juga menyatakan bahawa kecerdasan buatan (AI) akan terus disepadukan dalam peranti elektronik supaya dapat memudahkan kehidupan pengguna.

Senario di Malaysia

Mengikut Laporan Produktiviti ke25 2017/2018 , sektor E&E menyumbang 36.7% daripada eksport Malaysia secara keseluruhan dan 44.7% daripada eksport barangan kilang di Malaysia pada tahun 2017.

Hakikatnya, sektor ini memberi pulangan pendapatan eksport yang tertinggi (RM343 bilion).

Destinasi eksport yang utama ialah Singapura, Amerika Syarikat (AS), China, Hong Kong, Jepun, Jerman, Mexico, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Disebabkan usaha industri secara menyeluruh untuk beralih daripada aktiviti nilai tambah rendah kepada operasi bernilai tinggi, nilai tambah E&E meningkat daripada RM62.6 bilion pada tahun 2016 kepada RM67.7 bilion pada tahun lepas.

Peralihan ini perlu berlaku bagi membolehkan perniagaan terus bersaing dalam ekonomi global.

Peningkatan dan pertumbuhan secara berterusan dalam sektor E&E — kebanyakannya disebabkan oleh permintaan yang kukuh — menyaksikan peningkatan produktiviti sebanyak 5.8% kepada RM139,724 pada tahun lepas.

Di samping itu, peluang pekerjaan dalam sektor ini meningkat sebanyak 2.3% kepada 485,000 orang pada tahun 2017. Angka ini meliputi 19.9% ​​daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor pembuatan di Malaysia.

Walaupun terdapat perkembangan yang positif, sektor E&E Malaysia masih berhadapan dengan beberapa cabaran.

Antaranya ialah:

  • Peningkatan yang ketara bagi pemudah cara kritikal bagi pemain industri
  • Himpunan bakat yang kurang berkualiti dan berpengalaman
  • Kesukaran syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global
  • Tumpuan pada aktiviti pemasangan menghasilkan nilai tambah yang lebih rendah
  • Kurang tumpuan pada keupayaan E&E di segenap sektor

Berkaitan: #TanyaRoshan: Kenapa Perkembangan PKS Sering Tergendala?

Datuk Seri Wong Siew Hai

“Persaingan sengit antara syarikat besar tempatan (LLC) dan syarikat multinasional (MNCs) sudah lama berlaku. Bagaimanapun, tolakan yang besar diperlukan untuk mengubah mentaliti pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata Datuk Seri Wong Siew Hai, Peneraju Nexus Produktiviti E&E bagi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

MPC giat berusaha dalam meningkatkan produktiviti di Malaysia sejak 25 tahun yang lepas.

Melalui nexus ini, perbincangan dan bengkel diadakan, dan khidmat nasihat mengenai  cara meningkatkan produktiviti disediakan.

Pada tahun 2000, MPC terlibat secara aktif dalam penandaarasan dan amalan terbaik. Agensi ini secara beransur-ansur berubah untuk meneliti daya saing dan inovasi di peringkat kebangsaan.

Pada tahun 2017, Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) dilancarkan bagi memantapkan pertumbuhan produktiviti. Sembilan subsektor utama dibangunkan, salah satunya ialah E&E.

Menurut Wong, yang turut mewakili Malaysian American Electronics Industry (Industri Elektronik Malaysia Amerika, MAEI), PKS perlu diberi ilham, galakan, dan didikan akan keperluan untuk berkembang dan meningkatkan produktiviti menerusi automasi.

“Bagi PKS, seringkali ada halangan dari segi mentaliti berkenaan Industri 4.0, dan kos meningkatkan produktiviti adalah mahal.

“Kebanyakan PKS mengandaikan kos tersebut tidak tertanggung. Sebahagian PKS tidak tahu cara memulakan langkah, sebahagian lagi tidak tahu langkah yang perlu diambil.

“Jadi, kami cuba menggalakkan PKS bermula secara kecil-kecilan dan mengambil langkah satu persatu,” ujarnya.

Menyuntik rasa ingin tahu kepada PKS

“Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan PKS, kami menganjurkan seminar dan bengkel untuk memberi didikan dan latihan yang diperlukan. Pada tahun ini, kami mengadakan beberapa seminar dan bengkel secara praktikal,” jelas Wong.

“Dalam sesi ini, kami mengajar cara untuk memulakan langkah kepada peserta. Banyak PKS tidak sedar akan tahap perniagaan sendiri, jadi pada tahun pertama mereka perlu mengumpul data yang ringkas,” katanya.

“Kebiasaannya, PKS tidak ada proses tertentu untuk mengumpul data, sebahagian mungkin sudah mengumpul data, namun tidak tahu cara menganalisis dan memanfaatkan data,” jelasnya.

Wong menambah, “Syarikat yang berlainan mempunyai keperluan yang berbeza. Jadi, pengusaha PKS boleh memulakan langkah dengan menilai tahap perniagaan semasa. Kemudian, mereka perlu mengenal pasti sama ada mereka memiliki sumber untuk menjayakan langkah yang dianggap penting.”

Sesetengah syarikat bersedia untuk membelanjakan wang yang diwajibkan, ada juga yang sebaliknya. Jadi, mereka mengambil langkah dengan lebih perlahan. Pokok pangkalnya mereka mempertimbangkan usaha tersebut.

Nexus E&E menetapkan tumpuan pada empat bidang utama:

  • Memantapkan aktiviti dengan nilai tambah yang lebih tinggi, terutamanya dalam reka bentuk dan pembangunan
  • Mengasah himpunan bakat
  • Mempercepat penggunaan Industri 4.0
  • Memperkukuh pembangunan PKS

 

“Dalam seminar yang akan datang, kami berhasrat untuk mempamerkan syarikat-syarikat yang telah berjaya, termasuklah syarikat tempatan dan MNC yang berpangkalan di Malaysia.

“Kami mahu menunjukkan kepada pengusaha PKS bahawa usaha ini membuahkan hasil, dan dapat membantu mereka meningkatkan kualiti dan produktiviti serta menjimatkan wang,” kata Wong.

Buat masa ini, terdapat tiga jenis latihan yang disediakan
 

  • Latihan buat graduan kejuruteraan yang belum diterima bekerja
  • Program sarjana untuk menaik taraf kemahiran jurutera
  • Kejuruteraan lanjutan, ini merupakan program latihan bagi menambah baik kecekapan

Melahirkan pengurus global

Pembangunan bakat penting bagi setiap industri, termasuk program kepimpinan untuk pemimpin kanan (pangkat pengurus peringkat pertengahan dan yang lebih tinggi).

Walau bagaimanapun, pengurus tempatan mungkin menghadapi masalah dalam usaha menjadi pengurus global.

“Kita mempunyai beberapa pengurus global, namun bilangannya tidak ramai. Oleh itu, kami berhasrat untuk mengadakan latihan supaya dapat membantu pengurus tempatan menjadi pengurus global, agar mereka mampu mencapai tahap yang seterusnya.

“Program ini disasarkan kepada pengurus peringkat pertengahan, pengurus bahagian dan pengurus jabatan,” ujar Wong.

“Saya juga teringat, semasa berunding dengan rakan sekerja Malaysia yang ditempatkan di Shanghai, saya mendapati ada permintaan dalam bimbingan dan pementoran.

“Hal ini mungkin disebabkan oleh siling kaca (halangan yang dihadapi oleh golongan minoriti untuk naik pangkat dalam pekerjaan) atau batasan yang menyekat mereka daripada menembusi halangan tertentu. Mereka tersekat memegang jawatan yang sama dan perlu mencari jalan untuk maju ke peringkat seterusnya,” katanya.

Melangkah ke hadapan

Terdapat ruang untuk berkembang maju dan menambah baik pencapaian bagi PKS dan komuniti jurutera di Malaysia.

Melalui program intervensi dan pembangunan anjuran MPC yang secukupnya dan kena pada waktunya, lebih banyak yang dapat dicapai pada skala global.

 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah memulakan gerakan produktiviti di seluruh negara, merentasi semua segmen masyarakat untuk mewujudkan tahap kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi mengenai kepentingan dan manfaat produktiviti pada tahap perusahaan, berserta bimbingan mengukur dan menjejak produktiviti. Untuk maklumat mengenai Nexus Produktiviti, layari wayup.my. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MPC, kunjungi mpc.gov.my.Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Electronics And Electrical On The Next Level.

 

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Menyingkap Kebijaksanaan Kepimpinan Abadi untuk Pemimpin Berwawasan Masa Kini

Oleh Lee Nallalingham. Ketahui cara mengemudi kerumitan dan mencapai hasil yang luar biasa dalam dunia kepimpinan kontemporari melalui kepimpinan Genghis Khan yang luar biasa.

Oct 31, 2023 2 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest